Halaman

11 December 2013

Jalan Chukai- Air Putih sudah boleh dilalui.

Oleh: Aminudin Ismail.

KUALA TERENGGANU: Selepas seminggu terputus hubungan, orang ramai boleh mengunakan Jalan Chukai ke Air Putih, apabila jalan itu mula dibuka kepada semua kenderaan, pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman memberitahu jalan yang ditutup berhampiran Binjai itu akibat dinaiki air kira-kira lebih 1 meter di buka kira-kira jam 8.30 pagi ini.

"Semua jalan-jalan utama di Kemaman sudah boleh dilalui kenderaan termasuklah Jalan Chukai ke Air Putih yang ditutup sejak seminggu lalu," katanya ketika dihubungi Teganukita sebentar tadi.

Dalam pada itu, katanya, kira-kira 9 ribu penduduk masih ditempatkan di 35 pusat pemindahan sekitar Chukai sehingga pagi ini manakala di tempat-tempat lain sudahpun ditutup berikutan air di kawasan rumah mangsa pemindahan surut.

 

SIDANG DUN: Tambah keperluan pembajak

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri sentiasa komited menambah keperluan jentera pembajak dan jentuai bagi kemudahan petani di negeri ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi NegerI, YB Nawi Mohamad, berkata agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Pertubuhan Pleadang dan Ketara ada mengemukakan permohonan kepadanya pada setiap tahun.

 Malah katanya, kerajaan sentiasa bersedia untuk membantu menyelesaikannya jika ia benar-benar diperlukan.

“Kita akan selesai masalah ini. Sekarang ada 143 jentera pembajak dan 22 jentuai di Terengganu melalui agensi bawah kita.

“Mengikut pecahan daerah, jentera pembajak di besut ada tujuh buah, Hulu Terengganu pula sebanyak 11 pembajak. “Di Kuala Terengganu, ada 10 jentera pembajak dan tujuh jentuai, Marang pula 20 pembajak, manakala Dugun (13 pembajak dan kemaman (lima pembajak),” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hilmi Harun (Manir-Pas) mengenai adalah jumla pembajak dan jentuai mencukupi.

 

Banjir semakin pulih di Setiu/35 masih di pusat pemindahan.

Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Seramai 35 keluarga dari Kampung Nyior, Sungai Tong, dekat sini masih berada di pusat pemindahan banjir sehingga pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir IPD Setiu, ketika dihubungi sebentar (8 pagi) tadi memberitahu keluarga terbabit belum dapat pulang ke rumah masing-masing walaupun kebanyakan banjir di kawasan Langkap hampir pulih.

"Setakat ini hanya 35 keluarga dari Kampung Nyior yang masih tinggal di pusat pemindahan di Setiu ini manakala satu lagi tempat pemindahan di Merbau Menyusut telah ditutup berikutan air di kampung itu surut dan kesemua mangsa pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Menurutnya, kesemua jalan utama yang di daerah ini yang ditutup semalam sudah dibuka kepada semua kenderaan termasuklah Jalan Chalok Kedai ke Telaga Papan dan Jalan Langkap ke Pelong. 

Sementara itu, di beberapa tempat di daerah ini tidak mengalami hujan sejak malam semalam dan keadaan ini boleh membantu menurunkan paras air di beberapa kawasan yang masih ditenggelami air dan menurunkan paras air sungai.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor menasihati penduduk kawasanya supaya sentiasa bersedia menghadapi banjir walaupun banjir semakin pulih kerana musim tengkujuh masih lagi ada dan banjir boleh berlaku pada bila-bila masa.

 

Polis Terengganu dapat 74 kereta baru.

Hamzah menyampaikan replika kunci sebagai simbolik penyerahan kereta.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menerima 22 buah kenderaan baru daripada 74 buah yang akan diterima bagi mengantikan kenderaan lama.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, kenderaan itu akan digunakan oleh semua Polis daerah dan Ibu Pejabat Kontinjen bagi urusan pentadbiran, siasatan jenayah dan trafik.

Baru..sebahagian kereta yang diterima.
"Hari ini kita menerima 22 buah kereta dari kerajaan daripada 74 buah yang kita akan terima tidak lama lagi bagi mengantikan 70 buah yang uzur dan lama digunakan. Ini bagi membolehkan kita membenteras jenayah. Untuk melakukan ini kita memerlukan sumber manusia yang berkualiti juga sumber logistik yang baik.

