Halaman

12 August 2013

Pencapaian atlet sukan berkuda Terengganu membanggakan

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukor (pelatih)

Pencapaian atlet sukan berkuda negara, khususnya atlet Terengganu harus dipuji apabila berjaya mendapat tempat keempat dalam kejohanan FEI World Endurance Championships for Young Riders & Juniors 2013 di Perancis, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, beliau bangga dengan pencapaian atlet negeri ini kerana daripada tujuh peserta mewakili Malaysia dalam pertandingan tersebut, empat daripada mereka merupakan anak Terengganu.

"Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada semua ahli pasukan Endurance negara, khususnya atlet Terengganu kerana telah melakar kejayaan cemerlang dalam kejohanan tersebut.

"Dengan melayakkan diri ke pertandingan ini sudah menjadi satu kejayaan, apatah lagi menempatkan diri di kedudukan yang membanggakan,” katanya.

Tambah beliau lagi, pencapaian yang ditunjukkan atlet Terengganu menjadi pelengkap kepada kepelbagaian pencapaian sukan dan pembangunan mampan negeri.

"Kejayaan ini sudah tentu menambahkan lagi koleksi sejarah kecemerlangan dicipta anak-anak Terengganu khususnya di peringkat antarabangsa.

"Sebab itu negara-negara maju melabur peruntukan besar dalam sektor dan industri sukan, kerana disamping sebagai pengukuh kepada negara, sukan juga mampu memberi pulangan ekonomi yang baik jika dijadikan satu industri bagi peringkat ekonomi yang betul,” katanya kepada Teganukita.

Selain itu, selepas mencipta kejayaan gemilang dipersada antarabangsa pada sukan Formula Future beberapa tahun yang lalu, atlet Terengganu semakin menyerlah dan mempamerkan kemampuan luar biasa dalam bidang sukan yang lain.

"Hari ini negeri kita menjadi penyumbang teramai atlet-atlet mewakili negara dalam temasya antarabangsa seperti sukan Sea, Asia, Komenwel dan Olimpik. Jadi, tidak hairanlah jika Terengganu sekarang menjadi kuasa sukan negara,” katanya lagi.

Baru-baru ini, atlet-atlet berkuda negara diraikan dalam Majlis Pengurniaan Insentif kepada Atlet FEI World Endurance Championships for Young Rides & Juniors 2013 di Permai Inn, Kuala Terengganu.

Selain Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-WathiquBillah Sultan Mizan Zainal Abidin, atlet Terengganu Azizatul Asma Abdullah, Muhammad Alif Sabidi dan Mohamad Adhwa Embong turut menyertai kejohanan tersebut.

 

Membina citra dan budaya baru di UniSZA

Oleh; Esah Abdullah 

Sebagai sebuah universiti yang tergolong dalam kelompok Institusi Pengajian Tinggi Islam, Universiti Sultan Zainal Abididn (UniSZA) amat berpotensi menjadi sebuah Universiti Islam ketiga di negara ini.

Naib Canselor UniSZA Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, hasrat murni berkenaan telah disuarakan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Katanya sebagai bakal sebuah Universiti Islam imej yang diposisikan seharusnya melambangkan keislaman serta diperlihat melalui keberanian para sarjananya berhujah secara ilmiah dan berintelek tanpa wujud keraguan.

Oleh itu katanya, para sarjana UniSZA dapat mempamerkan ketokohan dalam bidang keilmuan masing-masing pada persidangan atau seminar diperingkat nasional dan antarabangsa.

Menurutnya, jaringan antarabangsa di peringkat individu mahupun universiti perlu dipertingkatkan dalam pelbagai bidang meliputi program kerjasama akademik, pertukaran tenaga pengajar, pegawai tadbir, staf sokongan dan juga pelajar.

Katanya, pembangunan yang baik bagi sesebuah universiti juga merupakan lambang kemajuan dalam bidang akademik serta menjadi faktor penentu pemilihan bakal pelajar ke sesebuah universiti di negara ini.

Justeru katanya, UniSZA sedang berusaha untuk melengkapkan pembangunan prasarana terutama di kampus Gong Badak dan kampus Besut.

“Satu pelan induk pembangunan kampus Gong Badak sedang dibangunkan bagi memastikan perancangan dan pembangunan kampus ini dapat dilaksanakan secara lestari tanpa memberi impak negatif terhadap alam sekitar sedia ada.

“Pelan mengatasi ancaman banjir juga akan disepadukan dalam pelan induk pembangunan agar masalah banjir yang berlaku saban tahun itu akan dapat diatasi,” katanya.
 

Bekas pelajar SMPM bertemu di Aidilfitri

Oleh: Aida Abd Rahman

Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja menjadi medan merapatkan hubungan dan saling bermaafan, malah mempertemukan saudara dan sahabat handai yang sudah lama berjauhan akibat tuntutan kerjaya dan keluarga.

