Halaman

23 September 2013

Banyak berdoa dan mohon pengampunan - MB

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Orang yang mengerjakan Haji dan Umrah adalah tetamu Agung kepada Allah. Sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya nescaya Allah ampunkan mereka.” Riwayat al-Nasa’iy dan Ibn Majah.

Antara jemaah haji yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu terus ke Mekah.
 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memetik sabda Rasulullah SAW itu di majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji Musim 1434H/2013M penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu ke Jedah, di Dewan Baiduri, Kompleks Haji dan TH Hotel Terengganu, Gong Badak hari ini.


“Ingatlah semasa tuan-tuan dan puan-puan melaksanakan ibadah haji, kebergantungan kita hanya kepada Allah SWT, gandakan doa dan mohon pengampunan dari segala dosa,” katanya.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan majlis pelepasan jemaah haji berkenaan. Berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Katanya, pelaksanaan ibadah haji memerlukan kekuatan jasmani dan fizikal yang baik dan melibatkan pergerakan yang banyak seperti tawaf, sa’ie dan melontar jamrah, oleh itu penjagaan kesihatan adalah penting bagi setiap bakal jemaah haji.


“Banyakkan bersabar dan berdoa kepada Allah SWT agar segala urusan ibadah ketika di Tanah Suci berjalan lancar dan mendapat keredhaan-Nya. Jika ada kesulitan hendaklah dirujuk kepada para petugas Tabung Haji,” katanya.

Katanya, tahun ini juga merupakan tahun bersejarah kerana kali pertama Kompleks Haji dan TH Hotel Terengganu digunakan sebagai tempat berkumpul para jemaah haji untuk proses pendaftaran, pemeriksaan bagasi dan kastam sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan proses pengendalian jemaah haji berjalan dengan teratur dan selesa serta tahniah kepada Tabung Haji kerana berjaya memberikan perkhidmatan pengurusan haji yang dikagumi oleh kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam lain,” katanya.

Penerbangan kedua daripada lima penerbangan itu membabitkan 279 bakal jemaah haji daripada 1360 jemaah keseluruhan dari Wilayah Pantai Timur yang akan mengerjakan ibadah haji melalui penerbangan terus dari LTSM ke Tanah Suci Mekah musim ini.