Halaman

21 December 2013

Pantai dan sungai tidak selamat pada musim tengkujuh

Kesemua pantai dan sungai di kawasan peranginan di Terengganu didapati tidak selamat untuk aktiviti air terutama pada musim tengkujuh.

 Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata Ia ekoran beberapa kes lemas di pantai telah dicatatkan sepanjang musim tengkujuh ini.

 “Kes terbaru pada Jumaat lalu, dua pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun terkorban ketika mandi di Pantai Teluk Bidara, Dungun,” katanya.

Menurutnya sepanjang musim tengkujuh ini semua tempat seperti itu adalah tidak selamat untuk mandi dan disokong dengan faktor cuaca yang tidak menentu selain faktor geografi yang berubah.

 “Orang ramai perlu lebih peka terhadap keadaan cuaca dan persekitaran sebelum melakukan aktiviti di air terutamanya pada musim sekarang.

 "Sekarang ini musim tengkujuh dan bencana banjir baru sahaja melanda negeri ini, jadi orang ramai perlu waspada sebelum membuat keputusan bermandi-manda dikawasan berisiko seperti itu,” katanya.

 Katanya, jika kita lihat sekarang nelayan sendiri tidak mengambil risiko turun ke laut pada musim tengkujuh ini kerana tahu bahaya yang menanti mereka jadi kita perlu beringat-ingatlah. “

Pihak kami turut menyarankan orang ramai agar pergi ke tempat yang lebih sesuai untuk beriadah seperti di kolam renang untuk keselamatan,” katanya .

 

Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM pada 24 Dis

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjadualkan semula Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk calon yang terjejas akibat banjir di kawasan Pantai Timur.

 MARA dalam kenyataan Selasa memaklumkan ujian dan sesi temu duga itu akan diadakan pada 24 Dis bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang di MRSM Kota Putra, Terengganu (calon program Ulul Albab) dan MSRM Kuantan, Pahang (calon program biasa dan 'International General Certificate of Secondary Education').

 Calon boleh menghubungi talian 09-6957655 bagi ujian dan sesi temu duga di MRSM Kota Putra dan 09-5681502 bagi MRSM Kuantan.



Shaari sinonim dengan Bari Kecil.

Shaari..majukan Pantai Bari Kecil
Oleh: Aminudin Ismail. 

PEMBABITANYA dalam soal kemasyarakatan bermula ketika beliau menamatkan persekolahan lagi dengan menyertai pelbagai program yang membabitkan penduduk kampungnya, bermula dari situlah beliau menyimpan hasrat untuk menabur bakti kepada penduduk kampungnya sekiranya diberi amanah untuk menjadi 'ketua kampung'.

Ternyata, hasratnya itu menjadi kenyataan apabila diberi kepercayaan memegang jawatan Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada tahun 2004 lalu.

Mat Shaari Mat Abdul Ghani, 52, tidak melepaskan peluang itu kerana melalui jawatan itulah dia boleh menabur bakti kepada penduduk di kampungnya iaitu Kampung Bari Kecil.

"Saya sememangnya pernah menyimpan hasrat, sekiranya saya diberi peluang untuk menjadi 'ketua kampung' atau Pengerusi JKKK, saya mahu memajukan penduduk Bari Kecil ini, mambantu golongan yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah dan membela mereka yang kurang bernasib baik.

 "Peluang yang saya terima itu, saya tidak sia-siakan, sehingga ini banyak yang saya sudah lakukan untuk mempertingkat taraf hidup penduduk kampung ini dan membangunkan kampung ini.

"Segala bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan kepada rakyat, saya akan sampaikan kepada semua yang layak menerimanya.

"Saya juga membantu penduduk kampung yang layak mendapatkan rumah PPRT, mengubahsuai rumah yang uzur, menaiktaraf jalan kampung, menaiktaraf masjid, memajukan pantai Bari Kecil dan lain-lain," katanya yang gemar bersama penduduk sekiranya ada masa terluang.

Bincang..Shaari sedang berbincang dengan rakanya.
Sebagai 'Ketua Kampung', Shaari masih mempunyai banyak lagi agenda untuk membantu penduduk dan memajukan kampungnya sekiranya masih diberi kepercayaan untuk mentadbir kampungnya itu.

"Bagi menjayakan agenda saya itu, saya mengharapkan penduduk kampung ini terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional supaya pelbagai kemudahan dan bantuan dapat disalurkan berterusan kepada penduduk pada masa depan.

Banyak lagi yang saya akan cuba lakukan di kampung ini termasuklah menambah sumber pendapatan penduduk yang berpendapatan rendah," katanya.

 

20 December 2013

Pelajar SMK Pelong dapat 9A PMR.

Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Berkat usaha lebih dan sentiasa memberi sepenuh tumpuan ketika mentelaah pelajaran akhirnya membuahkan hasil buat seorang pelajar SMK Pelong, dekat sini apabila dia mencapai keputusan 9A dalam PMR 2013 yang diumumkan, semalam.

Normaisarah Nordin, 15, yang berasal dari Kampung Tasek itu adakalanya melengah-lengahkan untuk makan apabila sedang mentelaah pelajaran kerana mahu memberi perhatian kepada apa yang sedang bacanya.

Menurut bapanya, Nordin Chik, 46, anaknya itu memang gemar membaca dan akan memberi sepenuh perhatian ketika sedang megulangkaji pelajaran.

"Anak saya ini tinggal di asrama SMK Pelong, masa balik rumah dia tidak lekang dengan buku malah di dua tiga bulan hendak ambil periksa, dia sanggup melambat-lambatkan untuk makan walaupun diajak berkali-kali oleh ibunya kerana mahu menumpukan perhatian kepada apa yang dipelajarinya.

"Bagaimanapun, dia belajar tidaklah lama ketika berada di rumah iaitu kira-kira dua jam sahaja sehari tetapi kalau di asrama mungkin lebih sedikit kerana dia ada peraturan," kata pengusaha batik di Setiu itu.

Dalam pada itu Normaisarah mengucapkan terima kasih saya kepada semua guru-guru dan kawan-kawan di SMK Pelong kerana banyak membantunya mencapai keputusan itu.

"Saya juga berterima kasih kepada semua ahli keluarga terutamanya ayah dan ibu yang sentiasa memberi semangat kepada saya supaya berjaya dalam pelajaran," katanya.

 

Anak penoreh getah cemerlang PMR

Oleh: Noraini Jusoh

Sentiasa fokus terhadap apa yang diajar guru dan menjadikan amalan membaca surah yasin setiap pagi dan malam sebagai rutin hariannya, nyata tidak sia-sia apabila anak penoreh getah, Abdul Jabbar Hudd Mohd Saimi, 15, cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumumkan, semalam.

Abdul Jabbar yang berasal dari Kampung Bukit Agu, Batu Rakit tersenarai sebagai salah seorang pelajar terbaik antara 73 pelajar yang mendapat 8A daripada 100 calon keseluruhan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma).

Berkongsi rahsia kejayaan, katanya walaupun gemar mengulang kaji di saat akhir, beliau akan memberi sepenuh tumpuan terhadap apa yang dipelajarinya.

“Saya juga akan menghadiri setiap kelas tambahan yang cikgu buat dan sentiasa menghormati mereka,” katanya yang bercita-cita menjadi pakar dalam bidang farmasi.

Anak sulung daripada enam beradik ini berjaya membuktikan bahawa kemiskinan bukanlah faktor penghalang untuknya mencapai kecemerlangan.

“Saya sangat gembira dan bersyukur dengan keputusan yang diperoleh ini dan ingin menghadiahkan kepada kedua ibu bapa yang banyak bersusah payah membanting tulang demi memberikan pendidikan terbaik kepada kami adik-beradik.

“Walaupun ayah seorang penoreh getah dan emak pula hanya suri rumah, saya tidak menjadikan itu sebagai alasan mengapa saya tidak boleh berjaya seperti orang lain,” ujar Abdul Jabbar anak kepada pasangan Mohd Saimi Daud dan Zuriah Ibrahim.

Sementara itu, bagi Syiraz Mohd Ali Jaafar ,15, cara pembelajarannya yang lebih santai iaitu gemar belajar secara berkumpulan bersama kawan-kawan banyak membantu beliau mendapat keputusan cemerlang dalam PMR.

Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Seberang Takir ini, berjaya mengekalkan keputusan 8A sama seperti yang diperolehnya ketika ujian percubaan PMR.

Merupakan seorang pelajar yang aktif di Sesma, selain pembelajaran di kelas Syiraz akan memastikan beliau akan cukupkan empat jam dalam sehari bagi mengulang kaji pelajaran.

“Saya meminati muzik dan merupakan salah seorang ahli orkestra sekolah, jadi jadual harian saya sentiasa padat dengan latihan orkestra, justeru saya perlu pandai bahagikan masa dan lebih suka belajar pada waktu malam,” katanya.

Berkongsi kejayaan beliau dan rakan-rakannya, menurut Syiraz, sistem ‘Guru Muda’ yang diperkenalkan di sekolahnya banyak membantu mereka sama-sama cemerlang dalam PMR.