"Kalau kita masih mengunakan kenderaan lama, sedangkan penjenayah sudahpun mengunakan kenderaan yang lebih canggih. Sempena dengan majlis ini juga kita akan menyerahkan kereta-kereta ini kepada (polis) daerah-daerah dan juga jabatan-jabatan polis," katanya dalam sidang akhbar ketika merasmikan Program Polis Bersama Masyarakat, di Guntung Luar, di sini semalam.

Dalam pada itu, Hamzah Mohd Jamil berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan sumbangan-sumbangan daripada pihak Polis dan masyarakat luar bagi dihulurkan kepada 333 keluarga anggota Polis yang terbabit dengan banjir di Kemaman dan Dungun baru-baru ini.

Lebih baik..Hamzah memberi isyarat bagus.
Menurutnya, pihak Polis Terengganu sudahpun menerima bantuan daripada beberapa pihak dan akan menyalurkan bantuan itu dengan segera kepada mangsa terbabit.

Hamzah berkata, pihak Polis juga berjaya menjalankan tugasnya dengan baik sepanjang musim banjir ini, antara tugas-tugasnya ialah menjaga keselamatan rumah yang ditinggalkan dan menyelamat di tempat pemindahan.

Beliau juga menafikan kelewatan berlaku dalam usaha menyelamat mangsa tetapi yang sebenarnya ialah kelewatan menghantar bantuan atas beberapa sebab tertentu dan masalah itu sudahpun diatasi, katanya.

 

10 December 2013

Sidang DUN: Wujud sistem vendor, buka peluang pekerjaan baru

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Kerajaan negeri disaran mewujudkan sistem vendor menerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau anak-anak syarikat kerajaan negeri bagi membuka peluang pekerjaan baru kepada anak Terengganu.

YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih-BN)  mencadangkan demikian dengan memberi contoh seperti syarikat EPIC yang mempunyai kepakaran di bidang minyak dan gas boleh melantik vendor tertentu untuk melatih dan memberi peluang kepada usahawann supaya dapat bergiat dengan baik di bawah industri minyak dan gas serta logistik.

“Manalaka TDM, kepakarannya dalam bidang ladang dan perkhidmatan perubatan pula boleh melantik vendor-vendor berdaya maju untuk memberikan bisnes sokongan ataupun di sektor perladangan. Selain barang-barang perubatan di bawah anak syarikat TDM,” katanya ketika membahaskan ucapan Bajet 2014, di persidangan DUN, hari ini.

YB Wan Abdul Hakim berkata, menerusi sistem vendor itu membolehkan anak Terengganu yang merantau dan mencari peluang pekerjaan di negeri orang supaya pulang memberi sumbangan tenaga dan bertugas di negeri sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata, apabila siapnya Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan jaringan laluan kereta api ke Dungun yang dirancang dan akan dibangunkan Kerajaan Persekutuan turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu.

“Malah, saya memohon kerajaan negeri mengadakan satu strategi menggalak serta menyelia industri-industri yang berpotensi baru yang akan lahir daripada peningkatan hubungan daripada barat ke timur melalui LPT dan kereta api itu nanti,” katanya.

“Saya juga menjangkakan antara industri yang akan meningkat maju dengan adanya kemudahan jaringan pengangkutan itu ialah industri logistik samada darat atau udara,” katanya lagi.

Susulan itu juga, pengkalan-pengkalan hadapan baru untuk minyak dan gas juga akan berkembang maju, selain mewujudkan konsep ‘ware housing’ di pengkalan-pengkalan hadapan.

“Pendedahan serta latihan untuk para usahawan perlu kita adakan supaya mengambil peluang apabila terbukanya peluang-peluang baru disebabkan oleh jaringan jalan raya yang begitu baik tidak lama lagi.

“Saya juga berpendapat, bahawa kita amat mengalu-alukan kedatangan industri-industri berat yang tidak lama lagi akan ke Teluk Kalong, contohnya SKS Mineral yang akan melaburkan RM6 bilion dan Eastern Steel Sdn Bhd akan beroperasi tidak lama lagi.

“Industri-industri berat ini sudah tentu akan memberi peluang pekerjaan yang cukup banyak kepada rakyat Terengganu khususnya di Kemaman,” jelasnya.

Kata beliau, selain mengutamakan industri besar di Terengganu iaitu sektor minyak dan gas, kerajaan negeri perlu fokus kepada industri kedua iaitu industri pertengahan dan sokongan yang sebenarnya turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri ini.

 

Sekitar Program Polis Setiu bersama masyarakat.


Hamzah (dua dari kiri) bersama Ab Rahman dan Penolong Pegawai Daerah Setiu (kiri).
Oleh: Aminudin Ismail.

