Halaman

22 September 2013

WALK 4 MALAYSIA BERMULA


Mohd Nor bersalam memohon restu daripada ibu mertuanya Hasmah bt Othman 65 tahun sambil diperhati oleh isterinya Zamilah bt Abd Latif










Walk4Malaysia, bermula hari ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

 Acara Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) yang memulakan program berjalan kaki hari ini, mampu menaikkan imej Malaysia di mata dunia.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata acara itu membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia sebuah negara aman di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.

Katanya pada masa sama , ingin menterjemahkan sokongan rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berjaya mengekalkan kestabilan politik.

“Keadaan itu menjadi asas untuk membentuk, membangun dan membina sebuah negara aman damai dalam iklim politik yang stabil serta rakyatnya yang cintakan keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di Dataran Kuala Besut, Besut, pagi ini.

Seterusnya Tengku Zaihan melancar sekaligus menunaikan hasrat kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) cawangan Besut, Mohd Noor Mat, 47, untuk berjalan kaki ke Putrajaya, kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Sebelum itu, Mohd Nor yang diiringi lebih 50 peserta terdiri daripada atlet Sukan Malaysia (Sukma), Kakitangan Majlis Sukan Negeri Terengganu dan belia dimulakan dengan bacaan doa dan senamrobik.

Perjalanan dijangka selama 12 hari sejauh 600 kilometer (KM) itu akan singgah di beberapa lokasi terpilih, termasuk Merang, Setiu; Batu Burok (Kuala Terengganu); Mercang (Marang); Paka (Dungun) dan Chukai (Kemaman).

 Seterusnya di beberapa lokasi di Pahang sebelum ke Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan ke Putrajaya untuk menamatkan perjalanan.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, program itu mampu memupuk semangat kekitaan antara masyarakat pelbagai negeri, selain bertujuan menterjemahkan sokongan rakyat kepada Perdana Menteri supaya terus mengekalkan keamanan dan kebebasan.

 

TATiUC lahir 3,000 graduan berkualiti

Oleh: Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih) 

Kolej Universiti Tati (TATiUC) berjaya melahirkan lebih 3,000 graduan berkualiti tinggi di mana mampu memenuhi kehendak pasaran kerjaya di pelbagai jabatan dan industri terkemuka negara ini.

Rektor kolej itu, Dr Zunaidi Ibrahim, berkata bilangan itu dicatatkan sejak 20 tahun penubuhan Tatiuc, dan apa yang membanggakan kebanyakan graduan kini memperoleh pendapatan bulanan antara RM 2,000 hingga RM 7,000.

Katanya, berdasarkan kajian jumlah pelajar yang menamatkan pengajian setiap tahun lebih 60 peratus berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

“Kerjasama antara TATiUC dengan pihak industri turut dijalankan untuk menjana kecemerlangan dalam aspek pengajaran.

“Pendekatan tersebut membolehkan pelbagai maklumat mengenai keperluan graduan dapat dikenalpasti untuk diterjemahkan kepada pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Mesra Media yang anjuran TATiUC di PrinzPark, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Hadir sama meraikan pelbagai agensi media, Pengerusi Lembaga Pengurusan TATiUC yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) YB Haji Bazlan Abd Rahman.

Dr Junaidi turut memberitahu jasa dan peranan media banyak membantu dalam menaikkan nama TATiUC. 

“Justeru itu melalui majlis itu kami menghargai jasa dan sumbangan wartawan dalam mempromosikan TATiUC kepada masyarakat luar supaya lebih terkenal di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata kluster penyelidikan diwujudkan selaras dengan hasrat universiti untuk mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dalam usaha untuk memartabatkan TATiUC sebagai sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia.

“Ia mampu menjadi platform kepada para penyelidik TATiUC untuk bergiat lebih aktif dalam bidang penyelidikan.

“Selain itu, ia bertujuan untuk menggalakkan penerokaan idea, konsep dan teori baru dan seterusnya akan menjadi pemangkin kepada penemuan baru, perkembangan ilmu dan penciptaan yang inovatif dan terkini;” katanya.


