Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) berkenan merasmikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Marang disaksikan Dato' Seri Haji Ahmad Said. |
Gambar oleh Zulkipli Putra
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah dengan terbinanya Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di lokasi yang strategik akan dapat memberikan kelebihan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk melatih pegawai baru berkhidmat kepada masyarakat.
Baginda bertitah, prasarana dan fasiliti yang disediakan telah mencapai tahap yang amat membanggakan serta setaraf dengan yang terdapat di negara-negara yang lebih maju.
“Perkhidmatan kebombaan merupakan suatu keperluan asas kepada setiap lapisan masyarakat khususnya bagi kawasan-kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang tinggi atau kawasan perindustrian serta pusat komersial yang pesat membangun.
Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Sri Temenggong Raja.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.
Sultan Mizan bertitah, kewujudan perkhidmatan kebombaan yang baik juga amat penting dalam usaha menarik pelabur luar negara dan negeri ini dan pembangunan sesuatu kawasan.
“Pelabur asing khususnya amat menitikberatkan aspek keselamatan aset dan harta benda mereka dalam membuat keputusan pelaburan mereka kerana kebanyakan mereka yang datangya dari negara-negara maju mengharapkan suatu tahap perlindungan keselamatan yang tinggi di negara-negara yang mereka akan melabur.
“Pada kesempatan ini juga beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terhadap khidmat bakti yang dicurahkan saban hari bagi membantu rakyat yang memerlukan pertolongan dan bantuan khususnya mereka yang di dalam kecemasan atau bencana,” titah baginda.
Sultan Mizan menyeru supaya pihak bomba akan terus meningkatkan kecekapan dan kemahiran agar dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik lagi di masa hadapan.
Baginda turut bertitah supaya pegawai-pegawai dan kakitangan di akademi itu memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk melatih para pegawai bomba menjadi modal insan yang dapat membanggakan jabatan.
Titah baginda, perkhidmatan yang tulus dengan tulus ikhlas dan diiringi dengan kemesraan, akan diingiti dan lebih dihargai oleh orang ramai.
“Pihak bomba juga diminta menyediakan pelbagai aktiviti untuk mendekati masyarakat seperti gotong-royong, program bomba bersama masyarakat, pameran dan pendidikan, kempen kesedaran keselamatan kebakaran dan sebagainya.
“Beta juga menyeru dan menggesa supaya masyarakat di negara ini memberikan sokongan yang padu kepada anggota jabatan ini,” titah baginda.
Sultan Mizan juga menyeru supaya peranan memastikan kediaman dan penempatan kita bebas daripada bahaya kebakaran, bukanlah menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata dan jika beban ini dapat dipikul bersama ianya akan menjadi mudah dan senang.