Halaman

20 May 2013

Generasi muda perlu celik budaya

Oleh: Esah Abdullah

Kehebatan dan tahap pemikiran tinggi orang-orang terdahulu perlu didedahkan kepada generasi muda agar mereka sentiasa berdiri di paksi yang betul.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee (gambar) berkata, mereka boleh mengaplikasikan segala pemikiran serta teknologi peninggalan ini dalam kehidupan mereka.

“Pamerkan kepada mereka tahap keilmuan serta tahap keintelektual nenek moyang kita agar generasi muda hari ini sentiasa menjadi manusia yang faham sejarah serta celik budaya,” katanya ketika merasmikan majlis Pameran Inovasi dan Kreativiti Tradisional 2013 di Kompleks Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT)) di Losong semalam..

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah LMNT. Haji Mohd Yusof Abdullah.

Menurutnya, dalam konteks masyarakat moden hari ini, tiga elemen iaitu inovasi, kreativiti dan tradisional menjadi penting dan semakin signifikan dalam usaha kita membentuk masyarakat berilmu, maju dan berdaya saing.

Katanya, penghayatan dan penghargaan kepada kebijaksanaan nenek moyang kita menghasilkan sesuatu ciptaan dalam kehidupan seharian amat penting agar kita tidak mudah hilang arah.

“Datuk nenek kita telah melaksanakan aspek inovasi serta kreativiti sekian lama iaitu semenjak mereka berinteraksi dengan alam dan melaksanakan proses kreativiti dalam semua bidang sama ada ekonomi, pembinaan, pembuatan, perubatan dan kraf,” katanya.

Sebagai contoh katanya, untuk pembinaan sebuah rumah, bermula dari pemilihan tapak yang sesuai, mengenakan tiang yang tinggi agar tidak terkesan dengan banjir serta mengelak daripada ancaman binatang buas.

“Saya lihat sistem ini amat berkesan, berbeza dengan sistem binaan moden hari ini dan inilah yang dikatakan kreativiti serta inovasi yang telah diaplikasikan dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau melahirkan rasa yakin, usaha murni untuk memertabatkan inovasi serta kreativiiti tradisional akan berjaya jika digembeling secara bijaksana serta bahan dalam pameran kali ini hendaklah mampu dijadikan pengerak ketamadunan inovasi tradisional.

 

19 May 2013

Aktiviti candat sotong bakal hiasi kalendar TMM 2014

Oleh: Noraini Jusoh


Aktiviti mencandat sotong yang popular di negeri ini berpotensi untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa dan bakal dimuatkan dalam Kalendar Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Mirza Mohammad Taiyab berkata, sempena kempen TMM 2014, aktiviti mencandat sotong adalah salah satu acara yang terpilih untuk dimuatkan dalam kalendar pelancongan.

"Aktiviti mencandat sotong bukan sahaja memberi pengalaman baru kepada mereka yang menyertainya malah turut membantu menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum pelepasan peserta candat sempena program Terengganu Water Fiesta 2013- ‘Gi Candat Boh’ di Jeti perikanan Marang, semalam.

Program anjuran Pejabat Tourism Malaysia Terengganu itu mendapat kerjasama daripada Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Terengganu dan Kelab Artis Malaysia (MASC).

Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata secara tidak langsung penyertaan artis dan media turut membantu mempromosikan aktiviti mencandat sotong dengan lebih agresif.

"Penglibatan artis dan media lebih kepada memberi pendedahan tentang aktiviti mencandat sotong supaya kita mendapat idea yang lebih baik untuk memperbaiki dan menjadikannya sebagai satu aktiviti yang sememangnya istimewa.

"Dengan kewibawaan media dan artis juga turut memberikan satu jenama yang penting kepada acara ini,” katanya.

Katanya, selepas sekadar memperkenalkan aktiviti candat pada tahun lepas, penganjuran tahun kedua ini lebih menarik dan bermakna dengan kehadiran artis seperti Syed Aiman, Danny XFactor, Azrul Zaidi, Wan Sharmila, Emelda Rosmila dan ramai lagi.

Selain aktiviti mencandat sotong, selama dua hari program Terengganu Water Fiesta 2013 turut dimeriahkan dengan acara sesi masakan artis bersama peminat dan Majlis Pelancaran Pakej Candat Sotong 2013/2014.