Katanya, ‘Guru Muda’ yang terdiri daripada pelajar bijak yang dilantik guru akan membantu pelajar lemah menguasai sesuatu mata pelajaran yang kurang difahami.

“Kami juga akan bekerjasama dan saling membantu untuk memahami apa yang diajar guru dan tidak akan sesekali membiarkan pelajar yang kurang bijak bersendirian,” ujar anak kepada pasangan Penolong Jurutera di Jabatan Pengangkutan Jalan, Mohd Ali Jaafar, 40, dan Norizan Ibrahim, 40.

 



SM Sains Sultan Mahmud terbaik PMR di Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) muncul sekolah terbaik di Terengganu apabila mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.04 dalam keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumumkan, semalam.

Daripada 28 buah sekolah yang berjaya mencatat GPS berpencapaian tinggi 1,00 hingga 1.80, Sesma berada di tangga teratas dengan 73 orang mendapat 8A daripada 100 calon keseluruhan.

Pengetuanya, Meriam Jusoh berkata, prestasi baik dan memberangsangkan yang diperolehi sekolah itu hasil gabungan kesungguhan pelajar dan kerjasama semua pihak terutama guru-guru yang sentiasa bersedia membantu pelajar tidak mengira waktu.

“Rahsia kejayaan sekolah ini adalah hasil gemblengan daripada displin pelajar dan dedikasi para guru yang banyak membantu menghasilkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan.

“Pelajar-pelajar kita sangat berdisplin dan guru-guru pula begitu berdedikasi. Hasil gabungan ini telah membantu Sesma menghasilkan pelajar berkualiti khususnya dalam peperiksaan PMR kali ini selaras dengan motto yang dipegang warga Sesma iaitu ‘Kualiti, Dedikasi, Displin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pengumuman Keputusan PMR Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Malah menurut Meriam, guru-guru Sesma membimbing pelajar bukan sahaja pada waktu persekolahan tetapi juga pada waktu malam, malah ada yang sanggup mengorbankan masa untuk bersama-sama pelajar mengulangkaji pelajaran demi kecemerlangan anak didik mereka.

Selain Sesma, sekolah lain yang turut tersenarai sebagai Sekolah Berpencapaian Tinggi (GPS 1.00 hingga 1.80) termasuk SM Imtiaz Kuala Berang (1.09) ; SBP Integrasi Batu Rakit (1.12) ; SMK Mak Lagam (1.13) ; SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin (1.13) ; SM Sains Hulu Terengganu (1.13) ; SM Imtiaz Dungun (1.14) ; SM Imtiaz Kuala Terengganu (1.15) ; SM Sains Dungun (1.16) serta SM Imtiaz Besut (1.18).

SM Sains Setiu (1.18) ; SMK Tengku Mahmud (1.18) ; SMK Lembah Bidong (1.19) ; SMK Tengku Intan Zaharah (1.20) ; SM Imtiaz Kemaman (1.20) ; SMK Chukai (1.22) ; SMKA Sheikh Abdul Malik (1.24) ; SMK Sultan Sulaiman (1.26) ; SMKA Kuala Abang (1.31) ; SMKA Tok Jiring (1.33) ; SMKA Durian Guling (1.43) ; SMK Tengku Ampuan Intan (1.43) ; SMKA Nurul Ittifaq (1.49) ; SMK Dato’ Razali Ismail (1.59) ; SMA Sultan Zainal Abidin Ladang (1.60) ; SMA Khairiah (1.62) ; SMKA Wataniah (1.70) dan SMK Pelong (1.72).

 

300 penduduk dapat oven dan pancing.

Zulkifli bersama Saifuddin(tengah).
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MP3) Setiu memperuntukan bantuan sebanyak RM45,000 untuk diberi kepada 300 penduduk kawasan itu.

Peruntukan yang diberi dalam bentuk barangan itu iaitu Oven dan Alat memancing bagi membantu golongan petani dan nelayan mengusahakan kegiatan harian mereka.

Pengurus Lembaga Pertubuhan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Setiu, Mohd Saifuddin Abas, berkata terdapat tiga peringkat penerima bantuan itu iaitu usahawan wanita berumur 35 ke atas seramai 100 orang.(oven).

"Peringkat Usahawan agropreneur lelaki muda berumur 18 hingga 40 tahun seramai 100 orang (Peralatan memancing) dan Peringkat wanita muda berumur 18-35 tahun seramai 100 orang," katanya pada majlis penyampaian bantuan itu di Perpustakaan Awam, di sini, semalam.

Hadir..sebahagian jemputan dan penerima bantuan.
Sementara itu, Pengerusinya, Che Zulkifly Jusoh yang juga Ahli Parlimen Setiu, ketika berucap merasmikan majlis penyampaian bantuan itu mengharapkan penerima bantuan memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberi.

