Halaman

10 December 2013

3 malam tidur dalam bot kecil.

Oleh: Aminudin Ismail. 

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas, Ismail Osman, 75, dari Kampung Batu Tiga Chukai, Kemaman sanggup tidur di dalam bot fiber kecil selama tiga malam kerana bimbangkan mesin jahit di dalam rumahnya ditenggelami air dalam kejadian banjir besar yang melanda kemaman, baru-baru ini.

Beliau yang bersyukur kerana mesin jahitnya itu selamat kerana tidak terkena air, terpaksa mengangkat mesin jahitnya beberapa kali di tempat lebih tinggi ketika air meningkat mendadak dalam kejadian banjir yang menengelamkan hampir separuh dalam rumahnya itu.

Ismail bersama botnya.
“Bukan Pak Cik tidak mahu tinggal di pusat pemindahan tetapi memandangkan air sentiasa naik Pak Cik bimbang barang dalam rumah Pak Cik termasuklah mesin jahit kerana motornya akan rosak apabila terkena air.

“Lagipun isteri Pak Cik sudahpun berpindah. Walaupun tidur dalam perahu ini tidak lena mana tetapi Pak Cik dapat menjaga barang-barang Pak Cik itu,” katanya yang tinggal berdua bersama isterinya, Jarah Abdullah, 65, di rumah itu kerana anak-anaknya semua sudah bekerja.

Dalam pada itu, Ismail berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu penduduk di kampungnya terutamanya yang tinggal di pusat perpindahan ketika banjir baru-baru ini.

“Isteri dan beberapa saudara mara Pak Cik ada tinggal di pusat pemindahan. Mereka semua berpuashati dengan makan dan minum yang disediakan. Terima kasih juga kepada semua yang menghulurkan bantuan makanan ke rumah Pak Cik ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada hari ke lima banjir di Chukai, baru-baru ini.

 

09 December 2013

LUAHAN HATI AHLI PARLIMEN KEMAMAN

Oleh: Dato' Seri Haji Ahmad Shabery Cheek

Alhamdulillah. 5 hari di Kemaman.
Saat kritikal nampaknya sudah berakhir. Masa kepada kerja-kerja pasca banjir. Membersih dan mengukur kerugian yang ditanggung.
 Terima kasih kepada yang sudi menghulur. Tenaga atau pun harta. Lebih 18 ribu berpindah dalam tempoh 30 jam. Paling kritikal apabila kira-kira 10 tempat berpindah diisytihar tidak selamat dan terpaksa berpindah lagi.
  Keselamatan lebih utama dari keselesaan. Maaf di atas kekurangan. Tiada siapa menjangka. Paras air berganda dari yg pernah diingati sesiapa. Seberang Tayor seratus peratus tenggelam. Mak Chili, Mak Lagam, Bukit Mentok  lumpuh sama sekali.
 Elektrik, air dan sistem telekomunikasi turut terhenti. Semuanya luar biasa. Bacaan sukat hujan di Jabur pada 2 Disember ialah 777 mm. Ini fenomena 100 tahun. Biasanya di musim tengkujuh kira2 350mm sebulan.
  Kali ini 777mm sehari. Mereka yg tidak berada di sini, tidak merasakannya.
  Ini adalah fenomena luar biasa.
  18 ribu hanyalah rekod mereka yang berpindah. Mangsa sebenar lebih dari itu. Tak terkira korban harta benda. Ya, ada banyak yg kelemahan dan banyak perlu diperbaiki. Ini adalah ingatan utk semua.
   Namun peranan yg ditunjukkan oleh semua pihak, kakitangan kjaan, polis, bomba penyelamat, JPAM, rela, dan lebih2 lagi tentera yg datang dari jauh dan dekat amat dihargai.
   Mereka bekerja bukan kerana kerja tetapi menghayati tanggungjawab yang diberikan.
 "Salute" saya untuk  tentera kita. Kau kebanggaan negara. Tak ketinggalan para sukarelawan. Baik NGO, parti politik, atau persendirian. Tak kira mereka Umno, Pas atau lainnya.
 Anda semua wira yang tak didendang. Kita bersatu atas kemanusiaan. Kita bersatu atas hablomminannas.    Hubungan insan - ibadat yang dituntut! Ajal maut di tangan Tuhan.
  Terima kasih semua. Allah maha penyayang. Syukur yang tak terhingga.
  Semoga Allah lebih menyatukan kita. Mungkin ini adalah ingatan untuk ummat.
  Di Aceh dan Sri Lanka, perbalahan mereka hingga berbunuhan - diuji tsunami.
 Di Filipina, perbalahan mereka hingga berbunuhan -diuji haiyan. Ujian kita belum sampai ke tahap itu.
 Allah masih menyayangi kita!
  I love kemaman!
  I love you All!

