Halaman

23 July 2013

Puspakom tawar pemeriksaan kenderaan percuma menjelang hari raya

Oleh; Esah Abdullah 

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menawarkan pemeriksaan sukarela secara percuma kepada pemilik kenderaan persendirian bermula 22 Julai hingga 7 Ogos depan.

Jurucakap Jabatan Komunikasi dan Khidmat Pelanggan Puspakom Sdn Bhd berkata, tawaran itu bertujuan memastikan kenderaan dipandu selamat di jalan raya sepanjang perjalanan balik kampung.

“Pemeriksaan percuma ini antaranya merangkumi pengesahan identiti kenderaan, ujian pengeluaran asap, gelincir sisi, brek suspensi dan ketelusan cermin,” katanya.

Di Terengganu katanya, pelanggan boleh menjalani pemeriksaan percuma di semua cawangan Puspakom yang terdapat di negeri itu dari Ahad hingga Khamis mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang dan Sabtu dari 8 pagi hingga 5 petang.

 Selain itu katanya, jika ada sebarang pertanyaan atau maklumat, orang ramai boleh hubungi talian bebas tol Puspakom 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang di www.puspakom.com.my.
 

Pesakit saraf teruja diziarahi MB

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 



Tidak ada perkataan untuk menggambarkan kegembiraan seorang penjawat awam yang kini hampir buta akibat serangan penyakit saraf, apabila menerima kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, semalam.

Mohd Napi Ismail, 53, dari Kampung AlorJejawi, Kuala Besut, begitu teruja menerima kunjungan pemimpin nombor satu negeri ini beserta dengan rombongan, di kediamannya petang semalam.

Seperti biasa, Menteri Besar begitu ramah menyapa dan bertanya khabar kesihatan Mohd Napi yang bertugas di Pejabat Daerah Besut.

Sempena kunjungan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada Mohd Napi bagi membuat persiapan awal bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.


 



“SAYA AMAT SEDIH SANGAT-SANGAT MENGENANG PERBUATAN PAS”- KATA HAJAH HABSAH


Tindakan Kerajaan Pas memecat suaminya Allahyarham Imam Haji Hussin Mat Amin sebagai imam Masjid Kg Bharu, Dun Kuala Besut semasa pemerintahan Pas tidak pernah lupa dalam hidupnya dan terasa sedih hingga sekarang, kata Hajah Habsah Mat Ali isteri kepada Allahyarham. Roslan Rahman melaporkan dari Kuala Besut.
 Betapa mendalamnya rasa sedih kerana arwah suaminya itu boleh dikatakan seorang yang berjasa yang mengetuai pembinaan masjid itu puluhan tahun yang lalu sewaktu berpindah dari Kg Paya ke kampong baru itu.
Bahkan arwah suaminya itu juga adalah yang mengetuai penempatan baru itu bersama beberapa rakan yang lain, setelah pulang menuntut ilmu agama di Mekah selama sembilan tahun.
 Kesedihannya itu dikongsi bersama dengan masyarakat sekitar Kuala Besut kerana Allahyarham suaminya amat terkenal sebagai guru agama dan pendakwah di Besut.

  Arwah dan ahli keluarganya adalah orang yang mendokong kuat perjuangan Umno dan merupakan ulamak yang disegani di Besut iaitu dikenali Tok Guru Haji Husain. Pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Besut pada tahun 1993.
 Tetapi kezaliman Pas tidak mengenal sesiapa, hatta orang berilmu agama bertaraf ulamak sekalipun tetap dipecat kerana mendapati mendokong perjuangan Umno, lalu Haji Husain dipecat dan dinafikan haknya sebagai imam sebaik Pas berkuasa di Terengganu.
  Ramai lagi imam dan bilal di Terengganu dipecat semasa pemerintahan Pas (1999-2004), pemecatan Imam Haji Hussain ini hanya salah seorang daripadanya. Tok Hajah Habshah dengan linangan airmata menceritakan kepada Pengarang Teganukita semalam 22 Julai di rumahnya di Kampung Bharu, Kuala Besut bersebelahan masjid.
 Bagaimanapun keluarga mereka redha di atas apa yang berlaku ke atas pemecatan Allahyarham suaminya itu dari menjadi imam masjid tersebut.
 Allahyarham meninggal dunia pada Disember 2007 lalu dan yang tinggal hanyalah kenangan pilu bersama masjid baru yang dibina oleh BN dengan nama Masjid haji Hussin, mengambil sempena suaminya yang berjasa.

