Halaman

25 September 2013

Pembinaan ABPM Wakaf Tapai seiring pembangunan negeri


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama Sultan Terengganu, Sultan  Mizan Zainal Abidin ketika  perasmian ABPM, semalam.

Oleh: Aida Abd Rahman dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Keprihatinan Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan membina Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wakaf Tapai, Marang sejajar dengan pembangunan pesat di Terengganu.

Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Marang, Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata rasa tanggungjawab yang amat besar di kalangan semua pihak untuk menjaga keharmonian hidup bagi menjamin kesejahteraan rakyat pada masa depan merealisasikan pembinanan ABPM di negeri ini.

“Kemalangan boleh berlaku dimana sahaja kita berada. Bak kata pepatah malang tidak berbau. Menyedari hakikat ini negeri Terengganu sekarang ini telah terdapat 15 buah balai bomba telah dibina melalui Rancangan Malaysia yang lalu.


 “Memastikan kesejahteraan akan terus dinikmati oleh rakyat negeri ini betapa pentingnya perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan yang mencakupi pelbagai aspek bagi menjamin kemajuan dan pembangunan sesebuah negara,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian ABPM, semalam.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Sri Temenggong Raja. Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan; isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.


Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, perkhidmatan itu akan memastikan kehidupan masyarakat dan persekitarannya berada di suatu tahap yang meyakinkan sehingga ia terus maju dan berkembang.

Beliau juga percaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melaksanakan perancangan dan tindakan yang rapi untuk memastikan pembinaan akademi itu dapat melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri serta akhlak tinggi dalam memberikan perkhidmatan yang unggul kepada masyarakat, selaras dengan konsep 1Malaysia, di mana usaha kerajaan adalah untuk sentiasa berbakti kepada masyarakat dengan memberi perkhidmatan terbaik.

“Saya turut menyeru semua kaum dan masyarakat supaya memberikan kerjasama dan sokongan kepada pegawai bomba untuk mereka melaksanakan tugas.

“Selain itu pelanggaran undang-undang atau peraturan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia harus dilaporkan supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil demi menjamin keselamatan kebakaran di premis-premis,” katanya.

Menurutnya, bahaya kebakaran dapat dikekang serta merta apabila orang ramai menjadi masyarakat prihatin dan penyayang sekaligus membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengurangkan risiko dan juga statistik kebakaran.

Selain itu, Dato’ Seri Haji Ahmad juga berharap pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia supaya menjauhkan diri daripada gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pilih kasih ketika membuat keputusan dalam pelaksanaan tugas harian.

Katanya, setiap urusan dan tugasan yang dipertanggungjawabkan haruslah dilaksanakan dengan telus, adil dan saksama sebagai membalas kepercayaan dan harapan rakyat terhadap penjawat awam di negara ini.

Seni Warisan Budaya satu pendidikan melalui Pekan Budaya

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Program Pekan Budaya yang diadakan selama tujuh hari bermula pada 21 hingga 27 September di hadapan Pasar Besar Kuala Berang mampu menonjolkan pelbagai aktiviti menarik sebagai seni warisan budaya.

Sempena program tersebut pelbagai kegiatan seperti pameran, jualan, demonstrasi, pertandingan dan persembahan kebudayaan/kesenian melibatkan penyertaan secara langsung dari pelbagai pihak seperti agensi kerajaan,

Badan Berkanun dan swasta, pengusaha–pengusaha, kumpulan–kumpulan kebudayaan dan pertubuhan yang terdapat di sekitar daerah ini.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Jailani Johari berharap melalui aktiviti yang telah dirancang, program berkenaan dapat memperkenalkan keunikan seni dan warisan budaya setempat kepada umum.

Beliau berkata, acara itu dapat mempromosikan keindahan destinasi pelancongan serta produk-produk pengeluaran sesuatu daerah, yang secara tidak langsung dapat menarik minat kedatangan pelancong bukan sahaja ke daerah tersebut, malahan negeri Terengganu, selaras dengan kempen Tahun Melawat Negeri Terengganu pada tahun 2013.

 “Saya yakin dengan pelbagai aktiviti menarik yang diatur sepanjang program ini, mampu memberi impak yang besar kepada daerahHulu Terengganu khususnya dari segi peningkatan ekonomi dan pembangunan selaras dengan transformasi yang sedang dibawa oleh kerajaan.