SIDANG DUN: Terengganu terima pelaburan dalam masa terdekat

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh

Terengganu dijangka akan terus menerima kemasukan pelaburan bagi projek berskala besar dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, perkembangan positif itu berdasarkan kepada perjanjian awal syarikat Angsana Platinum SB, Itali dan Huaxicun ,China yang bersetuju melabur di Tasik Kenyir.

“Kedua-duanya melibatkan pelaburan dalam sektor pelancongan yang menumpukan kepada pembangunan resort dan hotel.

“Ia melibatkan pelaburan sebanyak 265 juta USD atau kira-kira RM800 juta dari Itali dan pelaburan dari Syarikat Huaxicun, China sebanyak RM500 juta, iaitu RM300 juta di Tasik Kenyir dan RM200 juta di Pulau Perhentian,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan DUN Terengganu Ke-13 (Bajet 2014) hari pertama, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan dikemukakan YB Mohd Iskandar Jaafar (Jabi-BN) mengenai jumlah nilai pelaburan terus pelabur luar negara (FDI) di Tasik Kenyir dan Teluk Kalung, ketika sesi menjawab soalan lisan persidangan DUN.

Tambah beliau lagi, pelabur tempatan turut menunjukkan minat untuk melaksanakan projek di Tasik Kenyir sebaik sahaja melihat potensi pembangunan kawasan itu  sebagai Pulau Bebas Cukai.

Antara pelabur domestik berkenaan ialah Bayas Resources Sdn Bhd (RM130 juta), Emperor Travel Sdn Bhd (RM500 juta) dan Epic Sdn Bhd Fasa 1 (RM10 juta).

Selain itu, syarikat yang berpangkalan di Abu Dhabi turut menunjukkan minat untuk melabur di negeri ini dan belum mengesahkan jumlah sebenar  pelaburan yang dijangka sekitar 100 juta hingga 150 juta USD.

 

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT NEGERI SELARAS BANTUAN BANJIR



Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri memberi peruntukan khas bagi membeli barang-barang keperluan mangsa banjir yang diselaraskan bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKN).
 Di bawah porfolionya telah dikeluarkan serta-merta bagi membeli pelbagai barangan dan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri ini, termasuklah di Kemaman yang diselaraskan oleh JKN.
  Pengerusinya Haji Muhammad Pehimi Yusof juga menyatakan bahawa JKN akan menjadi penyelaras bagi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
  Selain bantuan dari peruntukan kerajaan negeri itu, beliau juga berkata badan badan bukan kerajaan, korporat, swasta dan orang ramai boleh menghubungi JKN di negeri dan daerah-daerah bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini di Wisma Darul Iman tengahari tadi.  Oleh: Ruslan A Rahman 


SIDANG DUN: Bekalan makanan untuk mangsa banjir mencukupi

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh

Bekalan makanan yang diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh Terengganu sehingga kini mencukupi walaupun pada peringkat awal timbul sedikit kesulitan untuk menghantar bekalan ke beberapa pusat pemindahan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, masalah paras air naik terlalu tinggi dan ada kawasan yang mencecah sehingga 1.5 meter menghalang kenderaan membawa bekalan ke pusat pemindahan banjir tertentu seperti di Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Mak Lagam (Kemaman).