Beberapa bekas pelajar SMPM mengabadikan kenangan di rumah Cikgu Zaki pada hari raya ketiga
Bagi bekas pelajar Sekolah Menengah Padang Midin (SMPM) (1992-1996), Syawal kali ini lebih bermakna apabila dapat berkumpul di majlis rumah terbuka anjuran beberapa rakan dan juga bekas guru sekolah berkenaan.

Penyelaras program, Encik Ahmad Shamri Karim, berkata perjumpaan sebahagian bekas rakan SMPM itu terlaksana di rumah bekas guru, Encik Zaki Mohd Noor di Taman Setia, Durian Burung, Kuala Terengganu pada hari raya ketiga lalu, selain rumah beliau sendiri di Binjai Rendah, Marang dan rumah seorang lagi rakan, Puan Sakinah Muhamad, di Kampung Baru, Alor Jambu, Wakaf Tengah, pada hari raya kedua.

Pertemuan bermakna pada hari raya kedua di rumah Puan Sakinah (barisan depan, tiga dari kanan)
“Alhamdulillah, ramai juga rakan yang hadir dan dapat bersua-muka serta menyambung semula tali silaturahim yang sedia terjalin. Ada yang pertama kali berjumpa selepas 16 tahun tidak bersua sejak menamatkan alam persekolahan.

 “Sebenarnya, kecanggihan teknologi seperti Facebook, Whatsapp dan WeChat ini banyak juga memberi kebaikan kerana dapat mencari dan berhubung semula dengan rakan-rakan serta berjumpa di majlis rumah terbuka ini,” katanya.

Seorang bekas pelajar SMPM, Puan Azlinawati Salleh, berkata pertemuan di rumah bekas guru dan juga perjumpaan di beberapa rumah rakan banyak meninggalkan kenangan manis kepada mereka.

 “Bukan sahaja dapat berkongsi cerita dan kisah masing-masing, kami juga dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin. Dengan memiliki ramai kawan , membuatkan hidup terasa lebih ceria dan banyak perkara boleh dikongsikan bersama.

 “Saya harap moga perjumpaan dapat diadakan lagi selepas ini, bukan hanya menunggu pada musim hari raya, malah hari cuti yang lain juga,” katanya.

Bekas pelajar SMPM bergambar kenangan di rumah Encik Shamri (tiga dari kanan) pada hari raya keempat
Sementara seorang lagi bekas pelajar SMPM, Encik Mohd Faizal Ismail, berkata pertemuan di beberapa majlis pada Aidilfitri kali ini amat bermakna dan paling manis sejak meninggalkan alam persekolahan 16 tahun lalu.

Katanya, semua rakan memiliki keluarga dan kerjaya dalam pelbagai bidang di sektor awam, swasta dan bekerja sendiri berjaya melapangkan masa menyertai perjumpaan yang diatur secara spontan sempena hari raya ini.

 “Seronok dan Alhamdulillah tuhan mempertemukan kami dengan ramai rakan-rakan lama. Moga selepas ini rakan-rakan yang jauh khususnya di luar Terengganu dan Semenanjung Malaysia juga dapat berkumpul bersama pada musim perayaan dan cuti yang panjang.

 “Hubungan rakan ini bukan sekadar berkongsi cerita suka dan gembira, malah menjadi tempat untuk menyelesaikan masalah dan kisah duka kita. Bagi kami, demikian nilai persahabatan sebenar,” katanya.




T-Team bakal mendapat jurulatih baru

Kelab T-Team akan melantik seorang sebagai jurulatih bagi membantu ketua jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor bagi mempersiapkan pasukan dalam kempen Piala Malaysia yang bakal bermula 20 Ogos ini.
Penolong Pengurus pasukan, Mohammad Sekanther Hamid berkata jurulatih berkenaan merupakan bekas pemain Terengganu dan berasal dari Selangor.

"Kita tidak boleh mengumumkan nama calon itu sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan lesen kejurulatihan kepadanya," katanya.

 Beliau berkata pihak pengurusan yakin pasukan itu lebih menonjol dalam menvghadapi kempen Piala Malaysia dengan kehadiran jurulatih baru itu.

 T-Team akan memulakan pusingan pertama Piala Malaysia dengan Felda United pada 20 Ogos sebelum menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) dan PKNS.

 

11 August 2013

Hujan tidak mematahkan semangat penduduk hadir majlis sambutan Aidilfitri ADUN.


YB Muhamad Pehimi sedang memotong daging kambing panggang

Oleh: Mohammad Ishak 

Hujan yang turun awal pagi semalam sedikitpun tidak mematahkan semangat orang ramai sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih untuk hadir majlis sambutan Aidilfitri anjuran ADUN Jertih, Muhamad Pehimi Yusof.

