Halaman

12 June 2013

DUN Rantau Abang, Teluk Pasu fail petisyen PRU13


Barisan Nasional (BN) Terengganu memfailkan dua petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dan Teluk Pasu, semalam.

Wakil jurucakap BN, Che Awang Salleh berkata petisyen itu difailkan pada pukul 11.30 pagi oleh Tetuan Rafaei & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Kira-kira 100 penyokong BN hadir di perkarangan kompleks mahkamah ketika petisyen difailkan.

Pada Ahad lalu, Pas Terengganu memfailkan dua petisyen PRU13 bagi DUN Hulu Besut dan DUN Kuala Berang atas alasan utama berlaku amalan rasuah.


11 June 2013

Ukom anjur program bicara bersama media

Oleh; Esah Abdullah

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) akan menganjurkan Program Bicara Bersama Media pada 14 Jun ini (Jumaat) di Hotel Permai Kuala Terengganu.

Timbalan Pengarah (Operasi) Ukom, Encik Ruslan Abdul Rahman berkata, program itu bertujuan antara lain untuk berkongsi idea serta bertukar fikiran antara kerajaan dan pihak media.

Katanya, setiap agensi media cetak dan media elektronik diminta menghantar lima wakil terdiri daripada wartawan dan jurufoto ke majlis yang bermula jam 4 petang.

 

Pertandingan rekacipta bakal bersiaran di TV

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bercadang untuk mengadakan pertandingan rekacipta sebagai program realiti yang bersiaran di media elektronik (televesyen).

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Yahya Ibrahim berkata, pihaknya berhasrat membawa program pertandingan rekacipta perabot dan rekacipta lain yang membabitkan penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara melalui siaran televesyen untuk tontonan umum.

Katanya, setiap kumpulan akan dibarisi lima peserta terdiri daripada pelajar serta seorang pensyarah dan akan mengenengahkan rekaan masing-masing bermula dari perngkat awal sehingga ciptaan itu siap.

"Penonton boleh melihat kreativiti setiap kumpulan yang menyertai pertandingan itu sehingga produk yang dicipta siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di  Majlis Pertandingan Reka Bentuk Perabot Mobili Zon Timur di UniSZA baru-baru ini.

Katanya, program ilmu ini boleh dijadikan satu rancangan yang boleh menarik penonton di TV dan undian juga boleh dibuka kepada penonton melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti rancangan realiti hiburan yang ada sekarang.

“Saya sudah pun berbincang dengan penerbit di stesyen TV untuk merealisasikan hasrat itu dan mereka berminat mengenai cadangan berkenaan,” katanya

Kalau boleh katanya, perancangan itu dilaksanakan secepat mungkin namun ia tidak semudah yang disangka kerana banyak perkara perlu diambil kira termasuk mencari penaja, juri pertandingan, tempat dan juga peserta.

Sehubungan itu UniSZA juga akan terus memperkasakan bidang reka bentuk yang bersifat perabot dan seterusnya bergerak kepada reka bentuk dinamik seperti robotik telekomunikasi dan sebagainya.

Setiu Wetlands wajar jadi taman negeri

Oleh: Suriati Ali 

Tanah lembap seluas 230 kilometer di Setiu (Setiu Wetlands) wajar dibangunkan sebagai taman negeri bagi memulihara ekosistem alam semula jadi kawasan itu.



 Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata adalah cukup rugi jika khazanah alam yang terdapat di Setiu Wetlands diabaikan dan dibiarkan tanpa pengawasan.

 “Ia bukan saja unik, malah satu kawasan yang cantik dan kaya dengan keindahan serta memiliki kelainan flora dan fauna yang jarang ditemui di lokasi lain sama ada di Malaysia mahupun luar negara.

