Halaman

18 September 2013

Program TELL menyeronokkan murid.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Azman ketika berucap merasmikan seminar
SETIU: Program TELL (Teaching English Language and Literature) atau Pengajaran Bahasa Inggeris (BI) dan Kesusasteraan yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran tiga tahun lalu mampu memberi kaedah pembelajaran matapelajaran BI yang lebih menarik dan menyeronokkan kepada murid.

Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahasa Inggeris, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Azman b Othman, berkata program itu, adalah untuk guru-guru BI dan ia akan memberi kemahiran tambahan guru-guru yang menyertainya.

“Program TELL ini sebenarnya ialah satu program di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan saya mengharapkan lebih ramai guru-guru BI akan mendapat pendedahan melalui program TELL ini kerana ia banyak memberi manfaat kearah meningkatkan lagi pencapaian BI di kalangan pelajar.

“Kita mengharapkan kepada guru-guru yang belum mengikuti program untuk murid tahap satu ini supaya menyertainya dan akan melaksanakan program ini di sekolah mereka masing-masing nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar TELL di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah(PPD) Setiu, semalam. 

Sebahagian peserta seminar yang hadir.
Azman berkata, beliau berterima kasih kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu kerana menganjurkan seminar yang pertama kali diadakan di peringkat daerah itu dan mengharapkan lebih banyak lagi seminar seperti itu akan diadakan di negeri Terengganu untuk mempertingkatkan lagi mutu Bahasa Inggeris di kalangan murid.

“Tuan Pengarah Pelajaran negeri sangat perihatin dengan perkembangan BI di negeri Terengganu, ” katanya yang mewakili Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Zakaria Hussin.

Sementara itu, kira-kira 150 guru BI dari semua sekolah di daerah Setiu yang menyertai seminar sehari itu tertarik dan seronok dengan cara menyampaian oleh beberapa mentor yang dijemput khas dengan mengadakan beberapa program yang menyeronokan. Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Setiu, Kipayatuallah Dato' Mohd Said.

Peserta tertarik dengan persembahan Mentor mereka.
PPD Setiu, Kipayatuallah (kanan) bersama dua pegawainya turut hadir.


SMK Bukit Payong, Marang berkhemah di Setiu

Oleh: Aminudin Ismail.

Pelajar bersungguh menyertai acara tarik tali.
SETIU: Seramai 111 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong, Marang yang bakal menduduki SPM tahun memperolehi banyak pengalaman berguna ketika menyertai Program Perkhemahan Perdana Badan Beruniform di Pusat Kokurikulum UnisZa, Merang di sini.

Program selama tiga hari yang bermula 14 sehingga lalu dan berakhir kelamrin adalah perkhemahan perdana kali ke enam dan kali pertama disertai hanya pelajar-pelajar tingkatan lima dan turut disertai 20 guru pengiring.

Pengetua SMK Seri Payong, Muhamad Bin Tawan berkata, program itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memberikan keyakinan kepada pelajar dan bagi memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengalami pengalaman berkhemah.

“Selain itu perkhemahan ini juga bertujuan bagi mendidik pelajar agar lebih berdisiplin, mematuhi masa dan memupuk semangat berpasukan dalam sesebuah unit beruniform.

“Kekentalan semangat individu serta kerjasama berkumpulan yang ditunjukkan sepanjang program ini berlangsung membuktikan bahawa kegiatan luar seperti perkhemahan, dapat melahirkan pelajar yang berkeyakinan dan mempunyai ketrampilan yang tinggi.

“Samada dari segi sahsiah mahupun sosial sesuai dengan saranan kementerian pelajaran bagi mencapai kesempurnaan jasmani, emosi dan rohani bukan hanya bergantung dalam bidang kurikulum (akademik) semata-mata,” kataya.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti sukaneka, pertandingan masakan, pakaian pengantin. Aktiviti lasak jugak seperti water confident, berkayak dan kembara malam menguji pelajar dari segi mental dan fizikal.

17 September 2013

PSKT di Chendering bakal beroperasi 2015

Oleh: Noraini Jusoh

Kerja-kerja pembinaan bangunan baru Pusat Sains Kuala Terengganu (PSKT) yang terletak di Kampung Bukit, Mukim Chendering hanya tinggal 30 peratus yang belum selesai dan dijangka bakal beroperasi sepenuhnya pada 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Tenaga dan Air negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) berkata, disebabkan beberapa masalah teknikal, pembinaan pusat sains yang bermula 2006 berkenaan terpaksa ditangguhkan, sehingga kerajaan negeri kini memutuskan meneruskan kembali projek tersebut.

“Sekarang ini, PSKT di Chendering telah siap 70 peratus dan 30 peratus lagi sedang ditender. Untuk tender baru dijangka kosnya dalam RM43 juta.

