Halaman

21 November 2013

300 penduduk terima agihan projek Touch Point


Idris menyampaikan peralatan memasak kepada peserta.

Oleh: Mohammad Ishak 

Golongan berpendapatan rendah tidak pernah diabaikan dalam setiap pengagihan dan bantuan yang disalurkan oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri ini, sebaliknya mereka sentiasa diberi keutamaan dalam pemberian bantuan.

Nasib 300 golongan terbabit dari daerah Besut adalah antara yang beruntung kerana mereka diberi perhatian menerusi program “Touch Point” apabila Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kawasan Gerai,turut melaksanakan pengagihan bantuan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Ehsan, Umno Bahagian Besut, yang dirasmikan Menteri Pendidikan II,Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut membuktikan mereka tidak pernah dipinggirkan oleh pihak terbabit.

Pengurus LPP Gerai, Hasmadi Hassa berkata, penerima terbabit menerima peralatan memasan dan memancing yang disampaikan sendiri oleh Idris pada majlis berkenaan.

Katanya, penerima termasuk pemuda dan puteri diberi peralatan berkenaan bagi memudahkan mereka menjalani aktiviti berasas ekonomi melalui projek masing-masing.

Hasmadi berkata, dengan adanya kemudahan peralatan itu penerima dapat memanfaatkannya untuk membuat kuih dan kemudahan lain.

Idris ketika berucap pada majlis itu, mahu golongan pemuda dan puteri lebih aktif dalam aktiviti ekonomi kerana ia mampu menjana pendapatan diri dan keluarga.

Isu alam sekitar jadi agenda utama

Oleh: Suriati Ali

 Isu kesedaran alam sekitar dan keperluan melindunginya menjadi agenda penting dalam pentadbiran kerajaan, terutama dalam membuat keputusan yang membabitkan pembangunan.

 Langkah itu cukup penting bagi memastikan keharmonian pelaksanaan setiap projek supaya alam sekitar tidak terjejas atau tidak akan mendatangkan masalah kepada persekitaran dan kesihatan masyarakat setempat.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pertimbangan seumpama itu cukup penting memandangkan kini bilangan penduduk semakin bertambah, kekurangan kawasan projek perumahan dan industri.

Katanya, keadaan itu pasti menjadi semakin mencabar di masa depan dan jika tidak dapat dielakkan, secara tidak langsung boleh mencetuskan pertembungan antara keperluan pembangungan dan penjagaan alam sekitar.

. “Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan usaha sama pelbagai pihak yang pasti dapat membantu mencapai kesejahteraan dan pembangunan seimbang.

 “Saya percaya bahawa kesedaran mengenai alam sekitar akan lebih berkesan jika dipupuk dari seawal usia,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Alam Sekitar (`Eco Care’), di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, semalam.

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Eco Care.

Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu kerajaan negeri akan memastikan pembangunan di negeri ini terutama di kawasan perindustrian , bebas daripada sebarang pencemaran.

“Pihak kami bersedia menerima sebarang maklumat dan akan segera bertindak sekiranya mendapat tahu mana-mana pihak terbabit dengan isu pencemaran.

“Pada masa sama, berharap agar Eco Care dapat memainkan peranan utama dalam memberi kesedaran pemeliharaan alam sekitar, selain menerap nilai-nilai tidak suka pada pesekitaran kotor di kalangan pelajar,” katanya.

 

Bazlan tinjau perparitan di kawasanya.

Tinjau..Bazlan (depan) meninjau sebuah kawasan sawah padi.
Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar ehsan: Mazlan Mustaffa (Pejabat Dun Batu Rakit).

BATU RAKIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman mengambil masa kira-kira dua jam meninjau perparitan dan saliran beberapa kampung di kawasannya, petang semalam.

Cakna..Bazlan mahu kerjasama PDKT.
Antara kampung yang dilawati beliau bersama Penghulu Mukim dan beberapa penduduk itu ialah di sekitar Kampung Pengkalan Atap, Kampung Kubur Timah, Kampung Hilir Darat, Kampung Terap Pecah Rotan dan Kampung Darat.

