Halaman

30 September 2013

Terharu terima pampasan suami

Oleh: Aminudin Ismail.

TERIMA…Balu kepada seorang anggota SRS Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Rahimah Abdul Ghani bergambar kenangan selepas menerima replika cek dari Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Seri Datuk Panglima Joseph Kurup di Batu Rakit, kelmarin.

Turut hadir pada majlis penyampaian replika cek itu itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman dan Pengerusi KRT Pekan Batu Rakit, Che Mat Che Bakar.

Rahimah, dari Mengabang Telipot, melahirkan rasa terharu ketika menerima pampasan insuran suaminya, Suaami Mamat yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya awal tahun ini dan akan mengunakan wang itu sebaik mungkin bagi membesarkan anak-anaknya seramai tujuh orang termasuk lima yang masih belajar


Sidang DUN: Tumpuan pencegahan jangkitan kencing tikus di Besut, Kemaman

Dato' Ahmad Razif
Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri giat mengatur pelbagai inisiatif bagi mencegah jangkitan Leptospirosis (kencing tikus) di seluruh Terengganu termasuk memberi tumpuan di Kemaman dan Besut berikutan dua daerah itu merekod kes yang tinggi sejak kebelakangan ini.

Usaha pencegahan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) termasuk bergotong royong di kawasan berisiko, mengedarkan risalah dan menganjurkan kempen kesedaran bagi mengelak jangkitan penyakit yang boleh menyebabkan kematian itu.

Pelajar sekolah beratur mendapatkan pass memasuki Dewan Undangan Negeri sebagai pemerhati.
Kerajaan negeri giat mencegah jangkitan kencing tikus dengan mengadakan gotong-royong membersih kawasan persekitaran.
Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (BN-Seberang Takir) berkata sebanyak 161 kes dengan sembilan kematian pada 2011, 126 kes dengan lima kematian (2012) dan 91 kes dan tiga kematian sehingga 31 Ogos tahun ini akibat penyakit itu.

“Setakat ini, kes berkenaan banyak berlaku di dua daerah, iaitu Besut dan Hulu Terengganu pada 2011, tetapi tahun ini, setakat hari ini banyak berlaku di Kemaman dan Besut.

“Banyak langkah dilaksanakan oleh JKNT termasuk mengadakan kempen, mengeluarkan pamplet dan menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika mengunjungi kawasan rekreasi yang berair, seperti sungai kolam atau paya yang persekitarannya kurang bersih, kerana kita mendapati punca jangkitan penyakit ini asasnya adalah air, selain makanan dan minuman,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Dr Haji Alias Razak (Pas-Bukit Tunggal), di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri berkata kempen kesedaran juga dipertingkatkan kepada masyarakat yang tinggal berhampiran sungai bagi mengelak dari meminum air sungai tidak terawat, mandi-manda di sungai serta berhati-hati mengunjungi kawasan rekreasi apabila terdapat luka pada fizikal.

Selain itu, kerajaan negeri dengan kerjasama JKNT turut melancarkan program kawalan tikus peringkat negeri, di Kemaman dengan disertai 500 orang membabitkan 20 agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan serta persatuan yang melibatkan program gotong-royong perdana.

“Selain itu, pihak Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) turut menawarkan insentif RM2 setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap dan diserahkan kepada MBKT,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan di setiap daerah sering mengadakan gotong-royong di seluruh Terengganu berikutan kes itu di kesan di semua kawasan, bagaimanapun pada 2013, di Hulu Terengganu sudah berkurang tetapi banyak kes dikesan di Kemaman dan Besut menyebabkan usaha kawalan dipertingkatklan di dua daerah itu.

Beliau juga berharap pihak pembangkang dapat membantu kerajaan negeri bagi menjayakan program gotong-royong berikutan sehingga kini, kurang aktiviti gotong-royong diajurkan pembangkang sedangkan kes jangkitan kencing tikus dan kematian turut berlaku di kawasan pembangkang.

“Saya mengesyorkan supaya kita bersama menangani permasalahan ini, kerana kes ini bukan baru tetapi sudah lama dan di Malaysia sejak 1925 sudah dijumpai dan di Singapura 1926, tetapi disebabkan is jarang berlaku kita menyangka kes seumpama ini baru.