 

Ayam RM25,000

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Mustaffa bersama ayamnya.
KENYIR: Selepas beberapa minit merangkul gelaran Juara Antara Juara Pertandingan Ayam Serama Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Tasik Kenyir, semalam, ayam serama milik Radix dari Kelantan ditawarkan dengan harga RM25,000.

Bagaimanapun, pemiliknya Mustaffa Sidek atau lebih dikenali sebagai Radix enggan menjual ayam Serama itu kerana beliau mahu terus menyertai beberapa pertandingan ayam serama dan begitu menyayangi ayam yang berusia setahun setengah itu.

“Baru sebentar tadi ada yang menawarkan harga ayam ini sebanyak RM25,000 tetapi saya tidak mahu menjualnya kerana saya mahu bertanding, lagipun ia adalah hobi saya. Sebelum menyertai pertandingan inipun sudah ada yang mahu membeli ayam serama ini dengan harga RM15,000,” katanya.

Aksi seekor Juara.
Mustaffa berkata, untuk menjadi ayam juara antara juara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak kategori akan dipertandingkan. Saya menang sudah tiga kali ayam ini dalam kategori juara antara juara manakala sebelum ini dengan ayam yang lain saya sudah 15 menang ketegori itu,” katanya.

Beliau yang mula berkecimpung dalam pemeliharaan dan pertandingan ayam serama sejak hampir 20 tahun itu mengakui memperolehi hasil yang lumayan terbabit dalam bidang itu dengan manjual baka yang sering menang dalam pertandingan.

Sementara itu, kira-kira 500 peserta dari seluruh negara menyertai pertandingan kali ini melalui lapan kategori yang dipertandingankan termasuklah kategori A dan kategori juara antara juara yang dimenangi Mustaffa.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang dilakukan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato' Mohd Jidin Shafee.


21 September 2013

Mohd Jidin ditentang bekas "guru"nya.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Mohd Jidin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang Pertandingan Ayam Serama Peringkat Kebangsaan di Kenyir, petang tadi.
SETIU: Penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato' Mohd Jidin Shafee menghormati langkah bekas exco negeri Dato' Mamat Razali Abdul Rahman untuk bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian pada mesyuarat UMNO Bahagian Setiu yang akan diadakan nanti.

“Saya menghormati beliau, beliau adalah guru saya,” kata Mohd Jidin ketika dihubungi Teganukita, sebentar tadi.

Sementara itu dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Ayam Serama Peringkat Kebangsaan Di Tasik Kenyir, hari ini, ketika diminta mengulas mengenai pertandingan yang bakal diadakan pada mesyuarat UMNO bahagian Setiu itu nanti, beliau berkata, sebagai sebuah pertubuhan yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja boleh mencalonkan diri untuk bertanding.

“Saya sebenarnya tidak ada masalah apa-apa soal perlawanan, perlawanan adalah demokrasi dalam UMNO, jadi siapa sahaja boleh mengambil borang dan mencalonkan diri mereka, jika dahulu mereka terpaksa dicadangkan dari cawangan. Tetapi oleh kerana sistem baru ini, sesiapa sahaja yang mahu bertanding boleh mencalonkan diri.

“Jadi sebab itu tidak ada satu-satu batasan dari mereka.,siapa yang nak boleh masuk, terbuka. Walaupun kita ada pertandingan macam ini tapi dari segi semangat kita tak adalah nak bergaduh apa-apa, tak ada, kita duduk sama-sama.

“Kebebesan ini kita tawar yang buat sendiri kita yang tawar maka kita terima dengan baik. Ini adalah pertandingan yang sihat, kita harap begitulah. Penamaan calon keempat-empat sayap tadi berjalan dengan baik dan lancar dan penuh muhibbah,” katanya.

Sementara itu, pencalonan hari ini juga menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar menerima pencalonan tunggal dan bakal menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Setiu apabila dia tidak akan ditentang pada pemilihan akan datang.

Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Ismail Saamah berkata, untuk jawatan Ketua Wanita, dua pencalonan diterima iaitu Wan Nasiah Wan Majid (Langkap) dan Wan Maznah Awang Nong (Batu Rakit) manakala untuk Puteri UMNO pula, Nik Ana Azlina Nik Soh (Permaisuri) dan Nur Fuzilawati (Jabi) dicalonkan.


Kejutan ketika penyerahan borang pencalonan UMNO Bahagian Besut

Oleh: Mohammad Ishak

Kira-kira 15 minit sebelum waktu penutupan penyerahan borang pencalonan petugas di pejabat UMNO Bahagian Besut, dikejutkan dengan kehadiran wakil ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad yang muncul menyerahkan borang pencalonan jawatan Ketua UMNO Bahagian Besut.

Lima minit kemudian wakil ADUN Jertih, Muhamad Pehimi Yusof pula menyerahkan borang bagi jawatan sama.

Selepas itu, Pengarah UKOM Haji Samsuddin Sulong tanpil menyerahkan borang bagi jawatan Timbalan Ketua dan diikuti wakil ADUN Kota Putera,Mohd Mahdi Musa menyerahkan borang bagi jawatan Timbalan Ketua.,

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan II mengejutkan penyokong parti apabila hanya menawarkan diri jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian.

Perkembangan yang berlaku di bahagian Besut itu mengejutkan pemerhati politik kerana sebelum ini Ketua UNNO Bahagian Besut itu dikatakan tidak akan dicabar sesiapa.

Nawi yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua, sebelum ini pernah bertanding menentang Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin yang akhirnya memberi laluan bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Rosli suka berkhidmat untuk penduduk Sg.Bari.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Rosli Pengerusi JKKK Sg.Bari, Setiu.
PEMBABITANYA dalam UMNO sejak berusia 15 tahun lagi dengan mengikuti pelbagai program yang dianjurkan tetapi disebabkan umurnya masih muda ketika itu dia tidak dapat menjadi ahli UMNO sehinggalah usianya 21 tahun.

Rosli Awang, 51, dari Kampung Sungai Bari, Setiu atau lebih dikenali sebagai Abang Li menjadi semakin aktif selepas menjadi ahli UMNO di kawasanya dengan memegang beberapa jawatan dalam pertubuhan itu termasuklah menjadi Bendahari UMNO cawangan selama lapan tahun.

Setiausaha UMNO selama lima tahun, Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung (JKKK) bermula 2004 hingga 2011 dan menjadi Pengerusi JKKK sehingalah sekarang. Selain itu dia juga Yang Di

Pertua (YDP) Sekolah Kebangsaan Batu 29 selama enam tahun bermula 2007 serta Pengerusi Masjid selama lebih 10 tahun. “Saya suka berkhidmat untuk masyarakat kerana itu saya memegang banyak jawatan yang dilantik oleh penduduk.

"Semua itu saya lakukan dengan ikhlas dan jujur ,” katanya yang mempunyai hubungan erat dengan penduduk di kampungnya itu.

Rosli berkata, sejak di memegang jawatan Pengerusi JKKK, dia sudah menyelesaikan pelbagai masalah penduduk antaranya ialah membaikpulih rumah yang uzur, membantu penduduk mendapatkan rumah PPRT dan menyelesaikan beberapa masalah lain

“Sebanyak 10 buah rumah sudah berjaya diubahsuai manakala enam buah rumah PPRT sudah dibina di kawasan saya sejak saya menjawat jawatan itu. Saya gembira kerana usaha saya menyelesaikan masalah mereka tercapai,” katanya.

Rosli sedang berbincang dengan seorang penduduk.
Menurut Rosli, dia kini sedang berusaha untuk mendapatkan tanah bagi membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan kampungnya kerana terdapat masih ramai golongan belia yang berumahtangga masih menumpang di rumah saudara-mara ataupun menyewa.