"Dengan kerjasama yang diberikan oleh Pejabat Daerah Kuala Terengganu (PDKT), saya berharap agar setiap permasaalahan yang berlaku bila tiba musim hujan akan dapat diatasi dengan berkesan," katanya.

Limpah..seorang penduduk menerangkan sesuatu kepada penghulu mukim.
Dalam pada itu, Bazlan mengingatkan semua penduduk mengambil langkah berhati-hati sepanjang musim tengkujuh ini dan memantau setiap pergerakan anak-anak kecil mereka supaya tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.


20 November 2013

Sultan Terengganu berkenan merasmikan Eco Care

Oleh: Suriati Ali



 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Pusat Pendidikan Alam Sekitar (`Eco Care’), di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman hari ini.



Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

 Keberangkatan baginda berdua disambut Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Zubir Embong.



Hadir sama , Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato' Ahmad Razif Abd Rahman; Naib Presiden Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Petronas, Puan Raiha Azni Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemical Group Berhad (PCG), Dr Abd Hapiz Abdullah.

 Eco Care merupakan pusat pendidikan dan infomasi pertama di pantai timur yang memberi pengetahuan mengenai penjagaan alam sekitar serta pemuliharaan kawasan paya bakau di sepanjang Sungai Kerteh, Kemaman.

Pusat yang dibiayai sepenuhnya PCG dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) itu dijangka mampu menjadi sebuah pusat pendidikan bersepadu yang menumpukan kepada pelaksanaan program pendidikan dan kurikulum alam sekitar.

 






Sultan Mizan menitahkan supaya khazanah hutan terus dipulihara

 Oleh: Suriati Ali

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya khazanah hutan di Terengganu terus dipulihara supaya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh generasi akan datang.

 Titah baginda, inisiatif penanaman semula pokok bakau di kawasan tertentu, termasuk kawasan paya bakau Kerteh sudah tentu dapat membantu kerajaan mengekalkan hutan bakau secara kekal.

 “Program-program yang dapat meningkatkan penglibatkan masyarakat umum terutama pelajar universiti dengan secara sukarela memulihara hutan itu sewajar dirangka dengan kadar segera.

 “Hutan bakau merupakan satu ekosistem unik yang menjadi habitat kepada pelbagai spesis flora, fauna daratan dan hidupan marin,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam pesembahan ucapan sempena Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Alam Sekitar (Eco Care) di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, hari ini.



 Sultan Terengganu turut bertitah sikap manusia yang sering mengganggu keseimbangan ekologi secara keterlaluan, antara faktor berlakunya bencana alam.

 “Tindakan yang dilakukan semata-mata berdasarkan kepentingan komersial, mahu untung lebih boleh mencetuskan pelbagai ketidakseimbangan ekologi.

“Akhirnya, negara dan rakyat menjadi mangsa pecemaran alam dan kesihatan juga boleh terjejas. Jika perkara itu berlaku, terpaksa pula membayar harga perubatan di mana hospital mahu pun klinik,” titah baginda.

Titah baginda, beta berharap agar agensi tertentu seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut bersama-sama memberi sumbangan dan komitmen dalam perkara itu.

“Beta yakin usaha menanam semula dan memulihara tumbahan ini merupakan pendekatan mitigasi yang proaktif dan perlu diberi keutamaan kepada semua pihak.

“Di samping itu, beta juga ingin menyarakan agar kesedaran awam mengenai fungsi hutan bakau dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa,” titah baginda.


 









Paras air Sungai Chalok mula meningkat.

Meningkat..Paras air Sungai Chalok jam 3.30 petang tadi

Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Hujan sejak semalam sehingga hari ini menyebabkan beberapa sungai utama di Setiu mulai naik tetapi belum kepada tahap membimbangkan yang boleh menyebabkan banjir.