“Ia dijangka bakal beroperasi sepenuhnya pada 2015 kerana pada tahun depan (2014) kita akan fokus kepada pengisian iaitu bahan-bahan yang akan ditempatkan di pusat sains yang bertaraf antarabangsa ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Astronomi Pusat Sains Kreativiti Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu, hari ini.

Katanya, apabila siap sepenuhnya nanti, PSKT di Chendering akan menjadi pusat sains yang terbesar sekali di Malaysia dengan keluasan keseluruhannya kira-kira 60 hektar.

“Kerajaan negeri amat serius dalam melahirkan saintis dari kalangan rakyat negeri ini yang mempunyai latar belakang agama yang kukuh dan berhasrat menjadikan pusat sains itu nanti sebagai pusat kajian atau penyelidikan sains yang berkonsepkan Islam,” ujarnya.

Tambah beliau, impian tersebut tidak mustahil untuk dicapai kerana Terengganu mempunyai pelajar daripada sekolah Imtiaz yang merupakan penghafaz 30 juzuk al-Quran dan cemerlang dalam akademik yang boleh menyumbang bakti kepada kerajaan negeri suatu hari nanti,” ujarnya.

 

Pustaka Kongres AS kunjungi Ukom

Oleh: Aida Abd Rahman

Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat (AS) (Library of Congress) mengunjungi Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) dalam usaha berkongsi maklumat bagi menyiapkan jurnal dan dokumen untuk rujukan 20 universiti di AS.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) Ukom, Encik Ahmad Razif Abdul Majid berbincang sesuatu dengan  Ketua Perpustakaan Kongres AS, Mr  M Lingeswaran
Kunjungan Ketua Perpustakaan Kongres AS yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, M Lingeswaran adalah kali ketiga ke negeri ini selepas lawatan terakhir empat tahun lalu.



Menurutnya, kunjungan berkenaan membolehkan pihaknya menyiapkan jurnal khusus mengenai gaya hidup, kebudayaan dan perkembangan Terengganu serta negeri lain di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

“Hasil bahan dan maklumat yang diperolehi bukan sahaja digunakan oleh pensyarah, penyelidik dan penuntut di 20 universiti seluruh AS, malah ditempatkan di perpustakaan khas di AS yang menjadi rujukan oleh semua pembaca melangkau seluruh dunia di perpustakaan itu,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Ukom, Encik Ahmad Razif Abdul Majid, penolong Pengarah Penerangan, Encik Harun Hassan dan Penolong pegawai tadbir, Puan Noriah Mohammad.

Perpustakaan terbesar di dunia dari segi luas rak buku dan total koleksi buku, selain mendaftar lebih dari 32 juta judul bahan pustaka yang ditulis dalam 470 bahasa.

Selain itu, gedung ilmu itu juga menyimpan lebih dari sejuta judul terbitan pemerintah Amerika Serikat, sejuta terbitan akhbar seluruh dunia selama tiga abad terakhir, 33,000 naskhah akhbar yang dijilid, 500,000 gulung mikrofilm, lebih dari 6,000 judul buku komik serta koleksi literatur hukum terbesar di dunia.





Sederhana dalam berbelanja

Oleh; Esah Abdullah 

Rasulullah SAW bersabda “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana, berhemat dan menabung kelebihannya untuk hari susah serta hajatnya.” (Rirawat al-Ibn an-Najjar).

Pengawalan terhadap keinginan dan desakan hati adalah perlu sebagai satu cara untuk mengawal nafsu boros. Rezeki dan kemewahan hidup semuanya datang daripada Allah SWT.

Oleh itu, sikap berlumba-lumba mengumpul harta dan kemewahan harus dielakkan kerana ia menunjukkan sikap rakus serta boleh memberi risiko tidak baik dalam perhubungan hingga menyebabkan berlakunya permusuhan sesama sendiri.

Cara membelanjakan harta menentukan hidup seseorang itu berkat atau tidak, yang mana kehidupan tidak akan menjadi tenang jika harta disalurkan atau digunakan pada perkara haram dan tidak halal.

Bersederhana dalam berbelanja bermaksud seseorang itu apabila berbelanja dia tidak berlebih-kebihan dan tidak pula kedekut, tetapi berada di tengah-tengah antara dua keadaan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga mereka yang diredai Allah itu ialah yang apabila menafkahkan hartanya dia tidak melampau batas dan tidak bakhil. Sebaliknya perbelanjaan mereka adalah benar-benar sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67).

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.” (Riwayat Ahmad).

Umat Islam dituntut sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan reda di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukan adalah Allah SWT.

Apabila diberi Allah SWT rezeki berlebihan, jangan pula kita bersifat boros sebaliknya sentiasa memastikan setiap harta dibelanjakan ke jalan yang diredai Allah SWT.
 