“Pasukan penyelamat dan Bomba sendiri tidak berani kerani arus air deras berhampiran sungai, jika bot pun hanya mampu menghantar sedikit bekalan. Namun begitu, pada keesokannya dengan bantuan lori tentera oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu (MKN) bekalan makanan terbabit dapat sampai ke pusat pemindahan banjir itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Persidangan DUN Terengganu Ke-13 (Bajet 2014) pada hari pertama, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Susulan itu juga, kerajaan negeri belum dapat membuat tafsiran sebenar nilai kerugian kerosakan infrastruktur akibat bencana itu, malah tidak menolak ia melibatkan angka yang besar.

Tambah beliau lagi, banjir yang melanda negeri ini pada kali ini agak luar biasa berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang menunjukkan hujan yang berlaku di Kemaman baru-baru ini berlaku 100 tahun sekali.

“Mengikut Pusat Kajian Sukatan Hujan, hujan yang turun pada 3 Disember lalu di kawasan Jabor adalah sebanyak 777mililiter (ml) sehari. Dan dalam tempoh tiga hari meningkat kepada 1,662 ml.

“Sedangkan pada banjir tahun lepas hanya 442 ml untuk tempoh yang sama. Angka ini menunjukkan peningkatan yang luar biasa kerana di Terengganu taburan hujan secara keseluruhan adalah antara 3,800 ml hingga 3,900 ml setahun,” katanya.

Menurutnya, situasi itu bertambah teruk apabila air pasang besar sehingga 3.6 meter menyebabkan air dari sebelah hulu tidak dapat mengalir ke laut dan bertembung mengakibatkan berlaku limpahan di Chukai dan kawasan sekitar.






SIDANG DUN: Bajet 2014 RM2.2 billion

Oleh: Suriati Ali, Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini membentangkan Bajet 2014 yang berjumlah RM2.2 bilion dengan mengekalkan tema “Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan: Bajet Kesejahteraan Rakyat” seperti yang digunakan bajet tahun lalu.

Bajet 2014 menyaksikan pertambahan berbanding Bajet 2013 yang berjumlah RM1.995 billion.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi melaksanakan bajet 2014,kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan supaya mengamalkan perbelanjaan secara berhemat agar mampu menyumbang kembali kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat, sekaligus mengelak pembaziran.

Katanya, bagi memastikan kedudukan kewangan terus berdaya saing, penekanan kepada langkah-langkah memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri melalui pengurusan fiskal kewangan yang ketat dan berhemat.

“Kita boleh melakukannya dengan dasar kewangan dan perbelanjaan yang ketat, langkah berjimat bermula di peringkat perancangan di mana perbelajaan dikurangkan kepada tahap sebenar dan optimum tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti serta kualiti perkhidmatan.

“Tumpuan haruslan diberikan kepada perbelanjaan yang benar-benar penting, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat serta mengelakkan pembaziran,” katanya yang membentangkan bajet pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, dengan misi menjana pelbagai inisiatif pembangunan ICT ke arah pembentukan insan cemerlang, sektor ICT diperuntukan RM4 juta. Ia termasuk pembangunan infrastruktur telekomunikasi iaitu pembinaan tiga menara telekomunikasi.

“Antara pembangunan ifrastruktur dan sistem ICT yang terus dipergiatkan adalah pembangunan sistem Kerajaan Elektronik untuk penambahbaikan sistempenyampaian perkhidmatan kepada rakyat menerusi Terengganu Elektronik Goverment (T-eg).