Tinjauan Teganukita mendapat antara sungai yang mula naik paras airnya ialah Sungai Setiu, Sungai Guntung, dan Sungai Calok dan beberapa sungai kecil yang lain.

Sungai Chalok yang sebelum ini mudah menyebabkan banjir tetapi sejak ia diperdalamkan dan pembinaan jalan baru sepanjang pekan Calok Kedai, paras air masih belum ke paras bahaya walaupun hujan sejak semalam.

Seorang penguna jalanraya, Amir Mohd Zin, 25, berkata sejak siapnya jalan baru di Pekan Chalok Kedai, dia tidak bimbang lagi tersekat banjir kerana kawasan itu sudah ditinggikan.

“Dulu, kawasan berhampiran SMK Chalok sering berlaku banjir dan air melimpahi jalan setiap kali musim tengkujuh tetapi sejak jalan baru ini di buka dua tahun lalu, keadaanya sudah berubah,” katanya.

Tinggi..jambatan baru di Chalok Kedai.
Selain itu, katanya, usaha kerajaan mendalamkan dan melebarkan Sungai Calok juga menyebabkan beberapa kawasan rendah sekitar Calok ini tidak lagi sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat berterusan. Sementara itu,

Ahli Dewan Undangan (Adun) Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor menasihati penduduk yang sering terlibat dengan banjir supaya membuat persediaan lebih awal dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah.
Jalan di Chalok Kedai yang dinaiktaraf.

 

PAMERAN HAIWAN BERBISA MENDAPAT SAMBUTAN PENGUNJUNG

Oleh: Ruslan AR 

Pameran Haiwan Berbisa 2013 yang bermula 18 November di Muzium Negeri Terengganu telah mendapat sambutan yang baik dari para pengunjung dengan kehadiran hampir setiap masa pameran.
  Beberapa spesis ular seperti tedung, kapak, sawa, orok-orok telah dipamerkan selain kala jengking, ikan yang bersengat, obor-obor dan sebagainya yang dikatogerikan sebagai berbisa.
 Apa yang paling menarik minat ialah pertunjukan bermain dengan ular yang juga turut diadakan untuk ditonton secara dekat oleh para pengunjung.
 Bayaran masuk dikenakan RM5 kepada orang dewasa dan RM2 kepada kanak-kanak.
 Pameran dijangka berakhir pada 31 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib sewaktu merasmikannya berkata, pengelolaan pameran begini mampu memenuhi cita rasa masyarakat umum.
 Beliau berharap orang ramai dari dalam dan luar Terengganu, terutama sempena cuti sekolah dapat mengunjungi pameran yang sungguh unik itu.
 Menurut Pengarah Muzium, Haji Mohd Yusof Abdullah pameran ini merupakan kesinambungan kepada  Pameran Haiwan Berbisa yang pernah diadakan oleh Muzium Negeri Terengganu dalam tahun 2010.  Pameran yang lalu itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelawat yang terdiri daripada pelawat dalam dan luar negeri di mana hampir 100 ribu pelawat telah mengunjunginya dan beliau berharap sambutan yang sama atau lebih lagi pada kali ini.
 Katanya sejajar dengan pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013 oleh kerajaan negeri, Muzium Negeri Terengganu sebagai salah satu tempat tumpuan pelancong, turut mengambil bahagian dalam usaha menarik pelancong ke negeri ini dengan menyediakan beberapa produk yang menarik kepada mereka.
  Oleh itu katanya, pameran Haiwan Berbisa ini yang diadakan dalam musim cuti akhir penggal persekolahan untuk memberi peluang seluruh keluarga melawat pameran ini.