Pameran Hari Malaysia di PPAT

Oleh: Suriati Ali 

Kemeriahan sambutan Hari Malaysia ke-50 dirayakan rakyat di seluruh negara dengan pelbagai program bagi membangkitkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat.

 Di Terengganu, lebih 30,000 masyarakat tempatan dijangka hadir mengunjungi pameran sempena sambutan itu yang diadakan di ruang legar Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

 Pameran anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama PPAT itu diadakan selama sebulan dan berakhir 16 Oktober itu mempamerkan pelbagai kisah menarik, suka duka perjuangan wira negara..

Pengerusi Jawantankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sambutan dan pameran itu diadakan serentak di seluruh negara sebagai tanda penghargaan terhadap wira-wira negara yang banyak mencurahkan keringat demi memastikan kesejahteraan tanah air.

 "Kita juga pamerkan sejarah berhubung pencapaian dan kemajuan negeri ini sejak merdeka. "Jika mendapat sambutan, kemungkinan pameran ini kita akan teruskan pada masa akan datang," katanya yang juga memerangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Jubli Emas Malaysia Negeri Terengganu.

 

KKKT tuan rumah kejohanan patanque IPT Zon Timur

Oleh; Esah Abdullah

Kolej Komuniti Kuala Terengganu (KKKT) akan menjadi tuan rumah Kejohanan Petanque Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang akan diadakan di Arena Petanque Padu, Dungun bermula 20 September ini.

Pegawai Belia dan Sukan KKKT, Wan Siti Maisharah Wan Yusoff berkata, program yang berlangsung selama tiga hari itu akan diadakan serentak di seluruh negara dan KKKT menjadi tuan rumah bagi Zon Timur.

“Setakat ini 12 buah IPTA dan IPTS dari tiga buah negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu telah mengesahkan penyertaan masing-masing,” katanya.

Katanya, selaku tuan rumah, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar beriadah malah dapat mencungkil bakat mereka dalam bidang sukan patanque.

Menurutnya dalam masa berbaki tiga hari lagi dari tarikh kejohanan, mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai syarat penyertaan boleh hubungi talian 09-6204270 atau 017-2055609.
 

Pas perlu berpisah dengan DAP

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Sudah agak lama perkataan ‘tahaluf siyasi’ yang dikaitkan berhubung ‘perkahwinan campur’ antara Pas dengan DAP bagi menentang Barisan Nasional (BN) diperkatakan.

Sebaliknya, perkataan itu hangat diperkatakan semula minggu ini apabila beberapa pemimpin Pas berbalah sesama sendiri mengenai keperluan parti itu bergabung dengan DAP bagi membentuk ikatan parti-parti pembangkang di negara ini yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, Dewan Ulamak Pas sendiri turut mencadangkan semakan semula terhadap pelaksanaan tahaluf siyasi parti itu bersama sekutunya yang didakwa menyebabkan pengaruh Pas semakin lemah, terutama di kawasan majoriti penduduk Melayu dan beragama Islam.

Ramai pemimpin Pas mahu parti itu menyemak semula konsep ‘tahaiuf siyasi’ yang digunapakai bagi membolehkan Pas bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk menentang Kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Gesaan itu dibuat kerana pemimpin Pas berkenaan telah sedar bahawa pakatan Pas dengan DAP dan PKR pada PRU13 hanya menguntungkan DAP semata-mata.

Bagaimanapun, seperti biasa masih terdapat segelintir pemimpin Pas yang bermati-matian mahu mempertahankan pakatan tersebut kerana kepentingan tertentu dan mereka tanpa berfikir panjang membangkang cadangan tersebut.

Dalam hal ini, pemimpin Pas yang masih sayang kepada parti itu perlu berfikir secara rasional dan mendalam serta menyokong cadangan yang dikemukakan Multaqa Ulama Se-Malaysia di Kedah kelmarin agar tahaluf siayasi antara Pas dan sekutu mereka disemak semula.

Pada masa yang sama, mereka juga perlu mengambilkira pandangan Pengasas Pondok Genting, Tumpat, Ustaz Abdullah Sa’amah yang menegaskan bahawa konsep tahaluf siyasi antara Pas, PKR dan DAP langsung tidak memberi manfaat terhadap kedaulatan Islam dan orang Melayu.

Sebaliknya, kata beliau, konsep yang digunapakai oleh Pas itu hanya menjurus kepada kepentingan parti dan politik pemimpin mereka sahaja.

Pas perlu berpisah dengan DAP yang semakin terbukti sebuah parti rasis yang anti-Islam dan hanya berminat untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina sahaja.