 “Suka juga untuk saya cadangkan agar pihak penganjur dapat mengambilkira untuk menjadikan seni warisan budaya sebagai satu pendidikan dalam usaha memartabatkan seni warisan budaya ini ke tahap yang lebih tinggi supaya tidak luput dan pupus dibawa arus budaya baru,”katanya sewaktu merasmikan Pekan Budaya semalam.

Pada masa yang sama, program itu juga menyokong usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan dalam meningkatkan perpaduan masyarakat berbilang kaum selain mewujudkan semangat berpasukan dan berkumpulan yang mempunyai nilai-nilai keharmonian, perpaduan bangsa dan imej kemasyarakatan yang bermoral tinggi.

Pejalan kaki Walk4Malaysia menuju ke Paka

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Peserta Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) meneruskan misi untuk ‘menawan’ Putrajaya dengan berjalan kaki sejauh 58.5 kilometer hari ini menuju ke Paka, Dungun.

Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Pegawai Daerah Marang, Haji A.Rahman Che Ali, kira-kira jam 8.30 pagi di Dewan Sivik Merchang.

Peserta utama Walk4Malaysia, Mohd Noor Mat dilaporkan dalam keadaan sihat dan penuh semangat untuk melunaskan nazarnya berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya.

Kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu bersama 40 peserta Majlis Sukan Negeri Terengganu yang meneruskan perjalanan dari Dataran Batu Burok selamat tiba di Dewan Sivik Merchang, Marang tepat jam 5.55 petang semalam dan berehat di situ sebelum meneruskan misi bagi hari keempat hari ini.

Lebih 100 pelajar dari tiga sekolah menengah di daerah Marang turut memeriahkan acara pelepasan pagi ini yang turut dihadiri beberapa pemimpin kanan Umno bahagian Marang.

Peserta Walk4Malaysia dijadualkan berjalan kaki sejauh 600 kilometer dan bakal singgah lagi di beberapa lokasi terpilih, termasuk Chukai, Kuantan, Gambang, Maran, Temerloh dan Genting Sempah.

 Seterusnya mereka akan berjalan kaki ke Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan ke Putrajaya untuk menamatkan perjalanan.

 

Halim peminat barangan antik.


Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Halim bersama tempayan berusia 50 tahun.
BERMULA hanya dari menyimpan barangan lama milik neneknya sejak beberapa tahun lalu kini seorang peniaga, Abdul Halim Ibrahim, 49, memiliki beberapa koleksi barangan lama dan antik untuk dijadikan perhiasan dan kenangan di dalam rumahnya di Padang Midin, Kuala Terengganu.

Halim yang miliki kedai makan di bazar makan di Batu Batu Buruk itu, begitu meminati barangan-barangan lama terutamanya tempayan yang berusia lebih 50 tahun sehinggakan dia akan membelinya dengan harga yang tinggi jika ada yang mahu menjualnya.

“Saya menyimpan barangan lama ini hanyalah sebagai hobi dan untuk dijadikan kenangan kepada generasi akan datang kerana jika tidak disimpan dan dijaga barangan ini akan menjadi buruk dan pupus,” katanya bapa kepada lima orang anak yang berasal dari Kampung Tanjung itu.

Halim berkata, pada mulanya ia mempunyai sebuah barangan antik sahaja iaitu peti kebal milik datuknya yang dipercayai berusia hampir 100 tahun dan peti kayu itu kini masih kelihatan elok dan boleh digunakan untuk menyimpan barangan berharga.

“Peti Kebal ini mungkin usianya lebih lama lagi kerana datuk saya dahulu membelinya dari orang lain ia mungkin digunakan turun temurun dan kali ini giliran saya. Saya akan menjaganya dengan baik dan mengharapkan dia boleh dilihat oleh cucu cicit saya pada masa akan datang,” katanya.

 Barangan lain yang dimiliki Halim antaranya ialah bekas mandi untuk mandi bagi bagi wanita baru bersalin, seterika arang, almari kayu, penyidai kain kayu, tempat letak lilin antik dan beberapa barangan antik yang lain.

“Kesemua barangan ini berusia lebih 50 tahun dan ia agak sukar untuk diperolehi sekarang, begitu juga dengan penyidai kain kayu yang berusia lebih 70 tahun dan ia begitu unik serta diperbuat dari kayu cengal,” katanya

Menurutnya, buat masa ini dia mahu mendapatkan sebuah jam antik berusia lebih 100 tahun dari seorang jiran tetapi sehingga kini dia gagal mendapatkan jam itu kerana pemiliknya enggan menjual kepadanya.

