Halaman

19 November 2013

Peserta Seminar Lawat Setiu Wetland.

MAKLUMAT...Exco Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Dato' Mohd Jidin Shafee memberi penerangan sesuatu mengenai 'bird watching' kepada seorang Jawatankuasa Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin yang melawat Setiu Wetland, di Setiu, hari ini.

Jamu..peserta menjamu makanan tradisional.
Seramai kira-kira 150 peserta termasuk Jawatankuasa seminar menyertai lawatan itu selepas mereka menamatkan kursus di Hotel Primula, semalam.

Antara tempat-tempat menarik yang mereka lawati ialah kawasan ternakan ikan dalam sangkar, meneropong burung di Kampung Gong Batu dan hutan paya bakau.

Rakam...rakaman untuk slot Teganukita TV3
Peserta seminar juga dijamu dengan makanan tradisional penduduk Setiu antaranya ialah kuih buah berus dan juga makanan laut.

Beberapa peserta yang ditemui gembira dengan lawatan itu kerana mereka dapat menimba beberapa pengalaman baru yang sebelum ini tidak pernah mereka lihat.

Dato' Mohd Jidin mengharapkan Setiu Wetland akan terus dikunjungi pelancong untuk menikmati pelbagai keunikan di kawasan pelancongan Daerah Setiu itu:- oleh: Aminudin Ismail

 

Jaga kebersihan perlu bermula seawal usia

 Oleh: Suriati Ali

 Pembentukan budaya mencintai kebersihan sama ada berkaitan diri dan persekitaran alam sekitar sewajarnya bermula seawal usia.



Melalui usaha dan pendekatan itu secara langsung mampu mendidik kanak-kanak mengamalkan cara hidup sihat bermula dari rumah dan seterusnya bijak menjaga persekitaran negeri supaya lebih terurus.

 Setiausaha Kerajaaan Negeri, Dato’, Haji Mazlan Ngah, berkata faktor kritikal untuk menawan hati dan menarik lebih ramai pelancong ke sesebuah negeri adalah berkaitan kebersihan.



 Katanya, walaupun betapa cemerlang kejayaan yang telah dicapai, yang paling penting ialah pembangunan insanedan seboleh-bolehnya tidak mahu hanya dipenuhi dengan pembangunan fizikal semata-mata.

 “Di samping mengamalkan kebesihan diri dan persekitaran, kita perlu kaya dengan budi bahasa, mencintai ilmu dan berakhlak mulia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Mohd Yasim Awang, Majlis Penyampaian Hadiah sempena Program Pendidikan Kebersihan Sekolah-sekolah di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Encik Hashim Mohd Zin dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Tugas-tugas Khas, Haji Wan Mohammad Lotfi Wan Ismail.

 Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu, bagi memastikan kesan positf yang berpanjangan, maka agenda kecemerlangan kebersihan mestilah diperkemaskan.

Katanya, dia berharap agar warga pendidik dan peljar bukan sahaja melaksanakan agenda kecemerlangan kebersihan di kawasan sekolah masing-masing saja, tetapi perlulan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Pihak sekolah boleh merancang aktiviti kebersihan melibatkan masyarakat sekitar, termasuk bersama agensi dan persatuan berkaitan,” katanya.

 






Banjir, sayangkan nyawa dari hartabenda-JPAM Setiu.

Bersedia...beberapa anggota JPAM Setiu sedia hadapi banjir.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Ada segelintir mangsa banjir di daerah ini lebih mementingkan harta benda daripada nyawa apabila mereka sanggup tunggu sehingga air naik ke paras bahaya untuk menyelamatkan barangan mereka tanpa menghiraukan keselamatan diri.

Azwan..buat persediaan awal.
Menceritakan perkara itu kepada Teganukita, Ketua Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Setiu, Staff Muda (SM) Mohd Azwan Abdullah berkata, pihaknya pernah mengalami pengalaman demikian dalam usaha memindahkan mangsa banjir pada musim banjir tahun lalu.

