Halaman

22 September 2013

Program SDSI bantu tingkat ekonomi penduduk luar bandar

Oleh: Noraini Jusoh

Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) mampu meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar melalui penglibatan mereka dalam aktiviti keusahawanan yang diusahakan secara komersial di kawasan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawanan (YPU) Terengganu, Che Razali Adis berkata, dengan adanya program SDSI ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dengan penyertaan dalam aktiviti ekonomi melalui pengeluaran produk yang akan menjana pendapatan secara berterusan.

“Program berbentuk komuniti itu memberi peluang kepada lebih ramai pihak terlibat dalam rantaian perniagaan bermula daripada pengeluaran bahan mentah, pemprosesan produk, logistik dan pemasaran produk kepada pengguna,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Zon Timur dan Festival Coklat dan Bakeri 2013 di Pusat Dagangan Terengganu, baru-baru ini.

Mengulas mengenai program tersebut beliau berkata, Showcase SDSI kali ketiga yang dianjurkan kerajaan negeri melalui YPU bertujuan memperkasakan usahawan di setiap daerah negeri ini.

“Showcase SDSI tahun ini bukan sahaja diserta usahawan dari tiga negeri di Pantai Timur, malah turut disertai usahawan dari Sarawak, Perlis, Johor dan Pulau Pinang sebagai platform memasarkan produk keluaran masing-masing.

"Tahun lalu, seramai 17, 500 pengunjung datang dalam program yang melibatkan 135 usahawan mengambil bahagian memperkenalkan produk mereka dan tahun ini kita menyasarkan 500,000 pengunjung akan menghadiri Showcase SDSI yang melibatkan 136 usahawan dari seluruh negeri ini,” ujarnya.

Sempena majlis perasmian program tersebut juga, YPU turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama anak syarikat SME Bank iaitu Pusat Pembangunan Usahawan dan Penyelidikan (CEDAR) dan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) bagi memperkasakan lagi usahawan negeri ini.