“Jam itu begitu unit kerana dia mengunakan kunci yang diputar untuk menghidupnya manakala enjinnya masih lagi berfungsi tetapi kerana usianya yang lama, jam itu akan lewat lima hingga 10 minit berbanding jam lain. Saya mengharapkan dapat membeli jam itu walaupun dengan harga yang tinggi,” katanya..

Kukuran milik neneknya juga menjadi koleksi.
Sebagai pencinta barangan antik dan lama, Halim mengharapkan sesiapa yang memiliki barangan itu supaya menyimpanya dengan baik kerana ia memang sukar dan mungkin tidak boleh didapati lagi sekiranya barangan lama dan antik itu rosak ataupun hilang.

“Selain itu, ia juga sebagai perhiasan berharga di dalam rumah dan sekiranya dijaga dengan sempurna ia boleh diwarisi sehingga turun temurun. Semakin lama ia dipelihara sebagai tinggi nilainya,” katanya.


24 September 2013

Mohd Noor berjaya selesaikan misi hari ketiga

Oleh: Noraini Jusoh




Dengan semangat kental melunaskan nazarnya untuk berjalan kaki dari Dataran Kuala Besut ke Putrajaya setelah Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi kawasan itu dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Besut 24 Julai lalu, peserta utama Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) Mohd Noor Mat berjaya menyelesaikan misinya bagi hari ketiga.

Kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT) itu bersama 40 peserta Majlis Sukan Negeri Terengganu yang meneruskan perjalanan dari Dataran Batu Burok selamat tiba di Dewan Sivik Merchang, Marang tepat jam 5.55 petang ini.

Selain disambut meriah oleh penduduk setempat, ketibaan Mohd Noor dan peserta Walk4Malaysia yang lain turut disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, A. Latif Awang serta Ketua Pemuda Umno Marang merangkap Ketua Pemuda Negeri Terengganu Encik Saiful Bahri Baharuddin.

Mohd Nor yang mula berjalan kaki dari Dataran Batu Burok kira-kira jam 8.30 pagi tadi berjaya menamatkan perjalanan dengan jarak sejauh 48.8 km dalam tempoh yang telah ditetapkan iaitu 9 jam.

Beliau berhenti rehat dan bermalam di situ, sebelum meneruskan perjalanan bagi hari seterusnya ke Paka pada esok pagi.

Peserta Walk4Malaysia dijadualkan berjalan kaki sejauh 600 kilometer dan singgah di beberapa lokasi terpilih, termasuk Merang, Setiu; Batu Burok (Kuala Terengganu); Merchang (Marang); Paka (Dungun) dan Chukai (Kemaman).

Seterusnya mereka akan berjalan kaki dan berehat di beberapa lokasi di Pahang sebelum ke Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan ke Putrajaya untuk menamatkan perjalanan.

 

UPB pastikan kepentingan Bumiputera sektor hartanah dan perumahan tidak terjejas

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan Pusat akan mewujudkan Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) bagi sektor hartanah dan perumahan untuk memastikan kepentingan Bumiputera di bidang itu tidak terjejas dan dipantau dengan lebih teliti di bawah satu bumbung, tidak lama lagi.

Penubuhan UPB menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sewaktu melancarkan program pemerkasaan ekonomi Bumiputera, baru-baru ini.

Menterinya, Dato’ Abdul Rahman Dahlan berkata (gambar), unit itu bertanggungjawab untuk memantau dan memastikan kepentingan Bumiputera dalam sektor hartanah serta perumahan lebih terjaga selain mampu menangani pelbagai isu berkaitan.

 “Unit ini akan ditubuhkan pada bulan ini dan sedang dalam perbincangan termasuk melantik salah seorang Timbalan Ketua Setiausaha untuk menjadi pegawai yang menyelaras unit ini.

“Unit ini akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan kepentingan Bumiputera dalam sektor hartanah dan perumahan di negara ini dijamin selaras dengan kehendak kerajaan untuk memastikan Bumiputera memiliki peratusan yang tinggi dalam pemilikan hartanah,” katanya kepada pemberita  sempena Majlis Perasmian Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Marang, hari ini.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Sri Temenggong Raja.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Dato’ Abdul Rahman berkata, UPB juga akan menangani isu berkaitan kuota perumahan Bumiputera supaya pemaju perumahan tidak menggunakan peluang untuk membayar kompaun sebagai alasan untuk tidak membina Rumah Mampu Milik atau rumah kepada Bumiputera.

