Halaman

09 July 2013

ISU PAS TAK PAYAH TANDING: KENAPA WAHID TAK BIDAS LIM GUAN ENG

Ulasan: Ruslan Rahman dari Kuala Besut:

Pesuruhjaya Pas Terengganu Wahid Endut sepatutnya membidas Guan Eng sebelum ini yang meminta Pas boikot pilihanraya Dun Kuala Besut, bukannya Dato' Idris Jusoh.
 Dato' Seri Idris yang duduk di pihak BN sudah tentulah mahu membentangkan kepada pihak lawan kedudukan BN yang amat kuat di Kuala Besut., itu semestinyalah.
 Tambah lagi ia bukan rekaan tetapi fakta, kerana majoriti kemenangan dalam PRU 13 lalu 2 434, terbesar berbanding tiga Dun yang lain di Parlimen Besut. Besut dan Kuala Besut adalah kubu BN.
  Soal Pas hendak bertanding atau tidak, itu hak mereka, tidak perlu terpengaruh dengan pihak BN sebagai pihak yang mahu dilawani Pas.
 Wahid tidak seharusnya jadi gelabah dengan kenyataan Idris itu kalau benar-benar merasakan Pas mampu.   Pimpinan PKR tempatan sebelum ini juga menempelak Pas yang tewas teruk dalam PRU 13 lalu di Dun Kuala Besut, lantas meminta serahkan kerusi Dun Kuala Besut itu untuk ditandingi PKR.
  Ini lagi memalukan Pas, bila Azan Ismail, Pengerusi PKR Terengganu meminta Pas berikan kerusi itu kepada PKR.
  Begitu juga Setiausaha Politik Kanan Anwar, Haji Abdul Rahman Yusof menyatakan PKR Terengganu ada calon lebih hebat dari Pas di Kuala Besut.
  Malaysiakini hari ini melaporkan Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut membidas Ketua Umno Besut Datuk Seri Idris Jusoh yang meminta PAS tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut 24 Julai ini bagi menghormati kemenangan BN pada pilihan raya umum lalu dan bulan Ramadan.
 Wahid dilapor berkata, Idris takut kepada Pas buat kejutan dalam PRK itu.
   Pesuruhjaya Pas itu  tidak boleh membuat bandingan Kuala Terengganu dengan Besut- kerana Besut adalah kubu Umno/BN.

08 July 2013

Setiap sekolah digalakkan bertaddarus di bulan Ramadan : YB Ghazali

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiap sekolah di negeri ini digalakkan mengadakan majlis taddarus al-Quran pada setiap Khamis sepanjang Ramadan ini sebagai usaha menyemarak dan meningkatkan ibadat di bulan yang penuh keberkatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib.

Sehubungan itu, beliau meminta pentadbir sekolah merancang dan mengatur jadual bagi melaksanakan aktiviti itu dengan melibatkan semua guru dan juga pelajar Islam tanpa mengganggu modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka.

 “Kita menggalakkan murid dan guru bersama-sama bertaddarus secara berjadual. Maksudnya, guru yang tidak terlibat dengan pengajaran di waktu-waktu tertentu akan bertaddarus dan disambung oleh guru lain sehingga dapat menamatkan atau khatam al-Quran.

“Begitu juga dengan pelajar, pada setiap Khamis bermula 7.40 pagi mereka bersama-sama membaca Yassin dan seterusnya bersambung dengan program taddarus al-Quran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Ramadan dan Hari Raya 2013 Radio Malaysia Terengganu, di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penyiaran Terengganu, Puan Azizah Mohd Yusoff dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

YB Ghazali berkata, walaupun aktiviti itu bukan satu ketetapan oleh kerajaan negeri yang wajib dilaksanakan di semua sekolah, pihaknya tetap menggalakkan pentadbir sekolah mengambil peluang kedatangan bulan Ramadan untuk memperbanyakkan amalan yang mampu menyuburkan lagi ketakwaan sekali gus mampu menjadi contoh terbaik kepada pelajar khususnya dengan bertaddarus.

 “Kita tidak mahu menjadikan puasa atau Ramadan sebagai alasan untuk mengurangkan waktu belajar anak-anak kita di sekolah, kerana ia cukup penting. Cuma pada hari Khamis biasanya pada masa yang pertama kita digunakan untuk membaca al-Quran.

 “Tetapi dengan adanya jadual taddarus itu, P&P tidak berubah, kita anjak ke atas di mana waktu balik dilanjutkan sedikit atau kita kurangkan lima minit setiap waktu (jadual kelas), terdapat dua kaedah boleh kita gunakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan diadakan sesi taddarus itu pada waktu awal pagi setiap Khamis supaya tidak mengganggu P&P , bagaimanapun terpulang kepada pihak sekolah khususnya yang sekolah berasrama jika mahu diadakan aktiviti berkenaan selepas selesai waktu persekolahan.