 Pas juga perlu meninggalkan rakan mereka PKR yang hanya berjuang untuk kepentingan beberapa pemimpin parti itu dan mencapai cita-cita pemimpin utamanya menjadi Perdana Menteri.

Pemimpin Pas perlu berani untuk melakukan perubahan sekarang bagi memastikan kepentingan masyarakat Melayu dan umat islam tidak terjejas akibat sikap tamak pemimpin pembangkang yang hanya mahu berkuasa, tanpa mengambil kira nasib generasi akan datang.....
 



Laporan polis berhubung pemalsuan akaun FB Menteri Besar

Oleh: Aida Abd Rahman

Pejabat Menteri Besar (MB) membuat laporan polis berhubung pemalsuan akaun Facebook (FB) menggunakan nama dan gambar Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat khususnya pengikut akaun media sosial itu sejak beberapa hari lalu.

Setiausaha Akhbar Kepada MB, Encik Rosli Zakaria, membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, kira-kira jam 10.15 pagi ini.

Encik Rosli berkata, pemalsuan akaun FB berkenaan lebih kepada tujuan penyamaran yang perlu ditangani dan disiasat segera oleh pihak berkuasa.

 “Perkara itu suatu yang tidak benar, perlu disasat dan diambil tindakan dengan setegas-tegasnya oleh pihak berkuasa.

 “Selain laporan polis kita juga akan maklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di IPPD Kuala Terengganu.

Encik Rosli berkata, tindakan penyamaran `FB baru’ itu didapati menggunakan URL berbeza berbanding FB yang asal dipercayai bertujuan mengelirukan rakyat.

Katanya, antara paparan status dalam akaun penyamaran itu adalah berhubung pengumuman cuti umum yang tidak sepatutnya diumumkan oleh sesiapa kecuali dikeluarkan secara rasmi oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu sahaja.

 “Apa akibatnya, sekiranya semua pengikut Dato’ Seri MB mengambil serius paparan itu dan tidak datang bekerja pada hari itu, malah akan melumpuhkan pentadbiran kerajaan.

“Setiap pengumuman berkaitan pentadbiran kerajaan perlu datang (dikeluarkan) secara rasmi oleh Pejabat SUK dan MB , bukan dikeluarkan oleh orang lain, tetapi ia disalahgunakan melalui `fan pages’, kerana kita tidak akan buat begitu, kecuali secara rasmi,” katanya.

Menurutnya, paparan mengenai cuti yang dikesan pada 15 September lalu selain beberapa perkara yang tidak disebut oleh MB tetapi dipaparkan secara meluas di FB berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada SKMM dalam tempoh terdekat untuk tindakan dan siasatan lanjut pihak berkenaan.



Rumah PPRT selesa bagi kami.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Rumah Fauzi di Sungai Bari.
SETIU: Selepas lima tahun menetap di rumah usang milik arwah orang tuanya, seorang pemuda, Fauzi Che Omar, 36, dari Kampung Sungai Bari, di sini bersyukur kerana permohonannya untuk mendapatkan sebuah rumah Program Rakyat Termiskin (PPRT) diluluskan dan dia menduduki rumah itu kira-kira tiga tahun lalu.

Fauzi yang mengalami kecacatan fizikal dan pertuturan selepas terbabit kemalangan lebih 10 tahun lalu itu berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan permohonannya itu dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Sejak terbabit kemalangan itu, saya tidak mempunyai sumber kewangan kerana tidak mampu bekerja dan hanya bergantung harap kepada bantuan dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sebanyak RM300 sebulan.

“Selepas berkahwin buat kali kedua enam tahun lalu, saya terfikir juga untuk memiliki rumah sendiri kerana rumah yang saya tinggal dulu agak uzur dan usang kerana rumah itu adalah lama peninggalan emak saya. Saya cuba memohon rumah PPRT.

“Alhamdulillah, selepas beberapa bulan memohon. Pengerusi JKKK kampung saya menyatakan permohonan saya diluluskan dan selang beberapa hari rumah saya didirikan. Ianya siap dalam masa sebulan dan saya mendudukinya pada 2010 lalu,” katanya yang sudah berpisah dengan isteri pertamanya.

Fauzi..selesa tinggal di rumah PPRT.
Fauzi berkata, dia dan isterinya Hasura Haiza, 36, gembira kerana dapat menduduki rumah itu kerana ia lebih luas dan selesa malah tidak terfikir akan akan memiliki rumah sendiri kerana dengan keadaan fizikalnya sekarang dia merasakan tidak mampu membinanya.

“Terima Kasihlah kepada kerajaaan BN kerana perihatin dengan masalah orang OKU seperti saya ini. Juga kepada JKM yang menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan. Rumah ini selesa kerana mempunyai tiga bilik, ruang tamu dan dapur juga selesa bagi saya,” katanya.