Halaman

08 January 2014

Beri pemahaman kepada rakyat

Oleh: Noraini Jusoh

Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu akan mengadakan satu seminar yang bertajuk Pemerkasaan Ekonomi Nasional bagi memberi pemahaman kepada orang ramai mengenai isu-isu semasa yang melingkari hidup mereka.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar (gambar) berkata, seminar itu akan membincangkan tentang Bajet 2014, ekonomi bangsa Melayu dan Bumiputera, isu Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta isu-isu semasa yang menyentuh pelbagai aspek samada politik, pendidikan, ekonomi, agama dan lain-lain.

“Seminar berkenaan akan diadakan pada 18 Januari ini di Wisma Darul Iman melibatkan 3000 peserta yang terdiri daripada pemimpin parti, kepimpinan di peringkat jabatan, belia, pegawai kerajaan, NGO serta pemimpin masyarakat.

“Majlis itu nanti akan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu dan kita turut menjemput pegawai dari Kementerian Kewangan untuk memberi penerangan dan menghuraikan isu-isu yang ditimbulkan,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Penerangan Umno Terengganu, semalam.

Dalam perkembangan lain menurut beliau, pihaknya akan mengadakan satu perjumpaan bagi memantapkan jentera parti Umno pada 15 Februari depan di Taman Tamadun Islam (TTI) yang akan melibatkan 2000 peserta.

“Tujuannya untuk menjelaskan dan memberi penerangan mengenai tugas dan tanggungjawab jentera penerangan kepada yang memimpin di semua peringkat samada negeri, bahagian, Dewan Undangan Negeri (Dun), peti undi dan cawangan dengan lebih mendalam lagi.

“Saya berharap jentera parti akan menjalankan kerja dengan jujur, amanah, cekap dan berkesan dari sekarang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti," katanya.

 

Jawatankuasa Kerja Biro Penerangan ditubuh

Oleh: Noraini Jusoh

Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu menubuhkan Jawatankuasa Kerja Biro Penerangan bagi memperkasa dan melancarkan perjalanan parti Barisan Nasional (BN) dan Umno di negeri ini.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar (gambar) berkata, jawatankuasa kerja berkenaan dilihat mampu menentukan hala tuju parti terutama dalam mengekalkan kemenangan BN dan merampas kembali kawasan BN tewas samada di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen.

“Kita sudah tubuhkan satu jawatankuasa yang mantap dan kuat terdiri daripada pelbagai golongan. Ada exco negeri, yang berhormat, pengerusi penerangan lapan bahagian, NGO, pemimpin masyarakat dan pihak yang condong kepada Umno/BN.

“Kita yakin jentera ini dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai agensi penerangan dengan lebih bersifat semasa, kotemporari dan berkesan,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Penerangan Umno Terengganu, semalam.

 Menurut beliau, jawatankuasa kerja di bawah Biro Penerangan itu berperanan dalam menyatakan perancangan parti dan kerajaan samada diperingkat pusat atau negeri terutamanya mengenai kebaikan dan faedah pemerintahan BN kepada rakyat dan negara.

“Disamping itu, kita juga akan menjelaskan isu-isu semasa samada isu itu pro kerajaan atau isu yang menentang kerajaan.

“Isu-isu yang baik kita timbulkan dari semasa ke semasa supaya rakyat faham akan faedah menyokong kerajaan kita.

 “Manakala, kita akan menangkis dan balas balik isu-isu yang cuba memperlekehkan usaha-usaha murni oleh parti dan juga pemerintah,” katanya.

Katanya, terdapat sebelas jawatankuasa di bawah JawatanKuasa Kerja Biro Penerangan iaitu jawatankuasa pengurusan; risikan, geraksaraf dan propaganda; latihan dan pengkaderan penceramah; penceramah dan pemidato; jabatan agensi kerajaan dan swasta; belia dan NGO; Pemuda; Wanita; Puteri; Veteran dan Mubarak dan penerbitan media massa dan siber.

