Halaman

17 September 2013

PSKT di Chendering bakal beroperasi 2015

Oleh: Noraini Jusoh

Kerja-kerja pembinaan bangunan baru Pusat Sains Kuala Terengganu (PSKT) yang terletak di Kampung Bukit, Mukim Chendering hanya tinggal 30 peratus yang belum selesai dan dijangka bakal beroperasi sepenuhnya pada 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Tenaga dan Air negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) berkata, disebabkan beberapa masalah teknikal, pembinaan pusat sains yang bermula 2006 berkenaan terpaksa ditangguhkan, sehingga kerajaan negeri kini memutuskan meneruskan kembali projek tersebut.

“Sekarang ini, PSKT di Chendering telah siap 70 peratus dan 30 peratus lagi sedang ditender. Untuk tender baru dijangka kosnya dalam RM43 juta.

“Ia dijangka bakal beroperasi sepenuhnya pada 2015 kerana pada tahun depan (2014) kita akan fokus kepada pengisian iaitu bahan-bahan yang akan ditempatkan di pusat sains yang bertaraf antarabangsa ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Astronomi Pusat Sains Kreativiti Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu, hari ini.

Katanya, apabila siap sepenuhnya nanti, PSKT di Chendering akan menjadi pusat sains yang terbesar sekali di Malaysia dengan keluasan keseluruhannya kira-kira 60 hektar.

“Kerajaan negeri amat serius dalam melahirkan saintis dari kalangan rakyat negeri ini yang mempunyai latar belakang agama yang kukuh dan berhasrat menjadikan pusat sains itu nanti sebagai pusat kajian atau penyelidikan sains yang berkonsepkan Islam,” ujarnya.

Tambah beliau, impian tersebut tidak mustahil untuk dicapai kerana Terengganu mempunyai pelajar daripada sekolah Imtiaz yang merupakan penghafaz 30 juzuk al-Quran dan cemerlang dalam akademik yang boleh menyumbang bakti kepada kerajaan negeri suatu hari nanti,” ujarnya.

 

Pustaka Kongres AS kunjungi Ukom

Oleh: Aida Abd Rahman

Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat (AS) (Library of Congress) mengunjungi Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) dalam usaha berkongsi maklumat bagi menyiapkan jurnal dan dokumen untuk rujukan 20 universiti di AS.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) Ukom, Encik Ahmad Razif Abdul Majid berbincang sesuatu dengan  Ketua Perpustakaan Kongres AS, Mr  M Lingeswaran
Kunjungan Ketua Perpustakaan Kongres AS yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, M Lingeswaran adalah kali ketiga ke negeri ini selepas lawatan terakhir empat tahun lalu.



Menurutnya, kunjungan berkenaan membolehkan pihaknya menyiapkan jurnal khusus mengenai gaya hidup, kebudayaan dan perkembangan Terengganu serta negeri lain di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

“Hasil bahan dan maklumat yang diperolehi bukan sahaja digunakan oleh pensyarah, penyelidik dan penuntut di 20 universiti seluruh AS, malah ditempatkan di perpustakaan khas di AS yang menjadi rujukan oleh semua pembaca melangkau seluruh dunia di perpustakaan itu,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Ukom, Encik Ahmad Razif Abdul Majid, penolong Pengarah Penerangan, Encik Harun Hassan dan Penolong pegawai tadbir, Puan Noriah Mohammad.

Perpustakaan terbesar di dunia dari segi luas rak buku dan total koleksi buku, selain mendaftar lebih dari 32 juta judul bahan pustaka yang ditulis dalam 470 bahasa.

Selain itu, gedung ilmu itu juga menyimpan lebih dari sejuta judul terbitan pemerintah Amerika Serikat, sejuta terbitan akhbar seluruh dunia selama tiga abad terakhir, 33,000 naskhah akhbar yang dijilid, 500,000 gulung mikrofilm, lebih dari 6,000 judul buku komik serta koleksi literatur hukum terbesar di dunia.





Sederhana dalam berbelanja

Oleh; Esah Abdullah 

Rasulullah SAW bersabda “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana, berhemat dan menabung kelebihannya untuk hari susah serta hajatnya.” (Rirawat al-Ibn an-Najjar).

Pengawalan terhadap keinginan dan desakan hati adalah perlu sebagai satu cara untuk mengawal nafsu boros. Rezeki dan kemewahan hidup semuanya datang daripada Allah SWT.

Oleh itu, sikap berlumba-lumba mengumpul harta dan kemewahan harus dielakkan kerana ia menunjukkan sikap rakus serta boleh memberi risiko tidak baik dalam perhubungan hingga menyebabkan berlakunya permusuhan sesama sendiri.