Bekas YB bantu kemenangan BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Kehangatan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut yang semakin memuncak dan tinggal beberapa jam lagi bukan saja digerakkan seluruh jentera dan kepimpinan parti serta negeri yang bekerja keras, malah kelibat bekas wakil-wakil rakyat turut memberi kesan besar bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) esok.

Kesediaan bekas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut seperti Dato' Wan Zakaria Abd Rahman dan  Haji Abdullah Che Muda bertindak sebagai pencadang dan penyokong kepada calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman itu  membukti perpaduan utuh dan semangat setiakawan yang masih ampuh dan wajar diteladani.

Selain dua bekas pemimpin itu, antara wakil rakyat lain yang turut turun padang membantu kempen PRK berkenaan termasuk Dato’ Rosol Wahid (bekas Adun Ajil).

Menerusi laman sosial , facebook yang dikemaskini beliau, Dato’ Rosol ternyata bersikap terbuka apabila menyertai jentera parti bersama rakan pemimpin yang lain bagi memastikan kemenangan BN di DUN itu.

Antara status beliau yang terbaru, `Minum air bersama ex YB Paka ex YB Bukit Besi sempena membantu PRK K Besut...moga BN menang besar...Insya-Allah.’ Manakala status semalam berbunyi ` PRK K Besut 2 hari lagi....semangat semakin memuncak...Insya-Allah kemenangan BN dengan cemerlang...BN= BERI NIKMAT...’

Beliau juga dikatakan menyertai kempen berkenaan sejak hampir seminggu lalu berdasarkan status yang menyebut `Ketgi bertolak ke PRK K Besut..tolong kwn-kawan kempen...insya-Allah dipermudahkan...’.

Ternyata sikap rendah diri beliau harus dijadikan contoh oleh bekas pemimpin dan wakil rakyat lain bagi memastikan kemenangan BN dan kekuatan perjuangan Umno.

Beliau yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13, baru-baru ini tetap menerima ketentuan takdir itu dengan redha serta memegang kepada prinsip parti perlu diutamakan daripada individu.

“Itu prinsip saya dari dahulu hingga kini. Memang cabaran cukup besar apabila tidak disenaraikan. Tapi, saya lebih terbuka. Bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan Ilahi.

 “Cuma, apa yang ingin saya tegaskan bahawa kepentingan parti perlu diletak nombor satu daripada individu. Saya akui bahawa, ramai pengundi di Ajil yang kecewa, tetapi saya jelaskan bahawa perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan dalam proses pencalonan tersebut,” katanya dalam catatan blog beliau sebelum  ini.




Masjid Abidin terus tradisi agih bubur lambuk

Suriati Ali, Nurul Suraya Abd Sukor dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

 Saban kali menjelang Ramadan, warga bandar raya Kuala Terengganu pasti tidak melepaskan peluang mendapatkan bubur lambuk Masjid Abidin yang diagih secara percuma ahli jawatankuasa masjid itu, bermula jam 3.30 petang.
Bubur lambuk dihulurkan kepada setiap yang beratur untuk mengambil bubur lambuk
 Meskipun boleh didapati dengan mudah di mana-mana gerai juadah atau bazar Ramadan dengan harga RM2 hingga RM3 sebungkus, namun bubur lambuk Masjid Abidin atau Masjid Putih tetap menjadi pilihan ramai.

Program tajaan kerajaan negeri itu dilaksanakan secara bergotong-royong bagi menyemarakan suasana bulan Ramadan serta merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat.

Bubur lambuk yang telah disedia untuk diagihkan
 Menjadi rutin harian Ahli Jawatankuasa Masjid Abdin memulakan tugas seawal jam 8 pagi , bagi memasak 10 periuk menu itu di perkarangan masjid sebelum diagihkan kepada kira-kira 3,000 pengguna jalan raya dan masyarakat setempat.

 Pengguna jalan raya, Nurhafiah Malik, 28, berkata keenakan dan kepekatan bubur lambuk masjid putih sememangnya tersohor sejak dulu lagi. Bagi mereka yang pernah mencuba pasti ingin mencuba buat kali seterusnya.

 “Saya pasti tidak akan melepaskan peluang untuk singgah mendapatkan bubur lambuk Masjid Abidin, setiap kali datang ke pusat bandar raya.

“Pada masa sama berharap pihak masjid meneruskan tradisi murni ini yang nyata dapat menaikkan imej masjid, selain dapat membantu golongan berpendapatan rendah merasai bubur lambuk.

Taufik Zahirudin
 Pengunjung lain, Taufik Zahirudin, 27 berkata, baru hari ini, dia berkesempatan mendapatkan bubur lambuk Masjid Abidin, kerana sibuk dengan tugasan.

