Oleh: Kamarudin Mat Akib
Pemimpin masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura meminta agar pengundi di kawasan berkenaan memulangkan semula DUN tersebut kepada Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan lagi agenda kebajikan kepada penduduk.
Mereka berpendapat amat rugi jika kawasan itu terus dikuasai parti pembangkang kerana ia kini semakin ketinggalan berbanding dengan DUN lain yang berada dalam Parlimen Dungun.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sura Utara, Che Harun Che Ismail, berkata walaupun DUN Sura diterajui oleh pemimpin Pas, BN yang lebih banyak bertindak melaksanakan kebajikan kepada penduduk di kawasan itu.
Menurut beliau, Pengerusi Pembangunan DUN Sura, Datuk Rosli Mat Hasan yang diberi amanah menerajui DUN berkenaan berikutan kekalahan calon BN pada pilihan raya 2008 menggalas banyak permintaan penduduk, terutama golongan miskin di kawasan itu.
“Biarun kalah, sepanjang empat tahun rakyat DUN Sura mendapat hasil limpahan kebajikan sama dengan kawasan lain yang dipimpin BN.
“BN melaksanakan pembangunan bagi menjaga golongan miskin, remaja dan orang kurang upaya (OKU), bantuan persekolahan, atap biru, baiki rumah dan sebagainya.
“Pemimpin BN bukan bercakap bohong, tetapi mereka menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat,” katanya.
Seorang penduduk, Wan Soriaty Wan Sharif, 53, mengakui penduduk di DUN Sura banyak mendapat limpahan kebajikan biarpun di kawasan itu ditadbir wakil rakyat pembangkang.
“Saya akui banyak rakyat menerima manfaatnya dan ramai penduduk di kubu kuat Pas seperti di Padang Jambu, Bukit Chatak dan sebagainya tidak dipinggirkan sebaliknya mendapat bantuan termasuk ahli-ahli parti pembangkang,” katanya.
Wan Sioriaty berkata, adalah tidak adil pengundi di DUN Sura memilih pemimpin pembangkang menerajui kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini kerana semua limpahan bantuan dan kebajikan disumbangkan kerajaan BN.
“Bagi saya tidak adil mengundi Pas sedangkan BN yang banyak membantu dan wakil rakyat Pas hanya tunjuk muka apabila tiba musim pilihan raya sedangkan yang penat membantu rakyat adalah BN,”katanya.
Sementara itu calon BN, Zakariah Ali berkata, sepanjang hampir dua minggu berkempen di DUN Sura beliau mendapati sokongan rakyat di kawasan itu telah banyak beralih untuk menyokong BN.
“Selain pengikut Pas yang mendakwa kecewa dengan pemimpin mereka, masyarakat Cina juga kira-kira 1,000 pengundi di DUN Sura melahirkan hasrat mereka untuk terus menyokong BN,” katanya.
Zakariah yang merupakan seorang tenaga pendidik berkata, sebagai menghargai pengundi masyarakat Cina, Menteri Besar telah berjanji akan membina sebuah bangunan baru atau bangunan tambahan sekolah Rendah Kebangsaan (C) Kwang Hwa di Kuala Dungun.
Katanya, beliau tidak menpunyai halangan berdepan dengan calon Pas, Wan Hapandi Wan Nik kerana calon Pas tersebut merupakan sahabat sepermainan sejak kecil termasuk rakan sekelas sehingga tahun 1973.
“Saya hormat beliau sahabat sekampung namun sekiranya diberi mandat saya akan menggalas tugas mencabar ini demi rakyat DUN Sura, tanpa mengira fahaman politik,” katanya.