 “Bukan hanya tikus, binatang lain seperti kuda, anjing, khinzir, lembu juga boleh penyebab penyakit berjangkit ini,” katanya.


Mohd Noor menuju checkpoint ke-9

Oleh: Noraini Jusoh

Sila KLIK foto untuk maklumat terkini di FB Walk4Malaysia

Misi peserta utama Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) Mohd Noor Mat menamatkan perjalanan dari Dataran Kuala Besut hingga ke Putrajaya kini memasuki hari kesembilan.

Mohd Nor meneruskan cabaran bermula dari Hentian Sebelah Maran menuju destinasi checkpoint ke-9 iaitu di RnR Temerloh, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Cabaran peserta Walk4Malaysia pada hari ini melibatkan jarak sejauh 32.7 kilometer (km) dengan perjalanan yang dijangka akan mengambil masa selama 7 jam 47 minit berjalan kaki.

Mohd Nor masih bersemangat meneruskan perjalanan walaupun keadaan cuaca di Pantai Timur kurang baik buat masa sekarang.

Ekoran cuaca yang kurang baik, Mohd Nor terpaksa menamatkan perjalanan lebih awal di kilometer 174.3 sebelum susur Hentian Sebelah Maran, kira-kira 6.30 petang semalam.

Justeru, bersama-samalah kita berdoa dan memberi sokongan kepada peserta Walk4Malaysia supaya selamat tiba di Putrajaya.

Bermula hari ketujuh, peserta Walk4Malaysia akan berada selama lima hari di Lebuh Raya Pantai Timur. Dari Hentian Sebelah Kuantan, perjalanan diteruskan ke R&R Gambang, Hentian Sebelah Maran, Hentian R&R Temerloh, Hentian Sebelah Lanchang dan ke R&R Genting Sempah.

Manakala cabaran hari ke-12 Walk4Malaysia akan bermula di R&R Genting Sempah, Pahang ke Stadium Bukit Jalil sejauh 47 km yang dijangka memakan masa selama hampir 9 jam.

Sementara pada hari terakhir, 4 Oktober ini, langkah akan bermula dari Stadium Bukit Jalil ke Masjid Putra, Putrajaya melibatkan jarak 20.9 kilometer dengan anggaran masa untuk mengakhiri misi itu selama 4 jam 15 minit.

 

Sidang DUN: LPT fasa II dijangka siap akhir tahun depan

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ir Rosli
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri Ir Rosli Othman memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bahawa semua 16 pakej fasa II Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2) dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun depan.

 Katanya sehingga kini, sembilan dari 16 pakej LPT 2 telah siap dan kerajaan mengetahui rakyat pantai timur meletakkan harapan lebuh raya itu siap dengan kadar segera.

“Projek itu terbahagi kepada 16 pakej sepanjang 184 kilometer (km) iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus,” katanya yang menjawab soalan Azan Ismail (Pas-Bandar).

Persidangan Dewan Undangan Negeri berjalan lancar.

Sehingga kini, sembilan daripada 16 pakej LPT 2 telah siap.
Katanya, untuk makluman, perbelanjaan LPT itu membabitkan kos RM 2.63 bilion yang ditanggung kerajaan pusat melalui dana khas.

“Kita meminta pihak Lembaga Lebuh Malaysia dan JKR supaya mana-mana pakej (jajaran) yang berjaya disiapkan dan bersambung itu dibuka kepada orang ramai tanpa perlu menunggu siap sepenuhnya, sebagaimana jalan Kampung Gemuroh-Bukit Besi yang mula dibuka untuk kemudahan umum sejak Ogos tahun lepas.

 “Kemudahan LPT ini menjadi alternatif kepada pengguna untuk mengurangkan kesesakan di jalan pantai (Kuala Terengganu-Kuantan) terutama pada musim perayaan apabila orang ramai bersesak-sesak memasuki dan meninggalkan Terengganu,” katanya.

 

Sidang DUN: Tengku Zaihan mahu beri komitmen terbaik

YB Tengku Zaihan (berdiri) bersama Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said pada Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, berazam memberi komitmen terbaik bagi membawa suara rakyat pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini, untuk bersama-sama meneruskan khidmat cemerlang Barisan Nasional (BN) khususnya di DUN Kuala Besut.

