Halaman

03 December 2013

Mat Nawi bantu bangunkan Tasik Tok Lebai.

Mat Nawi..disenangi penduduk.
Oleh Aminudin Ismail.

SESUATU yang mengembirakan seseorang Pengerusi Jawatankuasa Kamajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah apabila sesuatu yang dipohon dari pihak atasan mendapat perhatian dan kelulusan antaranya ialah pembinaan bangunan dan jalanraya di kawasan tadbiran mereka.

Bagi Mat Nawi Zakaria yang memegang jawatan Pengerusi JKKK Kampung Tasik Tok Lebai, Tempinis, Dun Jabi, Besut sejak 2006, apa yang membanggakan beliau sepanjang memegang jawatan itu ialah beliau berjaya berusaha membantu mendapatkan satu lebuhraya yang menghubungkan Kampung Tempinis ke Kampung Kerandang.

“Ini adalah antara usaha JKKK kawasan ini. Lebuh raya ini memendekan masa perjalanan penduduk sekitar Tempinis ini untuk ke Bandar Jerteh iaitu sekitar kira-kira 20 minit berbanding dahulu melebihi setengah jam.

“Lain-lain yang saya dan JKKK usahakan di kampung ini ialah membina gelanggang futsal, pembinaan bangunan baru SK Tempinis, mendapatkan rumah PPRT untuk penduduk kurang berkemampuan  dan membaikpulih beberapa buah rumah penduduk yang uzur,” katanya.

Mat Nawi, 52, yang sentiasa rapat dan mesra dengan penduduk kampungnya itu, usaha lain beliau dan rakan-rakan JKKK lain ialah membawa Perdana Menteri ke satu majlis jamuan hari raya dan juga membawa Menteri Besar Terengganu untuk Program Penyerahan Anak Kelapa Sawit kepada penduduk.

Rapat...bersama seorang penduduk kampungnya.
“Kami juga sedang berusaha mendapatkan kelulusan untuk pembinaan sebuah masjid baru bagi menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat untuk menunaikan solat jumaat dan dua hari raya pada masa depan,” katanya.

Mohd Nawi yang terbabit dengan UMNO sejak lebih 30 tahun itu mengharapkan penduduk di kawasan tadbiranya terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional supaya segala perancangan pembangunan di kawasan itu akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional kerana banyak membantu penduduk di kawasan ini. Terima kasih juga kepada penduduk yang sentiasa memberi kerjasama kepada JKKK dalam mentadbir kampung ini serta sentiasalah  memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional.” katanya.


02 December 2013

Banjir di Batu Rakit akan diatasi.

Bazlan..akan usaha.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BATU RAKIT: Kerajaan akan berusaha mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di beberapa buah kampung di kawasan Dun ini pada setiap kali musim tengkujuh dengan membina sebuah longkang besar sejauh kira-kira dua kilometer.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, berkata pihaknya akan mencadangkan sebuah longkang besar dibina bermula dari hadapan SMK Batu Rakit sehinggalah ke Balai Penghulu Batu Rakit.

“Sebenarnya banjir ini berlaku kerana masalah perparitan, sekiranya masalah perparitan ini diatasi, Kampung Pengkalan Atap, Kubur Timah dan Mengabang Lekar tidak akan ditengelami air,” katanya.

Bazlan berkata, sebenarnya banjir yang berlaku di kawasan Batu Rakit itu tidak menyebabkan kepada perpindahan. Bagaimanapun, katanya, ia menyusahkan penduduk kampung terbabit untuk keluar masuk ke kawasan rumah masing-masing.

“Saya akan membuat cadangan untuk mengadakan satu longkang besar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Rakit hingga ke Balai Penghulu di Wakaf Cagak. Sekiranya longkang besar ini dapat diadakan oleh pihak kerajaan, Insya Allah masalah banjir ini akan dapat diatasi.

“Saya telah sebut masalah ini dalam mesyuarat kerajaan tempatan baru-bari ini supaya kerajaan dapat menyediakan longkang besar tetapi ia berdasarkan kepada bajet dan bajet itu cukup tinggi untuk mengadakan longkang besar sejauh kira-kira dua kilometer itu,” katanya.

Menurutnya, beliau sudah beberapa kali membawa perkara itu ke dalam mesyuarat kerajaan tempatan dan mengharapkan supaya projek pembinaan longkang itu di masukan ke dalam bajet 2014.

“Kepada penduduk kawasan terbabit, bersabar, untuk sementara kita dah gali parit-parit sepanjang kawasan banjir ini untuk mengurangkan kesulitan kepada penduduk kampung terbabit tetapi masalahnya parit ini mudah terhakis dan terpaksa digali pula pada tahun depan.

