Halaman

22 September 2013

Program SDSI bantu tingkat ekonomi penduduk luar bandar

Oleh: Noraini Jusoh

Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) mampu meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar melalui penglibatan mereka dalam aktiviti keusahawanan yang diusahakan secara komersial di kawasan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawanan (YPU) Terengganu, Che Razali Adis berkata, dengan adanya program SDSI ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dengan penyertaan dalam aktiviti ekonomi melalui pengeluaran produk yang akan menjana pendapatan secara berterusan.

“Program berbentuk komuniti itu memberi peluang kepada lebih ramai pihak terlibat dalam rantaian perniagaan bermula daripada pengeluaran bahan mentah, pemprosesan produk, logistik dan pemasaran produk kepada pengguna,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Zon Timur dan Festival Coklat dan Bakeri 2013 di Pusat Dagangan Terengganu, baru-baru ini.

Mengulas mengenai program tersebut beliau berkata, Showcase SDSI kali ketiga yang dianjurkan kerajaan negeri melalui YPU bertujuan memperkasakan usahawan di setiap daerah negeri ini.

“Showcase SDSI tahun ini bukan sahaja diserta usahawan dari tiga negeri di Pantai Timur, malah turut disertai usahawan dari Sarawak, Perlis, Johor dan Pulau Pinang sebagai platform memasarkan produk keluaran masing-masing.

"Tahun lalu, seramai 17, 500 pengunjung datang dalam program yang melibatkan 135 usahawan mengambil bahagian memperkenalkan produk mereka dan tahun ini kita menyasarkan 500,000 pengunjung akan menghadiri Showcase SDSI yang melibatkan 136 usahawan dari seluruh negeri ini,” ujarnya.

Sempena majlis perasmian program tersebut juga, YPU turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama anak syarikat SME Bank iaitu Pusat Pembangunan Usahawan dan Penyelidikan (CEDAR) dan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) bagi memperkasakan lagi usahawan negeri ini.

 

Usahawan perlu manfaat peluang dan kemudahan ditawarkan kerajaan

Oleh: Noraini Jusoh

Golongan usahawan di negeri ini diseru manfaatkan semua peluang dan kemudahan yang ditawarkan kerajaan supaya produk yang diperkenalkan mampu berada di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, golongan usahawan sepatutnya merebut setiap peluang dan kemudahan yang diberikan sekali gus dapat memenuhi hasrat kerajaan negeri mahu memperhebat golongan usahawan dan memperluaskan skala perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini.

“Pihak kerajaan mengharapkan setiap daerah mengambil peranan yang lebih giat dan efektif dalam membangunkan produk baru dan usahawan di setiap daerah dinasihatkan mengatur strategi yang sewajarnya dalam mengurus dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

"Sebagai contoh, kemudahan yang disediakan pihak pejabat daerah yang dipertanggungjawabkan membantu dalam meningkatkan tahap pembungkusan dan perlabelan produk usahawan di bawah mereka agar produk tersebut mampu bersaing di pasaran terbuka perlu dihargai usahawan berkenaan,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Dato’ Haji Sabri Mohd Noor ketika Perasmian Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Zon Timur dan Festival Coklat dan Bakeri 2013 di Pusat Dagangan Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, banyak kekuatan dan keunikan produk negeri ini yang boleh diketengahkan contohnya batik, songket, ukuran kayu, tembaga dan sebagainya yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.




Input tambahan setiap negeri mantapkan PIN fasa 3

Oleh: Aida Abd Rahman

Institut Integriti Malaysia (IIM) akan mendapatkan input tambahan dari setiap negeri untuk memantap dan memperkukuhkan pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang memasuki fasa ketiga tahun depan (2014-2018).

Timbalan Presiden IIM, Dr A Bakar Sarpon, berkata fasa ketiga agenda PIN itu terus menuntut kepada sokongan semua pihak termasuk penjawat awam supaya pelaksanaannnya mampu menjadi model kepada negara Asean yang lain.

 “Pelan Integriti Nasional yang sedang kita rangka dan susun ini akan terus dimantapkan lagi dengan mendapatkan input dari seluruh negeri dalam usaha kita untuk memastikan negara bergerak ke depan dan lebih dari itu mampu menjadi model kepada rakan kita di negara Asean, termasuk di luar Asean.

“Malah, PIN seumpama Malaysia yang kita bincangkan dalam forum kita ini, sebenarnya tiada di Arab Saudi, Amerika Syarikat, Indonesia dan Timur Leste yang pernah saya pergi dan lihat, memang tiada,” katanya di Majlis Penutup Forum Ke Arah Membudayakan Intergriti Dalam Kalangan Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Terengganu di Hotel Prinz Park,Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, YB Haji Bazlan Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Strategik dan Integriti Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin tengku Abdul Jalil.