Cara membelanjakan harta menentukan hidup seseorang itu berkat atau tidak, yang mana kehidupan tidak akan menjadi tenang jika harta disalurkan atau digunakan pada perkara haram dan tidak halal.

Bersederhana dalam berbelanja bermaksud seseorang itu apabila berbelanja dia tidak berlebih-kebihan dan tidak pula kedekut, tetapi berada di tengah-tengah antara dua keadaan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga mereka yang diredai Allah itu ialah yang apabila menafkahkan hartanya dia tidak melampau batas dan tidak bakhil. Sebaliknya perbelanjaan mereka adalah benar-benar sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67).

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.” (Riwayat Ahmad).

Umat Islam dituntut sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan reda di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukan adalah Allah SWT.

Apabila diberi Allah SWT rezeki berlebihan, jangan pula kita bersifat boros sebaliknya sentiasa memastikan setiap harta dibelanjakan ke jalan yang diredai Allah SWT.
 

Pameran Hari Malaysia di PPAT

Oleh: Suriati Ali 

Kemeriahan sambutan Hari Malaysia ke-50 dirayakan rakyat di seluruh negara dengan pelbagai program bagi membangkitkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat.

 Di Terengganu, lebih 30,000 masyarakat tempatan dijangka hadir mengunjungi pameran sempena sambutan itu yang diadakan di ruang legar Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

 Pameran anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama PPAT itu diadakan selama sebulan dan berakhir 16 Oktober itu mempamerkan pelbagai kisah menarik, suka duka perjuangan wira negara..

Pengerusi Jawantankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sambutan dan pameran itu diadakan serentak di seluruh negara sebagai tanda penghargaan terhadap wira-wira negara yang banyak mencurahkan keringat demi memastikan kesejahteraan tanah air.

 "Kita juga pamerkan sejarah berhubung pencapaian dan kemajuan negeri ini sejak merdeka. "Jika mendapat sambutan, kemungkinan pameran ini kita akan teruskan pada masa akan datang," katanya yang juga memerangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Jubli Emas Malaysia Negeri Terengganu.

 

KKKT tuan rumah kejohanan patanque IPT Zon Timur

Oleh; Esah Abdullah

Kolej Komuniti Kuala Terengganu (KKKT) akan menjadi tuan rumah Kejohanan Petanque Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang akan diadakan di Arena Petanque Padu, Dungun bermula 20 September ini.

Pegawai Belia dan Sukan KKKT, Wan Siti Maisharah Wan Yusoff berkata, program yang berlangsung selama tiga hari itu akan diadakan serentak di seluruh negara dan KKKT menjadi tuan rumah bagi Zon Timur.

“Setakat ini 12 buah IPTA dan IPTS dari tiga buah negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu telah mengesahkan penyertaan masing-masing,” katanya.

Katanya, selaku tuan rumah, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar beriadah malah dapat mencungkil bakat mereka dalam bidang sukan patanque.

Menurutnya dalam masa berbaki tiga hari lagi dari tarikh kejohanan, mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai syarat penyertaan boleh hubungi talian 09-6204270 atau 017-2055609.
 

Pas perlu berpisah dengan DAP

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Sudah agak lama perkataan ‘tahaluf siyasi’ yang dikaitkan berhubung ‘perkahwinan campur’ antara Pas dengan DAP bagi menentang Barisan Nasional (BN) diperkatakan.

Sebaliknya, perkataan itu hangat diperkatakan semula minggu ini apabila beberapa pemimpin Pas berbalah sesama sendiri mengenai keperluan parti itu bergabung dengan DAP bagi membentuk ikatan parti-parti pembangkang di negara ini yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, Dewan Ulamak Pas sendiri turut mencadangkan semakan semula terhadap pelaksanaan tahaluf siyasi parti itu bersama sekutunya yang didakwa menyebabkan pengaruh Pas semakin lemah, terutama di kawasan majoriti penduduk Melayu dan beragama Islam.

Ramai pemimpin Pas mahu parti itu menyemak semula konsep ‘tahaiuf siyasi’ yang digunapakai bagi membolehkan Pas bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk menentang Kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Gesaan itu dibuat kerana pemimpin Pas berkenaan telah sedar bahawa pakatan Pas dengan DAP dan PKR pada PRU13 hanya menguntungkan DAP semata-mata.

Bagaimanapun, seperti biasa masih terdapat segelintir pemimpin Pas yang bermati-matian mahu mempertahankan pakatan tersebut kerana kepentingan tertentu dan mereka tanpa berfikir panjang membangkang cadangan tersebut.

Dalam hal ini, pemimpin Pas yang masih sayang kepada parti itu perlu berfikir secara rasional dan mendalam serta menyokong cadangan yang dikemukakan Multaqa Ulama Se-Malaysia di Kedah kelmarin agar tahaluf siayasi antara Pas dan sekutu mereka disemak semula.