 

LKIM perlu peruntukan RM350 juta kerja naik taraf pelabuhan Chendering

Oleh: Aida Abd Rahman

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu memerlukan peruntukan kira-kira RM350 juta bagi menaik taraf kemudahan di Pelabuhan Perikanan Chendering khususnya tambahan pembinaan tembok pemecah ombak bagi memastikan keselamatan nelayan terjamin.

Pengarahnya, Haji Mohd Saffe Mohd, berkata kerja itu perlu dilaksanakan segera memandangkan tembok sedia ada yang dibina sejak 20 tahun lalu tidak cukup tinggi bagi menahan ombak memasuki kawasan pendaratan bot.

"Tembok sedia ada iaitu sepanjang 400 meter tidak selamat dan perlu dibaiki segera kerana kita tidak mahu insiden bot pecah seperti tahun lalu berulang kembali.

 “Keadaan menjadi lebih berbahaya pada musim tengkujuh kerana hempasan ombak kuat yang menyebabkan banyak bot rosak akibat berlanggar sesama sendiri,"katanya selepas majlis penyampaian sumbangan jaket keselamatan oleh Kumpulan AmBank kepada Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan, baru-baru ini.

Selain tambahan benteng, kerja mendalamkan perairan di sekitar pelabuhan juga perlu bagi membolehkan bot nelayan masuk dengan selamat di perairan berkenaan.

"Terdapat kira-kira 120 bot nelayan kecil dan laut dalam yang menggunakan kemudahan di sini untuk mendapatkan bekalan diesel mahupun mendaratkan hasil tangkapan.

 "Kedalaman air yang selamat untuk bot masuk mendarat sekurang-kurangnya tujuh meter. Oleh itu kerja menggali perlu dilakukan dalam masa terdekat sebelum perairan bertambah cetek disebabkan hakisan ombak,"katanya.

Haji Mohd Saffe berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan mendapatkan peruntukan itu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui kerajaan negeri beberapa tahun lalu, namun masih belum menerima jawapan.

"Kita sudah kemukakan permohonan ini sejak lima tahun lalu dan terakhir tahun lalu melalui kerajaan negeri. Kita harap kabinet baru ini akan mempertimbangkan permohonan kami,"katanya.

Selain Chendering, Terengganu mempunyai lima pelabuhan perikanan lain termasuk di Besut, Pulau Kambing, Marang, Dungun dan Kemaman.


PB Square siap 85 peratus

Kompleks PB Square dijangka siap sepenuhnya
Julau depan. - Gambar ZULKIPLI PUTRA.
Oleh: Suriati Ali 

Kompleks mega Paya Bunga Square (PB Square) milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di bandar raya ini kini hampir siap 85 peratus.

 PB Square yang berharga RM120 juta dan mengandungi kompleks perniagaan, hotel dan pejabat yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai depan.

 Pengurus Besar PMINT Dato’ Haji Osman Muda berkata apabila siap kelak kompleks itu akan mengandungi 1 blok hotel 19 tingkat dengan 199 bilik, kolam renang, bilik seminar, gymnasium, ruang pejabat, premis perniagaan empat tingkat dan tempat letak kereta tiga tingkat.

"Projek itu yang buat sementara ini dinamakan Paya Bunga Square merupakan pertama seumpamanya di negeri ini dan akan menjadi mercu tanda PMINT.

 “Langkah PMINT membina kompleks itu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya. ," katanya kepada Teganukita.

 Kompleks itu sedang dalam proses pembinaan terletak di belakang pejabat PMINT di Jalan Masjid Abidin dan bersebelahan dengan perhentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

 

PBSNT adakan Liga Darul Iman


Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mengadakan saingan Liga Darul Iman 2013 dengan setiap pasukan mewakili daerah masing-masing dalam usaha mencungkil bakat baharu, bermula 31 Mei dan dijangka tamat akhir Ogos.

Pegawai media PBSNT Encik Haslan Hashim berkata pertandingan yang masuk musim ketiga itu akan disertai daerah Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

"Pertandingan itu sudah dimulakan sejak 2010 untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat-bakat baharu yang ada di daerah-daerah sebelum pemain berpotensi ini diserapkan dalam pasukan negeri," katanya.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 untuk johan, naib johan RM3,000 dan masing-masing RM1,000 untuk tempat ketiga dan keempat.


Perkim kaji perlembagaan induk

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) akan mengkaji semula perlembagaan induk badan itu sejajar dengan perkembangan masa kini.

Setiausaha Agung Kehormatnya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Mohd Nor berkata, sebuah jawatankuasa mengkaji pelembagaan itu telah dibentuk yang diketuai oleh Naib Yang Dipertua , Dato’ Seri Shahidan Kassim.

 Katanya, jawatankuasa tersebut telah mengadakan beberapa siri mesyuarat untuk membuat cadangan baru atau pindaan perlembagaan yang sedia ada selaras dengan perkembangan masa ini.

``Selain untuk mengemas kini perlembagaan dan peraturan, jawatankuasa tersebut turut membincangkan mengenai Perkim di Sabah dan Sarawak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perkim Bahagian Negeri Terengganu kali ke 23 di Kompleks Darul Hidayah, Kuala Terengganu baru-baru ini. Hadir sama Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Terengganu Dato’ Haji Ismail Yahya.

Menurut beliau, Perkim telah berusia 50 tahun dan pindaan perlembagaan yang sedia ada wajar dibuat berdasarkan keadaan semasa. Selain itu katanya, jawatankuasa tersebut turut meneliti peranan cawangan dan negeri Perkim serta konsep pembangunan atau harta yang ada.

“Ini adalah untuk membolehkan aset itu dapat digunakan sebaik mungkin kerana pada masa ini ada negeri-negeri mempunyai aset sumbangan daripada pelbagai pihak.

``Jawatankuasa akan memikirkan mekanisma baru supaya ia dapat digunakan yang sekaligus dapat meningkatkan lagi sumber pendapatan Perkim,’’

``Jika berkesempatan, kesemua pekara tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat agung Perkim Kebangsaan pada petengahan Jun ini jika tidak kemungkinan akan dibentangkan pada mesyurat agung khas bagi membicangkannya,’’ katanya.

 

18 May 2013

YIT laksana projek perumahan

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Islam Terengganu (YIT) merancangkan melaksanakan projek perumahan dan perkedaian secara lebih agresif tahun ini.

Pengarahnya, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, ia akan dilaksanakan di beberapa daerah di atas tanah milik YIT yang membabitkan daerah Kemaman, Setiu dan Kuala Terengganu.

“Ini termasuklaj sebuah kompleks bersepadu setinggi 20 tingkat bakal dibina di tapak bersebelahan Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam Kuala Terengganu tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya, kompleks berkenaan yang dianggarkan menelan kos RM100 juta akan menempatkan 20 unit premis perkedaian disamping ruang pejabat dan sebagainya.

 “Projek ini akan dilaksanakan oleh Syarikat ND Properties milik Bumiputra dan statusnya mungkin dijadikan hotel, rumah kediaman dan pelbagai kemudahan lain,” katanya.

Selain itu, YIT juga merancang membangunkan projek perumahan dan premis perkedaian di kawasan seluas enam hektar di hadapan Awana Kijal, Kemaman.

Katanya, semua persiapan sudah diatur untuk mengadakan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama dua buah syarikat yang bakal mengendalikan projek itu.

Menurutnya, projek yang sama turut dibangunkan di hadapan Hospital Setiu seluas dua hektar untuk rumah kediaman dan rumah kedai.

 “Mulai tahun ini kita mula memajukan tanah-tanah aset YIT secara lebih agresif dan melalui projek di Kemaman kita jangka mampu memperolehi keuntungan RM15 juta,” katanya.

 

Pusat Komunikasi Strategik dan Jaringan Antarabangsa Putrajaya bakal dilancarkan

Oleh: Noraini Jusoh

Dalam usaha menjadi sebuah universiti unggul, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal melancarkan Pusat Komunikasi Strategik dan Jaringan Antarabangsa Putrajaya dalam masa terdekat.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, ia sebagai lanjutan daripada Pusat Komunikasi Korporat dan Pembangunan Citra yang terletak di kampus utama di negeri ini.

"Pusat yang beroperasi di Putrajaya ini akan berfungsi sebagai wakil UMT dalam menjalankan urusan komunikasi strategik contohnya dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan ketua-ketua industri yang berpusat di Kuala Lumpur.

"Sebelum ini, banyak program dan aktiviti yang dijalankan di Kuala Lumpur kita tertinggal dan dengan adanya pusat ini saya yakin masalah ini dapat diatasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Anugerah Tahunan UMT 2013 di Pusat Kovensyen, Taman Tamadun Islam, baru-baru ini.