“Kawasan tanah sudahpun dikenali pasti, perkara itu sudahpun dimaklumkan kepada YB, Insya Allah beberapa rumah mampu milik akan dibina tidak lama lagi di kampung ini, itulah usaha saya yang utama,” kata bapa kepada enam anak itu.


Bina 'rantaian' sendiri untuk elak orang tengah..Sabri

Sabri ketika berucap merasmikan mesyuarat PPNT
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

SETIU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan sentiasa membantu petani, nelayan dan penternak bagi mengatasi masalah orang tengah dengan mewujudkan rantaian perniagaan sendiri supaya mereka dapat menikmati pendapatan yang lebih baik. 

Menterinya, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata dengan adanya rantaian-rantaian itu kewujudan orang-orang tengah dapat dihapuskan kerana semuanya dilakukan pihak yang terbabit dengan nelayan, petani dan penternak itu sendiri.

“Pertama kita akan adakan pemasaran terus supaya kita nak mengurangkan tingkat-tingkat tadi ,kalau dua tiga empat lapis baru sampai kepada pembeli, kita akan potong tingkat-tingkat itu kerana itulah kita membina pasar-pasar nelayan di kawasan pendaratan ikan untuk membantu nelayan.

Sabri (tegah) berjalan menuju dewan mesyuarat
“Kita kena menguasai segala rantaian-rantaian, maksudnya selain tangkap ikan, hok lain kita kena kawal juga, kilang air batu misalnya kita kena beli dengan orang lain, kita pergi ke laut nak beli barang kena beli kedai runcit orang lain, nak beli pukat beli kedai orang lain juga. Nak jual ikan guna lori orang lain,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Persatuan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) ke 39 di Agro Resort, di sini, semalam.

Kerana itulah, katanya, beliau mengarahkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) supaya membantu menjual ikan-ikan yang tidak dijual. Dan agensi-agensi kerajaan bersama Persatuan Nelayan mesti menguasai segala rantaian itu.

“Air batu beli dikedai-kedai persatuan nelayan, bot yang rosak hantar membaikinya di kedai kepunyaan persatuan nelayan, mekanik juga anak-anak nelayan, kita akan bantu dan latih mereka untuk menjadi mekanik. Tidak cukup duit kita akan beri bantuan modal untuk membeli peralatan membaiki.

“Kalau macam ini barulah kita tidak bergantung dengan orang lain, cukuplah kita bergantung dengan orang lain ni, semua kita bergantung dengan orang lain. Saya mengarahkan FAMA bersama persatuan nelayan mewujudkankan agro bazaar, kedai runcit di setiap kawasan nelayan, kalau tak ada duit kita akan bantu untuk mewujudkan kedai itu.

“Biar kita sendiri punya, barulah kita dapat pulang balik hak kita tu, bukan orang lain punya, kalau orang lain punya silap-silap kita akan hutang dengan dia,” katanya.

Sabri berkata, rantaian itu akan diwujudkan kepada semua termasuklah penanam padi supaya setiap petani, penternak dan nelayan akan menikmati kehidupan yang lebih baik dan ianya akan mengurangkan peranan orang tengah yang sudah lama mengaut keuntungan hasil penat lelah petani, penternak dan nelayan.

Turut hadir ialah Exco Industri Asas Tani dan Perusahaan, Perladangan, Komoditi Negeri, Nawi Mohammad,  Exco Penerangan ,Komunikasi dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Jidin Shafee, Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh dan Dato' Zainal Dahlan, Pengerusi LPP Malaysia.

Sebahagian ahli yang hadir mesyuarat.

**

20 September 2013

Ukom muncul johan boling anjuran TATiUC

Oleh: Aida Abd Rahman

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) muncul juara pertandingan boling sempena Hari Kolej Universiti  Tati (TATiUC) Bersama Media, di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Terengganu, hari ini.

Pasukan yang diwakili Kamaruddin Mat Akib, Aida Abd Rahman dan Abd Rahim Daud berjaya menewaskan tujuh pasukan lain selepas menghasilkan jatuhan pin tertinggi dengan mengumpul 1,250 mata.

