Halaman

26 November 2013

Sukan JPAM Setiu Mencuit hati.

Cepat...antara acara sukan yang dipertandingkan.
Oleh: Aminudin Ismail. 

PERMAISURI: Pelbagai ragam dan telatah peserta yang menyertai pelbagai acara mencuit hati kira-kira 60 anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang menyertai Sukan Mahabbah JPAM Daerah Setiu, di Kampung Rhu Sepuloh, dekat sini, baru-baru ini.

Sebanyak 12 acara di pertandingkan pada karnival sukan kali ini. Komitmen anggota dapat dilihat dengan kesungguhan mereka menyertai setiap acara yang di pertandingkan.

Hati-hati...Azwan melihat gelagat seorang peserta.
Ketua JPAM Daerah Setiu, Staff Muda (SM) Mohd Azwan Abdullah, berkata setiap peserta telah berhempas pulas dengan memberi saingan yang sengit bagi memastikan pasukan yang diwakili oleh mereka memenangi setiap acara yang dipertandingkan tanpa mengira kawan dan pihak lawan. 

"Secara keseluruhannya, Karnival ini telah berjalan dengan lancar dan menepati perancangan yang telah dibuat. Semua peserta yang bertanding berpuas hati kerana dapat memeriahkan pertandingan ini. Pasukan Bravo telah muncul sebagai juara keseluruhan sukan kali ini.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan semangat kesukanan yang tinggi ditunjukkan oleh setiap anggota dalam menjayakan karnival sukan pada kali ini, dan menyeru semua warga JPAM Setiu supaya sentiasa mempunyai daya juang dan semangat berpasukan yang tinggi agar JPAM terus menerus unggul di mata masyarakat," katanya.

Sebagian peserta bergambar kenangan.
Dalam pada itu, Azwan mengingatkan seluruh anggota JPAM Setiu samada staf ataupun sukarela supaya bersedia pada bila-bila masa bagi menghadapi musim banjir tahun ini dan memberi sepenuh komitmen dalam menjalankan tugas.

 

Kampung Pecah Rotan dapat anak angkat.

Serah..Bazlan menyerahkan anak angkat kepada seorang penduduk.
Oleh: Aminudin Ismail. 
Foto ehsan: Bazlan Mustaffa (Pejabat Dun Batu Rakit). 

BATU RAKIT: Seramai 33 penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kuantan, Pahang menjalani kehidupan sebagai anak angkat kepada penduduk Kampung Pecah Rotan, dekat sini selama tiga hari dua malam, bermula semalam.

Majlis perasmian penyerahan anak angkat itu dilakukan oleh Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman di Balairaya kampung itu dengan dihadiri kira-kira 100 jemputan termasuklah ibubapa angkat kepada penuntut terbabit.

Bazlan bersama sebahagian peserta.
Bazlan mengucapkan selamat berkampung kepada semua penuntut itu di Kampung Pecah Rotan dan beliau juga mengharapkan penuntut mereka dapat mengutip banyak pengalaman berguna sepanjang tinggal di kampung itu.

"Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini terutama kepada pihak KPTM Kuantan yang sudi membawa para pelajar menjadi anak angkat di Pecah Rotan. Moga apa yang dipelajari dapat dijadikan panduan dan pedoman untuk membina jatidiri pada masa hadapan," katanya.

Beliau juga meminta penuntut terbabit akan memperolehi banyak cerita menarik mengenai kampung itu dan beberapa kampung lain di kawasan Batu Rakit untuk diceritakan kepada saudara mara dan rakan-rakan apabila mereka pulang nanti.

 

25 November 2013

Puteri relevan, bantu perkasa parti : Ketua Puteri

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelantikan ini sebagai satu amanah yang cukup besar dari pucuk pimpinan parti kepada manusia kerdil seperti saya untuk mengepalai pergerakan sayap bongsu Umno ini supaya dilihat lebih relevan bagi membantu memperkasakan parti di peringkat akar umbi , kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Terengganu, Puan Rozita Ismail, 34.

Beliau yang juga Ketua Puteri Bahagian Hulu Terengganu (2013-2016) menerima pelantikan itu selepas dihubungi Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia, Puan Mas Ermieyati Samsudin, Rabu lalu mengganggap kepercayaan pucuk pimpinan negeri dan juga Puteri Malaysia kepada beliau itu amat tinggi dan mencabar.

Puan Rozita yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Agama Hulu Terengganu akan berusaha menggalas jawatan utama berkenaan sebaik mungkin dengan bantuan semua Ketua Puteri dan jawatankuasa Puteri bahagian serta ahli Puteri seluruh Terengganu.

