Halaman

24 September 2013

Lebih 20 negara dijangka sertai TIIAF 2013

Oleh: Noraini Jusoh
Datuk Haji Zubir Embong
Lebih 20 negara dijangka akan menyertai Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) yang dijadualkan bermula 15 November ini selama tiga hari, di Taman Tamadun Islam (TTI).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Haji Zubir Embong berkata, sehingga kini 12 negara telah mengesahkan penyertaan iaitu dari Jordan, Iraq, Algeria, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Pakistan, Yaman, Brunei, Palestin, Thailand dan Arab Saudi bagi acara pertandingan seni khat peringkat antarabangsa.

"Kita masih menunggu pendaftaran peserta dari lain-lain negara antaranya Sepanyol, Turki, serta Singapura sehingga tarikh tutup penyertaan pada 24 Oktober ini dan dijangka lebih 20 negara akan menyertai TIIAF 2013 kerana kali ini terbuka kepada seluruh negara.

“Bagi pertandingan khat kategori antarabangsa, peserta dibekalkan buku panduan pertandingan seni khat dan diberi masa selama tiga bulan untuk menyiapkan karya masing-masing dan perlu dihantar kepada seketariat TIIAF 2013 sebelum tarikh tutup.

“Manakala peringkat kebangsaan pula ada dua kategori iaitu karya siap (kanvas, kayu, logam) dan spontan. Pertandingan seni khat spontan akan diadakan pada 17 November 2013. Bagi peserta yang berminat untuk menyertai pertandingan ini perlu mengisi borang pertandingan dan menyerahkannya kepada urusetia program sebelum 30 Oktober ini, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena 'Terengganu International Islamic Arts Festival' (TIIAF 2013) di Restoran B'Benteng, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, hadiah yang ditawarkan cukup lumayan di mana nilai hadiah keseluruhan bagi pertandingan peringkat antarabangsa adalah sebanyak USD 20,000.

Tambah beliau, sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 20013, program TIIAF 2013 juga merupakan medan untuk mempromosikan keunikan seni dan budaya serta keindahan Terengganu khususnya kepada peserta luar negara.

 

Lapan tokoh tersohor khat bakal kongsi ilmu di Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Lapan tokoh tersohor khat dari seluruh dunia bakal berkongsi ilmu dan pengalaman serta memberi tunjuk ajar kepada peserta tentang ilmu kaligrafi di Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) yang dijadualkan berlangsung di Taman Tamandun Islam (TTI) selama tiga hari bermula 15 November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Haji Zubir Embong (gambar) berkata, empat tokoh khat tersohor dari Turki iaitu Hasan Vhelebi, Dawood Bektas, Mumtaz Durdu, Efdaluddin Kilik telah menyatakan persetujuan untuk menjadi juri bagi pertandingan seni khat sempena festival berkenaan.
 
“Adnan Sheikh Osman dari Syiria, Ziyad Al-Muhandis (Iraq) serta Shereen Abd El Sabeer (Mesir) turut bersetuju menjadi juri.

“Selain itu, Dr. Halit Eren selaku ketua Pengarah, Research Center for Islamic History, Art and Cuture (IRCICA) Istanbul, Turki juga akan hadir ke festival itu nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena 'Terengganu International Islamic Arts Festival' (TIIAF 2013) di Restoran B'Benteng, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, TIIAF 2013 akan menampilkan pertandingan seni khat untuk peringkat antarabangsa dan kebangsaan yang akan disertai oleh pengiat kaligrafi yang berpengalaman dan pakar kaligrafi dari dalam dan luar negara.

“Pertandingan diperingkat kebangsaan diadakan dalam beberapa kategori seperti kanvas, kayu dan logam. Bersempena dengan festival tersebut juga, seminar dan bengkel akan diadakan dan bakal dikendali serta dipimpin oleh penulis khat terkenal dunia,” ujarnya.

Tambah beliau, bermula tahun ini, diadakan juga batikhat iaitu corak batik yang bermotifkan khat bagi melengkapkan festival ini untuk menggambarkan kepelbagaian produk berasaskan kaligrafi.