“Dalam usaha memintakan mangsa banjir ke tempat yang lebih selamat, pihak kami mendapati ada segelintir mangsa banjir yang tidak membuat persiapan awal.

“Ini dapat dilihat apabila kami terpaksa menunggu mereka dalam masa yang agak lama untuk berpindah kerana mereka ini mahu mengambil barang-barang berharga terlebih dahulu sebelum berpindah sedangkan air sedang naik begitu cepat ketika itu.

“Mereka ini lebih sayangkan harta dari nyawa sendiri. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku sekiranya mereka membuat persediaan lebih awal” kata Azwan.

Sehubungan itu, Azwan meminta kerjasama orang ramai supaya membuat persiapan awal pada musim tengkujuh ini dan bukannya menyimpan barang-barang berharga apabila hanya selepas air melimpahi kawasan rumah mereka.

Dalam pada itu, seramai enam anggota tetap JPAM Setiu dan kira-kira 50 anggota sukarela sudah bersiap sedia untuk menghadapi musim banjir tahun ini.

“Empat buah bot dan beberapa kenderaan disediakan pihak JPAM untuk kerja-kerja menyelamat musim banjir tahun ini. Semua anggota kami termasuk anggota sukarela sudah diberi latihan awal untuk menghadapi musim banjir.

“Kami akan sentiasa berhubung dengan Bilik Gerakan Banjir Daerah dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bagi mempastikan pasukan kami akan tiba ditempat yang memerlukan bantuan dengan segera,” katanya.
Pejabat JPAM Setiu di Kampung Guntung.
Bincang..tiga anggota JPAM sedang berbincang sesuatu.


TEMCO tepat ke arah transformasi minda, fizikal masyarakat

Oleh: Aida Abd Rahman

Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin (TEMCO) 2013 menjadi satu daripada acara sepanjang sambutan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dan bertepatan dengan usaha menggarapkan Dasar Transformasi Nasional kerajaan ke arah transformasi minda serta fizikal masyarakat untuk lebih berjaya di masa depan, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Kerajaan negeri telah menyusun atur pelbagai strategi dan penjenamaan produk dan destinasi pelancongan melalui penganjuran acara, program dan aktiviti MICE (Meeting, Incentive, Conference & Exhibition) yang berteraskan kekuatan dan keunikan produk pelancongan Negeri Terengganu, katanya ketika beucap sempena merasmikan Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin Terengganu (TEMCO) 2013, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan seminar dua hari itu.

Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong dan Tengku Sri Paduka Raja. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Haji Wan Supian Wan Ishak.

Menteri Besar berkata pelbagai aktiviti telah dan akan diadakan seperti Kapas-Marang International Swimathon, Kenyir Boat-On-The-Road, Pertandingan Bot Berhias, Festival Gamelan Antarabangsa, Terengganu International Islamic Art Festival, The International Offroad Challenge of  Malaysia-Terengganu International Rainforest Challenge 2013 dan seminar-seminar seperti Kenyir Bird & Nature Quest dan Terengganu International Conference.

“Dengan pelbagai penganjuran acara dan seminar yang telah diadakan, ianya telah memberi kesedaran kepada pelancong dalam dan luar negara mengenai usaha memelihara sumber alam semula jadi yang menjadi teras tarikan pelancong ke Terengganu.

 “Galakan dan promosi melalui penganjuran Tahun Melawat Terengganu 2013 juga telah berjaya memberi impak kepada wujudnya peluang-peluang keusahawanan bukan sahaja di dalam sektor ekopelancongan dan pelancongan marin, malah dalam industri pelancongan secara keseluruhan,” katanya.

Menurutnya, antara usaha yang mendapat manfaat termasuk penyediaan perkhidmatan pakej-pakej pelancongan, perkhidmatan pengangkutan, pemandu pelancong, hasil kraftangan, penyediaan penginapan dan makan minum yang dapat dimanfaatkan dan mapu menjana tranformasi bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat tempatan.

