Halaman

22 September 2013

Walk4Malaysia, bermula hari ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

 Acara Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) yang memulakan program berjalan kaki hari ini, mampu menaikkan imej Malaysia di mata dunia.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata acara itu membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia sebuah negara aman di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.

Katanya pada masa sama , ingin menterjemahkan sokongan rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berjaya mengekalkan kestabilan politik.

“Keadaan itu menjadi asas untuk membentuk, membangun dan membina sebuah negara aman damai dalam iklim politik yang stabil serta rakyatnya yang cintakan keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di Dataran Kuala Besut, Besut, pagi ini.

Seterusnya Tengku Zaihan melancar sekaligus menunaikan hasrat kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) cawangan Besut, Mohd Noor Mat, 47, untuk berjalan kaki ke Putrajaya, kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Sebelum itu, Mohd Nor yang diiringi lebih 50 peserta terdiri daripada atlet Sukan Malaysia (Sukma), Kakitangan Majlis Sukan Negeri Terengganu dan belia dimulakan dengan bacaan doa dan senamrobik.

Perjalanan dijangka selama 12 hari sejauh 600 kilometer (KM) itu akan singgah di beberapa lokasi terpilih, termasuk Merang, Setiu; Batu Burok (Kuala Terengganu); Mercang (Marang); Paka (Dungun) dan Chukai (Kemaman).

 Seterusnya di beberapa lokasi di Pahang sebelum ke Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan ke Putrajaya untuk menamatkan perjalanan.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, program itu mampu memupuk semangat kekitaan antara masyarakat pelbagai negeri, selain bertujuan menterjemahkan sokongan rakyat kepada Perdana Menteri supaya terus mengekalkan keamanan dan kebebasan.