Halaman

29 September 2013

Wanita Umno sepakat sokong Dato' Seri Shahrizat

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua lapan bahagian Pergerakan Wanita Umno Terengganu mencapai kata sepakat untuk memberi sokongan penuh kepada Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil meneruskan kepimpinan selaku Ketua Wanita Umno Pusat, pada pemilihan parti bulan depan.

Ketua Pergerakan Wanita Umno negeri, Datuk Hajah Fatimah Hamat, berkata sokongan padu itu diberikan berdasarkan kebolehan Dato’ Seri Shahrizat dalam memperkasakan Wanita Umno sudah terbukti sejak menerajui pergerakan itu.

 “Kami Wanita Terengganu sudahpun dipimpin oleh Dato’ Seri Shahrizat sejak sepenggal yang lalu dan daripada pengalaman kami bersama segala perancangan beliau begitu teratur sekali, memberi garis panduan yang lengkap untuk gerak kerja Wanita Umno di semua peringkat, bermula dari negeri, bahagian dan juga akar umbi.

“Insya-Allah kesepakatan telah kita buat di semua bahagian kami semua masih memerlukan tenaga Dato’ Seri Shahrizat sebagai ketua wanita dan kami telah membuat kata sepakat dengan sebulat-bulatnya untuk berdiri teguh bagi menyokong beliau sebagai ketua wanita bagi penggal yang akan datang,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Sambutan Merdeka Raya Semarak, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Timbalan Menteri Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun; Timbalan Menteri kerja Raya, Dato’ Rosnah Rashid.

Hadir sama, Ketua Wanita Umno Malaysia, Dato’ Seri Shahrizat, semua Ketua Wanita Umno Bahagian; kepimpinan Wanita Umno Bahagian, Dewan Undangan Negeri dan Cawangan seluruh Terengganu.

Datuk Hajah Fatimah berkata, gerak kerja yang dibawa oleh Dato' Seri  Shahrizat juga amat tersusun, teliti dan jelas yang merangkumi semua peringkat dalam pergerakan yang membolehkan jentera Wanita melaksanakan kerja sebaik mungkin.

Beliau juga yakin Dato’ Seri Shahrizat mampu meneruskan agenda transformasi yang diingini oleh Umno, sekaligus memperkasanan peranan wanita di negara ini.


SMK Dato’ Razali dan SBPI muncul juara pertandingan perisian GSP

Oleh; Esah Abdullah 

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Razali Ismail dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit Kuala Terengganu muncul juara keseluruhan dalam Pertandingan Membangunkan Bahan Pembelajaran Kendiri Matematik Menggunakan Aplikasi Geometer’s Sketchpad (GSP) 2013.

SMK Dato’ Razali Ismail menang bagi kategori SMK Rendah dan SBPI dalam kategori SMK Atas membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, sijil dan wang tunai.

Manakala bagi kategori jemputan Zon Timur, SMK St. Thomas Kuantan muncul juara menengah atas dan SMK Dato’ Razali Ismail juara kategori menengah rendah.

Pertandingan membangunkan bahan pembelajaran kendiri matematik menggunakan aplikasi GSP ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memberi peluang kepada pelajar SMK di negeri ini menyerlahkan bakat dan kreativiti serta imaginasi masing-masing.

Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin berkata melalui pertandingan ini dapat membantu pelajar untuk menguasai kemahiran dengan cara membangunkan bahan bantu belajar untuk subjek matematik serta bidang berkaitan menggunakan perisian GSP selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menzahirkan ‘Terengganu negeri Anjung Ilmu’.

“Program ini mendapat pembiayaan sepenuhnya dari Exxonmobil adalah salah satu elemen yang terdapat dalam Program Intelek Matematik (PRIME 2013),” katanya di majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di Hotel Tabung Haji, Gong Badak Kuala Terengganu hari ini.

Katanya dalam pertandingan tahun ini terdapat 124 pasukan yang mengambil bahagian terdiri dari kategori Menengah Rendah dan Menengah Atas yang melibatkan 369 orang murid dari 73 buah sekolah seluruh negeri.