“Apa yang utama, memandangkan semua Ketua Puteri Umno bahagian di kalangan muka baharu, maka saya bertanggungjawab untuk mewujudkan penyatuan dan keserasian di kalangan mereka dan semua jawatankuasa bagi memudahkan Puteri melaksanakan gerak kerja dan merealisasikan hala tuju kita.

“Fokus puteri adalah memperkemaskini keahlian khususnya di seluruh cawangan supaya dapat menzahirkan hasrat kepimpinan Puteri Umno Malaysia yang mahu menarik lebih ramai bilangan ahli di seluruh negeri bagi memperkukuh sayap Puteri sendiri,”katanya kepada Teganukita, hari ini.

Beliau berkata, usaha menambah ahli penting bagi memastikan pergerakan tersebut mempunyai pelapis muda untuk memperkuat sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, masalah keahlian di peringkat negeri itu perlu diselesaikan berikutan ada di kalangan ahli Puteri dan cawangan yang pernah ditubuhkan tidak layak bermesyuarat kerana kekurangan ahli.

"Kita berharap permasalahan ini dapat diselesaikan dengan menambah lebih ramai ahli dalam kalangan belia wanita yang menjadi antara fokus utama kita bagi penggal ini.

"Selain itu, kita akan meneruskan agenda pendidikan dan juga modal insan untuk terus memartabatkan anak bangsa pada masa hadapan. Pada masa yang sama, kita juga amat berperanan dalam melancarkan gerak kerja dan pemantau dalam semua pilihan raya serta meneruskan ketuanan Melayu di negara kita," katanya.

Puan Rozita berkata, mesyuarat pergerakan Puteri yang pertama dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat ini bakal memperincikan pelbagai aspek termasuk hala tuju dan strategi pergerakan sayap Umno itu untuk memenangi hati dan menarik orang muda di seluruh Terengganu agar menyertai Umno.

Pada masa yang sama, Puteri negeri juga akan memberi tumpuan terhadap tiga perkara utama yang difokuskan Puteri Malaysia di mesyuarat pertama exco Puteri itu, iaitu memperbanyakkan keahlian dalam sayap, menambah daftar pemilih dan menjadi agen dalam Umno bahagian bagi mencari pemilih baru untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke- 14.

Puan Rozita, 34, mula menceburi politik sejak 2000 sebagai ahli biasa sebelum dilantik sebagai Pengerusi Tetap Puteri bahagian bermula 2004 dan menyandang jawatan Naib Ketua Puteri bahagian pada 2008.


60 pelajar cemerlang terima wang.

Azmi menyampaikan hadiah kepada seorang wakil pelajar sambil diperhati Azmi Razik.
Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Seramai 60 pelajar dari seluruh Parlimen Setiu gembira menerima hadiah wang tunai kerana kejayaan mereka dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM/STAM pada tahun lalu dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu (YT) yang diadakan diadakan di Dewan Serbaguna Sungai Tarom, dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak RM11,360.00 diperuntukan untuk diberi kepada terbabit iaitu pelajar UPSR (1 orang) mendapat RM120.00, PMR seramai 19 orang mendapat 160 tiap seorang, SPM paling ramai iaitu seramai 35 orang mendapat RM200 tiap seorang manakala SPTM/STAM pula seramai lima orang mendapat RM240 setiap seorang.

Azmi..teruskan kecemerlangan.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Mohd Azmi Nazir yang mewakili Adun Permaisuri, Dato' Mohd Jidin Shafee. Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Terengganu, Azmi Razik.

Dalam ucapannya, Mohd Azmi mahu setiap pelajar cemerlang di Parlimen Setiu itu, meneruskan kecemerlangan mereka sehingga ke peringkat tertinggi pengajian dan sentiasa membantu pelajar yang kurang cemerlang.

"Pelajar cemerlang ini juga perlu kembali menabur budi kepada negeri Terengganu apabila mereka menamatkan pengajian atau mencari pengalaman kerja di tempat lain kerana idea-idea mereka amat diperlukan bagi menjadikan Terengganu sebuah negeri maju menjelang 2020," katanya.

Sementara itu, beberapa penerima hadiah gembira dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Terangganu terutamanya kepada Yayasan Terengganu kerana menghulurkan sumbangan hadiah kecemerlangan itu.