YB Tengku Zaihan mengangkat sumpah
Ahli dewan Undangan Negeri Kuala Besut
pada Sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
 Katanya, dia bersyukur ke hadrat Ilalhi dan tidak lupa kepada pengundi kawasan Kuala Besut yang mempercayai dan memberi mandat besar kepadanya untuk membuat perubahan.

 “Saya mahu menunaikan hajat pemimpin BN supaya membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan dan membangunkan kawasan Kuala Besut.

 “Pada masa sama, bersedia mengikut apa sahaja kehendak pucuk pimpinan parti kerana matlamatnya ingin bekerja untuk rakyat.

“Agenda dan usaha dilakukan arwah,Dr A Rahman Mokhtar yang masih belum selesai akan diteruskan, antaranya mendalamkan muara Kuala Besut, masalah penempatan penduduk serta meneruskan pelaksanaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kuala Besut,” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang DUN, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

“Saya turut merancang untuk meningkatkan ekonomi dan menambah peluang pekerjaan di kalangan penduduk terutama yang bergantung kepada rezeki laut dan tanaman,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, 24 Julai lalu, calon BN Tengku Zaihan berjaya menewaskan calon Pas, Endot@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi.

 Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi mengalahkan Azlan atau lebih dikenali Che Long yang mendapat 5,696 undi. Kemenangan Tengku Zaihan itu sekaligus mengekalkan kedudukan kerusi 17 BN 15 PR sebagaimana kedudukan asal selepas PRU13 lalu.

 

MB arah SPRM siasat kontraktor

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kontraktor yang bertanggungjawab membina Masjid Kampung Tebauk yang bumbungnya runtuh semalam.

Pengarah JKR negeri (tengah) menyerahkan laporan mengenai kejadian bumbung Masjid Kampung Tebauk yang runtuh  kepada Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Beliau mahu mereka yang terlibat dengan sebarang bentuk penyelewengan dihadapkan ke mahkamah dan diberi hukuman wajar sebagai teladan kepada pihak lain di masa depan.

Menurut beliau, kejadian itu sangat memalukan kerajaan kerana pihak tertentu pasti akan menyalahkan pemimpin kerajaan sedangkan agensi dan pegawai kerajaan bertanggungjawab memantau semua projek kerajaan yang dilaksanakan di negeri ini.

 “Orang politik akan jadi tong sampah, semua pihak akan menyalahkan orang politik bila berlaku kejadian tidak diingini seperti bumbung masjid dan bangunan kerajaan runtuh,” katanya ketika di Primula Beach Resort petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam, sebahagian bumbung dan siling Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal dalam daerah Kuala Terengganu telah runtuh.

Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Shafii Mohamad, kejadian runtuhan bumbung berkenaan berlaku di ruang solat terbuka hadapan masjid berkenaan.

 Beliau menjelaskan pihak kontraktor dan pembekal bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan bumbung masjid ini dibina balik mengikut bentuk asal selepas pihak forensik Jabatan kerja Raya (JKR) menilai, membuat semakan dan mencari punca-punca mengapa berlakunya runtuhan tersebut.

Katanya, sebelum ini semasa melaksanakan kerja memasang bumbung berkenaan, pihak pembekal memberi waranti selama 10 tahun.

Menteri Besar turut mengarahkan JKR supaya mengadakan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu dan menyerahkan laporan lengkap kepada kerajaan secepat mungkin.

Ketengah dan Mardi tandatangani MoU kerjasama

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Primula Beach Resort, petang semalam bagi mengadakan kerjasama dalam beberapa bidang yang telah dikenalpasti.

Menteri Besar bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyaksikan pertukaran MoU antara Ketengah dan Mardi.
Pada majlis itu, Ketengah diwakili Pengurus Besarnya, Haji Wan Mat Amin Wan Daud manakala Mardi diwakili Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr Sharif Haron. Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal, hadir sama menyaksikan majlis berkenaan.

Melalui MoU itu Mardi dan Ketengah akan bekerjasama dalam pembangunan bidang pertanian dan pembangunan komuniti petani melalui perkongsian dan pemindahan teknologi, kerjasama penyelidikan dan pembangunan serta latihan industri.