“Kalau ada longkang besar, cuma kita perlu bersih longkang sahaja. Tiap-tiap tahun kita gali parit sebenarnya untuk mengelakan berlakunya banjir ini tetapi parit ini tidak dapat menyelesaikan masalah berterusan.

 “Jadi , saya mengharapkan pembinaan longkang itu dapat disegerakan bagi mengatasi masalah ini,” katanya yang akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan bukan sahaja masalah banjir malah soal-soal lain demi untuk kesejahteraan rakyat di kawasanya.

 

Pelajar Mesir kembali sambung pengajian

Oleh: Suriati Ali

Sebahagian besar daripada 221 penuntut tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang belajar di Mesir, kini kembali meneruskan pengajian masing-masing di negara itu.

Mereka yang kebanyakan belajar di Universiti Al-Azhar, Iskandariah dan Mansoura terpaksa pulang ke tanah air berikutan bimbang berlaku perkara tidak diingini akibat pergolakan di negara itu, pada Julai lalu.

Pengarah YT, Encik Azmi Razik, berkata berdasarkan jumlah itu, kurang daripada 10 pelajar tidak mahu meneruskan pengajian di negara Timur Tengah tersebut dan mengambil keputusan menyambung pelajaran di beberapa universiti tempatan.

Katanya, pihaknya tidak memaksa pelajar tersebut, jika dia mahu menyambung pelajaran di universiti terdahulu atau sebaliknya, YT tetap membiayai biasiswa mengikut kadar tertentu.

“ Walaupun keadaan Mesir agak terkawal, tetapi YT mengambil langkah mengurangkan pelajar belajar di Mesir dan hanya menaja pelajar sedia ada.

“Tumpuan kini adalah untuk jurusan perubatan di Universiti Mansoura yang akan menamatkan pengajian mereka,” katanya.

 


Terengganu Monsoon Ride 2013 promosi tempat menarik

Oleh: Noraini Jusoh

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu telah mengadakan program mengayuh basikal iaitu Terengganu Monsoon Ride 2013 yang melibatkan laluan hampir kesemua daerah negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Sabri Zakaria berkata, program anjuran kali kedua itu bertujuan mempromosikan tempat pelancongan di sekitar Terengganu dan sebagai salah satu program sampingan sempena Piala Monsun yang berlangsung di Pulau Duyong, baru-baru ini.

"Peserta mengayuh sejauh 100 kilometer, mengambil masa lebih kurang lima jam melalui lima parlimen iaitu bermula dari Pulau Duyung, Parlimen Kuala Terengganu kemudian ke Hulu Terengganu, seterusnya ke Setiu dan berpatah balik melalui Parlimen Kuala Nerus sebelum sampai kembali ke Pulau Duyong.

 "Para peserta melibatkan ahli kelab-kelab basikal dari seluruh Malaysia dan kita juga turut mendapat beberapa penyertaan dari negara luar termasuk Thailand, Singapura serta Indonesia," katanya.

Menurutnya, melalui program kayuhan basikal secara santai itu ia dapat memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang dapat dikunjungi setiap masa walaupun ketika ini Terengganu berhadapan dengan Monsun Timur Laut.

 "Kita mahu ubah pemikiran masyarakat yang anggap Terengganu tidak dapat dilawati ketika musim monsun dan kita buktikan bahawa pemikiran itu salah kerana walaupun sedang berhadapan dengan monsun, kita masih dapat berbasikal tanpa halangan," katanya.

Mohd Sabri berkata, selain program tersebut, turut diadakan sempena Piala Monsun juga adalah program Visit My Kampung (VMK) yang merupakan program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsan (NBOS) di Kampung Pulau Duyung.

"Program ini diadakan di Kampung Pulau Duyung kerana kampung itu telah dikenalpasti antara kampung yang berkonsepkan warisan melayu tradisional dan mampu menarik pelancong.

"Pelbagai program menarik seperti program mencipta Mercu Tanda Tahun Melawat Malaysia 2014 di pintu masuk kempung tersebut, pertandingan memasak bubur asyura, pertandingan permainan tradisional seperti 'dam aji' dan pertandingan gubahan diadakan," katanya.

 Menurutnya, melalui program VMK di kampung ini, pelancong yang menyertai Piala Monsun juga berpeluang melihat aktiviti masyarakat kampung dan program ini juga merupakan langkah awal untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014.

 

Pesan Datin Paduka Seri Rosmah

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh 



Kepada para suami, ingatlah pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh isteri masing-masing. Jangan punahkan masa depan isteri anda dengan perbuatan tidak bermoral serta amalkan gaya hidup yang sihat dan jauhi seks bebas, pesan isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, hari ini.