Menurutnya, pertandingan yang masuk tahun ketiga ini turut memperkenalkan pertandingan jemputan Zon Timur yang melibatkan dua wakil untuk setiap kategori dari tiga buah negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib telah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.
 

KENYATAAN MEDIA DATUK WAN AHAMAD BIN WAN MUDA, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF TERENGGANU INCORPORATED SDN. BHD. BERKAIT LAPORAN POLIS FITNAH DAN MENGHASUT


  Saya selaku Ketua Pegawai Esksekutif Terengganu Inc berasa amat dukacita di atas beberapa tuduhan ke atas diri saya berkaitan pertandingan dalam pemilihan umno di peringkat Bahagian di negeri Terengganu sebagaimana dipaparkan melalui beberapa banner di beberapa lokasi di negeri ini dan kemudiannya disebarkan lagi melalui laman social (FB) tertentu.
  Saya telah mengesan bahawa terdapat sekumpulan facebooker yang telah menaikkan banner dalam facebook mereka dimana kandungannya mempunyai unsur fitnah terhadap saya.
  Kandungan banner tersebut juga mempunyai unsur hasutan dimana boleh menyebabkan masyarakat memandang serong kepada saya dan seterusnya menjatuhkan kredibiliti saya sebagai ketua pegawai eksekutif Terengganu Incorporated Sendirian Berhad. Pemilik-pemilik akaun facebook di atas telah menaikkan (upload) banner berkenaan ke facebook mereka serta menyebarkan (tag) kepada rakan-rakan facebook mereka yang mana rakan-rakan facebook berkenaan pula membuat pelbagai komen dan ada antaranya juga memfitnah dan menghasut.
 Saya juga menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan fitnah yang dibuat ke atas diri saya sebagaimana dalam banner berkenaan dan perbuatan sedemikian telah menjejaskan kredebeliti saya selaku Ketua Pegawai Eksekutif serta menjatuhkan maruah diri saya serta keluarga. Sehubungan dengan itu saya telah membuat laporan polis pada 25 Sptember 2013 bagi tujuan siasatan pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya menurut saluran undang-undang negara kepada pihak yang terbabit . Seterusnya saya sendiri melalui peguam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit mengaitkan saya dalam pekara sebagaimana tuduhan dan fitnah itu.
Suka saya menjelaskan pertandingan dan proses menawarkan diri dalam pimpinan Umno adalah hak individu tertentu selaras dengan amalan demokrasi dalam parti itu dan tidak kena mengena sama sekali dengan arahan dan permintaan saya.
 Contohnya di Bahagian Besut, sebagaimana yang dilaporkan oleh media, pertukaran Ketua Bahagian adalah atas kehendak YB Dato’ Seri Haji Idris Jusoh sendiri selaku Ketua Bahagian bagi memberi laluan kepada pemimpin baru bagi tujuan proses meremajakan Umno, sebagaimana kenyatatannya dalam Berita Harian pada 23 September 2013 menyatakan “Secara peribadi saya tegaskan saya sentiasa memberi peluang dan ruang kepada pemimpin pelapis untuk menerajui pucuk pimpinan UMNO Besut”.
 Di Bahagian Kemaman pula, YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Said sendiri selaku Ketua Bahagian UMNO tersebut dicabar bagi jawatan itu.
 Kalau berdasarkan tuduhan ke atas diri saya yang mencampuri urusan pencalonan di setiap bahagian, bermakna saya juga menaja calon yang mencabar Ketua Bahagian Kemaman itu. Adakah logik untuk saya menaja dengan menyalur peruntukan kepada Bahagian berkenaan bagi pertandingan Ketua Bahagian tersebut? Oleh itu jelaslah bermakna segala tuduhan ke atas diri saya yang disebarkan itu adalah tidak berasas dan tidak munasabah sama sekali, malah merupakan fitnah ke atas diri saya serta mempunyai unsur hasutan supaya masyarakat membenci saya. Bagi Bahagian Hulu Terengganu, banner berkenaan menuduh saya menaja Yang Berhormat Rozi Mamat bertanding jawatan Ketua Bahagian manakala Yang Berhormat Cikgu Razali ADUN Ajil sebagai naib ketua. Perkara ini tidak menjadi kenyataan bila Rozi hanya mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Bahagian menakala Razali tidak bertanding.
 Sebaliknya Ahli Parlimen Hulu Terengganu menawar diri untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian mencabar ADUN Kuala Berang, Tengku Putera yang mempertahan jawatan tanpa pengaturan daripada saya, menakala Yusof Awang Hitam pula mempertahankan jawatan naib ketua.
  Saya difahamkan bahawa terdapat mereka yang tidak bertanggung jawab dan “desperate” menuduh saya bertemu YB. Datuk Jailani Johari kononnya bagi memberi arahan untuk beliau bertanding jawatan Ketua Bahagian Hulu Terengganu.
 Siapalah saya berbanding dengan YB. Timbalan Menteri untuk mengarahkan beliau bertanding? Sebaliknya sayamemang pernah bertemu Timbalan Menteri itu atas kapasiti saya selaku Pengerusi Radio Manis Fm Terengganu bagi memohon bantuan beliau untuk mendapatkan lesen meluaskan siaran radio Manis Fm ke seluruh Negara yang telah ditolak sebelum itu.
  Begitulah juga pertandingan di Umno Bahagian-bahagian lain di negeri ini adalah berlaku atas kehendak individu itu sendiri, berdasarkan tempat masing masing tanpa permintaan mahupun arahan saya serta peruntukan dari saya sebagaimana yang disebarkan itu.
 Semoga dengan penjelasan dan kenyataan saya ini dapat memperbetulkan keadaan yang sebenar serta tidak mengeruhkan keadaan yang boleh membangkitkan pra sangka buruk, silap faham dan sebagainya yang menjejaskan hubungan di antara satu sama lain atau dalam erti kata lain boleh mengkucar kacirkan keadaan yang merugikan masyarakat, Umno dan kerajaan.