Katanya, bersempena dengan TIIAF 2013 juga, TTI turut menganjurkan ekspo produk berasaskan pakaian, hasil seni, makanan, pertunjukan batik, serta acara sukan rakyat untuk penduduk tempatan.

“Pada sebelah malam pula, persembahan muzikhat iaitu persembahan konsert muzikal yang berkonsepkan zikir akan dialunkan dengan peralatan muzik tradisional turut dipersembahkan kepada pengunjung yang hadir disamping forum bicara agama oleh tokoh agama yang dipilih,” katanya.

Tambah beliau, pihak penganjur iaitu TTI Management Sdn Bhd berharap dengan sokongan berterusan kerajaan negeri dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu akan membawa program tersebut lebih jauh lagi pada masa akan datang.

“Pertandingan kaligrafi peringkat antarabangsa yang dahulunya terhad kepada peserta rantau asia kini dibuka kepada peserta seluruh dunia. Hasil daripada penganjuran ini, diharap Terengganu akan menjadi terkenal sebagai salah satu pusat perkembangan seni Islam di dunia,” ujarnya.



Peserta pidato bakal rebut hadiah RM12,000

 Oleh: Suriati Ali dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar

Peserta Pertandingan Pidato 1Malaysia 2013 peringkat kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bakal merebut hadiah keseluruhan wang tunai RM12,000.

Pertandingan selama dua hari, bermula 28 September dan diadakan di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman,Chukai, Kemaman itu,akan disertai 15 peserta bukan Melayu dari seluruh negara.

Penolong Pengarah Jabatan PeneranganNegeri Terengganu (JPNT), Encik Mustafa Abd Kadir berkata, sebelum layak ke peringkat akhir, mereka terlebih dahului perlu melalui peringkat saringan yang akan diadakan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, Kemaman.

“Urusetia pertandingan akan memilih lima daripada 15 peserta yang benar-benar layak dan melepasi syarat saja akan layak ke peringkat akhir..

 “Penganjuran pertandingan kali ke-3 ini, bertemakan “Malaysia Berdaulat Tanah TumpahnyaDarahku” menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM12,000.

 “Johan pertandingan, layak menerima wang tunai RM3,000; tempat kedua pula, bakal membawa pulang (RM2,000), ketiga (RM1,000) dan 12 hadiah saguhati akan menerima wang tunai RM500 setiap seorang,” katanyadalam satu kenyataan .

Katanya, penganjur menyediakan lima tajuk iaitu ‘1Malaysia Penentu KejayaanWawasan 2020’; `Budaya Kecemerlangan Tonggak Bangsa’ dan ’Nilai-Nilai Murni Pemangkin Kecemerlangan Bangsa.

Tajuk lain yang boleh dipilih pserta, ’‘Transformasi Ke Arah Rakyat & Negara Maju’ dan Perpaduan Teras Kesejahteraan & Kemakmuran Negara’.

 “Pertandingan ini mampu meningkatkan kesedaran pengetahuan dan kefahaman di kalangan masyarakat pelbagai kaum megenai dasar Negara khususnya Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

 “Pada masa sama turut mengharapkan mampu meningkatkan lagi rasa cinta serta semangat patriotisme masyarakat hadap Malaysia.” katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dijangka hadir merasmikan pertandingan akhir, sekaligus menyampaikan hadiah kepada pemenang.

 

Lebih 30,000 pengunjung dijangka hadir pekan budaya PDHT

Oleh: Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (Pelatih)

 Lebih 30,000 penduduk dijangka hadir mengunjungi Pekan Budaya Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT) yang diadakan Pasar Kuala Berang, Hulu Terengganu.

 Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama MDHT itu, diadakan selama tujuh hari, berakhir 27 September ini.

 Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program itu, termasuk kembara folo’an’ pertandingan memancing, masakan, gubahan, persembahan tarian kebudayaan dan permainan tradisional semata-mata mahu menarik minat pengunjung..