"Saya mengharapkan barangan yang diberi ini berupa oven dan alat memancing akan digunakan bagi menghasilkan pendapatan dan bukannya untuk disimpan atau dijual," katanya.

 

MAYC berkampung bantu mangsa banjir di Kemaman

Oleh: Amirullah Othman

Seramai 300 sukarelawan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) berkampung di Kemaman sepanjang tiga hari untuk membantu mangsa banjir.
Rombongan ini diketuai oleh Presiden MAYC Kebangsaan saudara Mohd Hasri Mohd Hadzir yang datang dari semua negeri.

Sukarelawan ini dibahagikan kepada dua kumpulan yang mana terlibat dalam membersihkan rumah-rumah dan sekolah yang teruk di landa bencana banjir.

MAYC Kebangsaan juga membawa pelbagai barangan keperluan seperti pakaian dan barangan dapur dan telah mengagihkan kepada penduduk kampunng untuk meringankan beban mangsa banjir.

Dalam program ini, MAYC Kebangsaan juga turut menghadiahkan satu unit peti sejuk kepada Exco MAYC Kebangsaan, Puan Noorhaslizai Mukhatar yang terlibat dengan bencana banjir.

Encik Mohd Hasri berkata, program itu bertujuan untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung mangsa banjir khususnya di Kemaman.

“Ini kerana selepas mengalami bencana banjir yang besar, sudah tentu banyak rumah-rumah dan sekolah-sekolah rosak teruk dan perlu dibersihkan.

“Jadi MAYC Kebangsaan telah mengambil inisiatif inilah untuk sama-sama merasai penat lelah dan sama-sama bersusah senang dalam menghadapi musibah ini,” katanya.

Katanya, pihaknya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kemaman dan MAYC Negeri Terengganu yang menyusun pelbagai bentuk kaedah bantuan kepada mangsa banjir supaya dapat bekerjasama turun padang menolong mangsa banjir.

 

Kerajaan puji komitmen AADK


Oleh: Amirullah Othman

Kerajaan negeri menyanjung kesungguhan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu dalam memastikan gejala penyalah gunaan dadah dalam masyarakat kita pada hari ini dapat dikawal, kata Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi Dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang.
“Tanpa langkah-langkah yang bersepadu oleh AADK sudah tentu lebih ramai anak-anak muda kita pada hari ini terjerumus dalam penyalahgunaan dadah,” katanya ketika merasmikan kejohanan badminton tertutup antara kakitangan AADK Negeri Terengganu di Dewan Badminton Binjai Bongkok, Marang, kelmarin.

 Beliau yang juga Adun Pengkalan Berangan turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pemenang-pemenang sebagai tanda sokongan kerajaan negeri terhadap usaha AADK membanteras gejala dadah di seluruh Terengganu.

 Kejohanan bermula dari jam 8 pagi dan berakhir jam 5 petang disertai kakitangan AADK Negeri Terengganu.

 

19 December 2013

Perhebat sukan untuk pendidik

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu bercadang untuk memperhebatkan lagi program sukan yang membabitkan guru di masa depan dalam usaha mencurahkan bakat serta melahirkan atlet berwibawa di kalangan pelajar negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, YB Ghazali Taib, berkata peranan guru amat penting dalam usaha mencungkil bakat baru di kalangan anak didik khususnya pelajar masing-masing dalam pelbagai bidang sukan seperti bola sepak dan sepak takraw.



"Pendidik ini asalnya atlet di peringkat sekolah, maktab perguruan, universiti dan setengahnya mewakili negeri kerana apabila berkhidmat dalam perkhidmatan, kementerian akan menggalakan mereka menyuburkan bakat kerana kebolehan boleh dicurahkan di peringkat sekolah untuk melahirkan atlet berpotensi di masa depan

“Di mana-mana negara sekalipun peranan pendidik penting dalam melahirkan ahli sukan yang berwibawa kea rah menuju negara maju, kita lihat sukan semakin penting bukan sahaja sebagai alat perpaduan, malah sebagai industri yang memberi limpahan pendapatan lumayan bukan sahaja kepada atlet sukan bola sepak dan badminton ,” katanya.

beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Dalam pada itu, seramai 3,000 pendidik  dan pegawai serta keluarga berkampung di Kuala Terengganu bagi menyertai kejohanan itu.

Terengganu mengumpul 13 mata untuk memenangi tempat keempat di belakang johan kejohanan yang dirangkul Perak (23 mata), naib johan, Selangor (18) dan ketiga Johor (17) dalam pertandingan yang membabitkan 10 acara keseluruhannya.