300 majikan sertai seminar pengurusan sumber manusia

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih)

300 peserta dari kalangan majikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini menyertai Seminar Pengurusan Sumber Manusia Untuk PKS yang bertemakan 'Pengurusan Sumber Manusia Mencorak Masa Depan Perniagaan' di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Haji Azmi Razik berkata, seminar anjuran Kementerian Sumber Manusia melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB-HRDF) bertujuan menyediakan landasan bagi perkongsian ilmu serta maklumat berkenaan aplikasi pengurusan sumber manusia secara strategik.

"Ia juga berperanan membantu majikan PKS dalam mengukuhkan perniagaan melalui pengurusan sumber manusia yang berkesan.

"Seminar ini merupakan salah satu aktiviti jelajah di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) yang dilakukan secara berkala ke seluruh negara,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan seminar tersebut.

Katanya, hasrat kerajaan untuk memperkasakan agenda Transformasi Ekonomi golongan usahawan PKS akan tercapai dengan segala program yang terancang serta pelbagai inisiatif yang dijalankan di bawah PSMB.

Katanya, seminar sebegini juga merupakan salah satu platform untuk membincangkan masalah yang dihadapi para majikan terutamanya berkaitan permasalahan sumber manusia dan usaha-usaha untuk mencari jalan penyelesaian.

Tambah beliau, ia diharap dapat memberikan kesedaran kepada majikan terutamanya dalam mengurus sumber manusia kerana untuk menjamin kejayaan sesebuah perniagaan memerlukan pengurusan yang berkesan,” ujarnya.

Katanya, selain menyokong program ini, menerusi seminar ini juga YPU turut mengadakan kolaborasi dengan rakan strategik seperti SME Bank dan anak syarikatnya, CEDAR serta Credit Guarantee Corporatio (CGC).

"Kolaborasi ini bertujuan menyediakan peluang kepada golongan sasar untuk memperoleh maklumat berkenaan pembiayaan kewangan yang boleh dipohon dalam usaha mempertingkatkan potensi perniagaan dan menambahbaik insfrastruktur perusahaan,” ujarnya.


 

Kes denggi menurun di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah 

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berjaya mencatat penurunan kes denggi sebanyak 63.2 peratus dan penurunan kes wabak 83.3 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Dato’ Dr Anwa Sulaiman berkata, tahun lalu terdapat 418 kes denggi yang dikesan manakala tahun ini hanya 154 kes dan kes wabak pula 12 (2012) dan dua kes tahun ini.

“Tiada kematian dicatatkan dan wabak adalah terkawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Ops Gempur Aedes’ Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Pejabat Kesihatan Daerah Marang hari ini.

Katanya, ops gempur ini diadakan serentak di seluruh negara ditujukan kepada lokaliti terpilih yang bermasalah denggi serta dikenalpasti lebih awal sebelum operasi bertujuan mencegah penularan penyakit bawaan vektor di samping memberi kesedaran kepada orang awam agar menjaga kebersihan premis masing-masing.

Menurutnya, dua lokaliti wabak di kenalpasti di negeri ini ialah Kampung Pantai Pandak. Kuala Terengganu dan Kuarters Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Beberapa kampung lain turut terbabit ialah Kampung Chendering Jalan Sekolah, Kampung Chendering dan Kampung Simpang Empat Chendering ( daerah Kuala Terengganu). Kampung Paya, Kampung Kijing dan IPD Marang (daerah Marang).

“Sebanyak 1,301 premis telah diperiksa dan daripada jumlah berkenaan tujuh rumah kediaman dan premis telah dikenakan kompaun sebanyak RM500 manakala 40 lagi diberi notis pembersihan di bawah Seksyen 8,” katanya.

Katanya, bagi kesalahan berulang, tindakan mahkamah boleh dikenakan kepada tuan punya premis dengan denda maksima RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duannya sekali.

Biar siapa calon, matlamat BN menang di Kuala Besut

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Petang esok calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan oleh Timbalan Presiden Umno merangkap Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Bagi jentera pilihan raya BN, siapa pun nama yang bakal diumumkan Timbalan Pengerusi BN Malaysia itu tidak penting kerana mereka sudah siap siaga untuk berjuang mempertahankan kerusi tersebut.

Berdasarkan rekod, Kuala Besut memang kubu kuat Umno dan BN di mana sepanjang proses pilihan raya diadakan, BN hanya kalah dua kali di kawasan berkenaan.