DATUK WAN AHAMAD WAN MUDA

Wanita Umno mahu diiktiraf sebagai tulang belakang, bukan lagi sayap parti

Oleh: Aida Abd Rahman

Wanita Umno  menggesa supaya pergerakan itu diiktiraf sebagai tulang belakang dan tidak lagi sebagai sayap parti, bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Ketua pergerakannya, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pengiktirafan itu amat penting memandangkan golongan itu mewakili ramai ahli Umno selain penyumbang yang besar kepada kemenangan parti Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

 “Saya tekad untuk memperjuangkan dua perkara dalam Wanita Umno, pertama saya bertekad menentukan perjuangan untuk `mengarus perdanakan’ Wanita Umno di tempat membuat keputusan.

“Selain itu juga, saya mahu Wanita Umno diiktiraf selaku tulang belakang kepada Umno menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Sambutan Merdeka Raya Semarak, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Timbalan Menteri Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun; Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Rosnah  Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pergerakan Wanita Umno negeri, Datuk Hajah Fatimah Hamat.

Turut hadir, semua Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian dan  kepimpinan Wanita Umno Cawangan, Dewan Undangan Negeri dan Bahagian seluruh Terengganu.

Dato’ Seri Shahrizat berkata, sekiranya diberi peluang untuk terus menerajui kepimpinan Wanita, beliau bersama barisan Exco bertekad untuk meneruskan perjuangan khususnya membela nasib golongan itu dan berharap permintaan Wanita Umno untuk diiktiraf sebagai tulang belakang Umno dipenuhi Presidennya, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Saya nak wanita Umno diiktiraf selaku tulang belakang Umno Malaysia. Kenapa, pertama dari segi keahlian kerana kita memang ramai ahli. Keduanya dari segi komitmen, dedikasi , jentera dan kerja-kerja yang dijalankan korum kami di cawangan, jadi masanya sudah tiba bagi kami Wanita Umno diberi pengiktirafan sebagai tulang belakang Umno, Pemuda sebagai sayap kanan,  manakala uteri sebagai sayap kiri.

“Saya nampak struktur ini adalah struktur yang cantik sekali untuk mantapkan Umno, itu pertama. Keduanya, kami Wanita Umno juga bertekad untuk terus memperjuangkan isu wanita, keluarga dan masyarakat, “ katanya.

