Halaman

23 September 2013

Sultan Terengganu minta jemaah haji jaga nama baik negara

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Nur Zahirah berangkat menyempurnakan majlis Pelepasan Jemaah Haji dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud terus ke Tanah Suci Mekah.
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan majlis Pelepasan Jemaah Haji ke Tanah Suci Mekah Musim 1434H/2013M penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu ke Jedah, di Dewan Baiduri, Hotel Tabung Haji, Gong Badak hari ini.


Berkenan berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Menyambut keberangkatan Sultan dan Sultanah Terengganu ialah Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Kenamaan lain yang hadir ialah Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sultan Terengganu bertitah agar bakal-bakal haji dapat menjaga nama baik negara serta tidak mahu jemaah dari negara ini terpengaruh dan terikut-ikut terhadap pergolakan yang sedang berlaku di negara Timur Tengah.


“Tindakan seumpama itu boleh menjejaskan nama baik negara dan juga hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi. Ikuti segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi supaya segala urusan dapat dipermudahkan dan berjalan lancar,” titah baginda.

Sultan Terengganu juga menyeru agar bakal-bakal haji sentiasa mengingati Allah SWT dan banyak bersabar terhadap apa juga dugaan yang bakal dihadapi.

Titah baginda, setiap umat Islam yang menunaikan haji pasti mengharapkan dapat menunaikannya dengan sempurna dan dikurniakan haji yang mabrur.


“Haji yang sempurna memerlukan pengorbanan dari segi tenaga, masa, wang dan perasaan. Ibadah haji juga menuntut pergorbanan seperti perpisahan dengan keluarga, sahabat handai, harta kekayaan, kampung halaman serta menahan kemahuan nafsu semasa dalam ihram.

“Pengorbanan jitu itu bermula dengan persiapan jemaah dari segi mental, fizikal dan spiritual yang perlu berada pada tahap terbaik dan para jemaah hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri dan sekeliling agar tidak menjejaskan kesihatan,” titah baginda.

Sultan Terengganu juga melahirkan rasa bersyukur kerana tahun ini jemaah haji dari Wilayah Pantai Timur khususnya rakyat negeri ini dapat menggunakan kompleks haji yang berfungsi sebagai ‘one stop centre’ sebelum berlepas.

Baginda bertitah , segala proses pendaftaran, daftar ma suk bagasi, pelepasan jemaah disatukan di kompleks ini dan yakin ia mampu memberikan lebih kemudahan, kelancaran serta keselesaan kepada bakal jemaah haji dalam urusan pelepasan.

“Beta mengucapkan syabas kepada Tabung Haji di atas komitmen untuk mengekalkan dan menambah baik kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji pada setiap tahun .

 “Beta dan Sultanah mendoakan semua bakal jemaah haji dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna dan kembali ke Tanah Air dengan memperolehi haji yang mabrur,” titah Sultan Terengganu.