Calon BN kalah kepada Pas di kerusi itu pada tahun 1959 dan sekali lagi pada 1999 apabila tsunami politik berlaku, sekaligus menyebabkan tampuk pemerintahan negeri Terengganu jatuh ke tangan Pas.

Sejak itu, kerusi DUN Kuala Besut dimenangi oleh BN, malah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) calon BN di kawasan itu menang dengan majoriti antara yang tebesar di negeri Terengganu.

Pada PRU-13, penyandang kerusi itu, Dr A Rahman Mokhtar menewaskan calon Pas, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Jika dikaji keputusan PRU-13 yang menyaksikan BN menyapu bersih keempat-empat kerusi DUN dan Parlimen, di bahagian Besut dan Setiu, peluang BN untuk menang PRK ini amat cerah.

Pemerhati politik berpendapat dengan kemenangan BN pada PRU-13 yang menyaksikan BN kekal memerintah negara dan negeri Terengganu, PRK Kuala Besut akan menjadi milik BN.

Jika ini berlaku hasrat Pas dan Pakatan Rakyat menafikan kemenangan BN di Terengganu yang diraih pada PRU-13, tidak akan tercapai.

Pastinya pengundi di Kuala Besut akan mempertahankan kedudukan BN sebagai Kerajaan Negeri Terengganu yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Malah, tidak mustahil jika calon BN yang akan bertanding pada PRK ini akan meraih majoriti yang lebih besar berbanding pilihan raya umum lalu.

Penduduk Kuala Besut tidak akan rela melihat kerusi itu terlepas ke tangan Pas dan memungkinkan berlakunya pembentukan kerajaan campuran atau pilihan raya semula bagi seluruh negeri Terengganu.


PRK KUALA BESUT: WUJUDKAN PERTANDINGAN YANG SIHAT DAN MENJAGA KESUCIAN BULAN RAMADHAN

Analisa khas Ruslan Rahman dari Kuala Besut:


Suasana Kuala Besut masih lagi tenang, walaupun tarikh pilihanraya kecil (PRK) Kuala Besut sudah diumumkan iaitu pada 24 Julai dan penamaan calonnya pada 12 Julai.
  Biarpun penamaan calon akan diadakan di Kompleks Rakan Muda Kota Putera (Kg.Raja) hanya tinggal 4 hari lagi, tetapi suasana PRK masih lagi suram, lebih-lebih lagi pihak pembangkang.
  Apakah Pas merasakan terlalu sukar untuk menang, lantas jentera mereka tidak dapat digerakkan dengan bersemangat atau sebaliknya bakal membuat strategi serangan akhir?
 Namun di pihak jentera BN, mereka lebih mendahului, malah pengumuman calon BN akan dibuat terlebih dahulu oleh BN pada sebelah siang esok, 9 Julai dan Pas dijangka mengumumkan di sebelah malam.  Memanglah dengan angka 2 434 majoriti kemenangan BN dalam PRU 13 baru lalu, rata-rata bercakap tentang kesukaran pembangkang untuk mewujudkan persaingan, jauh sekali untuk menang.
 Akan tetapi, BN mengambil pendekatan jangan selesa dengan keadaan itu, bimbang menjadi alpa, sebab itu BN Besut meletakkan sasaran menambah majoriti kemenangan sehingga 4,000 undi.
  Dengan sasaran 4,000 undi yang diletakkan itu menjadikan jentera pilih raya kecil BN itu tidak duduk sahaja, malah terpaksa berhempas pulas untuk mencapai angka majoriti kemenangan sebanyak itu. Kehidupan masyarakat di Kuala Besut tidaklah ketara dari segi perbezaan politik kerana rata-rata memilih untuk tidak bersengketa dan mahu mengekalkan kehidupan yang harmoni.
  Pendekatan wakil rakyat BN sebelum ini, Allahyarham Dr Rahman yang melayani semua pihak dan difahamkan dalam ucapan Allahyarham di mana mana tidak pernah mengecam mana-mana pihak, membuatkan imej BN amat suci di Dun Kuala Besut.
 Allahyarham dikatakan mengamalkan pendekatan profesional sebagai seorang doktor yang melayani semua pesakitnya tanpa mengira soal perbezaan fahaman parti politik, kedudukan dalam masyarakat dan sebagainya.
 Suasana kempen di bulan Ramadhan nanti mungkin memberi kebaikan bagi mengelakkan ketegangan dan kempen-kempen keterlaluan, terutama oleh pihak lawan sebelum ini. Parti Pas yang terlalu inginkan kemenangan bagi menjadikan 16-16 kerusi DUN Terengganu, tetapi pada masa yang sama mereka berdepan dengan PRK Kuala Besut yang merupakan kubu kuat BN membuatkan mereka jadi ‘tidak menentu'.  
   Hendak menggunakan taktik dan strategi yang keras dan kasar amat tidak sesuai, kerana ia berlangsung di bulan Ramadhan.
  Namun ada juga pemimpin Pas yang kaitkan Ramadhan itu bulan jihad dalam konteks peperangan. Penerangan Pemuda Pas Pusat melalui kenyataan terbuka ketuanya secara terang-terangan mengaitkan pilihan raya di bulan Ramadhan adalah sesuai dengan bulan jihad, kononnya sama dengan peperangan yang Nabi Muhammad lalui di bulan Ramadhan.
  Inilah perbuatan yang tidak wajar mengaitkan Pas dan membuat anologi atau bandingan dengan sirah Nabi Muhammad, seolah-olah orang Islam lain yang tidak menyertai Pas tidak berada di pihak Islam dan Nabi Muhammad.
 Apa pun kita berharap Pas menjaga kemurnian dan kesucian agama Islam di bulan Ramadhan ini supaya tidak menafsirkan ‘jihad’ itu sebagai peperangan, dalam dalam konteks ini peperangan yang berhadapan dengan BN dalam PRK.
 Marilah kita sebagai umat Islam bersatu menentang musuh Islam yang sebenar iaitulah golongan yang anti Islam dan Melayu di negara ini.
  Kita yakin semua boleh mengenali siapa kawan yang sebenar dan siapa musuh yang sebenar, janganlah kerana menurut hawa nafsu inginkan kuasa parti yang ‘bertopengkan Islam” sanggup berpakat dengan dengan pakatan atau parti yang terang-terangan memusuhi Islam dan sanggup untuk memusnah kerajaan yang diketuai Melayu Islam yang sedia ada ini.