 “Bubur lambur masjid putih sememangnya tersohor sejak dulu lagi, cukup rugi sekiranya orang ramai melalui kawasan masjid ini, tidak mengendahkan pengagihan kerana ia sememangnya enak berbanding di tempat lain,” katanya

 



4,727 murid di Kuala Besut bercuti esok

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 4,727 murid dari lapan buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan diberi cuti sehari (esok) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu yang berlangsung esok.

Pegawai Perhubungan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hamid Yahya berkata, lapan buah sekolah terbabit ialah SekolahMenengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Sekolah kebangsaan (SK) Pulau Perhentian, SKKampung Nail, SK Alor Peroi, SKKampung nagka, SK Kampung Baharu dan SKBukit Puteri.

Katanya, sekolah berkenaan telah dijadikan pusat mengundi bagi PRK DUN Kuala Besut yang akan berlangsung esok dan sesi persekolahan bagi cuti ganti sempena PRK itu akan diadakan pada 7 September depan.

“Pelepasan cuti bagi murid merupakan perkara biasa bila berlaku sesuatu peristiwa membabitkan bangunan sekolah pada hari bersekolah dan ia perlu diganti pada hari lain,” katanya.

Sehubungan itu, seramai 17,683 jumlah pemilih berdaftar layak mengundi di PRK DUN  Kuala Besut esok dan merupakan yang pertama diadakan selepas PRU13 pada 5 Mei lalu.

Pilihan raya semula itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Dr. A. rahman Mokhtar akibat komlikasi paru-paru di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada 26 Jun lalu.
 

Saya sudah kaleh (biasa) tidur dua, tiga jam sehari – Tengku Zaihan

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 

“Saya sudah kaleh (biasa) tido dua tiga jam sehari. Dulu masa berkhidmat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran di Besut pun saya sudah biasa berjaga ketika musim banjir,” begitu reaksi calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman ketika ditanya rutin hariannya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut yang kini memasuki fasa terakhir.

Beliau berkata, sejak pengumuman beliau sebagai calon BN pada 9 Julai lalu, beliau hanya sempat tidur antara dua hingga tiga jam sahaja sehari bagi memenuhi jadual padat yang diatur jentera BN di seluruh kawasan DUN Kuala Besut.

“Saya perlu hadir lebih 10 program sehari dan bertemu dengan pengundi sebanyak yang mungkin kerana tempoh berkempen agak singkat.

“Pada masa yang sama juga saya terpaksa melayani permintaan daripada pelbagai organisasi media massa yang mahu mendapatkan berita-berita semasa mengenai PRK ini,” katanya ketika ditemui Teganukita malam ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau sudah biasa dengan berjaga malam kerana semasa berkhidmat sebagai jurutera di daerah Besut, beliau sering melakukan perkara yang sama, terutama semasa musim tengkujuh.

“Demi kepentingan penduduk tempatan, saya bertugas sepanjang malam untuk meninjau kawasan pantai yang menghadapi masalah hakisan ombak,” katanya.

Justeru itu, katanya, jika penduduk Kuala Besut memilih beliau sebagai wakil rakyat tidak ada masalah baginya untuk berjaga malam jika keadaan memerlukannya berbuat demikian.


 





Pengundi Kuala Besut diminta buat pilihan tepat

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan
Gambar: Harish Fadzillah 



Pengundi di Kuala Besut diingatkan supaya membuat pilihan tepat semasa menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilhan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut Rabu ini (24 Julai).



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata mereka tidak ada pilihan lain melainkan memilih calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai wakil rakyat kerana rekod cemerlang BN yang menepati janji mereka kepada pengundi.



“Saya harap pada 24 haribulan ini, semua pengundi keluar awal-awal dan undilah calon BN untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan di kawasan ini,” katanya ketika berucap pada majlis Bakar Ikan Bersama MB Terengganu di Dataran Kuala Besut, malam ini.

Turut hadir, Tengku Zaihan dan barisan pemimpin Umno Bahagian Besut serta pemimpin Pergerakan Pemuda Umno.

Menteri Besar berkata, pemimpin Pas turut menabur janji pada PRK ini, tetapi ia mustahil dilakukan kerana mereka bukan memerintah negara ini.

Sementara itu, Tengku Zaihan mengulangi permintaan supaya pengundi memberi peluang kepada beliau untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat. “Saya mitak adik kakak undi BN dan biarlah DUN Kuala Besut kekal berada dalam tangan BN,” ujarnya.