Pada masa yang sama, mereka juga perlu mengambilkira pandangan Pengasas Pondok Genting, Tumpat, Ustaz Abdullah Sa’amah yang menegaskan bahawa konsep tahaluf siyasi antara Pas, PKR dan DAP langsung tidak memberi manfaat terhadap kedaulatan Islam dan orang Melayu.

Sebaliknya, kata beliau, konsep yang digunapakai oleh Pas itu hanya menjurus kepada kepentingan parti dan politik pemimpin mereka sahaja.

Pas perlu berpisah dengan DAP yang semakin terbukti sebuah parti rasis yang anti-Islam dan hanya berminat untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina sahaja.

 Pas juga perlu meninggalkan rakan mereka PKR yang hanya berjuang untuk kepentingan beberapa pemimpin parti itu dan mencapai cita-cita pemimpin utamanya menjadi Perdana Menteri.

Pemimpin Pas perlu berani untuk melakukan perubahan sekarang bagi memastikan kepentingan masyarakat Melayu dan umat islam tidak terjejas akibat sikap tamak pemimpin pembangkang yang hanya mahu berkuasa, tanpa mengambil kira nasib generasi akan datang.....
 



Laporan polis berhubung pemalsuan akaun FB Menteri Besar

Oleh: Aida Abd Rahman

Pejabat Menteri Besar (MB) membuat laporan polis berhubung pemalsuan akaun Facebook (FB) menggunakan nama dan gambar Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat khususnya pengikut akaun media sosial itu sejak beberapa hari lalu.

Setiausaha Akhbar Kepada MB, Encik Rosli Zakaria, membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, kira-kira jam 10.15 pagi ini.

Encik Rosli berkata, pemalsuan akaun FB berkenaan lebih kepada tujuan penyamaran yang perlu ditangani dan disiasat segera oleh pihak berkuasa.

 “Perkara itu suatu yang tidak benar, perlu disasat dan diambil tindakan dengan setegas-tegasnya oleh pihak berkuasa.

 “Selain laporan polis kita juga akan maklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di IPPD Kuala Terengganu.

Encik Rosli berkata, tindakan penyamaran `FB baru’ itu didapati menggunakan URL berbeza berbanding FB yang asal dipercayai bertujuan mengelirukan rakyat.

Katanya, antara paparan status dalam akaun penyamaran itu adalah berhubung pengumuman cuti umum yang tidak sepatutnya diumumkan oleh sesiapa kecuali dikeluarkan secara rasmi oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu sahaja.

 “Apa akibatnya, sekiranya semua pengikut Dato’ Seri MB mengambil serius paparan itu dan tidak datang bekerja pada hari itu, malah akan melumpuhkan pentadbiran kerajaan.

“Setiap pengumuman berkaitan pentadbiran kerajaan perlu datang (dikeluarkan) secara rasmi oleh Pejabat SUK dan MB , bukan dikeluarkan oleh orang lain, tetapi ia disalahgunakan melalui `fan pages’, kerana kita tidak akan buat begitu, kecuali secara rasmi,” katanya.

Menurutnya, paparan mengenai cuti yang dikesan pada 15 September lalu selain beberapa perkara yang tidak disebut oleh MB tetapi dipaparkan secara meluas di FB berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada SKMM dalam tempoh terdekat untuk tindakan dan siasatan lanjut pihak berkenaan.



Rumah PPRT selesa bagi kami.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Rumah Fauzi di Sungai Bari.
SETIU: Selepas lima tahun menetap di rumah usang milik arwah orang tuanya, seorang pemuda, Fauzi Che Omar, 36, dari Kampung Sungai Bari, di sini bersyukur kerana permohonannya untuk mendapatkan sebuah rumah Program Rakyat Termiskin (PPRT) diluluskan dan dia menduduki rumah itu kira-kira tiga tahun lalu.

Fauzi yang mengalami kecacatan fizikal dan pertuturan selepas terbabit kemalangan lebih 10 tahun lalu itu berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan permohonannya itu dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Sejak terbabit kemalangan itu, saya tidak mempunyai sumber kewangan kerana tidak mampu bekerja dan hanya bergantung harap kepada bantuan dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sebanyak RM300 sebulan.

“Selepas berkahwin buat kali kedua enam tahun lalu, saya terfikir juga untuk memiliki rumah sendiri kerana rumah yang saya tinggal dulu agak uzur dan usang kerana rumah itu adalah lama peninggalan emak saya. Saya cuba memohon rumah PPRT.

