Halaman

31 July 2013

Kakitangan kerajaan negeri terima duit raya esok

Reaksi Menteri Besar kepada pemberita ketika mengumumkan kerajaan negeri akan membuat bayaran RM500 seorang kepada kakitangan awam mulai esok.
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan membuat bayaran khas kewangan sebanyak RM500 seorang kepada 6,795 orang penjawat awam di negeri ini mulai esok.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM3,397,500 dan jumlah berkenaan tidak termasuk bayaran kepada kakitangan badan berkanun yang turut menerima RM500 seorang.

Dato' Seri Haji Ahmad Said keluar dari bilik Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri bersama exco yang lain.
“Jumlah perbelanjaan keseluruhan bagi bayaran khas kewangan kakitangan kerajaan negeri dan badan berkanun di negeri ini dianggarkan hampir RM7 juta,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Exco hari ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri untuk beri bayaran khas kewangan RM500 kepada setiap penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai siapa yang bakal mengisi kekosongan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat, Menteri Besar berkata setakat ini belum diputuskan lagi.

“Portpolio berkenaan akan berjalan seperti biasa dengan tugas-tugasnya diambil alih oleh timbalannya iaitu YB Mohd Mahdi Musa,” katanya.
 

Yayasan Terengganu agih 800 bungkus bubur lambuk percuma

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukor



Yayasan Terengganu mengagihkan 800 bungkus bubur lambuk percuma kepada pengguna jalan raya di laluan Jalan Sultan Ismail bagi menyemarakkan lagi sambutan Ramadan.

Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Zakaria Yusof berkata, tradisi mengagihkan sumbangan kepada masyarakat dilaksanakan setiap tahun oleh agensi berkenaan menjelang Aidilfitri.

"Tahun ini merupakan tahun kelima pihak kami mengadakan program seumpama ini dengan juadah yang berlainan.

"Jika tahun lepas diagihkan hidangan lauk berasaskan daging, kali ini kita sediakan bubur lambuk untuk masyarakat di luar sana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas selesai menyempurnakan pemberian bubur lambuk kepada penguna jalan raya di hadapan jabatan berkenaan, hari ini.

Katanya, pengagihan bubur lambuk tersebut adalah sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat pihaknya terhadap masyarakat khususnya di bulan mulia ini.

Haji Zakaria berkata, seramai 40 orang kakitangan Yayasan Terengganu bergotong-royong memasak tiga periuk bubur lambuk sejak pukul 8 pagi untuk diedarkan kepada orang ramai.

 





Kanak-kanak istimewa ceria dihadiah baju raya

Oleh: Aida Abd Rahman

Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi memberi seribu pengertian kepada seorang pelajar kurang upaya, Siti Nooraini Abdullah, 5, apabila berpeluang memilih sendiri pakaian sempena hari raya di Mydin Mall, kelmarin.

Kanak-kanak istimewa itu ceria dan petah berkata-kata biarpun dilahirkan serba kekurangan, dibawa bersama 38 kanak-kanak lain daripada Pra Sekolah Pendidikan Khas, Pendidikan Khas dan Sekolah Kebangsaan Sultan Omar membeli belah di pasar raya itu oleh warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.

Nooraini yang tinggal bersama ibu dan neneknya di Dungun, kini bersekolah di Pra Sekolah Pendidikan Khas mengalami cacat kedua-dua kaki dan sebelah tangan berikutan kaki sebelah kiri mengerekot, sebelah lagi mereput dan kudung sejak lahir manakala, lima jari tangan kanannya turut kudung sejak kecil.

Dia yang cukup teruja terpilih ke program itu dengan ditemani gurunya, Haidatul Azila Johar, petah berbicara mengenai pakaian pilihannya semepana program itu yang dipilih berdasarkan warna diminatinya, iaitu hitam. 



Kanak-kanak malang itu yang seakan belum mengerti sepenuhnya kekurangan diri, memberitahu pernah diejek rakan, namun tetap mempunyai ramai rakan lain yang rapat dengannya dan tidak membezakannya. 