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Dato’ Haji Wan Mohd Wan Ibrahim, berkata program itu turut diselitkan dengan Forum Perdana Islam yang diadakan dengan kerjasama JAKIM dan RTM pada hari Khamis, 26 September 2013, mulai jam 8.45 malam,

 “Ustaz Badlishah Aluddin dan Ustaz Abd Halim Awang bertindak sebagai panel forum perdana Islam tersebut,” katanya.

 Program itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Jailani Johari pada 21 September lalu, manakala majlis penutup pula akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang pada 27 September ini.

 

Mohd Noor bertekad sampai ke Putrajaya

Oleh: Noraini Jusoh
Peserta Walk4Malaysia ketika tiba di Bandar Marang tadi. (KLIK foto untuk LIKE FB)

Peserta utama Walk For Malaysia (Walk4Malaysia), Mohd Noor Mat bertekad meneruskan cabaran berjalan kaki dari Besut ke Putrajaya walaupun berkemungkinan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam usaha menamatkan perjalanan sejauh 600 kilometer (km).

Meneruskan misi pada hari ketiga, Mohd Noor sambil diiringi 40 peserta Majlis Sukan Negeri Terengganu meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki dari Dataran Batu Burok ke Merchang, Marang, kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Dengan jarak kira-kira 48.4 km, perjalanan pada hari ini dijangka mengambil masa selama 9 jam.

Majlis perlepasan peserta Walk4Malaysia di hentian Dataran Batu Burok dimulakan dengan bacaan doa dan disempurnakan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Sebelum itu, peserta Walk4Malaysia berjaya menamatkan perjalanan pada hari kedua dari Masjid Merang, Setiu ke Dataran Batu Burok dengan jarak sejauh 40.7 km kira-kira jam 6.50 petang semalam.

Mohd Noor yang telah berjalan kaki kira-kira sejauh 100 km berkata, beliau akan tetap berusaha menamatkan perjalanan walaupun pelbagai dugaan yang bakal ditempuhinya.

“Setiap hari, selain mengambil makanan berkhasiat yang lain, saya turut mengamalkan makan buah kurma dan minum air zam-zam sebelum mula berjalan kaki untuk menguatkan stamina.

“Sejak memulakan perjalanan dari Dataran Kuala Besut sehingga ke Dataran Batu Burok, saya menggunakan tiga pasang kasut untuk menamatkan perjalanan yang penuh mencabar,” ujarnya.

 

YB Bazlan redah bukit makan durian bersama penduduk.

Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar ehsan: Mazlan Mustaffa (Pejabat Adun Batu Rakit).

BATU RAKIT: Sekalipun sibuk dengan tugas sebagai wakil rakyat namun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman tetap meluangkan masa bersama beberapa penduduk menjamu durian di Bukit Beruang, Kampung Pecah Rotan, di sini.
Bazlan (tengah) bersama dua pemuda membawa turun durian dari bukit.

Bazlan yang tidak kekok masuk kebun durian milik seorang penduduk, walaupun terpaksa melalui jalan berbukit sempat beramah mesra dengan penduduk yang dianggap sebagai rakannya sendiri sebelum sama-sama kopek dan makan durian.

“Acara makan durian ini sudah menjadi kebiasaan penduduk kampung ini malah ia menjadi agenda wakil rakyat terdahulu. Program ini boleh mendekatkan hubungan penduduk dengan wakil rakyat selain mempromosikan makanan tempatan,” kata Bazlan.

Sementara itu, beberapa penduduk yang mengikuti program itu melahirkan rasa gembira kerana kesudian YB (Yang Berhormat) Bazlan untuk sama-sama turun ke kebun durian bagi menikmati keenakan buah durian Batu Rakit yang sememangnya dikenali penduduk sekitar.

Seorang penduduk, Mohammad Puteh, 58, berkata walaupun untuk ke kebun durian ini agak sukar perjalanannya tetapi YB Bazlan tetap datang untuk bersama-sama penduduk menjayakan program makan durian ini.