“Ekosistem yang terdapat di kawasan itu saling berhubung antara khazanah alam lain iaitu pantai, sungai, lumpur, lagun, pulau dan hutan bergabung dengan air laut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Hutan Pesisiran Pantai Negara di Universiti Malaysia Terengganu, hari ini.

Katanya, tidak wajar Setiu Wetland diabaikan kerana pelbagai aktiviti boleh dimanfaat dan dilaksanakan, antaranya membawa pengunjung melihat pelbagai spesies hidupan tanah lembap , penuaian madu lebah di kawasan paya gelam dan memancing.


 “Eko-pelancongan yang dimajukan itu mampu menjana pendapatan sampingan penduduk di mana sebelum ini kebanyakan mereka hanya bergantung kepada hasil laut,” katanya.

Dato’ Ahmad Razif turut memberitahu usaha untuk memastikan pembangunan dan kesinambungan kehidupan secara seimbang terutama sekali di kawasan pesisiran pantai merupakan satu proses yang mencabar.

“Perancangan pembangunan dan penggunaan tanah yang baik serta pengurusan dan kawalan di kawasan alam sekitar yang sensitif adalah penting bagi memastikan sumber semulajadi digunakan secara baik demi kepentingan bersama,” katanya.

 






Polis giat jalankan proses pengambilan 4,000 anggota baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan proses pengambilan 4,000 anggota dan pegawai baru bagi mengisi kekosongan semua peringkat perjawatan dalam pasukan keselamatan itu.

Pengambilan itu antara janji kerajaan yang terkandung dalam Aku Janji Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), yang dilancarkan April lalu.

Pengarah Pengurusan PDRM, Dato’ Mortadza Nazarene, berkata proses pengambilan dijalankan secara berperingkat melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan mereka yang terpilih akan dipanggil menghadiri temuduga di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) seluruh negara.

“Mulai tahun ini PDRM akan membuat pengambilan anggota baru pelbagai peringkat jawatan seramai 4,000 orang setahun seperti mana yang terkandung dalam Aku Janji manifesto kerajaan BN pada PRU13 baru-baru ini.

"Ketika ini PDRM sedang giat jalankan proses pengambilan anggota baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Kejohanan Ragbi Piala Ketua Polis Negara (KPN), di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Negeri, Dato’ Jamshah Mustapa dan Ketua Polis Pahang, Dato’ Sharifuddin Ab Ghani.

Dato’ Mortadza berkata, pihaknya menerima permohonan yang amat menggalakkan daripada orang ramai yang semakin berminat memasuki perkhidmatan polis sejak kebelakangan ini.

Katanya, perkembangan itu disebabkan beberapa penambahbaikan dan insentif yang diperkenalkan kerajaan kepada anggota dan pegawai PDRM seperti Sistem Saraan Baru (SSB) menyaksikan kenaikan gred gaji baru yang disetarakan dengan perkhidmatan awam lain.

Menurutnya, setiap tahun kira-kira 2,000 anggota PDRM bersara dan dengan pertambahan pengambilan anggota baru kepada 4,000 setahun, ia dapat meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan itu terhadap masyarakat.

"Mereka yang dipilih selepas menjalani proses temuduga akan ditempatkan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL). Di Terengganu kita ada PULAPOL baru terletak di Dungun," katanya.


BN TERENGGANU JANGAN LEMAH SEMANGAT, KATA BEKAS PENGERUSI MCA TERENGGANU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 
 
Dato' Tok Teng Sai

Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Tok Teng Sai meminta supaya penyokong Barisan Nasional (BN) Terengganu, sama ada Umno, MCA dan Gerakan tidak menjadikan kemenangan tipis BN Terengganu sebagai suatu perkara yang melemahkan semangat mereka untuk terus berjuang.

Katanya, apa yang lebih penting, BN perlu menyusun kembali strategi dan langkah-langkah awal untuk pencapaian yang lebih baik dalam pilihan raya yang akan datang.