“Fadhil, Haikal, Muiz..semua kawan baik Nooraini. Ada juga yang ejek Nooraini, tetapi ada juga kawan-kawan yang layan Nooraini dengan baik.

 “Nooraini sekarang tinggal dengan tok dan Ummi, Ummi baik..,” katanya.

 Menurut Haidatul, Noraini antara kanak-kanak yang ceria di dalam kelas dan amat cerdas, walaupun dirinya dilahirkan cacat fizikal. 

“Walaupun dia tidak boleh berjalan, dia tidak menyusahkan guru apabila hendak ke tandas, dia pandai menguruskan dirinya sendiri, pandai basuh sendiri apabila buang air kecil atau air besar.

 “Alhamdulillah, Nooraini adalah budak pintar dan kita harap dia akan terus berkembang dengan baik sehingga mencecah alam remaja dan dewasa nanti,” katanya.





PENGUNDI KUALA BESUT SIFATKAN NIK AZIZ SEBAGAI ORANG ISLAM YANG TIDAK REDHA DENGAN KETENTUAN ALLAH

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Perbuatan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menghina pengundi Kuala Besut sebagai lalai dan mengenepikan agama kerana memilih calon Barisan Nasional (BN) baru-baru ini adalah terlalu biadab.
 Beberapa pengundi ditemui, meminta supaya Datuk Nik Aziz menarik balik kata-katanya yang celupar itu, apatah lagi turut pula menghina golongan nelayan yang memilih BN dengan mengaitkan dengan habuan wang.
Pengundi wanita, Maznah binti Daud berkata, perkataan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari seorang yang disanjung oleh orang Pas sebagai ulamak dan berpengetahuan agama.
Beliau meminta supaya Nik Aziz menarik balik kata-kata yang menghina penduduk dan pengundi dalam Kuala Besut sebagaimana yang ditulis dalam Facebook Nik Aziz 26 Julai dan disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan. Tajuk tulisan Nik Aziz ialah Kuala Besut, Kuala Ujian.
  Nik Aziz dalam kenyataan itu menyifatkan penduduk Kuala Besut lalai apabila memilih BN dalam pilihanraya kecil baru lalu. Nik Aziz berkata, kehidupan rakyat Kuala Besut yang mencari pendapatan sebagai nelayan sukar membuat pilihan terutama demi kepentingan agama.
 Nelayan beri peluang cerah BN tabur projek dan habuan wang ringgit, kata Nik Aziz mengulas kemenangan BN dalam PRK Kuala Besut.
 Penyakit ghaplah atau lalai merajai penduduk Kuala Besut, kata Nik Aziz dalam FBnya.
  Seorang lagi pengundi, Kamarul Izwan bin Md Kamaruzzaman menyifatkan Nik Aziz sebagai orang Islam yang tidak redha dengan ketentuan Allah yang sepatutnya tidak berlaku kepada seorang yang berpelajaran agama seperti bekas Menteri Besar Kelantan itu.
 "Walaupun nelayan, ia tidak sepatut dihina dan dipandang rendah sebegitu rupa oleh Nik Aziz kerana nelayan juga manusia yang berjasa dan berperanan kepada masyarakat dan negara," katanya.
  Saiful Nizan Mohd Sabri, pengundi di pekan Kuala Besut meminta Nik Aziz memohon maaf secara terbuka di atas kenyataan yang menghina penduduk Kuala Besut itu.
“Yang banyak tabur habuan wang ringgit, merasuahkan pengundi ialah Pas sendiri,” katanya yang menolak dakwaan Nik Aziz bahawa pengundi ditabur habuan wang ringgit menyebabkan mereka sokong BN di Kuala Besut baru lalu.

Peniaga, pemborong akur

Oleh; Esah Abdullah

Peniaga dan pemborong ayam di negeri ini mula mematuhi arahan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang menetapkan harga ayam standard pada kadar RM7.70 sekilogram semasa skim kawalan harga musim perayaan tahun ini.

Tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang dan sekitar mendapati rata-rata peniaga mematuhi arahan terbabit dengan menjual pada harga kawalan, meskipun harga yang ditetapkan itu, dianggap masih tinggi pengguna, manakala peniaga dan pemborong ayam pula melihat penetapan tersebut merugikan

Penetapan harga ayam kepada RM7.70 itu turun sebanyak 70 sen daripada harga purata runcit sebelum ini sekitar RM8.50 dilaksanakan selama 17 hari bermula 26 Julai lalu sehingga 11 Ogos atau hari raya ketiga.

Seorang peniaga dan pemborong, Rafiah Ismail, 44, berkata, ayam kini di jual mengikut harga siling yang ditetapkan KPDNKK dengan RM7.70 kg, manakala harga borong pula adalah RM7.

“Harga yang ditetapkan kerajaan sedikit merugikan kami, tetapi tetap akur dengan keputusan tersebut. Sebab harga ayam hidup masih pada kadar harga yang sama sebelum ini, iaitu RM5.40 kg.

“Sekiranya, harga ayam hidup diturun juga, ia mungkin sedikit berbaloi sebab dengan kadar baru itu adakalanya tidak dapat membayar gaji pekerja,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Encik Shaharizan Rosli, 33 berkata, meskipun harga yang ditetapkan itu merugikan para peniaga namun perlu akur dengan arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi menyelasaikan isu harga ayam.

“Para peniaga mematuhi arahan terbabit dengan menjual pada harga kawalan, meskipun harga yang ditetapkan itu tidak memberi keuntungan kepada kami. Pengguna juga telah sedia maklumkan berhubung harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Katanya, pihak KPDNKK juga sering turun padang membuat pemeriksaan, dan adalah mustahil arahan tersebut tidak dipatuhi oleh para peniaga.
 

30 July 2013

Maidam sedia kaunter bergerak

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu menyediakan perkhidmatan kaunter bergerak menggunakan sebuah van, Bagi memudahkan pembayaran zakat dilakukan umat Islam di negeri ini.

Van tersebut akan bergerak ke seluruh negeri ini dan singgah di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah, pasar, jabatan-jabatan kerajaan serta sekolah. Inisiatif dimulakan sejak tahun lalu itu mendapat sambutan apabila semakin ramai yang mula mengunjungi van tersebut setiap hari.

 Menurut amil yang bertugas, Mohd. Azlan Khalid, van tersebut bukan sahaja beroperasi ketika bulan Ramadan malah pada bulan-bulan biasa bagi memudahkan orang ramai membayar zakat fitrah, zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat simpanan dan sebagainya.


"Kebanyakan pelanggan yang datang memang mengakui inisiatif van bergerak ini harus diteruskan kerana memberi peluang kepada orang awam yang sibuk dan tidak sempat ke pejabat Maidam untuk melunaskan zakat mereka.

 "Kita harap orang ramai dapat memanfaatkan inisiatif dilaksanakan Maidam ini," katanya ketika ditemui di Kuala Ibai di sini semalam.

 Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang lokasi van bergerak itu di laman web Maidam bagi memudahkan urusan.

 Mereka juga boleh menghubungi Maidam jika mahu memohon kehadiran van bergerak tersebut ke satu-satu lokasi termasuk jabatan-jabatan kerajaan atau institusi pendidikan.

 Sementara itu, seorang pembayar zakat, Mohd. Hazimin Ghazali, 27, mengakui inisiatif yang dilaksanakan Maidam memberi kemudahan kepada masyarakat terutamanya kepada mereka yang terlalu sibuk bekerja.

 Jelasnya, lokasi van bergerak yang ditempatkan di kawasan pusat beli-belah contohnya membantu orang ramai mengingatkan mereka tentang tanggungjawab menunaikan zakat.