22 July 2013

Warga emas terima kerusi roda daripada Menteri Besar


Dato'Seri Ahmad Said menyerahkan kerusi roda kepada Halimah Yusof

Oleh:Mohammad Ishak

Seorang warga emas,Halimah Yusof,84, dari Kampung Pusu Tinggi, dekat sini, yang sedang uzur tidak menyangka bulan Ramadan yang penuh berkat dikunjungi seorang pemimpin negeri.

Kehadiran Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said bersama isteri membuatkan Halimah bersemangat walaupun di bulan puasa.

Malah, perasaanya bertambah gembira apabila Menteri Besar turut menyampaikan kerusi roda untuk kemudahan beliau bergerak di dalam rumah.

“Saya bersyukur dan berterima kasih di atas keperihatinan Menteri Besar dan isteri yang datang menjengok saya,” katanya.

Pada kesempatan itu, Halimah turut memohon kepada Ahmad untuk mendapatkan bantuan lain serta membaiki rumah.

CALON PKR FAIL SAMAN KEPADA HADI KERANA TUDUH MEREKA PENGEDAR PIL KUDA


Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Bekas calon PKR Bukit Besi dalam PRU 13 lalu, Mohd Shamsul Mat Amin, 27 tahun akan menfaikan saman malu ke atas Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang kerana menuduh calon PKR, termasuklah dirinya sebagai pengedar pil kuda.
 Itu suatu fitnah dan menjatuhkan reputasi saya.
Ini adalah saman malu kerana kenyataan Haji Hadi itu adalah fitnah menyebabkan maruah dirinya tercemar dan menyebabkan hidup dirinya dalam kemurungan berikutan tuduhan itu.
  Ini Ekoran telah terlalu lama menahan sabar dan memendam rasa, calon PKR, bagi kerusi DUN Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin, 27 ketika pilihanraya umum yang lalu, tampil membuat kenyataan bagi menyelar Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang.
 Ia ekoran dari kenyataan Presiden Pas ketika berceramah di Tebakang Alor Limbat, Marang yang mengatakan “ada calon PKR tukang edar pil kuda dan sokong komunis” Semasa kempen PRU-13 yang lalu, Presiden Pas itu ketika berucap dalam satu majlis ceramah mengatakan dia mendapat maklumat ada calon yang membuat kerja ‘haram’ iaitu menjual pil kuda dan mempunyai fahaman bertentangan apabila meletakkan gambar pejuang revolusi komunis di Rusia iaitu Karl Marx, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin di markas parti mereka.
  Dalam ucapan itu, Haji Hadi turut menegaskan Pas tidak boleh menerima calon sebegitu dan tindakan itu diambil agar ‘syaitan-syaitan’ tidak boleh masuk dalam pakatan pembangkang.
 Ia bagi menjelaskan isu kenapa Pas terpaksa bertanding di kawasan tertentu sehingga menyebabkan pertindihan sesama sendiri, Pas dan PKR di Terengganu. Menurut Shamsul disebabkan kenyataan itu juga, dia sering diejek dan diaibkan oleh masyarakat di kampungnya.
 Malah nama baiknya dan keluarga turut terjejas, mengalami masalah kemurungan di samping menjejaskan perniagaannya.
 Beliau yang tidak dapat menahan sebak, terpaksa berhenti beberapa kali ketika membacakan kenyataannya. “Disebabkan kenyataan tersebut, ia telah menjatuhkan maruah saya, malah masyarakat (di kampung) mengangap saya adalah pengedar pil kuda.
  Tuduhan tersebut sangat berat…. (terpaksa berhenti seketika kerana sebak) dan serius. “Saya perlu membersihkan nama nama baik saya dari angkara fitnah ini.
 Justeru itu, saya akan failkan kes fitnah ini ke mahkamah dalam waktu terdekat dan tindakan saman malu saya ini wajar diambil kerana ia adalah fitnah dan menjurus kepada usaha merendahkan reputasi saya sebagai seorang pemimpin politik” katanya ketika sidang media tergempar, pagi tadi.
 Shamsul yang ditemani oleh bapanya dan Ketua Pengarah Pilihanraya PKR, Negeri Terengganu, Yahya Zakaria turut menjelaskan tindakan itu langsung tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan ia semata-mata dilakukan bertujuan untuk membersihkan nama baik keluarganya.
  Menurut Shamsul yang juga merupakan seorang Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) selain beliau dua lagi bekas calon dari PKR Terengganu akan turut mengambil tindakan yang sama dalam masa yang terdekat.