Majlis yang berlangsung di perkarangan Pejabat Penyelaras DUN Jertih,Kampung Gong Kemuntong, tetap meriah dan dikunjungi ramai tetamu termasuk dari luar kawasan berkenaan.

Kehadiran ramai penduduk terutama penyokong UMNO memperlihatkan sokongan rakyat terhadap pemimpin mereka selepas menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRK13) April lalu.

Muhamad Pehimi yang bertukar kawasan dari DUN Kota Putera ke DUN Jertih dan kali pertama menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri di kawasan berkenaan gembira dengan sambutan dan sokongan orang ramai terhadap majlis itu.

Katanya, kehadiran penyokong UMNO serta warga perantau memantapkan lagi majlis itu bertujuan merapatkan hubungan antara rakyat dan pemimpin.

Selain dikunjungi lebih 5,000 tetamu jemputan hadir sama ialah Menteri Pendidikan II,Dato’ Seri Idris Jusoh bersama isteri Toh Puan Seri Che Kamariah Zakaria serta pegawai kanan daerah Besut.

Majlis bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 3 petang menterjemahkan kepada masyarakat bahawa daerah Besut tetap utuh dan kukuh dengan sokongan padu penduduk terhadap setiap program anjuran pemimpin mereka.

Tapai pulut penyeri Aidilfitri

Oleh; Esah Abdullah 

Tapai menjadi menu wajib masyarakat di Terengganu ketika menyambut hari raya, di samping ketupat tanpa kedua-dua hidangan tersebut seperti tidak lengkap meraikan kejayaan umat Islam selepas sebulan berpuasa.

Bagi Puan Jamilah Ombong, 58, dari Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, beliau merupakan orang paling sibuk setiap menjelang sambutan Aidilfitri kerana menerima tempahan pengemar tapai.

Musim perayaan tahun ini beliau menerima tempahan lebih 17,000 biji tapai (150 kilogram beras) dan ini belum dikira tampahan untuk majlis rumah terbuka orang persaorangan atau jabatan kerajaan.

 Beliau terpaksa menggunakan khidmat tiga orang pembantu untuk membungkus tapai yang turut dibantu suami dalam urusan mendapatkan bekalan daun pokok getah.

Katanya beliau mengenakan bayaran RM15 bagi sekilogram beras yang boleh menghasilkan kira-kira 110 biji tapai jika beras disediakan olehnya, namun jika dibekalkan sendiri hanya RM10 bagi sekilogram.

Sebenarnya tempahan untuk membuat tapai ini bukan sahaja diterima ketika menyambut hari raya malah pada majlis kenduri kahwin beliau tidak pernah menang tangan untuk menyiapkan tempahan.

Apa yang menjadi rahsia tapai Puan Jamilah ini sangat digemari ialah kerana rasanya enak serta manisnya yang sekata membuatkan ramai yang mencari beliau bila memerlukan makanan tersebut.

Di samping tapai beliau turut menerima tempahan membuat ketupat pulut namun beliau tidak mampu menerima tempahan lebih kerana proses membuat ketupat lebih rumit.
 

THHT Terengganu pertama kali kendalikan urusan 1200 jemaah haji

Oleh: Noraini Jusoh

Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre (THHT) Terengganu yang terletak kira-kira satu kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) buat pertama kalinya akan mengendalikan urusan kira-kira 1200 jemaah haji dari Pantai Timur September ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah berkata, ia merangkumi jemaah haji dari negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu dengan dijangkakan sebanyak enam penerbangan dijadual berlepas dari LTSM bermula 17 September depan.

"Segala urusan yang berkaitan seperti lapor diri dan sebagainya akan dibuat di kompeks TH Hotel berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita di pejabatnya baru-baru ini.

Katanya, TH Hotel dijangka akan dirasmikan sebelum pelepasan jemaah haji yang pertama di kompleks terbabit.

 

10 August 2013

ADUN Kuala Besut Tengku Zaihan tidak berhasrat bertanding rebut jawatan dalam parti


Tengku Zaihan akan beri tumpuan kepada tugas menjaga rakyat

Oleh: Mohammad Ishak 

"Saya tidak berminat untuk merebut jawatan parti, sebaliknya ingin memberi tumpuan kepada tugas sebagai wakil rakyat," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Tengku Zaihan , yang baru memenangi kerusi DUN berkenaan, tidak berhasrat untuk bertanding merebut mana-mana jawatan penting dalam parti peringkat bahagian Besut.,sebaliknya, beliau menyerahkan kedudukannya kepada Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menentukan status beliau dalam barisan kepemimpinan parti bahagian itu.