 

18 November 2013

Kanak-kanak Pulau Redang berkhatan.

Tenang...seorang kanak-kanak ditenteramkan oleh ibunya sambil diperhati Bazlan (kanan)
Oleh: Aminudin Ismail. 
Gambar Ehsan: Mazlan Mustaffa (Pejabat Dun Batu Rakit). 

PULAU REDANG: Beberapa dari 11 kanak-kanak dari Kampung Baru, di sini rasa agak 'gementar' ketika mahu berkhatan dalam satu majlis khatan beramai-ramai yang diadakan di Klinik Kesihatan Pulau Redang, hari ini.

Bagaimanapun, perasaan gementar kanak-kanak itu hilang apabila selesai acara makan pulut kuning selain ditenteramkan oleh dua orang doktor, kakitangan yang bertugas serta ibubapa masing-masing.

Majlis Khatan Beramai-ramai anjuran Komuniti 1Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Terengganu itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.

Bazlan menyuap pulut kuning.
Bazlan mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua penganjur itu serta penduduk Kampung Baru Pulau Redang kerana memberi kerjasama menganjurkan majlis khatan itu.

"Saya ucap terima kasih kepada Komuniti 1Malaysia dan Jabatan Penerangan kerana menganjurkan program ini. Semoga usaha ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang untuk kebaikan penduduk Pulau Redang.

"Terima kasih juga kepada semua yang terlibat termasuklah kakitangan Klinik Kesihatan Pulau Redang dan penduduk semua," katanya
Tunggu giliran..kanak-kanak bersedia untuk dikhatankan.
Kenangan...kanak-kanak,petugas dan ibubapa bergambar kenangan bersama Bazlan

.

Daerah lain boleh mohon SMK Chalok Model Khas.

SMK Chalok Model Khas.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chalok Model Khas mengalu-galukan murid dari daerah lain untuk belajar di sekolah itu bagi meningkatkan jumlah pelajar 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), pada masa depan.

Pegetuanya, Che Dayang Sulaiman berkata, ketika ini hanya murid dari sekolah di daerah Setiu sahaja yang belajar di sekolah model khas itu.

“Sekiranya, ada pelajar dari daerah-daerah lain berminat untuk belajar di sini, saya mengalu-alukanlah mereka untuk memohon masuk kerana mereka ini semuanya akan tinggal di asrama.

“Pada tahun hadapan kita akan asingkan pelajar ini dengan pelajar sekolah menengah supaya ada satu tempat untuk senang kita memantau mereka dan memberi bimbangan secara berterusan.

“Mereka juga dibenarkan pulang ke rumah setiap minggu untuk bertemu bagi menghilangkan kerinduan kepada keluarga memandangkan usia mereka masih muda,” katanya.

Che Dayang berkata, “Saya juga sebenarnya bercadang untuk menambahkan bilangan pelajar di sekolah model khas ini dan memohon kepada pihak PPD supaya membuat pemilihan yang rapi dan bersungguh-sungguh yang benar-benar layak untuk belajar di sini.

“Mereka ini akan dibantu dan akan ditempatkan di asrama dan ini memudahkan pihak pengurusan membantu mereka,” katanya.

SMK Chalok Model Khas diumumkan sebagai sekolah terbaik dalam peperiksaan UPSR 2013 dengan pencapaian Gred Purata Sekolah 1.114 di mana tujuh daripada 10 muridnya mendapat 5A.

Sejak ditubuhkan 2003 lalu, sekolah itu beberapa kali diumunkan sekolah terbaik UPSR Terengganu dan pernah menjadi sekolah terbaik UPSR peringkat kebangsaan pada 2005.

 

Hari Tongkat Putih beri kesedaran berdepan golongan cacat penglihatan di jalan raya

Oleh: Mohd Syazni Zainudin (pelatih)

Bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai berdepan orang cacat penglihatan di jalan raya, Pertubuhan Orang-orang Buta Malaysia (SBM) menganjurkan Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa 2013 Peringkat Negeri Terengganu, hari ini.