Mereka yang ditemui Teganukita ialah Mohd Aflan Rusdi, 14 yang kini menuntut di IMTIAZ Besut yang mendapat 8A 1B dalam PMR tahun lalu, Cik Nur Fatihah Che Mohd Saidi, 18, bekas pelajar SMA Wataniah, Besut dari Kuala Kubang, Jabi yang kini menuntut di UIA.

Manakala dua orang bapa yang mewakili anak mereka ialah Rosli Awang, 49 dari Kampung Buluh Hilir mewakili anaknya Nursalam Rosli bekas pelajar SESMA Kuala Terengganu yang mendapat 8A SPM tahun lalu.

Seorang lagi bapa ialah Ibrahim Abdullah, 59 dari Kampung Tasek, dekat sini yang mewakili anaknya Nur Faizah Ibrahim yang memperolehi juga 8A kini menuntut di UITM Puncak Alam.
Gembira..Mohd Aflan menerima hadiah daripada Azmi.

Tahniah...Azmi menyampaikan hadiah kepada Cik Nur Fatihah.

Terima Kasih...Rosli menerima hadiah dari Azmi sambil di perhati Azmi Razik.
Ibrahim..terima RM200.

Antara pelajar dan jemputan yang hadir.

 

JPNT pantau hutan melalui T-ifms

Oleh: Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainudin (pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

T-ifms merupakan sebuah sistem berpusat yang ditambah baik menggunakan sepenuhnya perisian
HAJI AZMI
sumber terbuka menggantikan sistem yang beroperasi secara ‘stand-alone’.

Pengarah JPNT, Haji Azmi Nordin, berkata melalui sistem itu, pemantau boleh mengetahui pelbagai aspek, termasuk perbandingan pokok, jumlah di tanam, pengeluaran hasil, pembesaran, kekerapan memantau hutan dan sebagainya.

Katanya, sistem T-Ifms, dibangun bagi membantu pengguna mempercepatkan proses kemasukan, semakan, pengawalan, pengurangan, pertindihan berkaitan data dan penghasilan `output’ yang diperlukan dengan cepat serta tepat.

“Output daripada sistem ini akan digunakan oleh pihak pengurusan jabatan dalam membuat keputusan bagi memastikan pengeluaran hasil yang optimum terhadap hutan,” katanya

 Haji Azmi turut memberitahu, seiring dengan pembangunan alaf baru itu, JPNT menwujudkan kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), sebagai langkah menguruskan sumber hutan secara lebih berkesan.

“Pendekatan itu mampu meneruskan kecemerlangan JPNT dalam melaksanakan tanggungjawab membangunkan khazanah sumber hutan negeri.

“Pada masa ini, jumlah keluasan kawasan berhutan di Terengganu berjumlah 624,625 hektar, dan 544,118 hektar daripadanya telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.

 “Apa yang diwartakan itu kita perlu jaga mengunakan T-ifms, yang juga pasti mampu mengelak daripada pelbagai kemungkinan berlaku, termasuk penerbangan tidak terkawal dan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

.

1168 berjaya hafaz muqaddam

Oleh: Noraini Jusoh



Seramai 1168 anak-anak Taska Permata Keluarga (TPK) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berjaya menghafaz muqaddam (23 surah lazim) dan dianugerahkan sijil pada Majlis Hafaz Muqaddam Kanak-Kanak Taska Permata Keluarga yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, baru-baru ini.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, seramai 302 orang atau 36 peratus terdiri daripada kanak-kanak seawal usia tiga tahun dan 866 atau 77 peratus berusia empat tahun.

“Kanak-kanak sebenarnya sangat hebat dan memang berpotensi jika dididik dengan betul seawal usia mereka.

“Berkonsepkan sistem bermain sambil belajar, sistem pendidikan kanak-kanak TPK bukan bermatlamat mendewasakan kanak-kanak tetapi untuk memastikan mereka membesar mengikut perkembangan usia dan dapat menikmati alam kanak-kanak sepenuhnya,” ujarnya.



Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada majlis berkenaan yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Zuber Embong serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.



Mohd Shafaruddin berkata, bagi penambahbaikan program untuk tahun depan, YPKT akan mendedahkan pengunaan Bahasa Inggeris di semua TPK.

“Kanak-kanak di TPK juga akan diajar menghafaz 16 siri doa harian dan diberi pendedahan awal berkaitan asas solat,” jelasnya.

Tambah beliau, rakyat negeri ini amat bertuah kerana Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang kerajaannya menyediakan Pusat Perkembangan Awal Kanak-Kanak.