 

Ibu tunggal diminta sertai persatuan untuk mendapatkan bantuan


YB Muhamad Pehimi menyampaikan sijil kepada peserta jahitan

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerajaan Negeri menggalakkan ibu tunggal menyertai mana-mana persatuan dan kelab yang ditubuhkan dan dikitiraf kerajaan bagi membolehkan mereka mendapatkan pelbagai bantuan yang disalurkan pihak terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Muhamad Pehimi Yusof berkata, ibu tunggal yang menyertai kelab dan persatuan yang diiktiraf mendapat banyak manfaat kerana kerajaan akan menyalurkan bantuan menerusi pertubuhan terbabit.

Katanya, ketika ini 27,000 ibu tunggal seluruh negeri sudah menjadi ahli persatuan berkenaan yang ditubuhkan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)

Menurutnya, ibu yang tunggal yang berminat menyertai persatuan atau kelab di tempat masing-masing boleh menghubungi Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di tempat masing-masing untuk mendapatkan maklumat persatuan.

Sebagai contoh,katanya, ahli persatuan dan kelab yang terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia pewaris akan mendapat bantuan dari insyuran berjumlah RM15,000 selain khairat kematian RM1,500.

“YPK juga akan memberi latihan kemahiran dalam pelbagai bidang untuk membolehkan ahli dapat berdikari,” katanya, ketika menyampaikan sijil kelas jahitan komuniti Sesi 3/2013 dan penyampaian cek Jaya Diri di Bangunan UMNO Besut, semalam.

Pada majlis itu 85 peserta menerima sijil tamat kursus dan 53 daripadanya mendapat cek pinjaman jati diri.

Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, berkata kerajaan negeri memperuntukan RM283,00 kepada peminjam terbabit bagi membolehkan mereka menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi untuk meningkatkan pendapatan keluarga.

KP1M agih bantuan untuk mangsa banjir bermula Ahad ini

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar bersama SUK Terengganu mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco.
Penderitaan mangsa banjir di Kemaman terus mendapat pembelaan apabila Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dijangka melancarkan program penyampaian bantuan banjir di Dewan Seri Amar, Chukai, Ahad ini, bermula jam 10 pagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata, pemimpin nombor satu negara itu akan mengagihkan bantuan dari Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) berupa peti sejuk, dapur, tilam dan bantal kepada mangsa banjir terbabit.

“Saya dimaklumkan KP1M nanti akan menyampaikan bantuan kepada mangsa yang mana rumah mereka tenggelam banjir dan mengalami kerosakan harta benda dalam kejadian itu.

 “Barang-barang yang diputuskan utnuk disampaikan di setiap rumah iaitu bantal, dapur memasak dan peti sejuk. Manakala Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek pula akan menyumbang set televisyen LCD 32 inci,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, selain bantuan peralatan tersebut, mangsa banjir juga akan menerima bantuan khas wang tunai berjumlah RM500 daripada Kerajaan Pusat dan bantuan antara RM500 dan RM1,500 daripada kerajaan negeri, bergantung kepada jumlah kerugian.

Katanya, bantuan kerajaan negeri RM1,500 kepada setiap rumah yang tenggelam dan mengalami kerosakan harta benda, sementara rumah yang tidak tenggelam dan mangsa turut berpindah pula menerima sumbangan RM500, ditambah RM500 dari Kerajaan Pusat.

Terdahulu, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program itu, semalam berkata, kira-kira 14,000 keluarga mangsa banjir di sekitar Kemaman akan menerima bantuan berkenaan yang akan diagih secara berperingkat-peringkat.

 "Kita akan agih mengikut jadual tertentu kerana melibatkan logistik yang besar, di Kemaman sahaja lebih 14,000 keluarga yang layak menerima bantuan, ini gerak kerja yang rumit, secara simbolik (Ahad ini) selepas itu kita hantar ke kampung masing-masing," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata program ini amat bermakna kerana mangsa banjir bulan lalu menanggung kerugian yang besar dan musibah itu mendapat perhatian daripada kerajaan, agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).

 Kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengagihkan kira-kira 30,000 unit televisyen kepada setiap keluarga mangsa banjir termasuk 14,000 daripadanya kepada mangsa banjir di Kemaman.


BUGHAH (DERHAKA) RAHMAN BAKAR SOKONG MUFTI PERAK HARRUSSANI

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Penerangan Umno Terengganu menyokong dan mempertahankan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harrussani Zakaria bahawa langkah mengadakan perhimpunan hendak mengguling kerajaan pada malam sambutan ambang 2014 di Dataran Merdeka sebagai golongan bughah (penderhaka).
 Ketua Penerangannya, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar berkata, apa yang disuarakan oleh Mufti Perak itu betul dalam konteks perbuatan menderhaka kepada pemerintah.
 Bughah membawa pengertian segolongan ummat Islam yang melawan dan menderhaka kepada pemerintah [ imam / ulil amri ] sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al Quran dan Sunnah.
  Tan Sri Harussani Zakaria mempertahankan kenyataannya menggelar peserta perhimpunan pada malam sambutan ambang 2014 di Dataran Merdeka sebagai golongan bughah (penderhaka) yang halal darah mereka sesuai dengan apa yang terkandung dalam ajaran Al Quran.
 Mufti Perak itu berkata, kenyataan asal beliau adalah berdasarkan demonstrasi yang berhasrat untuk menggulingkan kerajaan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat tetapi nama “guling kerajaan” telah ditukar kerana tidak mendapat sokongan ramai dan diganti dengan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).
 “Bughah atau darah halal disebut dalam konteks membahayakan nyawa orang lain dan niat mereka mahu menggulingkan kerajaan.
 Mereka kata mereka benar tetapi cara mereka salah. Lihat sahaja pada hari kejadian, polis menjumpai pelbagai senjata seperti parang dan juga bom buatan sendiri".
  “Saya kaitkan dengan firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud: Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah),” katanya seperti dilaporkan akhbar arus perdana.
  Senator Datuk Abdul Rahman Bakar hairan mengapapemimpin PAS menolak Bughah yang sebenarnya terdapat dalam hukum Islam.
 Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Dr Khairudin Aman Razali baru-baru ini berkata, kenyataan Harussani itu sangat jahil mengkategorikan peserta perhimpunan sebagai pemberontak malah lebih malang dan merbahaya apabila darah peserta pula diisytiharkan sebagai halal.
  Datuk Haji Abdul Rahman meminta hukuman setimpal kepada mereka yangdidapati bersalah melakukan huru-hara dan kemusnahan kepada negara derhaka kepada Sultan,Yang DiPertuan Agongdan kerajaan yang dipilih secara sah.
  Datuk Abdul Rahman berkata demikian kepada wartawan petang ini selepas.mempengerusikanmesyuarat pertama penerangan Umno Negeri Terengganu petang semalam (7 Januari 2014).

Pengunjung saran anjur kembali pameran haiwan berbisa

Oleh: Suriati Ali 

 Pameran Haiwan Berbisa 2013 anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) berjaya menarik minat kira-kira 80,000 masyarakat tempatan dan luar Terengganu.

 Pengunjung yang hadir menyarankan program sama yang diadakan pada 21 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu, bertempat di Muzium Negeri, Kuala Terengganu itu dianjurkan kembali.

 Penolong Kurator Perhubungan & Pemasaran LMNT, Encik Mohd Saberi Muda, berkata pengunjung mengakui pelbagai manfaat diperoleh selain boleh mengenali pelbagai spesies ular berbisa secara dekat.


“Rata-rata pengunjung juga teruja apabila mengetahui kebanyakan haiwan yang dipamerkan itu tidak dapat ditemui di negara ini seperti orok-orok selain spesies ular tempatan seperti ular tedung, ular senduk, ular katang tebu dan ular air.