Objektif memorandum itu ialah kedua-dua pihak meningkatkan kerjasama pertanian, teknikal serta berkongsi kepakaran bagi membangun dan mengeksploitasi bidang pertanian dan pembangunan komuniti petani.

Kedua-dua agensi berkenaan turut bekerjsama dalam pembangunan teknologi berkaitan bagi menjalankan program pengurusan dan pembangunan pertanian serta menyumbang kepada pelaksanaan program sumber alam sekitar serta perancangan strategik negara.

Sebelum ini, kedua-dua agensi tersebut telah bekerjasama bagi membangunkan Taman Tropika di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Selain itu, hasil penyelidikan Mardi mengenai khasiat ceri Terengganu telah mendapat perhatian Ketengah di mana spesies tersebut dijadikan ikon Taman Tropika Kenyir.

Kerajaan negeri-Persekutuan kerjasama bangunkan rakyat -MB

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli melawat  ladang penternakan kambing biri-biri di tapak Projek Agropolitan Besut-Setiu sambil ditemani Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Teks oleh Aminudin Ismail
Gambar oleh Zulkipli Putra

SETIU: Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan projek-projek yang berdaya maju bagi mempastikan rakyat di negeri ini akan mendapat manfaat daripadanya, kata Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

Peserta Projek Agropolitan menjunjung kasih menerangkan sesuatu kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan negeri bekerjasama dengan ECERDC (Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur ) bagi menyediakan tanah yang bersesuaian bagi membangunkan Projek Agropolitan Besut-Setiu.

“Kerajaan negeri juga bekerjasama dengan pihak ECERDC melaksanakan beberapa projek lain di Terengganu, ini termasuklah Projek Kuala Terengganu City Centre, Pembinaan Jambatan Bukit Kuang, Projek Taman Herba di Hulu Dungun serta Projek Taman Lestari Setiu Wetland,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Projek Agropolitan Besut-Setiu di Panchor Bederu, Chalok, di sini, semalam.

Ahmad berkata, beliau mengharapkan kerjasama yang terjalin antara ECERDC akan terus berkekalan khususnya dalam menjayakan projek –projek ECER negeri ini demi untuk faedah dan manfaat kepada rakyat negeri Terengganu.

“Adalah di harapkan selepas itu ECERDC dapat menyediakan kemudahan-kemudahan infrastruktur untuk projek-projek pelancongan pula di negeri ini.

Ahmad Said juga mengucapkan penghargaan dan syabas kepada pihak ECERDC terutamanya kepada Dato Jebasingam Issace John selaku Pegawa Exekutif dan juga kepada FELDA ke atas komitmen dan usaha yang dicurahkan bagi menjayakan projek ini.

“Kerajaan negeri amat mengalu-galukan pelaksanaan Projek Agropolitan ini di Terengganu dan harapan kami adalah semoga projek ini akan menempa kejayaan dan mampu memacu tranformasi serta memajukan rakyat di negeri ini.

“Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada para peserta Projek Agropolitan Besut-Setiu. Projek ini jelas membuktikan bahawa warga Besut-Setiu juga mampu memainkan peranan penting dalam menjayakan transfomasi wilayah ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur) dalam menjayakan wawasanya untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020,” katanya.


29 September 2013

Masih dalam tempoh waranti, pihak kontraktor dan pembekal bertanggungjawab

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

“Pihak kontraktor dan pembekal bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan bumbung masjid ini dibina balik mengikut asal selepas pihak forensik Jabatan kerja Raya (JKR) menilai, membuat semakan dan mencari punca-punca mengapa berlakunya runtuhan tersebut,” tegas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu , Ir Shafii Mohamad.

Ir Shafii menunjukkan pelan Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal ketika mengadakan sidang akhbar , hari ini.
Katanya, sebelum ini semasa melaksanakan kerja memasang bumbung berkenaan, pihak pembekal memberi waranti selama 10 tahun.

“Masjid ini baru dua tahun siap dan kalau ikutkan waranti masih berbaki lapan tahun lagi. Jadi, pihak pembekal dan kontraktor utama bertanggungjawab sepenuhnya untuk membaiki balik bumbung ini,” ujarnya pada sidang media di Unit Komunikasi Negeri (Ukom), hari ini.