Menurutnya, isu yang dikemukakan dari wanita di peringkat akar umbi yang melibatkan 18,000 Umno Cawangan seluruh negeri dapat dibawa kepada kementerian untuk perjuangan sewajarnya memandangkan pimpinan pergerakan mempunyai Dato’ Azizah Mohd Dun yang memegang portfolio Timbalan Menteri Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Masyarakat (bertanding jawatan Naib Ketua Wanita Umno Malaysia).

“Jadi, Insya-Allah saya yakin bahawa oleh kerana kesatuan yang ada pada Wanita Umno hari ini, lepas sahaja pertandingan, kita akan masuk kepada satu era yang begitu mengujakan, termasuk persiapan PRU14 akan dibuat secepat mungkin.

 “Kita akan membuat pembaharuan kerana jentera kita dari segi asas sudah `cantik’, cuma Wanita perlu perbaiki diri, cuma kita akan kembangkan lagi sayap Wanita Umno,” katanya.

Selain itu, beliau juga mahu kepimpinan Wanita Umno Terengganu lebih bersiap sedia menjelang PRU14 supaya ada di kalangan mereka dicalonkan pada pilihan raya umum itu nanti.

Beliau juga yakin Pengerusi BN negeri, Dato' Seri  Ahmad Said merangkap Menteri Besar Terengganu itu akan memberi peluang kepada Wanita Umno negeri itu untuk mengisi mana-mana kerusi Dun nanti.

Dato' Seri Shahrizat bakal ditentang penyandang Naib Ketua Umno Bahagian Rompin, Datuk Maznah Mazlan bertanding jawatan Ketua Wanita Umno Malaysia pada pemilihan Oktober ini.


Nawi berani bersumpah tidak ditaja

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan & Komoditi negeri Nawi Mohamad (gambar) menafikan bahawa beliau ditaja oleh mana-mana pihak untuk bertanding Ketua Umno Bahagian Besut.

“Saya berani bersumpah tidak menerima duit satu sen pun dari Menteri Besar (Dato Seri Haji Ahmad Said) dan dakwaan ditaja itu juga tidak benar sama sekali,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu 2013 di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak, baru-baru ini.

Katanya, beliau mengakui bahawa ada berjumpa Menteri Besar tetapi hanya untuk memaklumkan hasratnya untuk bertanding jawatan tersebut.

Katanya, Umno Bahagian Besut telah sinonim dengan peralihan kuasa ibarat resmi pelepah kelapa di mana apabila sampai masa ia akan jatuh juga, justeru baginya tidak perlu timbul isu siapa yang ingin menentang siapa.

Katanya, sebelum membuat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Besut, beliau terlebih dahulu berbincang dengan golongan muda dalam parti dan bahagian tersebut.

Nawi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, menang tanpa bertanding setelah pencabarnya Mohammad Pehimi Yusof yang juga Adun Jertih menarik diri bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Besut.

 

UMT tubuh pusat penyelidikan

Oleh: Suriati Ali

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bercadang menubuhkan Pusat Penyelidikan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bagi menjalankan penyelidikan ekosistem hutan dan ekotouris (air).

 Ketua Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu, Terengganu 2012, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad berkata, kerajaan telah meluluskan dana RM8 juta untuk saintis melakukan penyelidikan di Terengganu.

 Ekoran jumlah yang begitu besar diberikan kerajaan, sebuah pusat penyelidikan telah pun diluluskan untuk dibina di Tasik Kenyir bagi menjalankan penyelidikan di tasik terbesar di Asia Tenggara itu.

“Daripada jumlah (RM8 juta) yang diberikan itu, kami akan menyediakan prasarana seperti makmal, asrama, dan juga alatan penyelidikan.

 “Ini kerana, kita melihat cadangan kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk membangunkan Tasik Kenyir sangat baik dan sebagai saintis kita cuba membantu apa yang patut,” katanya pemberita, baru-baru ini.

Dr Abdul Latiff, kepakaran luar juga mungkin akan dibawa masuk sekiranya kekurangan saintis, tetapi akan mengutamakan kepakaran anak watan terlebih dahulu.