“Terima Kasihlah pada YB kerana sudi hadir, walaupun YB sibuk dengan tugas terutamanya merasmikan mesuayarat cawangan baru-baru ini tetapi beliau tetap meluangkan masa bersama penduduk. Sikap cakna YB ini tentunya akan disukai penduduk kampung ini,” katanya.

Bazlan berselera makan durian bersama penduduk.
Seorang lagi penduduk yang hadir, Mat Lazim Hashim, 49, berkata, YB Bazlan seorang yang sentiasa mengambil berat tentang rakyat, walaupun masih baru sebagai pemimpin kawasan Batu Rakit, tetapi wakil rakyat itu menunjukan komitmen yang tinggi untuk membantu rakyat.

“Walau sibuk macamanapun, dia tetapi akan menghadiri segala program yang dianjurkan penduduk, melainkan dia ada urusan di peringkat negeri. Saya mengharapkan dia akan melaksanakan segala tugasnya dengan baik dan jaya untuk mempastikan penduduk di kawasan ini terbela dan kawasan Batu Rakit ini maju,” katanya.

Ramli pertahan juara melukis sempena hari Kebangsaan

Oleh; Esah Abdullah 

Seorang pelukis sepenuh masa Encik Ramli Salleh, 46, mengekalkan kejuaraan dalam pertandingan melukis poster 1Malaysia sekeluarga, anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT) bersempena dengan sambutan hari kebangsaan ke-56 tahun.

Encik Ramli bersama keluarga
Beliau yang mengalahkan 39 lagi keluarga lain itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, sijil dan juga hamper.

“Kemenangan ini merupakan tahun kedua saya menjadi juara di mana tahun lalu turut memenangi tempat pertama dalam pertandingan kategori yang sama,” kata bapa kepada lima anak.

Menurutnya, dua minggu sebelum pertandingan bermula, dia telah mula memikirkan idea untuk diterjemahkan dalam lukisan yang bakal dihasilkan meskipun tidak mengetahui tajuk atau tema dalam pertandingan bakal disertai itu.

 “Saya dan isteri mula membuat senarai pendek apa yang ingin diterjemahkan dalam lukisan berdasarkan tema sambutan hari kebangsaan pada tahun ini dan juga berdasarkan pengalaman-pengalaman menyertai pertandingan sebelum ini,” katanya..

Katanya, menang atau tidak adalah perkara kedua. Apa yang paling penting adalah tema yang ingin disampaikan mencapai maksudnya. Meskipun tanpa kata-kata atau tulisan, mesej yang ingin disampaikan melalui hasil lukisan perlu mencapai maksudnya.

“Itu merupakan satu tanggungjawab kepada para pelukis sebab ia bukan hanya untuk tujuan pertandingan ini sahaja tetapi ia disimpan untuk dilihat atau dipamerkan sebagai pedoman generasi seterusnya pula,” katanya.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga kerana kelima-lima anaknya turut mewarisi kemahiran dan juga minat dalam melukis dan situasi ini memberi kelebihan kepadanya kerana dapat berkongsi idea dan juga pengetahuan bersama keluarga.

Tempat kedua pula dimenangi oleh seorang anggota polis, Mohd Yusny Mat Zin, 47 menerima wang tunai RM750, sijil dan juga hamper. Manakala tempat ketiga menjadi milik seorang guru, Encik Zulkifli Abdullah,45 dengan wang tunai RM500, sijil dan hamper.

HARI KETIGA WALK 4 MALAYSIA, BATU BUROK - MERCHANG



Hari ini telah masuk hari ke tiga Walk 4 Malaysia.
  Peserta telah mula berlepas kira-kira jam 8.30 pagi tadi dari Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu menuju ke Merchang.
  Jarak perjalanan pada hari ini adalah sejauh 48.4 KM dan dianggarkan perjalanan ini mengambil masa lebih kurang 9 Jam.
 Keadaan pejalan kaki utama, Mohd Nor Mat dikatakan sihat dan bersemangat. Mereka dijangka tiba di Merchang kira-kira jam 6.00 petang. Laporan: Ruslan Rahman


Mat Nor berjaya tiba di Dataran Batu Buruk

Oleh: Suriati Ali 

 Walaupun kelihatan penat mengharungi cabaran pada hari kedua, semalam iaitu ke lokasi ketiga di Batu Buruk, Kuala Terengganu sejauh 40.7 Kilometer (Km), peserta Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) , terutama Mohd Nor Mat, 47 tetap bersemangat meneruskan misi berjalan kaki ke Putrajaya. 