Beliau yang juga Penaung Yayasan AIDS Malaysia berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia 2013, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr Helmi Yahya dan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Hadir sama, ketua Setiausaha kementerian Kesiahtaan Malaysia (KKM), Datuk Farida Mohd Ali; Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman dan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Raj Karim.



Datin Paduka Seri Rosmah turut mengingatkan kepada semua ibu jangan sekali-kali membiarkan anak di dalam kandungan dijangkiti wabak itu, selain menyayangi bayi dan memastikan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak yang tidak berdosa itu.

“Kepada seluruh masyarakat pula, jauhi dadah elakkan perhubungan seks bebas dan kekalkan kehidupan yang sejahtera dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata, pengetahuan dan kefahaman mengenai HIV membolehkan semua pihak menangani isu HIV atau AIDS dengan lebih baik, sekali gus bukan sahaja dapat mengurangkan stigma dan diskriminasi , malahan setiap individu mampu mengambil tindakan sewajarnya dalam mengekang jangkitan penyakit itu.

Tambah beliau lagi, dengan amalan itu lagi lambat laun Malaysia akan menjadi negara sifar AIDS dan HIV satu masa nanti.

Katanya, virus HIV mula dikesan di negara kita pada 1986 dan sejak itu bilangan penduduk Malaysia yang dijangkiti penyakit terbabit terus meningkat berlipat kali ganda setiap lima tahun.

“Bilangan jangkitan HIV terkumpul yang dilaporkan di negara kita sehingga 2011 mencecah sehingga 95,000 serta hampir 15,000 kematian akibat AIDS.

 “Golongan lelaki terus mewakili majoriti iaitu 90 peratus daripada keseluruhan kes HIV di negara kita. Walaupun jangkitan dalam kalangan kaum lelaki menunjukkan penurunan ketara sejak 2003, namun kadar jangkitan dalam kalangan wanita pula menunjukkan trend berbeza,” katanya.

Beliau berkata, apa yang menyedihkan apabila wanita turut menjadi mangsa penyakit ini yang dibawa menerusi hubunan heteroseksual, iaitu sebanyak 87 peratus.

Sementara wanita dan kanak-kanak perempuan merupakan kira-kira 21 peratus kadar jangkitan baru pada 2011 berbanding lima peratus pada 10 tahun lalu.





Kerajaan komited bantu pesakit HIV

 OIeh: Suriati Ali 

 Kerajaan komited memastikan pengidap HIV di negara ini layak mendapat rawatan secara 'antiretroviral' (ARV) sebagai langkah meningkat tahap kesihatan dan mengurangkan risiko kematian berkaitan penyakit itu

 Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membelanjakan kira-kira RM67 juta pada tahun lalu, bagi membeli ubat ARV.

 Timbalan Menteri KKM, Dato' Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata KKM mensasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penghidap HIV sehingga menjelang tahun 2015 menerima rawatan secara ARV.

“Sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini pula, lebih 16,500 pesakit telah diberikan rawatan mengikut kaedah itu.

“Kita sentiasa mengambil cakna tentang permasalah mereka, termasuk memberi bimbingan, kauseling, memberi pendedahan kepada orang luar tentang penyakit HIV, edaran risalah dan sebagainya, semata-mata tidak mahu pesakit disisihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Aids Sedunia, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini. Dato' Seri Dr Hilmi turut memberitahu, KKM mensasarkan pengurangkan kes baru pada kadar 11 pesakit bagi bilangan 100,000 penduduk.

 Katanya, melalui langkah awal yang dijalankan , bilangan kes baru yang dikesan sejak 2003 telah mula menurun kepada 6,756 kes dan penurunan itu berlaku secara relative.

“Pada tahun lalu pua, sebanyak 3,438 kes baru dikesan dengan kadar 11.7 bagi setiap 100,000 penduduk manakala sehingga September tahun ini, sebanyak 2,564 kes baru dilaporkan,” katanya .

 


Jangan diskriminasi pesakit HIV

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh

Terengganu terpilih menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2013 yang bertemakan ‘Menuju Sifar’.

Selari dengan sambutan Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember setiap tahun, isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor merangkap Penaung Yayasan AIDS Malaysia telah menyempurnakan majlis perasmian sambutan Hari AIDS Sedunia yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih menarik, majlis anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu itu turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa duta selebriti riben merah seperti Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Hafiz Hamidun, Bob Yusof (AF), Najwa Latiff dan Dayang Nurfaizah.

Pelakon terkenal, Fahrin Ahmad berkata, tahun ini cukup menarik kerana Hari AIDS Sedunia disambut secara besar-besaran di Kuala Terengganu dan mendapat sokongan padu duta selebriti riben merah yang lain.