Katanya, pihak universiti perlu mempunyai hubungan yang rapat dengan KPT dan agensi Kerajaan Pusat yang lain jika mahu terus maju ke hadapan.

Pada masa yang sama katanya, inisiatif boleh diambil untuk memperkukuhkan jaringan antarabangsa melalui pelbagai peluang dan aktiviti globalisasi yang berlaku di Putrajaya (pusat pentadbiran) dan Kuala Lumpur (pusat perniagaan).

Jelas beliau, secara tidak langsung kewujudan pusat ini akan memudahkan sebahagian daripada tugas ahli akademik dan kakitangan UMT yang perlu berurusan di Kuala Lumpur kerana tugas mereka akan diambil alih oleh kakitangan pusat ini.

Tambah beliau, pusat ini juga akan berfungsi untuk menyelaras penerbitan korporat dalam bentuk majalah, buku dan laporan strategik untuk meningkatkan citra UMT.

 

17 May 2013

Konsep pembelajaran “Ulul Albab” ke peringkat nasional


Orang ramai menyambut Idris sejuruh tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud,Kuala Terengganu.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kejayaan konsep pebelajaran “Ulul Albab” yang mula diperkenalkan di Terengganu, akan dilaksanakan diperingkat kebangsaan apabila ia dipersetujui kerajaan.

Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata,perkara itu perlu dibincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran supaya pelaksanaan konsep itu nanti memberi kesan kepada sistem pendidikan negara.

Bagaimanpun, katanya, beliau perlu mengambil sedikit masa dan berbincang dengan pegawai tinggi kementerian sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh.

“Pengabungan Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dan kini dipendekkan kepada Kementerian Pelajaran memudah usaha untuk melaksanakan sistem pendidikan nasional," kataya pada sidang media setibanya dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, petang semalam.

Konsep 'Ulul Albab' adalah pembelajaran yang berlandaskan al-Quran dengan menggabungkan sains, teknologi serta moral dan berupaya melahirkan generasi yang sesuai untuk Malaysia sebagai negara Islam. 

Selain itu,katanya,penekanan kepada kemajuan akademik, kemajuan akhlak juga perlu diberi perhatian untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab kepada negara.

Sebelum itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Besut disambut meriah oleh rakyat Terengganu yang turut bergembira dengan perlantikan anak Terengganu pertama sebagai Menteri Pelajaran.

Pinjaman buku melalui talian

Oleh; Esah Abdullah

Orang ramai di negeri ini akan mendapat kemudahan pinjaman buku dalam talian melalui program e-book yang diperkenalkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mulai Jun depan.

Pengarah PPAT, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah berkata, pada masa ini program tersebut sedang dalam proses penyediaan dan peminjam dapat menggunakan kemudahan itu tanpa perlu lagi ke perpustakaan.

``Dengan adanya kemudahan itu ahli PPAT tidak perlu lagi ke perpustakaan untuk meminjam buku, secara online,’’ ``Kaedah itu diperkenalkan sejajar dengan perkembangan semasa untuk kemudahan ahli di samping meningkatkan minat membaca di kalangan masyarakat.’’ katanya.

Menurutnya, pada masa ini 87 judul buku pelbagai jurnal termasuk buku untuk kanak-kanak telah diprogramkan dalam e-book dan akan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Sejajar dengan perkembangan itu katanya, mereka yang belum menjadi ahli boleh juga mendaftar ahli dalam talian tanpa perlu hadir ke perpustakaan.

Sehubungan itu, pendaftaran ahli secara manual masih boleh dilakukan dan ahli yang mendaftar di perpustakaan akan diberikan `Kad Ilmu’ yang layak untuk meminjamkan sehingga empat buah buku setiap kali meminjam.

 “Selain kemudahan tersebut, PPAT turut memperkenalkan pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai mendaftar sebagai ahli di samping berkunjung ke perpustakaan.

“Pada masa ini PPAT mempunyai kira-kira 400 ribu ahli di seluruh negeri yang melibatkan di perpustakaan negeri, daerah dan 90 perpustakaan desa.

``Kita sedar pada masa ini orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui hujung jari, dan PPAT sentiasa berusaha meningkatkan kemudahan kepada pengunjung,’’ tambahnya.

Beliau berkata, pada tahun ini PPAT mendapat peruntukan kira-kira RM2 juta bagi menyediakan bahan bacaan dan meningkatkan kemudahan di perpustakaan.