"Kami memberi peluang pengunjung melihat spesies ini dari dekat selain mengetahui habitat serta kaedah untuk merawat jika terkena patukan atau gigitan melalui maklumat yang disediakan,” katanya.

 Katanya, melihat sambutan pengunjung di luar jangkaan, LMNT berhajat akan menganjurkannya kembali dengan menambah baik beberapa aktiviti sampingan yang bakal disediakan.

 “Pameran mungkin dibahagikan kepada beberapa segmen bermula dengan haiwan berbisa daripada jenis keluarga ular,” katanya.

 

07 January 2014

Bersyukur anak cacat dapat bantuan.

Ratna bersama anaknya, Fitri
Oleh: Aminudin Ismail. 

JABI: Seorang ibu tunggal, Ratna Taib, 48, dari Kampung Tok Dor, dekat sini bersyukur kerana mendapat bantuan sebanyak RM300 dari kerajaan bagi meringankan bebanan untuk menjaga anaknya yang mengalami cacat fizikal sejak dilahirkan.

Ratna yang kematian suami tiga tahun lalu menganggap bantuan itu cukup untuk menampung perbelanjaan makan dan lampin pakai buang anaknya, Mohd Fitri Zulkfli, 12 tahun.

"Anak saya mendapat bantuan itu sejak tiga tahun lalu, terima kasihlah kepada kerajaan terutamanya JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) kerana memberi bantuan itu.

"Saya belanja kira-kira RM100 untuk beli lampin pakai buang dan RM50 untuk susu anak saya itu dalam tempoh sebulan dan yang lebih tu bolehlah saya beli beberapa keperluan dapur," katanya. 

Sementara itu, Ratna berkata, dia terpaksa menjaga anak ke lapannya itu sebagaimana seorang bayi sejak dari lahir sehinggalah sekarang.

Mohd Fitri..seperti bayi.
"Anak saya tidak mampu melakukan semua perkara kerana mengalami kecacatan fizikal selepas dilahirkan. Saya menjaganya seperti menjaga seorang bayi termasuklah menyuapkan makanan dan mengangkatnya jika mahu bergerak," katanya.

Ratna berkata, sekalipun terpaksa menjaga anaknya itu seperti seorang bayi sejak 12 tahun lalu namun dia tidak pernah merungut melayani rutin harian anaknya itu malah hatinya sentiasa tenang setiap kali bersama-sama anaknya itu.

 

PM lancar program banjir di Kemaman 12 Januari


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan program penyampaian bantuan banjir di Padang Astaka Chukai, di sini, pada 12 Januari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kira-kira 14,000 keluarga mangsa banjir di sekitar Kemaman akan menerima bantuan kelengkapan rumah iaitu televisyen, peti sejuk, tilam, bantal dan set dapur yang akan diagih secara berperingkat-peringkat.

"Kita akan agih mengikut jadual tertentu kerana melibatkan logistik yang besar, di Kemaman sahaja lebih 14,000 keluarga yang layak menerima bantuan, ini gerak kerja yang rumit, secara simbolik (pada 12 Jan) selepas itu kita hantar ke kampung masing-masing," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program itu, hari ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata program ini amat bermakna kerana mangsa banjir bulan lalu menanggung kerugian yang besar dan musibah itu mendapat perhatian daripada kerajaan, agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, kehadiran Perdana Menteri untuk melancarkan program berkenaan menunjukan perpaduan kerajaan dan rakyat dalam membantu mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini.

Katanya, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan turut mengagihkan kira-kira 30,000 unit televisyen baharu kepada setiap keluarga mangsa banjir dan 14,000 daripadanya melibatkan mangsa banjir di Kemaman.

"Bantuan ini (pemberian televisyen) sudah ada sebelum ini kepada orang miskin, Orang Asli dan etnik Sabah, Sarawak yang perlukan alat komunikasi," katanya.