“Saya lebih berminat untuk mengurus kerja wakil rakyat yang memerlukan lebih banyak tumpuan kepada penduduk Kuala Besut,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Pejabat Penyelaras DUN Kuala Besut, Alur Pisang, dekat sini hari ini.

Tengku Zaihan, 37, ketika ini hanya memegang jawatan ahli jawatankuasa Umno Cawangan Kampung Nail,Kuala Besut menang kerusi DUN Kuala Besut dalam PRK bulan lalu.

Katanya, beliau sedia mengikut apa sahaja pucuk pimpinan parti kerana matlamatnya ingin bekerja untuk rakyat.

Sebelum ini, ada desas desus dikalangan golongan pemuda yang mahu Tengku Zaihan bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Besut sebagai usaha meneruskan kariernya dalam politik.

Jawatankuasa Ketua Pemudu Umno Besut, akan berlaku kekosongan berikutan ketua sekarang,ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, akan melepaskan jawatan itu kerana cukup umur.

Penduduk Besut beri sambutan meriah rumah terbuka Aidilfitri wakil rakyat


Pengalaman pertama YB Tengku Zaihan menyambut Aidilfitri bersama rakyat.

Oleh: Mohammad Ishak 

Sambutan serentak rumah terbuka Aidilfitri tetapi tempat berlainan yang dianjurkan oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Besut,tetap meriah dan mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.

Wakil rakyat terbabit, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, mengadakan rumah terbuka di Pejabat Penyelaras DUN, Pasir Akar, Muhamad Pehimi Yusof (ADUN Jertih) di Pejabat Penyelaras DUN Jertih.

Manakala dua muka baru yang pertama kali menganjurkan sambutan Aidilfitri ialah ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, di kediaman beliau Kampung Limbongan, manakala ADUN Kuala Besut ,Tengku Zaihan CK Rahman,yang baru memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini mengadakan rumah terbuka di Pejabat Penyelaras DUN di Kampung Alur Pisang,Kuala Besut.

Tinjuan mendapati semua program anjuran wakil rakyat berkenaan mendapat sambutan sejak awal dibuka jam 10 pagi apabila ribuaan rakyat membanjiri tempat berlangsungnya program berkenaan. Malah,petugas yang menyediakan jamuan tidak putus-putus menyediakan makanan kepada tetamu yang hadir sejak awal pagi.

Tengku Zaihan antara yang baru menjadi Yang Berhormat dan pertama kali berhadapan dengan situasi sambutan kelihatan gembira menerima kunjungan tetamu terutama kanak-kanak.

Belum pun hilang penat menghadai kempen PRK namun, beliau kelihatan tabah dan sentiasa tersenyum melayani karenah orang ramai yang hadir untuk berhari raya.

Penduduk juga memuji usaha UMNO Bahagian Besut yang menyusun atur majlis untuk wakil rakyat dengan mengadakan serentak pada hari sama kerana memudahkan orang ramai mengambil peluang dalam satu hari dapat berjumpa semua wakil rakyat di kawasan Parlimen Besut.

Maybank tawar penginapan percuma

Oleh; Esah Abdullah

Malayan Banking Bhd (Maybank) menawarkan penginapan percuma kepada waris pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) apabila terus menyewa Asrama Bayu milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi tempoh setahun lagi.

 Pengurus Maybank Zon Pantai Timur, Encik Sidek Ismail berkata, tahun lalu, pihaknya telah menyewa sebuah bilik di asrama tersebut bagi memberi kemudahan kepada ahli keluarga pesakit yang ingin menunggu waris masing-masing di HSNZ.

Menurutnya, pemilihan untuk menyewa bilik itu dibuat atas kesedaran untuk meringankan bebanan dan kesulitan ahli keluarga menunggu waris di hospital terutama bagi tempoh yang lama dan juga tinggal jauh.

“Pada tahun ini kita menambah dua lagi bilik Asrama Bayu menjadi tiga bilik kesemuanya bagi memberi kemudahan kepada lebih ramai waris yang ingin menggunakan kemudahan yang ditawarkan.

“Usaha ini diambil bagi meringankan bebanan kepada mereka yang tinggal jauh supaya tidak perlu menyewa hotel. Insya-ALLAH, (pembiayaan) akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebab usaha dilakukan ini sesuai untuk membantu golongan miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sewaktu mengadakan kunjungan ke Wad Ortopedik HSNZ, baru-baru ini. Selain itu katanya, pemilihan ahli keluarga yang ingin tinggal di bilik berkenaan diserahkan kepada pihak hospital (HSNZ).

 Katanya, kedudukan asrama terletak kawasan pekarangan HSNZ itu bukan sahaja memudahkan ahli keluarga menunggu waris di wad, malah memberi sedikit keselesaan ketika menunggu sebab di situ juga mempunyai kemudahan lain termasuk ruangan untuk solat.