 "Saya harap perkhidmatan bergerak seperti ini dapat diperbanyakkan memberi peluang orang ramai menunaikan zakat terutama dalam bulan Ramadan selain menjimatkan masa," jelasnya.

 

Anak yatim DUN Bukit Tunggal, Seberang Takir gembira dapat baju baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi lebih bererti kepada 100 anak yatim dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan Seberang Takir apabila mereka diberi peluang memilih pakaian baru, di Pasaraya Giant, Gong Badak, kelmarin.



Keseronokan mereka bertambah apabila turut diraikan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Adun Seberang Takir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.

Anak yatim berkenaan bukan sahaja dapat memiliki pakaian baru, malah turut menerima baucar bernilai RM100 sseorang sumbangan Pasaraya Giant.

Dato’ Mohd Nasir berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban golongan yang tidak bernasib baik seperti anak yatim dan juga ibu atau bapa tunggal untuk menyediakan pakaian baru kepada anak-anak bagi menyambut lebaran tidak lama lagi.

“Program ini sudah menjadi rutin tahunan sebagai satu usaha dan juga komitmen pemimpin di kawasan ini membela nasib golongan yang kurang bernasib baik.

“Tiada yang lebih menggembirakan kita apabila dapat melihat mereka tersenyum gembira ketika memilih pakaian mengikut citarasa masing-masing untuk digayakan sempena hari raya nanti,” katanya.

 





Sayur kampung laris

Oleh; Esah Abdullah 

Keberkatan bulan Ramadan seiring dengan kemurahan rezeki kepada peniaga dan penjaja yang menjual pelbagai keperluan harian termasuk bahan sayuran kampung yang sangat laris dipasaran.

Permintaan terhadap bahan campuran sayuran kampung seperti pucuk paku merah (pucuk midin), daun kaduk, cekur manis, pucuk ubi, daun kesum, kangkung dan sebagainnya begitu mendadak sepanjang Ramadan.

Seorang peniaga di Pasar Chabang Tiga, Puan Amidah Jaafar, 62 berkata, pada bulan puasa dia menambah stok sayur-sayur kampung sebab berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelum permintaannya bertambah berbanding hari biasa.

“Jika hari biasa sayur-sayur ini hanya terjual sekitar 10 ikat sahaja sehari, tetapi pada bulan Ramadan permintaan bertambah. Sebab itu saya menambah jualan sehingga 100 ikat sehari berdasarkan pengalaman sebelum ini.

“Adakalanya 100 ikat boleh habis dalam sehari sebab ada yang membeli untuk membuat bubur lambuk dengan kuantiti yang banyak. Harga bagi satu ikat sayur kampung yang telah disertakan sekali, daun pucuk midin, daun pucuk ubi kayu dan juga daun kaduk serta beberapa daun sampingan lain dengan harga RM2,” katanya.

Tambahnya, selain itu, mungkin setiap ikat itu juga ada tambahan sayur lain yang menyebabkan harganya berbeza,” katanya yang menjual dengan harga RM1.50 satu ikat.

Seorang lagi peniaga, Puan Fatimah Senik, 50, berkata, sayuran ini merupakan penyeri dalam hidangan bubur lambuk, jika tiada bahan tersebut atau bahannya kurang rasa bubur lambuk menjadi kurang enak.

Katanya, jika hari biasa, permintaan tidaklah selaris semasa Ramadan sebab bubur lambuk biasanya dibuat dalam kuantiti yang banyak semasa bulan puasa dan setiap peniaga mungkin menjual dengan kadar berbeza bergantung orang tengah.
 

MKJR anjur kempen keselamatan jalan raya musim perayaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2013 anjuran Majlis Keselaman Jalan Raya (MKJR) Negeri Terengganu akan diadakan di hadapan Dewan Sivik Kampung Jabi, Besut, pada 4 Ogos ini (Ahad).

Adun Jabi merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan, YB Mohd Iskandar Jaafar bakal merasmikan program itu, kira-kira jam 5 petang.