"Selaian itu menaiktaraf kemudahan internet jalur lebar sedia ada dengan menambah peningkatan kadar kelajuan data dari 45Mbps kepada 150 Mbps sejajar dengan keperluan semasa pentadbiran negeri sekaligus memantapkan sistem penyampaian  kerajaan pada masa kini.

 “Pada masa sama berusaha memantapkan sistem pentadbiran negeri serta perkhidmatan kepada rakyat melalui beberapa program secara projek ICT secara holistik,” katanya.

 

SIDANG DUN: Terengganu sedia Wifi percuma, mulai tahun depan

Oleh: Suriati Ali, Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

 Kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan jalur lebar tanpa wajar (Wifi) secara percuma kepada masyarakat seluruh Terengganu termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, mulai tahun depan.

Kemudahan membabitkan peruntukan RM30 juta itu selaras dengan kehendak penduduk, terutama golongan muda yang sentiasa peka terhadap perkembangan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) terkini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha itu dianggap penting kerana akses internet kini sudah menjadi keperluan bagi mendapat ilmu dan maklumat secara talian.

Katanya, mudah juga bagi pelabur dan pelancong untuk mendapat bahan terkini ketika berada di satu-satu lokasi.

“Buat permulaan, kita akan mengutamakan capaian wifi di kawasan tumpuan ramai, seperti destinasi pelancongan, lapangan terbang dan hentian bas sebelum diperluaskan secara berperingkat-peringkat ke kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai membentangkan Belajawan (Bajet) 2014, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, Bajet 2014 yang membabitkan peruntukan RM2.2 bilion antara yang tertinggi jika dibandingkan dengan negeri lain.

"Kita sanggup belanja besar kerana mahu memastikan rakyat hidup selesa dengan kemudahan yang disediakan terutama berkaitan pembangunan, perumahan, pendidikan dan kebajikan,” katanya.



SIDANG DUN : Kerajaan negeri tidak aniaya pelajar

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh

Kerajaan negeri tidak pernah menganiaya pelajar dengan membatalkan penajaan biasiswa pelajaran selagi golongan itu mematuhi semua syarat dan perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua pihak.

Terbaru, YB Ghazali Taib (Ajil-BN) berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menukar status biasiswa 40 pelajar tajaannya di Jordan kepada pinjaman boleh ubah yang diuruskan Yayasan Terengganu (YT).

 “Sebenarnya tidak, ia diserahkan kepada Yayasan Terengganu untuk diurus dan mereka tertakluk dengan perjanjian yang mereka tandatangani dengan Maidam. Walaubagaimanpun, jika mereka mencapai tahap yang dikehendaki sebagaimana disyaratkan mereka boleh mendapat pembiayaan terus sebagaimana biasiswa. Ini sudah diselesaikan oleh pihak YT dan Maidam, tidak timbul lagi maksud yang tersirat tadi.

“Insya-Allah kita pihak YT dan Maidam tidak akan menganiaya pelajar kecuali disebabkan oleh pencapaian mereka tidak begitu bagus jadi kita mahu menggalakkan mereka dan kita mensyaratkan pelajar yang mencapai tahap kepujian sahaja mendapat pertukaran pinjaman kepada biasiswa,” kata beliau sebagai mengulas soalan tambahan YB Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam-Pas), di Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-13 (Bajet), hari pertama, hari ini.

YB Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, menjelaskan demikian merujuk persoalan yang dibangkitkan oleh YB Mohd Abdul Wahid mengenai kes terbaru berhubung pembatalan biasiswa oleh Maidam melibatkan 40 pelajar.

Difahamkan, Maidam membuat penilaian semula latar belakang pelajar tajaannya, yang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, kepakaran ulama serta pengajian Islam di Jordan itu selepas mendapati 40 daripada 95 pelajar tidak layak menerima biasiswa berkenaan.

Hanya 55 pelajar dikategorikan keluarga fakir dan miskin layak mendapat biasiswa itu, manakala bakinya diberi pinjaman melalui YT.