“Kekalahan sebanyak 15 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 4 kerusi Parlimen adalah merupakan ‘wake up call’ kepada Umno dan BN keseluruhannya supaya bangkit segera memperbaiki keadaan,” katanya kepada Pengarang Teganukita hari ini.

Beberapa pembaharuan dan perubahanan perlu dibuat untuk menjadi anggota kerajaan dan wakil rakyat yang lebih mesra dan menyentuh hati nurani rakyat.

Bekas-bekas pemimpin, bekas-bekas pegawai-pegawai kerajaan dan orang-orang penting dan berpengaruh dalam sesuatu kawasan jangan ditinggalkan sewaktu pilihan raya, itulah pesanan beliau sebagai orang lama dan berpengalaman dalam sepak terajang politik Terengganu.

Beliau yakin dan percaya, bahawa BN Terengganu yang masih menjadi kerajaan mampu member perkhidmatan terbaik, manakala kawasan-kawasan yang tewas, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) boleh memainkan peranan, di samping Umno Cawangan bagi menjaga kebajikan rakyat.

Oleh itu katanya, JKKK perlu diperkemaskan semula serta dibuat transformasi supaya menjadi penghubung yang baik di antara kerajaan, agensi-agensi kerajaan dengan rakyat.

Beliau yang juga bekas Pengerusi MCA Terengganu berkata, bagi orang-orang Cina begitu juga khidmat JKKK dan MCA boleh diteruskan untuk membantu hubungan kerajaan BN Terengganu dengan rakyat.

 

10 June 2013

Empat blok baru tampung penempatan 1,200 pelajar baru Tatiuc

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Seramai 1,200 pelajar baru akan mendaftar di Kolej Universiti Tati (Tatiuc) pada tahun ini sejajar dengan keupayaan penempatan di kolej univesti itu dengan siapnya empat blok asrama baru yang mampu menampung 1,000 pelajar pada satu-satu masa.

Daripada jumlah itu, 800 pelajar akan mendaftar masuk pada 30 Jun, manakala selebihnya pada September ini yang merangkumi program diploma, Program Asas Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, Encik Ghazali Taib (gambar kanan), berkata Tatiuc juga terus melaksanakan jalinan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi luar negara khususnya dalam memperkasakan bidang akademik, kemahiran dan penyelidikan bagi merealisasikan hasrat sebagai universiti penuh menjelang 2016.

“Jalinan kerjasama dengan pihak industri juga terus diperkukuhkan menerusi memorandum persefahaman (Mou) dan perjanjian (MoA ) kerjasama yang membolehkan perkongsian kepakaran dan kemudahan teknologi.

“Kerjasama ini adalah komitmen antara Tatiuc dengan industri dalam menyokong aspirasi kerajaan terhadap modal insan terutama dalam menangani masalah kekurangan tenaga mahir di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan MoA antara Tatiuc dengan Institut Teknologi Shougang (SGIT), China, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut menyaksikan Moa itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Encik Bazlan Abd Rahman, Rektor Tatiuc, Dr Zunaidi Ibrahim; Timbalan Rektor (Hal Ehwal Korporat dan Jaringan Industri Tatiuc, Dato’ Zulkifli Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Steel Sdn Bhd, Mr Iu Zongyu.

Encik Ghazali berkata, jalinan kerjasama itu merupakan satu pengiktirafan antarabangsa dan langkah penting bagi membantu Tatiuc mempromosikan program akademik dan kepakaran pusat kemahiran itu kepada dunia luar, sekaligus dapat menarik minat pelajar asing melanjutkan pelajaran di situ.

Katanya, ia juga selaras dengan hasrat bagi membangunkan Tatiuc di bidang teknologi kejuruteraan kimia, teknologi pembuatan, robotik dan komputer selain mempelbagaikan bidang penyelidikan serta inovasi.


MTIB cungkil bakat pereka muda dalam industri kayu

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan melancarkan ‘designe roadmap’ dalam masa terdekat supaya aktiviti pembangunan reka bentuk dalam industri kayu dapat dilakukan secara terancang.