 “Saya amat terharu dan berbangga dengan sokongan semua rakan artis terutama yang bersama dengan Majlis AIDS Malaysia kerana sanggup turun padang untuk menyalurkan maklumat dan pengetahuan kepada golongan masyarakat berkaitan HIV/AIDS.

“Bukan kami sahaja sebagai artis, saya juga berharap ahli masyarakat yang pelbagai latar belakang tidak kira golongan agama, ahli akademik mahupun para pelajar dapat bersama-sama berkongsi maklumat berkenaan HIV/AIDS ini dengan orang lain,” ujar Fahrin yang telah empat tahun menjadi duta selebriti riben merah.

Fahrin berkata, selebriti sokongan riben merah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan berbilang bangsa dan sumbangan mereka kepada masyarakat juga adalah pelbagai.

 “Bagi saya sendiri, kebanyakan yang saya lakukan ialah berkongsi kisah-kisah pengalaman yang diceritakan pesakit HIV/AIDS dengan masyarakat.

“Sebagai selebriti, dengan pengaruh dan peminat yang kami ada, kami harapkan dapat menjadi orang tengah dalam menyampaikan mesej yang cuba disampaikan oleh Majlis Aids Malaysia dan mereka yang menghidap HIV/AIDS kepada masyarakat dengan lebih efektif lagi,” katanya.

Fahrin turut memgharapkan masayarakat di luar sana tidak mendiskriminasi mereka yang hidup dengan HIV/AIDS.

Sementara itu, hero filem Ombak Rindu, Aaron Aziz berkata, hampir dua tahun menjadi duta selebriti riben merah memberinya banyak peluang untuk menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Program ini sangat bagus kerana banyak memberi pendedahan kepada masyarakat terutama maklumat berkaitan HIV/AIDS,” ujarnya.

 

01 December 2013

Pengerusi Biotech terima ijazah kedoktoran kehormat dari UniSZA

Pengerusi Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) Prof Emeritus Dato' Seri Zakri Abdul Hamid dianugerah ijazah kedoktoran kehormat dalam Bioteknologi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sempena konvokesyen kelima universiti itu di Kuala Terengganu, semalam.

Dato' Seri Zakri yang juga Pengerusi bersama Kumpulan Teknologi Tinggi Industri -Kerajaan Malaysia (MIGHT), berkata beliau berbesar hati dan berterima kasih kepada UniSZA atas penganugerahan ijazah kedoktoran kehormat itu sebagai menghargai kerja-kerjanya dalam bidang bioteknologi.

"Banyak lagi yang perlu dilakukan, dan saya sangat yakin bahawa menerusi sokongan institusi pengajian tinggi seperti UniSZA, kita boleh merealisasikan potensi sebenar dalam bidang ini," katanya dipetik berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MIGHT.

Dato' Sri Zakri yang baru-baru ini merupakan antara 26 tokoh yang dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Saintifik Setiausaha Agung PBB, melakar sejarah apabila dipilih sebagai Pengerusi pertama Platform Dasar Sains mengenai Biokepelbagaian dan Perkhidmatan ekosistem Antara Kerajaan PBB.


Yusof Noor dilantik Pro-Canselor pertama UniSZA

Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia (MUIM), Tan Sri Datuk Dr. Mohd. Yusof Noor dilantik secara rasmi sebagai Pro-Canselor UniSZA yang pertama sempena Istiadat Konvokesyen UniSZA Kali Kelima di Taman Tamadun Islam, semalam.

Pelantikan tersebut mendapat perkenan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UniSZA.

Yusof yang juga bekas Pengerusi Majlis Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) berkata, pelantikan itu merupakan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar baginya.

Menurutnya, penghargaan yang diberikan Tuanku Canselor itu amat dihargai dan beliau bersedia memberi komitmen sepenuhnya untuk meningkatkan kualiti universiti berkenaan.

Tambah beliau, pelantikan itu juga ibarat sirih pulang ke gagang kerana sejarah penubuhan pusat pengajian tinggi tersebut bukan asing kepada beliau yang sebelum ini merupakan Pengerusi Kusza.

 



MARA anjur mini pesta kahwin

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Amanah Rakyat (MARA) Terengganu akan menganjurkan Mini Pesta Kahwin di Plaza D’Mara Kuala Terengganu pada 8 sehingga 12 Disember ini.

Pelbagai acara menarik menanti pengunjung antaranya pertandingan gubahan bunga, solekan, menjahit, ukuran buah-buahan, karaoke dan banyak lagi.

Program berkenaan diadakan sempena cuti sekolah berikutan ramai yang memilih untuk melangsungkan perkahwinan pada tarikh itu.

Seluruh rakyat Terengganu dialu-alukan hadir memeriahkan pesta berkenaan sekali gus menyertai pertandingan yang disediakan penganjur.