Tambah beliau lagi, bagi pelajar persendirian mulai tahun ini pembiayaan dipecahkan kepada dua kategori serta tidak timbul soal pembatalan penajaan, kecuali pelajar tersebut tidak mencapai tahap mumtaz, jiddan dan sebagainya sebagaimana tertakluk dalam perjanjian antara pelajar dengan Maidam.

Dalam pada itu, YB Ghazali berkata, Maidam sudah menaja 2,243 pelajar seluruh Terengganu melanjutkan pengajian di bidang Syariah dan Usuluddin sejak 2008 hingga tahun ini.

Daripada jumlah itu, penajaan pelajar persendirian menerusi dermasiswa fisabillah Maidam bagi tahun 2008 (350 orang); 2009 (342); 2010(448); 2011 (474); 2012(337) dan 2013 (393).

“Kesemua pelajar berkenaan dihantar ke sembilan negara iaitu Mesir, Jordan , Indonesia, Morocco, Yaman, Syria, Pakistan, Sudan dan Afrika Selatan.

 “Bagi tempoh yang sama juga YT telah menerima seramai 38 pelajar bagi program Syariah dan Usuludin di Jordan bagi program pertukaran pelajar Maidam-YT,” ulas beliau lagi.

Katanya, YT turut menaja 135 pelajar sepanjang 2008 hingga 2013 dalam bidang Syariah dan Usuluddin, masing-masing pada tahun 2008 (25 ); 2009 (29); 2010 (40); 2011 (9); 2012 (24) dan 2013(8).

Daripada jumlah itu, pelajar di  Mesir (58); Jordan (72) dan  Morocco (5).





Iskandar bersama mangsa banjir Kemaman.


BERSAMA MEMBANTU...Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Parlimen Setiu, Mohd Iskandar Jaafar berada di Kemaman bagi memberi sumbangan kepada seorang mangsa banjir beberapa tempat pusat pemindahan banjir di Chukai, kelmarin.

Iskandar yang dibantu Pemuda UMNO Kemaman, sempat meluangkan masa menziarahi beberapa warga emas dan golongan kurang upaya di pusat pemindahan itu serta membantu mambawa keluar barang-barang dari kenderaan.

"Saya bersama Fikri, Ketua Pemuda Kemaman dan rakan-rakan pemuda Umno menghantar bekalan kepada mangsa banjir di Kemaman sumbangan dari Pemuda Umno Malaysia, Ahli Parlimen Kemaman dan lain-lain. Semoga mereka bersabar dgn ujian Allah ini," katanya; oleh: Aminudin Ismail.
Serba ada..antara barangan yang disumbangkan.

Terima,,seorang mangsa banjir terima sumbangan.
Turun..Iskandar membawa turun barangan sumbangan.


 

YDP DUN NASIHAT AHLI DEWAN BERBAHAS DENGAN PENUH KASIH SAYANG

Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu (Belanjawan) hari ini dimulakan dengan doa dan nasihat oleh Yang Dipertua, YB Haji Mohd Zubir Embong.

  Dalam ucapan pembukaannya hari ini, Haji Zubir mengingatkan ahli-ahli dewan supaya mengutamakan perhubungan baik, kasih sayang dan mencontohi cara Rasulullah s.a.w dalam perbahasan.

"Setiap soalan yang dikemukakan hendaklah ikhlas serta setiakawan dan bukan ada tujuan lain," pesannya.

Sebanyak 155 soalan dikemukakan dalam sidang kali ini iaitu 110 soalan lisan dan 45 soalan bertulis.

Yang Dipertua Dewan juga tidak lupa menjunjung kasih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu yang mencemar duli melawat mangsa-mangsa banjir.

"Juga terima kasih kepada ahli-ahli YB dan semua pihak yang membantu mangsa banjir di negeri ini" katanya dalam ucapan kira kira 10 minit.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman