Halaman

22 September 2013

Ayam RM25,000

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Mustaffa bersama ayamnya.
KENYIR: Selepas beberapa minit merangkul gelaran Juara Antara Juara Pertandingan Ayam Serama Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Tasik Kenyir, semalam, ayam serama milik Radix dari Kelantan ditawarkan dengan harga RM25,000.

Bagaimanapun, pemiliknya Mustaffa Sidek atau lebih dikenali sebagai Radix enggan menjual ayam Serama itu kerana beliau mahu terus menyertai beberapa pertandingan ayam serama dan begitu menyayangi ayam yang berusia setahun setengah itu.

“Baru sebentar tadi ada yang menawarkan harga ayam ini sebanyak RM25,000 tetapi saya tidak mahu menjualnya kerana saya mahu bertanding, lagipun ia adalah hobi saya. Sebelum menyertai pertandingan inipun sudah ada yang mahu membeli ayam serama ini dengan harga RM15,000,” katanya.

Aksi seekor Juara.
Mustaffa berkata, untuk menjadi ayam juara antara juara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak kategori akan dipertandingkan. Saya menang sudah tiga kali ayam ini dalam kategori juara antara juara manakala sebelum ini dengan ayam yang lain saya sudah 15 menang ketegori itu,” katanya.

Beliau yang mula berkecimpung dalam pemeliharaan dan pertandingan ayam serama sejak hampir 20 tahun itu mengakui memperolehi hasil yang lumayan terbabit dalam bidang itu dengan manjual baka yang sering menang dalam pertandingan.

Sementara itu, kira-kira 500 peserta dari seluruh negara menyertai pertandingan kali ini melalui lapan kategori yang dipertandingankan termasuklah kategori A dan kategori juara antara juara yang dimenangi Mustaffa.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang dilakukan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato' Mohd Jidin Shafee.