SAMBUTAN Program Polis bersama Masyarakat anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu yang diadakan di Kampung Guntung Luar, Setiu, hari ini, mendapat sambutan baik dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta penduduk setempat.

Kira-kira 500 hadir pada majlis itu yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil, hari ini. (10.12.2013)

Antara acara yang diadakan ialah pertandingan membuat bubur asyura, persembahan silat, pameran dan penyerahan replika kunci kereta kepada Ketua Polis Daerah dan wakil.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abdul Rahman Raja Mohamed, berkata program itu diadakan bertujuan untuk mengerakan hubungan anggota Polis dengan masyarakat di daerah Setiu khususnya kawasan Guntung Luar.

"Program seperti ini juga diharap dapat menghilangkan perasaan segan antara masyarakat dan Polis. Segala permasalahan mereka itu dapat mereka lahirkan kepada Polis secara terus. Seramai kira-kira 200 anggota Polis di daerah ini terlibat.

"Di Program ini juga kita mengadakan acara penyerahan replika kunci kenderaan oleh Timbalan KP Terengganu kepada setiap Pejabat Polis Daerah iaitu sebanyak 22 kereta untuk kegunaan Polis," katanya.
Terbaik..MDS diumumkan pasukan terbaik.

Menurutnya, sebanyak 30 pasukan menyertai pertandingan membuat bubur asyura antaranya ialah JKKK beberapa buah kampung di Setiu, Majlis Daerah Setiu, Bomba, Jabatan Kerja Raya, Rela dan lain-lain.

Sementara itu, Majlis Daerah Setiu di umumkan sebagai pasukan terbaik pertandingan membuat bubur asyura itu. Tempat pertama pertandingan itu pula di menangi JKKK Kampung Langkap, tempat ke dua JKKK Kampung Bukit Drebar dan Kumpulan NGO Pondok Banggol menduduki tempat ketiga.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar program itu yang berlangsung di Pekan Guntung Luar, Setiu, hari ini:-

Terima..Hamzah menyampaikan replika kunci kepada seorang pegawai Polis daerah.
Cuba..seorang pengunjung mencuba mengunakan senjata api.
Ketua Polis Daerah Besut menerima replika kunci.

Antara pegawai Polis yang hadir.

Pasukan JKR turut serta.

Kumpulan muzik tradisional membuat persembahan.


Hamzah menanda markah.


Wakil IPD Hulu Terengganu terima replika.

Hamzah meninjau peserta memasak bubur.
Handal..persembahan silat turut diadakan.





 

APMT lancar Skuad Cakna Banjir

Oleh: Noraini Jusoh

Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) melancarkan Skuad Cakna Banjir APMT bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di seluruh negeri ini.
Pengarah APMT, Roshali Taha berkata, skuad itu dianggotai oleh pegawai dan kakitangan APMT yang berperanan sebagai sukarelawan bagi membantu penduduk yang terjejas akibat bencana banjir yang begitu luar biasa kali ini.

Katanya, pejabat APMT di semua 32 DUN seluruh negeri akan bertindak sebagai pusat pengumpulan barangan yang disumbangkan oleh orang ramai.

 “Bermula dari 8 hingga 12 Disember ini, orang ramai dipelawa menghulurkan apa jua sumbangan seperti pakaian, air minuman bersih, makanan dan keperluan harian di Pejabat APMT terdekat.

 “Kita akan agihkan bantuan berkenaan kepada yang memerlukan dengan harapan tiada mangsa banjir yang tercicir daripada menerima bantuan, ” katanya.

Tambah Roshali, walaupun air telah surut skuad berkenaan akan menghantar sukarelawan ke kawasan kampung, perumahan, dan sebagainya.

“Masa inilah ramai sukarelawan diperlukan untuk membantu mangsa banjir membersihkan dan membaiki semula rumah, masjid, balai raya atau surau yang telah rosak”, ujarnya.


 

Belia Marang bergabung jayakan misi bantuan

Oleh: Amirullah Othman

Jawatankuasa khas menggabungkan Majlis Belia Daerah Marang, Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Marang dan Gerakan Belia 4B(M) Kawasan Marang dibentuk bagi mengumpul dana, pakaian serta barangan keperluan bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Encik Zaidi Muda berkata, jawatankuasanya akan menyusun langkah-langkah bagi menjayakan misi bantuan itu seperti menghantar sukarelawan belia Marang ke Kemaman untuk sama-sama membersihkan kediaman dan dewan orang ramai yang terlibat dengan fenomena alam itu.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan bantuan hasil tinjauan ke beberapa kawasan di Kemaman pada minggu lalu dan mendapati banyak kawasan terjejas teruk ekoran bencana itu.