Kerajaan negeri bakal bina terusan di Kemaman awal tahun depan

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan membina terusan sepanjang dua kilometer dianggarkan bernilai RM20 juta bermula dari Kampung Kemunting hingga Sungai Bukit Kuang dalam kawasan industri Teluk Kalong, Kemaman.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek pembinaan terusan yang bertujuan memudahkan laluan tongkang dalam kawasan industri terbabit bakal bermula pada suku pertama tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

“Pembinaan terusan itu yang melalui jajaran Sungai Bukit Kuang melibatkan pelebaran dan mendalamkan dasar sungai berkenaan bagi memudahkan operasi sektor industri, khususnya berkaitan besi keluli di kawasan tersebut.

"Mengikut perancangan, terusan itu akan dibina dengan keluasan 150 meter dan kedalaman air lapan meter bagi memudahkan laluan kapal dan tongkang ke kawasan perindustrian.

"Pembinaan terusan itu juga sebagai sebahagian kemudahan yang disediakan kerajaan negeri kepada pelabur dalam industri besi untuk menjimatkan kos pengangkutan bagi mengangkut pelbagai barang ke kilang di kawasan industri itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau Sungai Bukit Kuang yang akan menjadi tapak jajaran pembinaan terusan berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, beberapa pelabur yang bakal membuka kilang besi di Teluk Kalong menyuarakan kelegaan mereka dengan kemudahan itu.

 

PTNT kenal pasti peninju Sukma tahun depan

Persatuan Tinju Negeri Terengganu (PTNT) mengenal pasti enam peninju untuk mewakili Terengganu di Sukma Perlis tahun depan.

Setiausaha PTNT, Encik Rosli Zakaria berkata tiga daripada peninju itu pernah mewakili Terengganu pada Sukma Pahang 2012 manakala tiga lagi adalah muka baharu.

"Kami masih dalam proses mencari dua lagi peninju untuk melengkapkan pasukan tinju Terengganu ke sukan dwitahunan itu," katanya.

Beliau berkata tiga peninju yang mewakili Terengganu pada Sukma Pahang 2012 ialah Mohd Hafizuddin Hakim Mohd Zahari yang merupakan pemenang pingat emas kategori 52kg; Nik Mohd Akhbar Nik Safii (kategori 64kg); dan Mohd Sufian Abdullah (69kg).

Muka baharu yang disenaraikan ialah Mohd Isamuddin Afif Mat Zaid (kategori 49kg); Wan Zulrusydi Wan Saiful Zamri (56kg); dan Mohd Azreen Yakub (60kg).

Encik Rosdi berkata dua lagi peninju bagi kategori 71kg dan 80kg mungkin dicari di kalangan peninju-peninju muay thai di daerah Besut.

Beliau berkata PTNT akan menempatkan peninju-peninju itu di kompleks sukan negara Taman Keramat, Kuala Lumpur untuk latihan bersama peninju-peninju negara mulai 22 Nov hingga 31 April 2014.

Enam pelumba tersenarai ke GP Indonesia

Terengganu membariskan enam pelumba berbakat bagi menghadapi kejohanan lumba basikal siri akhir GP Indonesia yang akan berlangsung di Jawa Tengah pada 11 hingga 16 Disember ini.

Jurulatih berbasikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata Terengganu kini menduduki tangga pertama dengan mengumpul 80 mata.

"Kita sedang fokus untuk menghadapi saingan akhir GP Indonesia dan sasaran kita untuk muncul sebagai juara dalam kejohanan itu," katanya.

 Menurut Syed Mohd Hussaini, pelumba yang dipilih untuk membawa cabaran Terengganu di kejohanan itu merupakan atlet Sukma yang berpotensi.

Mereka terdiri daripada Mohd Badrul Hakimi Hamid, Mohd Azri Ahmad, Cheku Samir Cheku Ramli, Mohd Zulkifli Hamdan, Nor Aiman Zarif dan Mohd Hariq Huzni Othman.

Beliau berkata pelumba Terengganu akan menyertai dua lagi kejohanan di peringkat kebangsaan iaitu Kejohanan Trek Remaja di Cheras pada 28 Nov hingga 1 Dis dan SportExcel Remaja di Rompin, Pahang mulai 6 hingga 8 Disember.