Dr A Bakar berkata, IIM yang bertindak sebagai penggerak, pemantau dan bersama semua sektor serta masyarakat menjadi tumpuan pelawat dan delegasi dari luar negara yang berminat untuk mengetahui agenda integriti nasional menerusi PIN, yang mana agenda itu tidak dipraktikkan di mana-mana negara lain di dunia.

 “Dalam konteks kita, mudah sahaja, adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat dan bukan penjawat awam sahaja, supaya menjadi warga yang bertanggungjawab, amanah, jujur, telus, akauntabiliti kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Jika itu dapat dicapai, insya-Allah negara kita akan berbeza dengan negara lain sebagaimana dilihat dalam media massa hari ini, setengah rakyat negara luar panas punggung, mahu melarikan diri dari berada di negara sendiri dan membawa diri ke Malaysia sebagai kawasan paling selamat,” katanya.

Menurutnya, objektif PIN juga perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, apabila negara mempunyai status dan indikator agak baik dalam pelbagai aspek termasuk indeks berkaitan integriti seperti keharmonian, perpaduan dan perniagaan.

Beliau berkata, pelaksanaan PIN sangat murni nilainya kerana secara umum mendapat sokongan meluas seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor dan agensi apabila kesedaran untuk menghindari rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan ketidakcekapan semakin meningkat.

Katanya, agenda itu memang sukar direalisasikan sepenuhnya dalam masa yang singkat, bagaimanapun prinsip dalam PIN sebenarnya berasaskan dasar terdahulu termasuk perlembagaan persekutuan dan prinsip Rukun Negara.


WALK 4 MALAYSIA BERMULA


Mohd Nor bersalam memohon restu daripada ibu mertuanya Hasmah bt Othman 65 tahun sambil diperhati oleh isterinya Zamilah bt Abd Latif










Walk4Malaysia, bermula hari ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

 Acara Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) yang memulakan program berjalan kaki hari ini, mampu menaikkan imej Malaysia di mata dunia.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata acara itu membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia sebuah negara aman di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.

Katanya pada masa sama , ingin menterjemahkan sokongan rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berjaya mengekalkan kestabilan politik.

“Keadaan itu menjadi asas untuk membentuk, membangun dan membina sebuah negara aman damai dalam iklim politik yang stabil serta rakyatnya yang cintakan keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di Dataran Kuala Besut, Besut, pagi ini.

Seterusnya Tengku Zaihan melancar sekaligus menunaikan hasrat kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) cawangan Besut, Mohd Noor Mat, 47, untuk berjalan kaki ke Putrajaya, kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Sebelum itu, Mohd Nor yang diiringi lebih 50 peserta terdiri daripada atlet Sukan Malaysia (Sukma), Kakitangan Majlis Sukan Negeri Terengganu dan belia dimulakan dengan bacaan doa dan senamrobik.

Perjalanan dijangka selama 12 hari sejauh 600 kilometer (KM) itu akan singgah di beberapa lokasi terpilih, termasuk Merang, Setiu; Batu Burok (Kuala Terengganu); Mercang (Marang); Paka (Dungun) dan Chukai (Kemaman).

 Seterusnya di beberapa lokasi di Pahang sebelum ke Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan ke Putrajaya untuk menamatkan perjalanan.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, program itu mampu memupuk semangat kekitaan antara masyarakat pelbagai negeri, selain bertujuan menterjemahkan sokongan rakyat kepada Perdana Menteri supaya terus mengekalkan keamanan dan kebebasan.

 

TATiUC lahir 3,000 graduan berkualiti

Oleh: Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih) 

Kolej Universiti Tati (TATiUC) berjaya melahirkan lebih 3,000 graduan berkualiti tinggi di mana mampu memenuhi kehendak pasaran kerjaya di pelbagai jabatan dan industri terkemuka negara ini.

Rektor kolej itu, Dr Zunaidi Ibrahim, berkata bilangan itu dicatatkan sejak 20 tahun penubuhan Tatiuc, dan apa yang membanggakan kebanyakan graduan kini memperoleh pendapatan bulanan antara RM 2,000 hingga RM 7,000.

Katanya, berdasarkan kajian jumlah pelajar yang menamatkan pengajian setiap tahun lebih 60 peratus berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

“Kerjasama antara TATiUC dengan pihak industri turut dijalankan untuk menjana kecemerlangan dalam aspek pengajaran.