 “Ada masa dan ketikanya pemaju perumahan meminta supaya rumah yang sudah dikategorikan sebagai rumah Bumiputera, apabila tidak terjual mereka meminta kebenaran untuk dijual sebagai unit biasa dan UPB akan memantau bagi mengelak perkara ini terus berlaku.

 “Kita nak tahu secara teliti, betul atau tidak sudah diiklankan rumah tersebut, berapa besar iklannya. Jangan pula diiklankan di hujung, di belakang surat khabar dengan saiz yang kecil, jadi orang (Bumiputera) tidak tahu. Jadi ini alasan mereka apabila tidak dapat menjual unit rumah berkenaan kepada Bumiputera dan dijual kepada bukan Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menangani kes yang melibatkan pemaju perumahan mendakwa rumah yang dibangunkan tiada pembeli di kalangan Bumiputera walaupun mereka sudah mengiklankannya, sedangkan permintaan di kalangan Bumiputera untuk memiliki rumah ketika ini begitu tinggi.

Selain menyelesaikan isu pemaju yang sudah mengiklankan rumah mereka tetapi gagal mendapatkan pembeli di kalangan Bumiputera, UPB juga akan mengambil alih serta membantu menjual rumah yang berkenaan kepada Bumiputera yang berkemampuan, sekaligus mengelak ia dijual kepada bukan Bumiputera.

 “Mereka mempunyai banyak cara untuk melepaskan diri dari menjual unit rumah ini kepada Bumiputera di negara ini dan ini satu perkara yang akan kita kekang.

 “Kita mahu supaya lokasi lot Bumiputera ini jangan letak di belakang, mesti diberi keutamaan, `corner lot’ contohnya, di lokasi yang orang hendak duduk, jangan buat dekat dengan kawasan pembuangan sampah, jadi sudah tentu minat orang tidak begitu tinggi.

 “Tetapi kita akan pastikan pemaju perumahan untuk lot Bumiputera meletakkan perumahan mereka di kawasan strategik, supaya Bumiputera tidak duduk hujung-hujung, di tempat pembuangan sampah,” katanya.


UMNO Bahagian Besut menjalani proses meremajakan parti.



YB HAJI NAWI MOHAMAD
Laporan: Mohammad Ishak

MESKIPUN terkejut dengan beberapa insiden yang berlaku dalam kepemimpinan UMNO Bahagian Besut pada hari penyerahan borang pencalonan akibat berlaku pelbagai kejutan namun ahli parti di bahagian itu tetap setia menunggu kebijaksanaan pemimpin menyelesaikan kemelut yang sememangnya diluar cakap-cakap penduduk Besut.

Jika sebelum penyerahan borang Sabtu lalu angin perubahan politik di bahagian yang terkenal dengan cirri-ciri kesopanan dan kesusilaan yang menjadi amalan pemimpin terdahulu tidak bertiup kencang namun menjelang 15 minit sebelum waktu penamat penyerahan ia berlaku dalam keadaan suram dan tidak menentu.

Bayangkan dalam tempoh kecenderaan itu tiada siapapun wakil penjawat jawatan utama parti masih tidak kelihatan menyerahkan borang pendaftaran calon sebagaimana ditetapkan parti.

Kedaan itu merimaskan petugas dan urusetia yang menjalankan proses pendaftaran apabila jawatan Ketua Bahagian,Timbalan dan Naib Ketua tidak kelihatan.

Namun, kira-kira jam 4.45 petang wakil calon Ahli Exco Kerajaan Negeri.YB Haji Nawi Mohamad yang juga ADUN Hulu Besut,kelihatan muncul menyerahkan borang dan diikuti wakil ADUN Jertih, Muhamad Pehimi Yusof menyusul bebarapa minit kemudian.

Sejurus kemudian, Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong, kelihatan menyerahkan borang bagi mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Bahagian dan diikuti wakil ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, menyerahkan borang kepada urusetia.

Kira-kira 10 minit kemudian wakil Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh mengambil tempat menyerahkan borang bagi jawatan Naib Ketua Bahagian.

Berikutan itu, pelbagai spekulasi timbul apabila kejadian yang disifatkan ahli Umno Bahagian itu sebagai mengejutkan apabila Idris yang juga Ketua Umno Bahagian tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak 11 tahun lalu.