 “Buat masa ini, kita akan cari ‘orang dalam’ yang bersesuaian seperti dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan UMT sendiri, sebelum membuat keputusan untuk mengambil pakar luar,” katanya.

 Dalam waktu sama, penyelidikan juga akan dilakukan bagi keperluan ekotouris, bioteknologi, ubatan-ubatan yang menggunakan khazanah hutan, termasuk bagaimana untuk menjamin pertambahan ikan di tasik berkenaan.

 

Kerajaan negeri akan laksana program ‘Jom Kite Nanam’

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan melaksanakan program 'Jom Kite Nanam' sebagai usaha untuk mengurangkan kebergantungan rakyat negeri ini terhadap bekalan sayur-sayuran dari luar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, YB Nawi Mohamad berkata, program ‘Jom Kite Nanam’ merupakan idea asal Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang dicetus melalui program penanaman kelapa sawit untuk setiap rumah.
 
“Pada tahun ini, kerajaan negeri menambahbaik program berkenaan dengan memperkenalkan program ‘Jom Kite Nanam’ yang bakal melibatkan semua komuniti di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri ini.

“Buat permulaan, Dun Hulu Besut dan Kijal dipilih untuk menjadi perintis kepada program yang dijangka akan bermula Oktober ini. Setiap Dun diminta untuk menanam sayuran yang berbeza untuk mempelbagaikan hasil pengeluaran sayur-sayuran yang diusahakan. Pada tahun depan, kita sasarkan dapat melaksanakan program ini sekurang-kurangnya di 16 Dun,’ ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu 2013 di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak, baru-baru ini.

Katanya, melalui program ini, setiap peserta perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu tidak boleh mengunakan sebarang racun perosak terhadap setiap tanaman yang diusahakan.

“Syarat ini perlu dipatuhi dalam memastikan rakyat Terengganu dapat menikmati sayuran segar dan bebas daripada penggunaan sebarang bahan kimia berbahaya seperti racun serangga.

“Setiap tahun kita akan adili peserta. Kalau mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan, peserta tersebut akan dibawa melawat sebuah kampung di Thailand sebagai insentif terhadap usahanya itu,” ujarnya.

Katanya, selain dapat menyelasaikan masalah kekurangan sayur di Terengganu, menerusi program ini diharap dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan tani yang berjaya pada masa akan datang.

 

Risda agih bantuan RM60 ribu

Oleh: Suriati Ali 

Risda Terengganu memperuntukkan Bantuan Khas Keusahawanan sebanyak RM60,000 kepada 60 usahawan baru dalam pelbagai bidang di Terengganu, sepanjang tahun ini.

Pengarah jabatan itu, Encik Zakaria Mat Zin, berkata, bantuan sebanyak RM1,000 untuk setiap seorang usahawan baru itu adalah inisiatif Risda bagi membantu golongan itu memajukan perusahaan masing-masing yang dimulakan secara kecil-kecilan.

Katanya, lebih membanggakan, kira-kira 30 peratus penerima bantuan itu adalah generasi kedua Risda dan golongan muda yang memilih bidang keusahawanan sebagai cabang pendapatan mereka berbanding kerja makan gaji.

“Setakat ini seramai 60 peserta sudah mendapat manfaat daripada program ini dan kebanyakan mereka terbabit dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti perniagaan pastri, kraf tangan, makanan, jahitan dan pakaian.

 “Majoriti mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah, dan dengan bantuan ini mereka dapat memperbesarkan perniagaan serta menambah peralatan yang diperlukan seperti mesin jahit, mesin memproses makanan dan menyewa kiosk untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

 Zakaria berkata, daripada pemantauan yang dilakukan, usahawan yang menerima bantuan khas itu berjaya memajukan perniagaan mereka, sekali gus menjana pendapatan lebih tinggi.

 Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, pekebun kecil yang layak dan mahu menyertai program Tanaman Semula Getah (TSG) boleh membuat permohonan dengan datang ke pejabat Risda terdekat bagi memudahkan urusan pendaftaran.