“Kerjasama dari ahli-ahli belia yang diterima amat menggalakkan dan setakat ni pelbagai bentuk barangan dan pakaian telah dikumpulkan di Pusat Khidmat Rakan Muda Marang.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu berkata, program itu yang turut digembeleng bersama Majlis Belia Daerah Kemaman akan memastikan beban yang terpaksa ditanggung mangsa banjir dapat dikurangkan.

“Kami juga berharap mangsa banjir dapat bersabar dan menerima segala ujian ini dengan hati yang tabah,” katanya.


Setiu kembali banjir, 110 berpindah.

Pusing...kenderaan berpatah balik di Kampung Lubuk Panjang.
oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Selepas hujan tidak berhenti bermula dari petang semalam, beberapa kampung di kawasan Langkap, dekat sini, mula ditengelami air sejak awal pagi tadi menyebabkan 110 penduduk di pindahkan.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata, penduduk yang berpindah itu ialah dari Kampung Merbau Menyusut dan Kampung Bukit Nyior, Sungai Tong.

"Jalan yang ditutup pula ialah Jalan Pengkalan Merbau-Pelong di Kampung Seri Kenangan, air sedalam kira-kira 1.2 meter dan Jalan Chalok Kedai-Telaga Papan iaitu di Kampung Lubuk Panjang sedalam kira-kira 0.5 meter," katanya ketika di hubungi Teganukita.

Sementara itu, tinjauan di beberapa kampung sebentar tadi (3 petang) mendapati air yang mulai naik sejak awal pagi tadi itu semakin surut sedikit antaranya ialah di Kampung Chalok Kedai, Kampung Chalok Terap, Sungai Bari dan Kampung Merbau menyusut.

Seorang penduduk Kampung Merbau Menyusut, Abdul Hadi Ahmad, 40, berkata, dia sekeluarga terpaksa berpindah kira-kira jam 7 pagi di masjid kampung berkenaan.

"Setakat ini air sudahpun surut sedikit selepas naik kira-kira jam 12 tengahari tadi tetapi mereka yang berpindah di masjid masih belum pulang ke rumah masing-masing," katanya.



 

Telekom Malaysia (TM) beri penghargaan kepada orang ramai yang membantu banteras pencuri kabel


Anggota Polis dan orang awam bergambar selepas menerima penghargaan dari TM

Oleh: Mohammad Ishak'

Kegiatan mencuri kabel telekom di negeri ini yang dilaporkan meningkat bermula awal tahun ini semakin menurun sejak kebelakangan ini berikutan tindakan orang awam yang membantu mencegah aktiviti berkenaan.

Pengurus Besar Negeri, Telekom Malaysia Berhad, Hamidun Ismail berkata, kesedaran orang ramai untuk membantu melapor kepada pihak keselamatan dan menangkap pencuri kabel ketika terserempak dengan kejadian curi kini berkurangan apabila aktiviti mereka dihidu orang ramai.

Katanya, pembabitan orang awam membantu kes curi kebal amat dihargai oleh Telekom Malaysia (TM) kerana syarikat itu tidak mampu untuk memantau kegiatan pencuri disebabkan ketiadaan kakitangan.

Menurutnya, pihaknya merekodkan 307 kes kecurian kebal sepanjang tahun ini dan daerah Besut mencatat jumlah tertinggi membabitkan 69 kes.

Berikutan itu, katanya, seramai 3,988 pengguna telefon yang menggunakan perkhidmatan talian tetap dan kemudahan internet terjejas dengan perkhidmatan berkenaan apabila kebel dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kes kecurian kabel bukan sahaja menjejas perkhidmatan kepada orang awam malah ia turut dialami jabatan dan agensi kerajaan yang terganggu dengan perkhidmatan TM,” katanya kepada media selepas Program TM Mesra Sepakat Komuniti dan Majlis Penghargaan kepada orang awam dan anggota PDRM di sini semalam.

Ahli Exco Kerajaan negeri,Nawi Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, merasmikan program berkenaan yang dihadiri Pengerus Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rela, peronda SRS dan anggota PDRM daerah Besut.

Pada majlis itu, 29 anggota polis dan lapan orang awam yang membantu menangkap pencuri kebel di daerah Besut diberi surat penghargaan sebagai tanda penghargaan memberi keerjasama kepada TM.