Menurut penyelaras program, program MKJR itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi; Jabatan Keselamatan Jalaan Raya (JKJR) Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Besut, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Terengganu dan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad.

Untuk rekod, MKJR diwujudkan bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, menjalankan kajian keselamatan jalan raya dan menyelaras tindakan seperti meningkatkan tahap kesedaran keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya dan menyebarkan informasi berkaitan keselamatan jalan raya.

Selain itu, MKJR juga memastikan kejuruteraan jalan selari dengan aspek keselamatan jalan raya, memberi nasihat kepada kementerian pengangkutan dalam hal berkaitan keselamatan jalan raya serta menyelaras tindakan keselamatan jalan raya oleh mana-mana jabatan , pertubuhan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan.

 

WALK FOR BN- LELAKI INI PERNAH BERJALAN 380 KM...

"Saya pernah berjalan sejauh 380 kilometer dalam empat hari dari Kemaman ke Besut pada 2008 ," demikian akui Mohd.Nor Mat, 48 tahun, anak kelahiran Besut Terengganu.
 Oleh itu, katanya inilah perjalanan yang paling jauh(Kuala Besut-Kuala Lumpur/Putrajaya) yang akan beliau cuba lakukan, demi menunaikan nazarnya berikutan Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihanraya Kecil Dun Kuala Besut, 24 Julai lalu.
Mohd. Nor seorang pekerja rendah am atau ringkasnya Pra, di Yayasan Islam Terengganu cawangan Besut, akan menunaikan impiannya berjalan kaki sejauh lebih 600 kilometer dari Kuala Besut ke Kuala Lumpur atau Putrajaya.
  Semangat kental dan kecintaan terhadap BN yang menebal menyebabkan Mohd Noor, sanggup berjalan kaki dan akan meneruskan niatnya itu hingga tercapai bagi membuktikan beliau bukan bercakap kosong.
 Ia bertambah hampir menjadi realiti, apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said selaku Pengerusi BN Negeri telah memberi komitmen menyokong dan akan bantu menjayakan apa yang dinamakan sebagai ‘Walk For BN” itu. Bapa kepada tujuh anak berusia antara 4 dan 22 tahun itu akan memulakan perjalanan dari Dataran Kuala Besut ke Kuala Lumpur pada tarikh yang akan ditetapkan, mungkin pada September ini. "Saya akan cuba mengambil masa selama 12 hari bagi menamatkan perjalanan melalui Kuala Besut ke Kuantan dan Kuala Lumpur" katanya. Mohd Noor berkata demikian ketika ditemui semalam selepas menemui Menteri Besar, di Tingkat 16, Wisma Darul Iman.
 Katanya, niat berjalan kaki itu sebelum ini dilafaz pada hari penamaan calon 12 Julai lalu di depan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh.
 “Dan hari ini saya gembira, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said pula memberi perhatian dan persetujuan untuk membantu menjayakan hasrat saya ini, malah terus menghubungi pejabat Perdana Menteri untuk memaklumkan perkara ini dan mendapatkan tarikh yang sesuai,” katanya.
  Dato’ Seri Haji Ahmad akan cuba menunaikan hasrat Mohd Noor untuk bertemu Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri sekaligus menyambut kehadiran Mohd Noor di garisan penamat Walk For BN itu di Kuala Lumpur dan dicatatkan dalam Malaysia Book Of Record.
  Pada masa ini Mohd.Nor sudahpun memulakan latihan dengan tumpuan di kawasan pantai.
 Sebelum ini, beliau banyak menyertai pertandingan berjalan kaki dan menyasar untuk melakukan perjalanan antara 60 hingga 70 kilometer sehari. Mohd Noor juga akan membawa lencana dan lambang parti sepanjang perjalanannya ke destinasi selain mengedar beberapa risalah berkaitan daerah Besut dan negeri Terengganu untuk tujuan pelancongan kepada orang ramai.

                                     Pengarang bersama Mat Nor selepas mewawancaranya