Duta Indonesia kunjung hormat Menteri Besar

Duta Besar Republik Indonesia, TYT Herman Prayitno melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini.



Beliau bersama-sama tiga pegawai kanan kedutaan mengadakan pertemuan dengan Dato’ Seri Haji Ahmad di pejabat Menteri Besar, tingkat 16, Wisma Darul Iman.

Hadir sama ialah Minister Counsellor Penerangan, Sosial dan Budaya, Bapak Ahmad Daya Handasan; Atase Pertahanan Kolonel Yudhy Chandra Jaya dan Sekretariat Pertama, Bapak Heru Budiarso.

Pertemuan yang bertujuan mengeratkan hubungan antara kedutaan republik itu dengan kerajaan negeri berlangsung dalam suasana mesra di mana mereka bertukar-tukar pandangan dan maklumat mengenai hubungan dua hala.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Tfm saji 37 program khas sempena Ramadan dan Hari Raya

YB Ghazali Taib menekan ipac mini gimik pelancaran Program Ramadan dan Hari Raya Tfm di Equestrian Resort Kuala Ibai.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Radio Malaysia Terengganufm (Tfm) menyajikan 37 program khas sepanjang Ramadan dan Hari Raya bagi menyemarakkan sambutan bulan mulia itu sekaligus menunaikan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat setempat khususnya pendengar setia saluran itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata Tfm yang menyajikan pelbagai informasi dan hiburan khas untuk pendengar dari segenap lapisan mengikut segmen tertentu turut melaksanakan program wajibnya, iaitu `Ceria Ramadan’ yang mula diperkenalkan sejak 2010.


"Tfm menggerakkan program itu dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), syarikat swasta, hotel dan masyarakat setempat sebagai langkah mendekati golongan yang kurang berkemampuan, anak-anak yatim, orang kelainan upaya serta ibu-ibu tunggal.

“Objektif utama program sebagai satu tanggungjawab sosial korporat Tfm selain merakyatkan radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi program radio di lokasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Ramadan dan Hari Raya 2013 Radio Malaysia Terengganu, di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, hari ini.


Turut hadir, Pengarah Penyiaran Terengganu, Puan Azizah Mohd Yusoff dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

YB Ghazali berkata, program Ceria Ramadan merangkumi sebelas sesi akan melibatkan semua golongan sasar, termasuk Ceria Ramadan Bersama Media (11 Julai di Hotel Tabung Haji); Ceria Ramadan Bersama Anak Yatim pada 12 Julai di Hotel Sumai Suite, pada 14 Julai di TER, pada 30 Julai di Hotel Prinz Park dan Taman Tamadun Islam (1 Ogos) serta Ceria Ramadan bersama penduduk Dewan Undangan Negeri  (Dun) Jabi (29 Julai).