Program di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu berlangsung meriah dengan pengagihan cendera hati kepada pengguna jalan raya di kawasan itu.

Pengerusi SBM Terengganu, Encik Mohammad Abdul Nasir Malek berkata kempen ini adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada pengguna jalan raya untuk berdepan dengan golongan kurang bernasib baik seperti mereka ketika di jalan raya.

“Masih ramai pengguna yang tidak mengambil cakna kepada golongan yang kurang upaya seperti kami terutamanya di jalan raya.

“Kempen ini diadakan supaya masyarakat membuka mata dan memberi ruang agar lebih memberi keutamaan kepada kami terutamanya di kawasan terbuka seperti di jalan raya,” katanya. Selain itu, katanya statistik terkini orang cacat penglihatan di negeri ini melebihi 3,000 orang dengan bilangan ahli seramai 300 orang yang berdaftar dengan SBM.

Sehubungan itu, pada Disember ini, SBM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu (JKM) akan mengadakan program Jejak Orang Buta bagi mengenalpasti dan menjejaki golongan kurang upaya ini di setiap daerah untuk didaftarkan dalam pertubuhan itu.

 

Syed Shafei tewaskan bapa saudara, penyandang Piala Mandalika di TIIAF

Oleh: Aida Abd Rahman

Hasil berguru dengan bapa saudara yang juga pemenang Piala Mandalika sempena pertandingan seni khat Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012, memberi inspirasi dan kelebihan kepada anak muda, Syed Mohd Shafie Tuan Sidi,25, untuk merampas kemenangan itu dari bapa saudaranya,Syed Ubaidillah Syed Mohamad pada tahun ini.



Syed Shafei, 25, dari Kampung Panji, Kuala Terengganu dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan untuk membawa pulang Piala Mandalika selepas menjuarai dua kategori, masing-masing siap logam dan siap kayu dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000 beserta sijil.

“Ilham itu datang sendiri hasil pengamatan dan pemerhatian sekeliling. Bagi setiap kategori saya memperuntukkan masa lebih sebulan untuk menyiapkan kerja seni khususnya tulisan khat yang memerlukan ketelitian dan fokus yang tinggi sambil menjalankan pekerjaan.

“Saya memang meminati bidang ini sejak kecil dan darah seni mengalir dalam diri saya dari bapa saudara yang memang pakar di bidang itu, selain kami bekerja di syarikat pengiklanan yang sama di Kampung Simpang Tokku, Chabang Tiga, ” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah dan Majlis Penutup TIIAF 2013, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang itu hanya berpeluang mengembangkan bakat seni dan menyertai pertandingan itu sejak tiga tahun lalu, apatah lagi TIIAF baru sahaja diperkenalkan di negeri ini.

Katanya, jika pada penyertaan pertama bagi kategori siap logam di TIIAF 2011 gagal membuahkan hasil, namun penyertaan berikutnya pada tahun lalu memberinya kemenangan di tempat ketiga bagi kategori yang sama.

Syed Shafei berkata, pada kali ini juga, Syed Ubaidillah hanya mendapat hadiah saguhati, sementara seorang lagi bapa saudaranya, Syed Ibrahim Helmi Syed Mohamad, turut memenangi hadiah di tempat ketiga bagi kategori siap logam dan memperolehi wang tunai RM3,000 beserta sijil.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.



Sultan Mizan mahu Terengganu jadi destinasi pelancongan alam semula jadi terkenal dunia

Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya Terengganu yang terkenal dengan destinasi pulau, laut dan pantai yang menarik serta hutan hujan tertua di dunia bakal menjadi destinasi pelancongan alam semulajadi yang terkenal di dunia.