Ketua Pengarah MTIB, Dr Jalaluddin Harun berkata, usaha ini diambil bagi membantu membudayakan reka bentuk dalam industri kayu.

“Sehingga ini kita belum berjaya mengeluarkan jurureka ternama dalam reka bentuk perabot,” katanya di majlis Pelancaran dan Bengkel Pertandingan Reka Bentuk Perabut Mobili Peringkat Zon Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak semalam.

Oleh itu katanya, MTIB menganjurkan pertandingan Mobili kali kedua tahun ini untuk mengcungkil bakat pereka muda dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

“Buat julung kalinya kita berjaya membawa lima pereka muda negara menyertai pameran i-Saloni Milan, Itali pada April lalu dan lebih membanggakan dua daripada peserta merupakan pensyarah muda dari UniSZA manakala tiga lagi dari UiTM Melaka, UTM dan Taylor’s College,” katanya.

Katanya, sejak pameran berkenaan diadakan pada 1960 inilah penyertaan pertama negara dan reka bentuk pereka muda negara dipromosikan di bawah jenama ‘Tanggam’.

Sehubungan itu katanya, pereka tempatan telah dirisik oleh pereka antarabangsa serta beberapa pengusaha yang bergiat di luar negara dan pemilik ‘design studios’ untuk bekerjasama dengan pereka muda negara.

“Berdasarkan penyertaan itu juga pihak penganjur turut bersetuju menjemput kesemua pereka kita untuk menyertai pameran berkenaan tahun depan,” katanya.

Menurutnya tahun ini MTIB sekali lagi menganurkan pertandingan berkenaan dan bercadang perkenalkan dua kategori iaitu peringkat pelajar dan pengusaha perabot.

“Kita akan terus menganjurkan aktiviti ini untuk tahun-tahun berikutnya bagi memastikan malaysia dilihat sebagai negara yang gigih mempertingkatkan kualiti reka bentuk perabot,” katanya.

 

Sukbom promosi TMT 2013

Oleh: Suriati Ali

Seramai 1,318 pegawai dan anggota Bomba di seluruh Malaysia berentap pada kejohanan Sukan Bomba Malaysia (Sukbom) 2013 yang berlangsung di tujuh lokasi pertandingan di negeri ini.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari dan berakhir semalam itu sebanyak lapan acara sukan dipertandingkan iaitu sepak takraw, bola jarring, bola tampar, futsal, golf, lumba basikal, bina badan dan acara kebudayaan ‘Fire Band’.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Salleh Sharbini berkata dia berasa bertuah kerana Terengganu dipilih sebagai tuan rumah pada kejohanan kali ini sekaligus mempromosi Tahun Melawat Terengganu 2013 kepada masyarakat di seluruh negara.

"Pada kejohanan kali ini sebanyak lapan acara dipertandingkan iaitu Sepak Takraw, Bola Tampar, Bola Jaring, Futsal, Golf dan tiga acara baru diperkenalkan pada kejohanan ini iaitu Lumba Basikal, Bina Badan dan Fire Band.

“Penganjuran kejohanan ini juga dapat menyuntik semangat berdaya saing di antara mereka sekaligus dapat menguji tahap kecergasan pegawai bomba .

“Malah ia juga menjadi platform buat anggota Bomba dari seluruh negeri untuk mengenali dengan lebih rapat dan bersaing secara sihat menerusi acara sukan yang dipertandingkan,” katanya.

 Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Rozi Mamat di Stadium Negeri malam kelmarin.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah; Pengarah Bomba Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dan Pengarah Bomba Terengganu, Md Salleh Sarbini.

 Sempena program itu, Kontinjen Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya berjaya membawa pulang piala pusingan Kejohanan Sukan Bomba Malaysia (Sukbom) 2013 selepas merangkul gelaran juara keseluruhan apabila mengungguli tiga daripada lapan acara yang dipertandingkan.