“Sehingga kini terdapat 65 buah TPK diseluruh negeri ini hasil daripada kebijaksanaan Menteri Besar yang berpandangan jauh dan sanggup melabur besar dalam bidang pendidikan demi kecemerlangan anak-anak Terengganu,'' ujarnya.

 









Azmi Nazir 'Pengerak' UMNO Setiu.

Mohd Azmi...S/u UMNO Setiu.
Oleh: Aminudin Ismail.

KESUNGGUHAN dan keikhlasanya terbabit dalam politik UMNO bermula sejak menjadi ahli pertubuhan itu pada 1989 lagi tetapi beliau mula aktif di peringkat Bahagian selepas 1999 di mana ketika itu Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihanraya umum di Terengganu juga di kawasanya di Setiu kerana beliau mahu mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap UMNO.

Bagi Mohd Azmi Nazir, Setiausaha UMNO Bahagian Setiu yang baru dilantik baru-baru ini menganggap kesungguhan beliau aktif dalam UMNO ketika itu dengan memegang jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian pada tahun 2000 ternyata tidak sia-sia kerana empat tahun selepas itu BN kembali mentadbir daerah Setiu.

Azmi bersama Dato' Sabri.
"Apa yang lebih penting bagi saya ialah perjuangan supaya orang Melayu sentiasa menerima UMNO. Saya mula aktif dalam UMNO Bahagian Setiu ini ketika UMNO kalah iaitu pada pilihanraya 1999, saya perlu ke depan dan memberi keyakinan kepada orang ramai supaya kembali kepada UMNO ketika itu

"Selepas itu, pada tahun 2000 saya menang jawatan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiu, sejak itu saya semakin aktif dan bekerja lebih keras untuk mempastikan UMNO kembali mentadbir daerah Setiu dan Alhamdulillah, pada pilihanraya 2004, Setiu dan Terengganu kembali kepada BN," katanya yang juga Setiausaha Penaja UMNO Cawangan Desa Jaya, Sungai Tong itu.

Azmi yang berlulusan Ijazah dalam bidang sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu, kini boleh dianggap sebagai antara tenaga pengerak utama UMNO Setiu selepas wakil rakyat dan beliau mengharapkan orang Melayu terus bersatu dan berada di landasan yang baik.

"Saya tiada cita-cita besar dalam UMNO, cuma harap dengan kapasiti saya yang ada pendidikan sedikit, saya boleh memberi pandangan dan buah fikiran kepada masyarakat. Harapan besar saya ialah supaya orang-orang Melayu ini terus bersatu, maju dan tidak ketinggalan serta mampu bersaing dengan bangsa-bangsa maju lain," katanya.

Biodata:

Nama: Mohd Azmi Nazir.
Asal  : Kampung Tasik Tok Lebai, Jabi.
Pendidikan: SK Tempinis, Jabi, SMA Itifakiah, Besut. SMK Kamil Pasir Putih, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Diploma Pendidikan UKM.
Kerjaya: Guru SMK Sungai Tong, (1988-1998), SMK Renek (1996-2003), SMK Saujana (2003-2005), SMK Guntung (2005-2006) dan Tahun 2006 bertugas di PPD Setiu kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Setiu.




24 November 2013

Terengganu catat peningkatan 111 peratus kes diabetes

Oleh: Noraini Jusoh

Kes diabetes di Terengganu menunjukkan peningkatan yang agak mendadak dalam tempoh lima tahun dengan 2519 kes atau 111 peratus direkodkan tahun lepas berbanding 2264 tahun 2008.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Mohd Jusoh berkata, berdasarkan Pendaftaran Kes Baru Diabetes bagi tahun 2008 hingga 2012 mendapati, saban tahun berlakunya peningkatan kes baru diabetes.

‘Ia melibatkan semua daerah iaitu 2264 kes baru bagi tahun 2008, 2010 (3448 kes) dan 2012 (4783 kes).

“Manakala bagi tahun ini pula, sehingga September terdapat 3603 kes baru diabetes telah dilaporkan dan ini tidak termasuk kes yang direkodkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah,” ujarnya.



Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2013 yang disempurnakan YDP Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong di Perpustakaan Awam Negeri, hari ini.

Katanya, kurang kesedaran untuk melakukan saringan kesihatan adalah antara punca kes-kes penyakit sebegini meningkat.

Mengulas mengenai program yang dianjurkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu, beliau berkata sambutan seumpama ini adalah salah satu usaha JKNT dalam mencegah dan mengawal diabetes yang begitu membimbangkan agar tidak terus menjadi lebih serius.



“Sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Terengganu kali ini, pelbagai acara diadakan bagi memastikan objektif memberi kesedaran kepada masyarakat berjaya dicapai antaranya seperti bengkel interaktif dan forum (diabetes dan anda), pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan, demostrasi masakan sihat serta kuiz kesihatan,” ujarnya.



 

Terengganu urus hutan guna ICT

 Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam usaha mendalami dan menguna pakai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkaitan pengurusan hutan secara bersepadu apabila menjalinkan memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTeM), hari ini.

Pertukaran MoU antara Kerajaan Negeri Terengganu yang diwakili Dato' Haji Mazlan Ngah (kiri) dan UTem diwakili Prof Dato' Ahmad Yusoff Hassan sambil disaksikan Haji Mohd Zubir Embong dan Haji Azmi Nordin.
MoU ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Naib Canselor UTeM, Prof Dato’ Ahmad Yusoff Hassan sambil disaksikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Haji Azmi Nordin.

Dato’ Haji Mazlan berkata, skop penggunaan ICT cukup luas, termasuk berkaitan memulihara hutan daripada terus diteroka selain memastikan kira-kira 544,000 Hutan Simpanan Kekal di negeri ini tidak terusik.

 “ Terengganu menguna pakai kaedah ICT dalam mengurus hutan bermula awal tahun lalu membabitkan lima fasa dan kos perisiannya pula hampir RM350,000,” katanya

 Sementara itu, Prof Dato’ Ahmad Yusoff, berkata Terengganu dilihat sebagai negeri berpotensi dan mempunyai banyak peluang yang masih perlu diterokai khususnya melibatkan penggunaan ICT dalam sistem pengurusan organisasi.

 Katanya, gabungan kerjasama antara kerajaan negeri dengan universiti bukan sesuatu yang asing.

“Negara maju khususnya Amerika Syarikat, Jepun dan Australia banyak kerjasama secara dua hala dilakukan melalui proek perundingan dan penyelidikan antara kedua-dua pihak.

 “Langkah itu dilaksanakan dengan semangat `win-win’ di mana hasil yang dibelanjakan kerajaan negeri dapat dimafaatkan dengan lebih bermakna dan efisen,” katanya.

 



Sekitar majlis berkhatan dan bertindik Dun Langkap.

Sembur...Sabri (baju kuning) mandikan kanak-kanak berkhatan.
Basah..kanak-kanak kesejukan disembur air bomba.
Tek dan gambar Aminudin Ismail.

SUNGAI TONG: Kira-kira 100 kanak-kanak di Dun Langkap gembira kerana mereka tidak dikhatankan walaupun selepas makan pulut kuning dan dimandikan dengan air Bomba oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor dengan bantuan anggota Bomba, di sini, hari ini.

Bagaimanapun kegembiraan itu hanya untuk seketika apabila kesemua kanak-kanak itu sebenarnya akan diuruskan khatan oleh anggota keluarga masing-masing apabila pulang ke rumah kerana kedatangan mereka adalah untuk menerima sumbangan pembiayaan khatan oleh Adun Langkap itu.

Terima..seorang kanak-kanak terima cenderahati daripada Sabri sambil diperhati isteri (dua dari kiri)
Sabri berkata, pada hari ini pihaknya hanya mengadakan majlis pemberian bantuan kewangan untuk berkhatan dan acara makan pulut kuning serta gimik semburan air oleh anggota Bomba.

"Selepas ini ibubapa akan menguruskan sendiri khatan anak-anak mereka di beberapa klinik di Setiu dan Kuala Terengganu. Saya juga mendoakan supaya mereka semua selamat dan dapat sembuh dengan cepat supaya kanak-kanak ini dapat bercuti sebagaimana kanak-kanak lain," katanya.

Dalam majlis yang diadakan di Dewan Sivik, Sungai Tong itu, seramai kira-kira 300 orang hadir termasuk kanak-kanak yang berkhatan memeriahkan majlis. Selain itu, 26 kanak-kanak perempuan turut bertindik percuma.

Turut hadir ialah Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Azmi Nazir dan beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Langkap yang menguruskan kanak-kanak kawasan masing-masing.
Ramai..sebahagian kanak-kanak dan ibubapa yang hadir.
Minta Selamat...Bacaan doa oleh Mohd Nazri Yusof, AJK UMNO Bahagian Setiu.

Gembira..dua kanak-kanak gembira terima sumbangan.
Jemputan...Sabri(baju kuning) bersama Azmi Nazir dan jemputan.
Daftar..seorang bapa mendaftar anaknya.