“Pendekatan tersebut membolehkan pelbagai maklumat mengenai keperluan graduan dapat dikenalpasti untuk diterjemahkan kepada pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Mesra Media yang anjuran TATiUC di PrinzPark, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Hadir sama meraikan pelbagai agensi media, Pengerusi Lembaga Pengurusan TATiUC yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) YB Haji Bazlan Abd Rahman.

Dr Junaidi turut memberitahu jasa dan peranan media banyak membantu dalam menaikkan nama TATiUC. 

“Justeru itu melalui majlis itu kami menghargai jasa dan sumbangan wartawan dalam mempromosikan TATiUC kepada masyarakat luar supaya lebih terkenal di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata kluster penyelidikan diwujudkan selaras dengan hasrat universiti untuk mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dalam usaha untuk memartabatkan TATiUC sebagai sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia.

“Ia mampu menjadi platform kepada para penyelidik TATiUC untuk bergiat lebih aktif dalam bidang penyelidikan.

“Selain itu, ia bertujuan untuk menggalakkan penerokaan idea, konsep dan teori baru dan seterusnya akan menjadi pemangkin kepada penemuan baru, perkembangan ilmu dan penciptaan yang inovatif dan terkini;” katanya.


 

Ayam RM25,000

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Mustaffa bersama ayamnya.
KENYIR: Selepas beberapa minit merangkul gelaran Juara Antara Juara Pertandingan Ayam Serama Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Tasik Kenyir, semalam, ayam serama milik Radix dari Kelantan ditawarkan dengan harga RM25,000.

Bagaimanapun, pemiliknya Mustaffa Sidek atau lebih dikenali sebagai Radix enggan menjual ayam Serama itu kerana beliau mahu terus menyertai beberapa pertandingan ayam serama dan begitu menyayangi ayam yang berusia setahun setengah itu.

“Baru sebentar tadi ada yang menawarkan harga ayam ini sebanyak RM25,000 tetapi saya tidak mahu menjualnya kerana saya mahu bertanding, lagipun ia adalah hobi saya. Sebelum menyertai pertandingan inipun sudah ada yang mahu membeli ayam serama ini dengan harga RM15,000,” katanya.

Aksi seekor Juara.
Mustaffa berkata, untuk menjadi ayam juara antara juara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak kategori akan dipertandingkan. Saya menang sudah tiga kali ayam ini dalam kategori juara antara juara manakala sebelum ini dengan ayam yang lain saya sudah 15 menang ketegori itu,” katanya.

Beliau yang mula berkecimpung dalam pemeliharaan dan pertandingan ayam serama sejak hampir 20 tahun itu mengakui memperolehi hasil yang lumayan terbabit dalam bidang itu dengan manjual baka yang sering menang dalam pertandingan.

Sementara itu, kira-kira 500 peserta dari seluruh negara menyertai pertandingan kali ini melalui lapan kategori yang dipertandingankan termasuklah kategori A dan kategori juara antara juara yang dimenangi Mustaffa.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang dilakukan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato' Mohd Jidin Shafee.


21 September 2013

Mohd Jidin ditentang bekas "guru"nya.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Mohd Jidin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang Pertandingan Ayam Serama Peringkat Kebangsaan di Kenyir, petang tadi.
SETIU: Penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato' Mohd Jidin Shafee menghormati langkah bekas exco negeri Dato' Mamat Razali Abdul Rahman untuk bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian pada mesyuarat UMNO Bahagian Setiu yang akan diadakan nanti.

“Saya menghormati beliau, beliau adalah guru saya,” kata Mohd Jidin ketika dihubungi Teganukita, sebentar tadi.

Sementara itu dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Ayam Serama Peringkat Kebangsaan Di Tasik Kenyir, hari ini, ketika diminta mengulas mengenai pertandingan yang bakal diadakan pada mesyuarat UMNO bahagian Setiu itu nanti, beliau berkata, sebagai sebuah pertubuhan yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja boleh mencalonkan diri untuk bertanding.

“Saya sebenarnya tidak ada masalah apa-apa soal perlawanan, perlawanan adalah demokrasi dalam UMNO, jadi siapa sahaja boleh mengambil borang dan mencalonkan diri mereka, jika dahulu mereka terpaksa dicadangkan dari cawangan. Tetapi oleh kerana sistem baru ini, sesiapa sahaja yang mahu bertanding boleh mencalonkan diri.

“Jadi sebab itu tidak ada satu-satu batasan dari mereka.,siapa yang nak boleh masuk, terbuka. Walaupun kita ada pertandingan macam ini tapi dari segi semangat kita tak adalah nak bergaduh apa-apa, tak ada, kita duduk sama-sama.