Mohd Nor yang juga Kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT)cawangan Besut tiba di Dataran Baru Buruk, Kuala Terengganu, kira-kira jm 6.50 petang, semalam, dan disambut Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Hadir sama Pengerusi Pengelola Walk4Malaysia, Saiful Bahri Baharuddin dan lebih 200 belia dan penduduk sekitar

 Sebelum itu, Mohd Nor diiringi lebih 50 peserta terdiri daripada atlet Sukan Malaysia (Sukma), Kakitangan Majlis Sukan Negeri Terengganu dan belia, berjaya menamatkan perjalanan hari pertama sejauh 67.5 KM, bermula dari Dataran Kuala, Besut ke lokasi kedua Di Masjid Merang Setiu.

 Peserta Walk4Malaysia menyambung perjalanannya, sejauh 58.4 Km ke Mercang, Setiu, kira-kira 8.30 pada pagi ini dan dijangka mengambil kira-kira 12 jam.

 Hasrat Mat Nor adalah bagi memenuhi nazarnya setelah Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi kawasan itu dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Besut 24 Julai lalu.

 

Bukit Puteri, antara Lagenda dan Sejarah.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Pemandangan bandar Kuala Terengganu dari atas Bukit Puteri.
BUKIT Puteri yang terletak berhampiran Taman Shahbandar di Kuala Terengganu mempunyai kisah yang tersendiri antaranya ialah ada yang menyatakan bukit itu adalah tempat tinggal kerajaan puteri bunian yang menjadi tempat penduduk meminjamkan peralatan untuk mengadakan jamuan ataupun kenduri antaranya ialah sudu, pisau dan pinggang mangkok.

Bagaimanapun puteri bunian itu meninggalkan Bukit Puteri kerana ada pihak yang memimjamkan barangan itu tetapi tidak memulangkan semula menyebabkan puteri bunian itu merajuk dan mencari tempat lain untuk meneruskan kehidupannya membantu menusia dan selepas itu Bukit Puteri tidak lagi menjadi tumpuan orang ramai pada masa itu.

Selain itu, menurut sejarah, bukit itu dibuka oleh puak dari Johor yang bernama Tuk Raja Menteri. Beliau datang ke Terengganu untuk menabalkan Sultan Zainal Abidin I sebagai Sultan Terengganu yang pertama Monument sejarah serta bahan-bahan artifak yang ditemui termasuklah Genta ( sebiji loceng besar), Meriam Beranak ( sejenis meriam), rumah api lama, dan tanah perkuburan lama.

Meriam lama turut dipamerkan.
Ia merangkumi kawasan seluas 658 hektar dan ketinggiannya adalah 200 meter pada paras laut. Meriam beranak ialah meriam yang mempunyai satu meriam utama dan terdapat beberapa meriam kecil berhampirannya dan mempunyai ukuran berbeza antara satu sama lain. Meriam yang berukuran besar dikatakan ibu kepada meriam yang kecil-kecil itu.

Rumah api pula bertujuan untuk pedoman atau panduan kepada pelaut untuk memasuki pelabuhan Kuala Terengganu. Ketinggiannya ialah kira-kira 10 meter dan lebih dkenali sebagai “Tanda Kuala Negeri”. Di atas Bukit Puteri itu juga, terdapat kawasan tanah perkuburan pembesar Melayu ketika itu antaranya ialah kubur Syed Yasin Akil Muhammad yang lahir di Sumatera, Indonesia, keluarganya berasal dari Timur Tengah dan datang ke Terengganu, berkahwin dengan Che Siti, anakanda Sultan Zainal Abidin 1.