“Alhamdulillah, selepas beberapa bulan memohon. Pengerusi JKKK kampung saya menyatakan permohonan saya diluluskan dan selang beberapa hari rumah saya didirikan. Ianya siap dalam masa sebulan dan saya mendudukinya pada 2010 lalu,” katanya yang sudah berpisah dengan isteri pertamanya.

Fauzi..selesa tinggal di rumah PPRT.
Fauzi berkata, dia dan isterinya Hasura Haiza, 36, gembira kerana dapat menduduki rumah itu kerana ia lebih luas dan selesa malah tidak terfikir akan akan memiliki rumah sendiri kerana dengan keadaan fizikalnya sekarang dia merasakan tidak mampu membinanya.

“Terima Kasihlah kepada kerajaaan BN kerana perihatin dengan masalah orang OKU seperti saya ini. Juga kepada JKM yang menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan. Rumah ini selesa kerana mempunyai tiga bilik, ruang tamu dan dapur juga selesa bagi saya,” katanya.


MB hadir majlis kenduri kahwin anak bekas ADUN Jabi


Dato'Ahmad Said bersama Nawi Mohamad di majlis kenduri kahwin anak Ramlan Ali (Bekas ADUN Jabi)

Oleh: Mohammad Ishak 

Biarpun berstatus bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) namun kemeriahan dan sambutan daripada orang ramai tetap meriah bagi majlis perkahwinan anak sulung Ramlan Ali dan pasangan isterinya, Zaipah Hussin semalam.

Majlis itu bertambah seri dan meriah apabila Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri turut mengunjungi rumah Ramlan yang juga bekas ADUN Jabi di Kampung Tanah Merah, dekat Jertih.

Selain Ahmad turut hadir ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad, ADUN Jabi, Mohd Iskandar
Jaafar dan pegawai kanan kerajaan daerah Besut dan Setiu.

Ramlan yang lebih mesra dengan panggilan “Chegu Lan” bersama iteri tetap berpengaruh dan mempunyai ramai penyokong biarpun sudah tidak menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

Kehadiran ramai pemimpin termasuk bekas ADUN dan pemimpin sekarang membuktikan semangat setiakawan di kalangan pemimpin Terengganu tetap teguh dan utuh walapun ada di antara mereka sudah tiada tempat dalam kepemimpinan sekarang.

Ramlan amat gembira dengan kehadiran orang ramai terutama rakan seperjuangan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada majlis perkawinan anak sulung beliau.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang dapat hadir memeriahkan majlis berkenaan sambil menghargai kesudian tetamu jemputan khususnya penduduk di DUN Jabi.

MB alu-alukan pelantikan Presiden PBSNT baru

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengalu-alukan perlantikan Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid sebagi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang baru.

 Beliau berharap dengan perlantikan itu, PBSNT mampu memikirkan idea baru, menjalinkan kerjasama antara persatuan daerah dan sebagainya sekaligus membuat perubahan yang membanggakan.

 Katanya, pendekatan itu cukup penting bagi membentuk pasukan yang lebih mantap pada masa depan, serta mengembalikan kegemilangan skuad Pebelum yang pernah dicipta sebelum ini.

 “Saya juga memberi peringatan awal kepada presiden baru supaya memastikan pemain import yang dipilih untuk mewakili Terengganu musim depan setimpal dengan pelaburan yang dibuat.

“Jangan memilih dan mengharapkan pemain import yang dicadang ejen melalui rakaman video saja .,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Jubli Emas Hari 1Malaysia peringkat Terengganu, di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, dia mengambil serius perkara itu, jika silap pilih permain import buruk padahnya dan Datuk Wan Ahmad Nizam perlu menanggung risiko.

 “Jadi sebab itulah beliau telah berbincang dengan exco sukan (Pengerusi Jawatakuasa Belia dan Sukan, YB Rozi Mamat) serta pihak pengurusan mengenai perkara itu.

 “Pihak pengurusan PBSNT turut meninjau pemain import di Croatia dan Bosnia (Hergovina) bagi menambah kekuatan kesebelasan skuad Terengganu,” katanya.

Datuk Wan Ahmad Nizam yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, menang tanpa bertanding selepas hanya namanya diumumkan layak bertanding daripada dua pencalonan yang diterima.

Beliau dipilih menerajui persatuan tersebut bagi menggantikan Dato’ Che Mat Jusoh yang telah menyandang jawatan itu selama lebih 14 tahun sebelum ini.

 Perkara tersebut diumumkan dalam Kongres Tahunan Luar Biasa PBSNT 2013 yang turut menyaksikan Naib Presiden PBSNT yang juga pengurus pasukan Terengganu, Marzuki Sulong dilantik sebagai Timbalan Presiden yang baharu menggantikan Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof yang meletakkan jawatannya pada 25 Jun lalu.