“Kebebesan ini kita tawar yang buat sendiri kita yang tawar maka kita terima dengan baik. Ini adalah pertandingan yang sihat, kita harap begitulah. Penamaan calon keempat-empat sayap tadi berjalan dengan baik dan lancar dan penuh muhibbah,” katanya.

Sementara itu, pencalonan hari ini juga menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar menerima pencalonan tunggal dan bakal menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Setiu apabila dia tidak akan ditentang pada pemilihan akan datang.

Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Ismail Saamah berkata, untuk jawatan Ketua Wanita, dua pencalonan diterima iaitu Wan Nasiah Wan Majid (Langkap) dan Wan Maznah Awang Nong (Batu Rakit) manakala untuk Puteri UMNO pula, Nik Ana Azlina Nik Soh (Permaisuri) dan Nur Fuzilawati (Jabi) dicalonkan.


Kejutan ketika penyerahan borang pencalonan UMNO Bahagian Besut

Oleh: Mohammad Ishak

Kira-kira 15 minit sebelum waktu penutupan penyerahan borang pencalonan petugas di pejabat UMNO Bahagian Besut, dikejutkan dengan kehadiran wakil ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad yang muncul menyerahkan borang pencalonan jawatan Ketua UMNO Bahagian Besut.

Lima minit kemudian wakil ADUN Jertih, Muhamad Pehimi Yusof pula menyerahkan borang bagi jawatan sama.

Selepas itu, Pengarah UKOM Haji Samsuddin Sulong tanpil menyerahkan borang bagi jawatan Timbalan Ketua dan diikuti wakil ADUN Kota Putera,Mohd Mahdi Musa menyerahkan borang bagi jawatan Timbalan Ketua.,

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan II mengejutkan penyokong parti apabila hanya menawarkan diri jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian.

Perkembangan yang berlaku di bahagian Besut itu mengejutkan pemerhati politik kerana sebelum ini Ketua UNNO Bahagian Besut itu dikatakan tidak akan dicabar sesiapa.

Nawi yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua, sebelum ini pernah bertanding menentang Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin yang akhirnya memberi laluan bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Rosli suka berkhidmat untuk penduduk Sg.Bari.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Rosli Pengerusi JKKK Sg.Bari, Setiu.
PEMBABITANYA dalam UMNO sejak berusia 15 tahun lagi dengan mengikuti pelbagai program yang dianjurkan tetapi disebabkan umurnya masih muda ketika itu dia tidak dapat menjadi ahli UMNO sehinggalah usianya 21 tahun.

Rosli Awang, 51, dari Kampung Sungai Bari, Setiu atau lebih dikenali sebagai Abang Li menjadi semakin aktif selepas menjadi ahli UMNO di kawasanya dengan memegang beberapa jawatan dalam pertubuhan itu termasuklah menjadi Bendahari UMNO cawangan selama lapan tahun.

Setiausaha UMNO selama lima tahun, Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung (JKKK) bermula 2004 hingga 2011 dan menjadi Pengerusi JKKK sehingalah sekarang. Selain itu dia juga Yang Di

Pertua (YDP) Sekolah Kebangsaan Batu 29 selama enam tahun bermula 2007 serta Pengerusi Masjid selama lebih 10 tahun. “Saya suka berkhidmat untuk masyarakat kerana itu saya memegang banyak jawatan yang dilantik oleh penduduk.

"Semua itu saya lakukan dengan ikhlas dan jujur ,” katanya yang mempunyai hubungan erat dengan penduduk di kampungnya itu.

Rosli berkata, sejak di memegang jawatan Pengerusi JKKK, dia sudah menyelesaikan pelbagai masalah penduduk antaranya ialah membaikpulih rumah yang uzur, membantu penduduk mendapatkan rumah PPRT dan menyelesaikan beberapa masalah lain

“Sebanyak 10 buah rumah sudah berjaya diubahsuai manakala enam buah rumah PPRT sudah dibina di kawasan saya sejak saya menjawat jawatan itu. Saya gembira kerana usaha saya menyelesaikan masalah mereka tercapai,” katanya.

Rosli sedang berbincang dengan seorang penduduk.
Menurut Rosli, dia kini sedang berusaha untuk mendapatkan tanah bagi membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan kampungnya kerana terdapat masih ramai golongan belia yang berumahtangga masih menumpang di rumah saudara-mara ataupun menyewa.

“Kawasan tanah sudahpun dikenali pasti, perkara itu sudahpun dimaklumkan kepada YB, Insya Allah beberapa rumah mampu milik akan dibina tidak lama lagi di kampung ini, itulah usaha saya yang utama,” kata bapa kepada enam anak itu.