Terdapat juga rumah genta yang memuatkan genta yang dibuat pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin ke 2 dalam tahun 1326H (1908M). Genta ini digunakan untuk memasyurkan sesuatu bencana seperti kebakaran dan serangan musuh.

Rumah Genta.
Ukuran lilitan genta ini ialah 228 sentimeter dan tingginya 78 sentimeter. Menurut sejarah, pada tahun 1830, berlaku satu perebutan kuasa melibatkan dua kerabat diraja Terengganu iaitu Tengku Mansur,Sultan Terengganu yang menganugerahkan pangkat Sultan Mansur Syah II dan Tengku Umar, menjadi Yang Dipertuan Besar.

Tengku Umar membina Kubu di atas puncak Bukit Puteri sebagai pertahanan. Kubu ini dibina oleh batu bata dan simen bersama madu,limau dan putih telur.

Walau bagaimanapun, Bukit Puteri telah ditawan oleh Sultan Mansur Syah II. Tengku Umar telah dipaksa untuk lari ke Besut. Bukit Puteri kemudiaanya berada dibawah pengawalan Sultan Muhammad I. Beliau yang menggantikan tahta ketika Sultan Mansur Shah II mangkat. Walau bagaimanapun, Sultan Mahmud tidak mampu mempertahankan Bukit Puteri ketika ia diserang oleh tentera Tengku Umar. Akhirnya, Tengku Umar berjaya menakluki Bukit Puteri semula.

Beberapa artifak sejarah masih wujud di Bukit Puteri sehingga kini. Antaranya adalah seperti loceng besar, meriam, tiang bendera, rumah api, kubur dan dinding pertahanan.

Bagaimanapun, pada suatu masa dahulu, terdapat banyak meriam di Bukit Puteri. Meriam tersebut dipercayai berasal dari Spain,Portugal dan Tanah Melayu. Mereka menamakannya sebagai Seri Jamlor, Seri Buih,Seri Johor dan Laila Majnun. Loceng masih ada sehingga sekarang.Ia diperbuat daripada tembaga kuning.

Lilitan dan tingginya adalah 228 sentimeter dan beratnya adalah 175 kilogram.Loceng tersebut berbunyi apabila berlaku rompakan,kebakaran atau kawasan diceroboh oleh musuh. Mereka mempercayai bahawa loceng itu dijaga oleh seorang budak lelaki dari kerabat diraja.

Budak lelaki itu membunyikan loceng jika ada apa-apa kecemasan atau bencana alam melanda. Selain itu, dipercayai juga terdapat sebuah gua yang dikenali sebagai gua Puteri boleh ditemui disini. Ia digunakan sebagai tempat menyimpan serbuk senjata, batu dan peluru besi.

Tiang bendera yang terdapat di puncak Bukit Kiara digunakan untuk mengibarkan bendera diraja ketika terdapat majlis rasmi diadakan. Tinggi tiang bendera tersebut adalah kira-kira 18 meter. Rumah api pula terletak di puncak Bukit Puteri dan berfungsi sebagai panduan kepada nelayan dan kelasi kapal yang melintasi Kuala Sungai Terengganu.

Pemandangan muara Sungai Terengganu dari Bukit Puteri
Ketika Tengku Umar memerintah, baginda membina sebuah istana yang bernama Green Palace di kaki Bukit Puteri.tetapi istana tersebut telah hangus terbakar pada tahun 1882. Baginda membina semula istana baru berhampiran kawsan Green Palace tersebut.Ia dinamakan sebagai Istana Maziah dan masih wujud hingga kini.

Kini, Bukit Puteri dijadikan kawasan tumpuan pelancong dalam dan luar ke Terengganu, sebuah bazar perniagaan dibina di bawah Bukit Puteri yang dinamakan Bazar Warisan. Orang ramai boleh menaiki Bukit Puteri melalui bazar itu. Pemandangan indah sekitar bandar Kuala Terengganu dan muara Sungai Terengganu dapat dilihat dengan jelas di atas bukit itu.