Halaman

24 September 2013

Mohd Noor bertekad sampai ke Putrajaya

Oleh: Noraini Jusoh
Peserta Walk4Malaysia ketika tiba di Bandar Marang tadi. (KLIK foto untuk LIKE FB)

Peserta utama Walk For Malaysia (Walk4Malaysia), Mohd Noor Mat bertekad meneruskan cabaran berjalan kaki dari Besut ke Putrajaya walaupun berkemungkinan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam usaha menamatkan perjalanan sejauh 600 kilometer (km).

Meneruskan misi pada hari ketiga, Mohd Noor sambil diiringi 40 peserta Majlis Sukan Negeri Terengganu meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki dari Dataran Batu Burok ke Merchang, Marang, kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Dengan jarak kira-kira 48.4 km, perjalanan pada hari ini dijangka mengambil masa selama 9 jam.

Majlis perlepasan peserta Walk4Malaysia di hentian Dataran Batu Burok dimulakan dengan bacaan doa dan disempurnakan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Sebelum itu, peserta Walk4Malaysia berjaya menamatkan perjalanan pada hari kedua dari Masjid Merang, Setiu ke Dataran Batu Burok dengan jarak sejauh 40.7 km kira-kira jam 6.50 petang semalam.

Mohd Noor yang telah berjalan kaki kira-kira sejauh 100 km berkata, beliau akan tetap berusaha menamatkan perjalanan walaupun pelbagai dugaan yang bakal ditempuhinya.

“Setiap hari, selain mengambil makanan berkhasiat yang lain, saya turut mengamalkan makan buah kurma dan minum air zam-zam sebelum mula berjalan kaki untuk menguatkan stamina.

“Sejak memulakan perjalanan dari Dataran Kuala Besut sehingga ke Dataran Batu Burok, saya menggunakan tiga pasang kasut untuk menamatkan perjalanan yang penuh mencabar,” ujarnya.