Manakala tempat kedua berpihak kepada Bernama selepas ketinggalan 29 mata berbanding  kumpulan di tempat pertama.

Sementara tempat ketiga pula milik Radio Televisyen Malaysia Terengganu (RTM) yang mengumpul 1,118 mata.

Semua pemenang menerima hadiah berupa hamper dan baucer beli-belah di Pasaraya Giant.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Rektor TATiUC, Dr Zunaidi Ibrahim.

Hadir sama, Timbalan Rektor TATiUC, Dato’ Zulkifli Muhamad dan 30 pengamal media dari pelbagai agensi.

Menurut Dr Zunaidi, program tahunan anjuran TATiUC itu sebagai menghargai peranan media yang sudah banyak memberi promosi dan publisiti meluas yang mampu meningkatkan imej serta memperkenalkan pusat pengajian itu ke serata dunia.

Selain pertandingan boling, turut diadakan majlis makan malam dan cabutan bertuah pada sebelah malamnya, di Hotel Prinzpark.

 

AMANITA eratkan Polis dengan komuniti


Ahli AMANITA berkunjung ke rumah seorang penduduk di Seberang Jertih

Oleh: Mohammad Ishak

Kumpulan “Peace Lady” (AMANITA) yang ditubuhkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan pegawai dan anggota wanita berperanan menjadikan golongan suri rumah sebagai rakan polis dalam usaha mengurangkan kadar jenayah setempat.

AMANITA yang diketuai oleh seorang Pegawai Wanita berpangkat Inspektor menggerakkan ahlinya menemui komuniti di setiap kampung sambil beramah mesra dan menyampaikan maklumat mengenai tanggung jawab polis bersama masyarakat.

Usaha yang dilakukan AMANITA Daerah Besut yang memulakan gerak kerja mendampingi masyarakat khususnya mendekati surirumah satu usaha murni dan mendapat kerjasama baik oleh penduduk daerah itu.

Kehadiran ahli AMANITA secara berkumpulan lengkap dengan pakaian seragam Polis menguatkan lagi kepercayaan suri rumah untuk memberi kerjasama dalam pelbagai aspek keselamatan selain dapat mengemukakan pelbagai aduan mengenai keadaan keselamatan di kampung masing-masing.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih, menjadi pilihan pertama AMANITA Daerah Besut untuk menggerakkan aktiviti ahli menemui suri rumah sambil bertanya kabar mengenai keadaan keselamatan di kawasan berkenaan.

Program di bawah National Blue Ocean Strategi (NBOS) itu memberi peluang kedua belah pihak mendapat maklumat semasa dan memudahkan pihak polis mengambil tindakan hasil maklumat daripada suri rumah yang ditemu bual ketika mengadakan sesi kunjungan hormat ke rumah terpilih.

Penaung AMANITA Besut, Inspektor Azirah Arshad yang mengetuai kumpulan itu bersama lapan anggota lain berpeluang menyampaikan penerangan mengenai issue semasa selain meklumat berhubung keselamatan.

Malah, program itu mendapat maklumat dua hala apabila suri rumah yang ditemubual turut berkongsi maklumat dan memaklumkan apa saja yang mereka lihat mengenai kalibat orang yang tidak dikenali masuk ke kawasan perumahan terbabit.

Azirah berkata, kehadiran ahli kumpulan itu sebenarnya dapat membantu polis kerana suri rumah memberi kerjasama baik dan berani menyampikan sesuatu masalah yang berlaku di tempat mereka.

Sebenarnya, kata Azirah pegawai AMANITA berperanan sebagai perantara untuk mendapatkan sebarang maklumat khususnya yang berunsur jenayah daripada golongan suri rumah.

“Maklumat yang diterima daripada mereka kemudian akan disalurkan kepada pihak jabatan atau unit berkaitan untuk diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, ahli kumpulan itu akan bergerak dari masa ke semasa menemui suri rumah sekitar daerah itu secara berperingkat dan orang ramai dinasihatkan jangan panik dengan kehadiran mereka kerana ia dilakukan menerusi JKKK di kawasan masing-masing.