 “Lazimnya kita berdepan sedikit masalah apabila pekebun kecil lewat mendaftar sedangkan kita perlu melalui pelbagai proses termasuk lawatan ke tapak kebun sebelum meluluskan permohonan mereka.

 “Jadi, kita harap mereka dapat membuat permohonan awal dengan mengunjungi 16 pejabat kita di seluruh negeri atau datang ke pejabat Risda daerah untuk mendaftar.

 “Bagi program TSG, pekebun kecil akan diberikan bantuan wang tunai bernilai RM9,230 bagi setiap sehektar tanaman selain menerima bantuan benih baru dan baja bagi menyuburkan tanaman,” katanya

 

Komited Jayakan Projek Agropolitan - Sultan Mizan

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mendengar  taklimat daripada Dato' Issace mengenai pelan lokasi Projek Agropolitan Besut-Setiu.
Teks oleh Aminudin Ismail
Gambar oleh Zulkipli Putra

SETIU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah mengharapkan semua peserta Projek Agropolitan Besut-Setiu terus komited untuk menjayakan projek itu supaya dapat menyumbang ke arah pembangunan negeri Terengganu.

Seorang peserta Projek Agropolitan menerima kunci rumah daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Beta berharap agar para peserta projek Agropolitan Besut-Setiu akan terus komited dan bekerja keras dalam menjayakan projek ini sekaligus menyumbang ke arah pembangunan negeri Terengganu Darul Iman yang tercinta,” titah baginda.

Ladang Projek Agropolitan.
Bertitah ketika merasmikan projek itu di Panchor Bederu, di sini, hari ini, Sultan Mizan Zainal Abidin juga berasa sukacita melihat semangat dan kesungguhan yang tinggi yang ditunjukan oleh peserta-peserta Agropolitan Besut-Setiu yang nyata membawa perubahan kepada diri sendiri dan keluarga masing-masing melalui projek itu.

Titah baginda, pelaksanaan projek itu adalah satu usaha murni yang dilakukan Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC (Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur) dengan kerjasama kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan kemiskinan dalam wilayah ekonomi Pantai Timur khusus di negeri Terengganu.

“Beta ingin mengucapkan tahniah kepada pihak ECERDC di atas sambutan ulang tahun yang ke lima pada tahun ini. Pihak ECERDC sememangnya telah melaksanakan banyak projek di negeri Terengganu Darul Iman, sebahagian dari usahanya untuk menjadikan ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur) sebuah wilayah maju menjelang 2020.

“Langkah pihak ECERDC memperkenalkan projek Agropolitan ini di negeri Terengganu Darul Iman wajar dipuji kerana ia bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup para peserta dengan cara memberi mereka pekerjaan bidang berkaitan pertanian,”titah baginda.

Sultan Mizan bertitah, projek Agropolitan itu mampu mengubah transfomasi dalam sektor pertanian di negeri Terengganu Darul Iman khususnya dan Malaysia amnnya. Dan titah baginda, pada masa yang sama memaju transfomasi dalam kehidupan rakyat di negeri ini.

“Beta berharap agar rakyat negeri Terengganu Darul Iman akan terus berusaha memajukan diri dalam merebut pelbagai peluang yang diwujudkan oleh pihak kerajaan.

“Ini kerana pembabitan rakyat dalam proses pembangunan yang sedang pesat dilaksanakan kerajaan negeri bukan sahaja mempertingkatkan taraf dan kualiti hidup mereka tetapi juga memastikan rakyat negeri ini tidak ketinggalan dalam menikmati kemakmuran,” titah baginda.

Hadir sama pada majlis yang dihadiri lebih 1,000 tetamu itu ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Pengurus Besar Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John serta beberapa kenamaan negeri
.

DUN Terengganu bersidang esok

Dewan Undangan Negeri Terengganu akan bersidang selama satu hari eok.

Persidangan itu merupakan kali kedua bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-13.

Antara agenda sidang DUN esok ialah majlis mengangkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, pertengahan tahun ini.

Pada PRK tersebut Tengku Zaihan menang besar setelah menewaskan calon Pas, Endot @ Azlan Jusuh apabila mendapat 8,288 undi menewaskan calon Pas dengan majoriti 2,592 undi.