Halaman

24 September 2013

YB Bazlan redah bukit makan durian bersama penduduk.

Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar ehsan: Mazlan Mustaffa (Pejabat Adun Batu Rakit).

BATU RAKIT: Sekalipun sibuk dengan tugas sebagai wakil rakyat namun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman tetap meluangkan masa bersama beberapa penduduk menjamu durian di Bukit Beruang, Kampung Pecah Rotan, di sini.
Bazlan (tengah) bersama dua pemuda membawa turun durian dari bukit.

Bazlan yang tidak kekok masuk kebun durian milik seorang penduduk, walaupun terpaksa melalui jalan berbukit sempat beramah mesra dengan penduduk yang dianggap sebagai rakannya sendiri sebelum sama-sama kopek dan makan durian.

“Acara makan durian ini sudah menjadi kebiasaan penduduk kampung ini malah ia menjadi agenda wakil rakyat terdahulu. Program ini boleh mendekatkan hubungan penduduk dengan wakil rakyat selain mempromosikan makanan tempatan,” kata Bazlan.

Sementara itu, beberapa penduduk yang mengikuti program itu melahirkan rasa gembira kerana kesudian YB (Yang Berhormat) Bazlan untuk sama-sama turun ke kebun durian bagi menikmati keenakan buah durian Batu Rakit yang sememangnya dikenali penduduk sekitar.

Seorang penduduk, Mohammad Puteh, 58, berkata walaupun untuk ke kebun durian ini agak sukar perjalanannya tetapi YB Bazlan tetap datang untuk bersama-sama penduduk menjayakan program makan durian ini.

“Terima Kasihlah pada YB kerana sudi hadir, walaupun YB sibuk dengan tugas terutamanya merasmikan mesuayarat cawangan baru-baru ini tetapi beliau tetap meluangkan masa bersama penduduk. Sikap cakna YB ini tentunya akan disukai penduduk kampung ini,” katanya.

Bazlan berselera makan durian bersama penduduk.
Seorang lagi penduduk yang hadir, Mat Lazim Hashim, 49, berkata, YB Bazlan seorang yang sentiasa mengambil berat tentang rakyat, walaupun masih baru sebagai pemimpin kawasan Batu Rakit, tetapi wakil rakyat itu menunjukan komitmen yang tinggi untuk membantu rakyat.

“Walau sibuk macamanapun, dia tetapi akan menghadiri segala program yang dianjurkan penduduk, melainkan dia ada urusan di peringkat negeri. Saya mengharapkan dia akan melaksanakan segala tugasnya dengan baik dan jaya untuk mempastikan penduduk di kawasan ini terbela dan kawasan Batu Rakit ini maju,” katanya.