Semalam, proses berterusan dan sekali lagi mengejutkan pemerhati politik apabila Muhamad Pehimi yang baru pulang dari luar negara mengumumkan menarik diri dari bertanding merebut jawatan nombor satu di bahagian itu.

Usaha yang dilakukan secara berkompromi itu melatakkan UMNO Bahagian Besut kini berjalan lancar dan semua jawatan utama dikira menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun, ahli masih tetanya-tanya kenapa perkara demikian berlaku dalam saat menjelang pemilihan tetapi tidak pernah diwar-warkan oleh semua pemimpin terbabit sebelum ini menyebabkan ahli menyifatkan ia satu sandiwara politik.

Akademi Bomba beri kelebihan latih pegawai baru berkhidmat : Sultan Mizan


Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) berkenan merasmikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Marang disaksikan Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Oleh: Aida Abd Rahman dan Mohd Syazni Zainudin (Pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah dengan terbinanya Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di lokasi yang strategik akan dapat memberikan kelebihan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk melatih pegawai baru berkhidmat kepada masyarakat.


Baginda bertitah, prasarana dan fasiliti yang disediakan telah mencapai tahap yang amat membanggakan serta setaraf dengan yang terdapat di negara-negara yang lebih maju.

 “Perkhidmatan kebombaan merupakan suatu keperluan asas kepada setiap lapisan masyarakat khususnya bagi kawasan-kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang tinggi atau kawasan perindustrian serta pusat komersial yang pesat membangun.



“Ianya memberi suatu jaminan bahawa perkhidmatan kebombaan yang pantas akan dapat diberikan sekiranya rakyat ditimpa sebarang musibah atau bencana,” titah baginda sempena Majlis Perasmian Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, Marang, Terengganu, hari ini.

 Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Sri Temenggong Raja.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Sultan Mizan bertitah, kewujudan perkhidmatan kebombaan yang baik juga amat penting dalam usaha menarik pelabur luar negara dan negeri ini dan pembangunan sesuatu kawasan.

“Pelabur asing khususnya amat menitikberatkan aspek keselamatan aset dan harta benda mereka dalam membuat keputusan pelaburan mereka kerana kebanyakan mereka yang datangya dari negara-negara maju mengharapkan suatu tahap perlindungan keselamatan yang tinggi di negara-negara yang mereka akan melabur.

 “Pada kesempatan ini juga beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terhadap khidmat bakti yang dicurahkan saban hari bagi membantu rakyat yang memerlukan pertolongan dan bantuan khususnya mereka yang di dalam kecemasan atau bencana,” titah baginda.

Sultan Mizan menyeru supaya pihak bomba akan terus meningkatkan kecekapan dan kemahiran agar dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik lagi di masa hadapan.

Baginda turut bertitah supaya pegawai-pegawai dan kakitangan di akademi itu memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk melatih para pegawai bomba menjadi modal insan yang dapat membanggakan jabatan.

Titah baginda, perkhidmatan yang tulus dengan tulus ikhlas dan diiringi dengan kemesraan, akan diingiti dan lebih dihargai oleh orang ramai.

“Pihak bomba juga diminta menyediakan pelbagai aktiviti untuk mendekati masyarakat seperti gotong-royong, program bomba bersama masyarakat, pameran dan pendidikan, kempen kesedaran keselamatan kebakaran dan sebagainya.

“Beta juga menyeru dan menggesa supaya masyarakat di negara ini memberikan sokongan yang padu kepada anggota jabatan ini,” titah baginda.

Sultan Mizan juga menyeru supaya peranan memastikan kediaman dan penempatan kita bebas daripada bahaya kebakaran, bukanlah menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata dan jika beban ini dapat dipikul bersama ianya akan menjadi mudah dan senang.


Lebih 20 negara dijangka sertai TIIAF 2013

Oleh: Noraini Jusoh
Datuk Haji Zubir Embong
Lebih 20 negara dijangka akan menyertai Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) yang dijadualkan bermula 15 November ini selama tiga hari, di Taman Tamadun Islam (TTI).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Haji Zubir Embong berkata, sehingga kini 12 negara telah mengesahkan penyertaan iaitu dari Jordan, Iraq, Algeria, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Pakistan, Yaman, Brunei, Palestin, Thailand dan Arab Saudi bagi acara pertandingan seni khat peringkat antarabangsa.