“Pihak penggiat industri pelancongan hendaklah kreatif dan inovatif dalam menyediakan pakej pelancongan di negeri ini selaras dengan keunikan dan kepelbagaian `bio’ yang terserlah tadi.

“Beta juga ini menyarankan supaya kerajaan negeri dapat merancang pembangunan kawasan ekopelancongan dengan terancang serta secara menyeluruh seperti kemudahan infrastruktur dan lain-lain. Manakala pihak swasta dipohon turut serta membangunkan kawasan ekopelancongan dengan menyediakan kemudahan hotel dan chalet,”titah baginda sempena merasmikan Seminar Antarabangsa Ekopelancongan dan Pelancongan Marin Terengganu (TEMCO) 2013, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong dan Tengku Sri Paduka Raja.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Haji Wan Supian Wan Ishak.

Baginda bertitah, dengan pembangunan yang bersepadu itu akan meningkatkan lagi industri eko pelancongan dan pelancongan marin di Terengganu.

“Beta juga mencadangkan supaya kerajaan negeri mengkaji cadangan menjadikan Setiu Wetlands sebagai kawasan Wetlands Negeri atau dunia yang sesuai untuk pelancongan yang berasaskan komuniti di mana pelancong boleh menyusuri sungai, melawat sangkar ikan dan ternakan tiram serta menanm pokok bakau.

“Begitu juga dengan aktiviti memerhati burung yang berpotensi untuk dibangunkan. Lebih daripada 230 spesies burung berjya direkodkan di Kenyir yang mana sembilan spesies daripadanya adalah burung enggang,” titah baginda.

Sultan Mizan juga mahu melihat industri menyelam merupakan insdutri pelancongan marin yang bergantung kepada pulau dan juga alam semula jadi.

Sehubungan itu, baginda menyeru supaya konsep `carrying capacity’ dan kajian alam sekitar perlu ada dalam perancangan pembangunan di pulau-pulau bagi mengekalkan keindahan alam semula jadi serta kehidupan dasar laut.



Sebelum itu, baginda bertitah bahawa ekopelancongan mula diperkenalkan di Malaysia pada 1996 dalam Pelan Ekopelancongan Kebangsaan.

Pelan itu mencadangkan `Pembangunan Pelancongan Lestari di 48 kawasan di Terengganu antaranya daerah Kuala Terengganu, Tasik Kenyir dan Setiu Wetlands yang dapat menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan terulung dalam sektor ekopelancongan dan pelancongan marin.







17 November 2013

102 graduan muda terima sijil.

Graduan Muda...seorang murid menerima sijil dari Bazlan.
Oleh: Aminudin Ismail.
Foto Ehsan: Bazlan Mustaffa.(Pejabat Dun Batu Rakit)

KIRA-KIRA 300 ibubapa hadir memeriahkan Majlis Penyampaian Sijil pada Hari Konvokesyen Kanak-Kanak Tabika Kemas Dun Batu Rakit 2013 di Dewan Serbaguna Wakaf Chatur Maras, Batu Rakit, baru-baru ini.

Berucap..Bazlan merasmikan majlis.
Pelbagai acara diadakan pada majlis yang bermula jam 9.30 pagi itu, antaranya ialah persembahan murid tadika, persembahan guru tadika dan Majlis Penyampaian Sijil.

Penyampaian sijil kepada 102 murid dari seluruh Tabika Kemas Dun Batu Rakit itu itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman

"Anak-anak adalah amanah Allah, didikan yang betul adalah permulaan untuk kejayaan. Ibubapa adalah model untuk anak-anak melihat hala tuju kehidupan mereka.

"Semoga anak-anak ini akan berjaya di masa hadapan dan mejadi insan yang berguna untuk agama,bangsa dan negara," kata Bazlan.

Beratur..graduan muda beratur untuk menerima sijil.

Hadir...sebahagian ibubapa yang hadir.
Persembahan marhaban dari guru dan kakitangan Tadika Kemas.
Tahniah..Bazlah ucap tahniah kepada seorang murid.