Katanya selain bantuan peralatan tersebut, mangsa banjir juga akan menerima bantuan wang tunai RM500 daripada Kerajaan Pusat dan bantuan antara RM500 dan RM1,500 daripada kerajaan negeri, bergantung kepada jumlah kerugian.

Sementara itu, Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) turut memberi bantuan berupa peti sejuk, dapur, tilam dan bantal kepada mangsa banjir di Terengganu, Pahang, Johor, Kelantan dan Melaka.

Presidennya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata konvoi penghantaran barang itu akan dilakukan secara berperingkat mulai malam ini membabitkan 43 lori treler.

 

10 petani menyertai tanaman padi organik


YB Nawi Mohamad memandu jentera mencedung padi

Oleh: Mohammad Ishak 

Jabatan Pertanian Terengganu memperkenalkan kaedah tanaman padi organik membabitkan peserta dari Kampung Durian Telor,Hulu Besut.

Projek printis membabitkan kawasan seluas 20 hektar dengan tanaman padi tanpa menggunakan racun dan bahan kimia itu akan disusuli dengan tanaman dan projek ternakan lain.

Pemilihan Kampung Durian Telor sebagai projek printis kerana kampung itu dijadikan program “My Kampung My Future” oleh Kementerian Pertanian dan In dustri Asas Tani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Nawi Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, merasmikan upacara mencedung padi organik pagi tadi.

Seramai 10 petani dari kampung itu menyertai projek tanaman padi organik dan mereka dijangka mendapat hasil tuaian selepas 100 hari menanamnya.

Nawi berkata, jika semua perancangan berjalan lancar semua hasil tanaman dan ternakan oleh penduduk kampung itu akan menggunakan kaedah organik.

Projek MKMF Kampung Durian Telor, adalah yang pertama di Terengganu dan kelapan di Malaysia yang dipilih oleh kementerian terbabit.

Berikutan itu,katanya, jawatankuasa penyelaras MKMF akan memohon RM1.6 juta daripada kementerian untuk menjayakan pelbagai program berasaskan pertanian dan ternakan sepanjang tahun ini.

Maidam agih barangan kepada golongan asnaf

Oleh: Suriati Ali 

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan kira-kira RM6 juta setahun bagi membeli barangan keperluan dapur kepada 2,200 golongan asnaf di seluruh di negeri ini.

 Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Zakat), Encik Azmi Tengah, pihaknya kini memperkenalkan kaedah baru berkaitan pengagihan zakat, iaitu daripada bayaran wang tunai kepada bentuk barangan keperluan harian, mulai tahun ini..

 Katanya, Maidam melantik 80 peniaga kedai runcit atau pembekal bumiputera untuk mengagihkan barangan keperluan, seperti beras, minyak masak, gandum dan gula, sabun basuh dan bawang terus ke rumah penerima.

“Jumlah barangan yang di terima bergantung kepada bilangan ahli keluarga atau dianggarkan antara RM150 hingga RM300 sekeluarga .

 “Usaha itu dianggap lebih baik berbanding sumbangan wang tunai, kerana semua keluarga yang mendapat bantuan, benar-benar dapat manfaat,” katanya kepada pemberita di pejabat Maidam, semalam.

Menurutnya, pihaknya mendapat laporan, ada segelintir golongan asnaf tidak membelanjakan wang yang diperoleh kepada saluran yang betul, sedangkan anak dan isteri memerlukan makanan.

 “Sebilangan besar penerima, terurama warga emas dan ibu tunggal lebih gemar menggunakan kaedah ini kerana tidak perlu lagi bersusah payah mengambil wang di lokasi yang di tetapkan.

 “Awal bulan hanya menunggu barangan keperluan tiba di pintu rumah yang dihantar pembekal,” katanya. Encik Azmi turut memberitahu, pihaknya mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM121 juta bagi tahun ini, berbanding tahun lalu RM107 juta.

 “Sasaran berkenaan berdasarkan kesedaran umat islam di negeri ini terhadap tanggung jawab membayar zakat semakin meningkat,” katanya.