"Kita masih menunggu pendaftaran peserta dari lain-lain negara antaranya Sepanyol, Turki, serta Singapura sehingga tarikh tutup penyertaan pada 24 Oktober ini dan dijangka lebih 20 negara akan menyertai TIIAF 2013 kerana kali ini terbuka kepada seluruh negara.

“Bagi pertandingan khat kategori antarabangsa, peserta dibekalkan buku panduan pertandingan seni khat dan diberi masa selama tiga bulan untuk menyiapkan karya masing-masing dan perlu dihantar kepada seketariat TIIAF 2013 sebelum tarikh tutup.

“Manakala peringkat kebangsaan pula ada dua kategori iaitu karya siap (kanvas, kayu, logam) dan spontan. Pertandingan seni khat spontan akan diadakan pada 17 November 2013. Bagi peserta yang berminat untuk menyertai pertandingan ini perlu mengisi borang pertandingan dan menyerahkannya kepada urusetia program sebelum 30 Oktober ini, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena 'Terengganu International Islamic Arts Festival' (TIIAF 2013) di Restoran B'Benteng, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, hadiah yang ditawarkan cukup lumayan di mana nilai hadiah keseluruhan bagi pertandingan peringkat antarabangsa adalah sebanyak USD 20,000.

Tambah beliau, sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 20013, program TIIAF 2013 juga merupakan medan untuk mempromosikan keunikan seni dan budaya serta keindahan Terengganu khususnya kepada peserta luar negara.

 

Lapan tokoh tersohor khat bakal kongsi ilmu di Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Lapan tokoh tersohor khat dari seluruh dunia bakal berkongsi ilmu dan pengalaman serta memberi tunjuk ajar kepada peserta tentang ilmu kaligrafi di Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) yang dijadualkan berlangsung di Taman Tamandun Islam (TTI) selama tiga hari bermula 15 November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Haji Zubir Embong (gambar) berkata, empat tokoh khat tersohor dari Turki iaitu Hasan Vhelebi, Dawood Bektas, Mumtaz Durdu, Efdaluddin Kilik telah menyatakan persetujuan untuk menjadi juri bagi pertandingan seni khat sempena festival berkenaan.
 
“Adnan Sheikh Osman dari Syiria, Ziyad Al-Muhandis (Iraq) serta Shereen Abd El Sabeer (Mesir) turut bersetuju menjadi juri.

“Selain itu, Dr. Halit Eren selaku ketua Pengarah, Research Center for Islamic History, Art and Cuture (IRCICA) Istanbul, Turki juga akan hadir ke festival itu nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena 'Terengganu International Islamic Arts Festival' (TIIAF 2013) di Restoran B'Benteng, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, TIIAF 2013 akan menampilkan pertandingan seni khat untuk peringkat antarabangsa dan kebangsaan yang akan disertai oleh pengiat kaligrafi yang berpengalaman dan pakar kaligrafi dari dalam dan luar negara.

“Pertandingan diperingkat kebangsaan diadakan dalam beberapa kategori seperti kanvas, kayu dan logam. Bersempena dengan festival tersebut juga, seminar dan bengkel akan diadakan dan bakal dikendali serta dipimpin oleh penulis khat terkenal dunia,” ujarnya.

Tambah beliau, bermula tahun ini, diadakan juga batikhat iaitu corak batik yang bermotifkan khat bagi melengkapkan festival ini untuk menggambarkan kepelbagaian produk berasaskan kaligrafi.

Katanya, bersempena dengan TIIAF 2013 juga, TTI turut menganjurkan ekspo produk berasaskan pakaian, hasil seni, makanan, pertunjukan batik, serta acara sukan rakyat untuk penduduk tempatan.

“Pada sebelah malam pula, persembahan muzikhat iaitu persembahan konsert muzikal yang berkonsepkan zikir akan dialunkan dengan peralatan muzik tradisional turut dipersembahkan kepada pengunjung yang hadir disamping forum bicara agama oleh tokoh agama yang dipilih,” katanya.

Tambah beliau, pihak penganjur iaitu TTI Management Sdn Bhd berharap dengan sokongan berterusan kerajaan negeri dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu akan membawa program tersebut lebih jauh lagi pada masa akan datang.

“Pertandingan kaligrafi peringkat antarabangsa yang dahulunya terhad kepada peserta rantau asia kini dibuka kepada peserta seluruh dunia. Hasil daripada penganjuran ini, diharap Terengganu akan menjadi terkenal sebagai salah satu pusat perkembangan seni Islam di dunia,” ujarnya.