 Kontinjen dari Putrajaya itu cemerlang dalam acara golf, bola jaring, sepak takraw terbuka dan berpasukan menewaskan pencabar terdekat kontinjen dari Selangor dan Kuala Lumpur ditempat kedua serta ketiga.

Manakala kontinjen Selangor muncul juara dalam acara kebudayaan menerusi ‘Fire Band’ dan bola tampar kategori pegawai menewaskan Kuala Lumpur yang memenangi acara sepak takraw kategori master serta bola tampar terbuka.

 Bagi acara futsal, kontinjen Pulau Pinang menguasai perlawanan yang berlangsung di Sport Planet, Gong Badak setelah menundukkan pasukan lain sekaligus muncul juara kategori pegawai bagi acara tersebut manakala kontinjen Sarawak unggul dalam kategori terbuka.

 

Kerjasama Tatiuc - Institut Teknologi Shougang lahir tenaga mahir industri keluli

Oleh: Aida Abd Rahman

Kolej Universiti Tati (Tatiuc)  mengambil langkah proaktif dalam usaha menangani masalah keperluan tenaga mahir dalam industri keluli apabila menjalinkan memorandum perjanjian (MoA) dengan Institut Teknologi Shougang (SGIT), China, hari ini.

YB Ghazali Taib bersama Dato' Haji Mazlan Ngah (belakang) menyaksikan pertukaran dokumen  antara Tatiuc dengan SGIT. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
MoA ditandatangani Rektor Tatiuc, Dr Junaidi Ibrahim dan Naib Presiden SGIT, Mr Wang Chuanxue, di Tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, Encik Ghazali Taib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Pengerusi Lembaga Pengarah  TATiUC, Encik Bazlan Abd Rahman.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Steel Sdn Bhd, Mr Iu Zongyu.

Encik Ghazali berkata, perjanjian itu akan melancarkan perkongsian ilmu antara kedua-dua institusi, pembangunan akademik serta melatih anak Terengganu dalam bidang penghasilan keluli.


“Langkah diambil oleh Tatiuc melaksanakan MoA ini merupakan langkah kehadapan dalam era kita memajukan perusahaan besi khususnya kegemilangan sejarah industri yang mula bertapak di Bukit Besi ketika zaman Syarikat Eastern Mining and Metal Berhad (EMMCO) sebelum 1971, di mana Terengganu muncul pusat perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara .

“Ia juga bagi memenuhi kehendak industri penghasilan keluli yang berkembang di Terengganu terutama dengan pembinaan kilang Eastern Steel Sdn Bhd, Teluk Kalong yang kini sudah 65 peratus siap,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara dua institusi itu sudahpun bermula awal Februari lalu dengan melibatkan 10 anak Terengganu yang mendapat latihan di bidang kawalan motor selama empat bulan.

 Katanya, kerjasama itu diteruskan dalam bidang berkemahiran tinggi, Teknologi Metalugikal melibatkan 40 pelajar yang dilatih oleh empat tenaga pengajar yang pakar di bidang itu dari SGIT.

“Pelajar terlibat yang dipilih merupakan graduan yang mempunytai latar belakang di bidang teknikal dan kejuruteraan akan dilatih untuk memahami teknologi penghasilan keluli terkini yang menggunakan teknologi serta kepakaran dari China.

“Selepas tamat tempoh latihan empat hingga enam bulan di Tatiuc, pelajar terlibat akan diberi peluang menjadi tenaga kerja di kilang Eastern Steel Sdn Bhd yang bakal siap tidak lama lagi dengan nilai pelaburan kira-kira RM1.8 bilion,” katanya.

Kilang Eastern Steel memerlukan kira-kira 1,000 hingga 2,000 tenaga kerja bagi fasa pertama pengambilan sehingga 2014.