Oleh: Kamarudin Mat Akib
Bulan Ramadan yang memasuki fasa terakhir dan bakal diganti dengan fajar Syawal tidak lama lagi, sememangnya banyak membawa keberkatan kepada umat manusia, khususnya penganut agama Islam.
Bagi umat islam, mereka tentunya mahukan pengampunan daripada Allah s.w.t selepas sebulan lamanya berlapar dan dahaga di siang hari manakala sebahagian besar malamnya dihiasi dengan ibadat.
Parti keramat Umno tidak terlepas daripada mendapat tempias keberkatan bulan Ramadan di mana Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut yang diadakan pada bulan mulia ini telah menyaksikan pemimpin Umno bersatu hati dan berjuang habis-habisan bagi memenangkan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.
Hasil permuafakatan bulat pemimpin Umno Terengganu dan dari luar negeri ini serta rakan-rakan BN ialah 2,592 undi majoriti diperolehi calon BN yang mengalahkan calon Pas, Endut @ Azlan Jusoh.
Sepanjang tempoh berkempen bagi PRK Kuala Besut baru-baru ini, segala-galanya dapat dilihat di situ...pemimpin veteran bergabung dengan barisan pemimpin pelapis muda bagi memastikan pengundi memilih calon BN.
Bekas wakil rakyat BN sama-sama bekerja kuat dengan wakil rakyat yang masih berkhidmat untuk menjayakan setiap program yang diatur jentera BN di seluruh DUN Kuala Besut.
Mereka yang tidak terpilih sebagai calon pada PRU-13 turut bekerja keras bagi membantu program di sepanjang kempen pilihan raya tersebut.
Kuala Besut juga menyaksikan Pemuda dan ahli-ahli Umno berganding bahu memastikan setiap gerak kerja berjalan lancar sama ada pada siang hari atau sebelah malamnya.
Di Kuala Besut juga Pergerakan Wanita dan Puteri turut tidak ketinggalan memainkan perana masing-masing sebagai perayu undi bagi mempengaruhi pengundi supaya menyokong calon BN.
Kuala Besut menjadi saksi tidak ada kem tententu sepanjang kempen ini, yang ada hanyalah Kem Umno dan BN yang bergerak seiring dengan satu tekad – calon BN menang dengan majoriti yang lebih besar daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Dan keputusannya pada malam 24 Julai lalu ternyata memberi dua kemenangan mutlak kepada BN iaitu menang PRK Kuala Besut dan menang dengan majoriti lebih besar berbanding PRU-13.
Satu lagi kemenangan bagi Umno dan BN ialah menang dalam usaha menyatukan pemimpin-pemimpin mereka yang sebelum ini dikaitkan dengan dua kumpulan selepas berakhirnya PRU-12.
Yang jelas, kini tidak ada lagi kumpulan dalam Umno atau BN Terengganu, yang tinggal hanya kumpulan yang akan memastikan BN mendapatkan semula majoriti dua pertiga dalam DUN Terengganu pada PRU-14.