Kira-kira jam 4 pagi awal hari ini, sebahagian bumbung dan siling Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal dalam daerah Kuala Terengganu runtuh.

Menurut Ir Shafii, kejadian runtuhan bumbung berkenaan berlaku di ruang solat terbuka hadapan masjid berkenaan.

Katanya, pihak forensik akan melakukan siasatan dan akan mengeluarkan satu laporan tentang punca kejadian dan selepas itu, pihaknya akan pastikan kontraktor dan pembekal mengganti balik bumbung berkenaan.

"Buat masa ini, kita belum kenal pasti punca sebenar berlakunya runtuhan. Kita telah memaklumkan kepada pihak menteri serta ibu pejabat JKR di Kuala Lumpur. Pihak forensik JKR di ibu pejabat akan sampai esok (Isnin) atau paling lewat Selasa untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya runtuhan ini,”ujarnya.

Menurut Ir Shafii, daripada siasatan awal dari segi reka bentuk bumbung tiada masalah. Cuma pihaknya mendapati dari segi material bahan yang diguna pakai itu ada sedikit tidak mengikut aspek yang ditetapkan dan dari segi pemasangan dan pembinaan pula tidak mengikut pelan asal.

Beliau menyatakan, kontraktor dan pembekal yang dilantik untuk menyiapkan masjid ini bukanlah pembekal yang sama dengan yang dilantik untuk menyiapkan masjid yang runtuh di Kuala Berang iaitu Masjid Binjal Kertas sebelum ini. Tetapi material yang digunakan mereka untuk bumbung lebih kurang sama iaitu ‘Cold-formed steel’.

"Kawasan yang terjejas lebih kurang 10 meter x 15 meter. Kalau ikutkan peratus daripada keluasan keseluruhan masjid hanya 20 peratus yang terjejas kerana struktur bumbung Masjid Kampung Tebauk dibina berasingan. Tidak seperti Masjid Binjal Kertas ianya bersambung antara bahagian luar dan dalam. Jadi bila yang luar jatuh akan tarik yang dalam dan perkara ini tidak berlaku di masjid ini.

Menurut beliau, kebiasaannya runtuhan bumbung berlaku kerana beberapa sebab. Salah satunya kemungkinan disebabkan reka bentuk, bahan-bahan yang digunapakai atau pemasangan.

Katanya, kemungkinan kontraktor dan pembekal tersebut akan disenaraihitamkan daripada membekalkan barangan mereka sehingga dapat memberi suatu sebab yang munasabah mengapa perkara ini berlaku. Dan ia mengambil masa untuk mereka mendapat balik kelulusan itu.

Katanya, JKR tidak ada halangan terhadap orang awam untuk penggunaan ruang dalam masjid berkenaan kerana ia masih elok dan tidak ada berlaku apa-apa kerosakan serta masih boleh diguna pakai.Runtuhan bumbung hanya berlaku di luar iaitu tempat ruang terbuka dan ia akan dihalang daripada digunakan untuk tempoh masa tertentu.

Menurut beliau, pihaknya menganggarkan kos lebih kurang RM200 hingga RM250 ribu untuk membaiki balik masjid berkenaan.

Katanya, harga asal Masjid Kampung Tebauk yang mula dibina pada Januari 2010 dan siap sepenuhnya pada 24 Oktober 2011 ialah RM5.7 juta.

 

Forum perdana cakna keluarga

Oleh Mohd Syazni Zainudin

Orang ramai dijemput hadir ke Forum Perdana Cakna Keluarga yang bertajuk "Syukur - Keluargaku Bahagia" di Batalion 9 PGA, Kubang Badak, Kuala Terengganu pada 29 September (Ahad, jam 8.30 malam).

Program anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga akan dimoderatorkan oleh Ustaz Wan Akashah Wan Abd. Hamid selain dua ahli panel Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood dan Ustaz Hj. Muhammad Ramli Nuh.
 
Sempena program berkenaan turut diadakan pemeriksaan kesihatan yang dibuka kepada orang ramai secara percuma daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).