Rancangan lain sepanjang bulan Ramadan ialah Jelajah Ramadan (berbula puasa) (19 Julai di Demong Beach Resort, Besut; 20 Julai di Dun Kuala Besut dan (bersahur) di Intitut Pendidikan Guru Sultan Mizan pada 21 Julai.

Segmen khas di radio termasuk Hidayah Nur Ramadan (jam 1.30 petang); Syiar Ramadan ( 6.15 petang); Kuiz Ramadan (12.45 tengah hari); Tadarus al-Quran (9.45 malam); Mari Mengaji (2 petang) dan Drama Khas Ramadan (tiga kali seminggu bermula jam 3.45 petang, selama 15 minit).

Sementara rancangan Hari Raya, termasuk Dendang Perantau (malam raya pertama, 9.15 malam), siaran langsung solat sunat hari raya (hari raya pertama , jam 8 pagi); Indahnya Syawal (hari raya pertama , 10.30 pagi) dan Muzika Raya TFM (hari raya pertama, jam 2 petang).

 

Rakyat perlu jaga perpaduan

 Oleh: Suriati Ali 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah semua pihak perlu sentiasa memelihara perpaduan dan mengekalkan kesatuan ummah yang telah diwarisi selama ini.

 Baginda bertitah kefahaman tentang sejarah dan perjuangan mereka yang terdahulu perlu dijadikan contoh dan pedoman agar kita tidak mudah dipengaruhi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

 “Beta juga ingin menzahirkan perasaan sukacita, di atas perkembangan pembangunan Terengganu sejak akhir-akhir ini di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Keupayaan Terengganu untuk mengekalkan prestasi kecemerlangan akademik dalam peperiksaan melebihi 10 tahun kebelakangan ini amat membanggakan. Ia bertepatan dengan agenda negeri untuk menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu,” titah banginda .

Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Penghadapan dan Istiadat Pergurniaan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

 Majlis itu sempena sambutan ulangtahun yang ke-51 Hari Keputeraan Sultan Terengganu. Turut berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah , Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan. Putera Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Muhammad Mua'az dan dua puteri baginda, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimuz Zahra turut berangkat.

 Turut hadir Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Seramai 107 senarai penerima bintang dan darjah kebesaran daripada keseluruhan 324 yang menerima pengurniaan hadir pada majlis itu Baginda bertitah, usaha-usaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan terus menampakkan hasil penurunannya.

“Beta percaya berdasarkan angka-angka yang dinyatakan, kadar kemiskinan tegar dapat dicapai sehingga 1.0 peratus menjelang akhir 2015.

“Namun begitu pendekatan yang lebih efektif masih perlu dirancang, supaya setiap tahun bantuan yang disalurkan bukan saja bersifat membantu, malah mampu menjadikan rakyat Terenggant boleh berdikari di masa akan datang,” titah baginda.

Titah baginda, beta menyeru kerajaan negeri agar dapat meningkatkan lagi jumlah peruntukan pengurusan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) supaya aktiviti syiar Islam, pengukuhan akidah, pemurnian akhlak, pembangunan pendidikan pondok dan kekeluargaan dapat dikembangkan,.

“Sokongan pentadbiran negeri kepada penstrukturan semula Institusi Pentadbiran Islam di Terengganu amat dipuji. Melalui kerjasama erat ini, Beta yakin, kesejahteraan Umat Islam akan dapat dipeliharan dengan lebih efektif,” titah baginda.

 

YPU mainkan peranan penting bangunkan PKS

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memainkan peranan penting dalam pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini sejak 15 tahun yang lalu.

Dalam memastikan kemajuan PKS Terengganu, YPU telah merngadakan pelbagai bentuk latihan, kursus dan seminar kepada usahawan dalam memastikan mereka mampu menjadi seorang usahawan yang berpengetahuan dan berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, sebanyak 50 siri latihan, seminar serta kursus telah diadakan sepanjang tahun ini dan mendapat sambutan menggalakkan daripada kira-kira 1500 peserta yang telah mengikuti program yang diadakan.

"YPU turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi terutama yang berkaitan dengan keusahawan khususnya untuk memartabatkan usahawan Terengganu agar mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di peringkat global.

"Untuk memastikan segala maklumat berkaitan program yang dianjurkan YPU sampai kepada pengetahuan pengusaha PKS, saya juga berharap mereka sentiasa berhubung dengan pihak kami agar program yang dilaksanakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para usahawan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Pengurusan Sumber Manusia Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri akan terus membantu dalam memastikan para usahawan di negeri ini berjaya serta berubah kearah yang lebih cemerlang.