Halaman

26 January 2014

Wanita tunjang penting dalam parti- YB Ghazali

Oleh: Mastura Jamaldin

Program Rimbunan Budi Jasamu Dikenang ajuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, merupakan program pertama yang di buat secara besar-besaran telah meraikan seramai 48 mantan ketua wanita .

Program itu disempurnakan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas Tugas Khas, YB Ghazali Taib.


Katanya,, peranan wanita dalam parti dan organisasi memang tidak dapat dinafikan kerana betapa hebatnya seseorang pemimpin atau organisasi itu namun tanpa wanita ianya akan lemah.

 “Ini menunjukkkan betapa kuatnya pengaruh wanita dalam setiap hala tuju dalam kehidupan .

“Program tersebut merupakan satu langkah yang baik supaya Wanita UMNO Hulu Terengganu terus bersemangat dan maju ke depan dengan tip-tip yang cukup hebat daripada pimpinan UMNO Terengganu.

“Saya sangat teruja dengan kehadiran yang begitu ramai di mana ia menggambarkan kekuatan wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang merupakan peraih undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke -13 baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Hulu Terengganu yang juga Ketua Pergerakan Wanita Negeri Terengganu, Hajah Fatimah Hamat berkata, program Itu diadakan bagi merapatkan hubungan silaturahim antara yang lama dan baru.

“Pendekatan yang dilaksanakan itu bukan saja mampu memperkukuhkan parti malah boleh mendengar amanat pemimpin dan seterusnya membaiki segala kelemahan yang ada sebelum menghadapi PRU ke 14 nanti,” katanya.

 

Orang ramai perlu bijak guna internet

Oleh: Mastura Jamaldin

Generasi baru pada hari ini harus menjadi pengguna internet yang bijak dan dapat membezakan perkara baik dan buruk untuk sebaran umum.


Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Jailani Johari, berkata pihaknya tidak mahu pengguna internet menyebarkan perkara tidak berfaedah kerana sedar teknologi itu memberi maklumat dan pengetahuan berguna kepada orang ramai.

“Pada masa sama, pengguna juga harus berhemah dalam menjadikan internet sebagai platform untuk berhubung,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

Dato’ Jailani sempat meluangkan kira-kira dua jam meninjau harga barang yang ditawarkan 50 peniaga di pasar itu. Menurutnya, tiada isu harga barang mahal di pasar itu, walaupun pasar lain ada beberapa keluhan dan runggutan.

“Malah ada peniaga menawarkan harga yang lebih rendah bersesuaian dengan barang jualan.

“Saya memuji usaha peniaga-peniaga di sini yang tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang jualan sewenang-wenangnya dan ini membantu kerajaan dalam meringankan beban pengguna," katanya.

 Sementara itu, peniaga yang lebih di kenali sebagai Mok Jarah,berkata beliau tidak pandai untuk menaikkan harga sayura-sayuran sesuka hati kerana tidak mahu kehilangan pelanggan dan orang akan melabelkan gerainya sebagai gerai sayur yang paling mahal.

 "MokJarah sudah lama berniaga dan penduduk setempat sudah menjadi pelanggan tetap. .Biarpun untung sedikit, tapi sekurang-kurangnya saya puas hati bila jualan habis," katanya
 

Jambatan Bukit Kuang Siap Sepenuhnya Ogos

Projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang, Kemaman dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos ini.
Oleh FAUZI MOHD

Projek pembinaan bagi menggantikan Jambatan Bukit Kuang sejauh 3.07 kilometer di Bukit Kuang, Kemaman dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos depan.

 Menteri Kerja Raya, Dato' Fadillah Yusoff berkata, ketika ini satu skop tambahan projek sedang dilaksanakan pihak kontraktor Cergas Murni Sdn. Bhd. yang melibatkan laluan susur dari bandar Chukai ke Jalan Teluk Kalong sejauh kira-kira 1 kilometer.

"Laporan perkembangan menunjukkan projek ini sudah dilaksanakan sebanyak 81.8 peratus, dan kita jangka ia dapat disiapkan 32 hari lebih awal daripada jadual asal.


"Dengan pembukaan Jambatan Bukit Kuang ini, tempoh masa perjalanan asal selama 45 minit boleh dikurangkan kepada 5 minit sahaja sekali gus mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan industri Teluk Kalong," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembinaan jambatan bernilai RM225.7 juta hari ini.




RM10.3 juta baiki kerosakan akibat banjir di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak RM56.9 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih jalan, cerun dan jambatan yang terjejas teruk akibat banjir di tiga buah negeri baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Fadillah Yusoff berkata, jumlah itu termasuk RM10.3 juta (Terengganu), RM41.5 juta untuk Pahang dan RM5.1 juta (Johor).

"Berdasarkan laporan awal, sebanyak RM56.9 juta peruntukan diperlukan untuk proses baik pulih kerosakan itu walau bagaimanapun kita masih lagi memperincikan aspek teknikal bagi menentukan jumlah kos sebenar.

"Kita menjangkakan kerja-kerja itu akan dijalankan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang, Kemaman hari ini.



Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Himmat Singh; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Noor Yaacob dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim. 

Fadillah yang dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke negeri ini bermula semalam kemudian meluangkan masa menyertai gotong-royong bersama sukarelawan di Kampung Pasir Gajah, Kemaman yang terjejas akibat banjir.




Berjiwa kental walaupun sakit

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

Penderitaan Timbalan Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Cawangan Gong Nangka, Mohd Aidie Ismail, 24, turut dirasai ahli yang lain.
Sebagai persatuan yang mementingkan kebajikan ahlinya, Pengerusi MAYC Cawangan Gong Nangka, Shah Juhan Nura Sultan bersama beberapa ahli yang lain meluangkan masa melawat Mohd Aidie yang hanya mampu terlantar atas kerusi di rumahnya akibat menderita sejenis penyakit berbahaya.

Pengerusi MAYC Marang, Amirullah Othman turut sama dalam kunjungan tersebut bagi bertanya khabar dan menyampaikan sedikit sumbangan berupa barangan dapur.

Menceritakan mengenai penyakit Mohd Aidie, Shah Juhan berkata, rakan baiknya itu tidak menyangka keputusan pemeriksaan kesihatan yang dijalaninya sebelum ini menunjukkan organ dalamannya diserang penyakit.

Tidak mahu mendedahkan jenis penyakit itu, Shah Juhan berkata, walaupun Mohd Aidie sakit, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada persatuan dan berjuang bersama-sama rakan lain.

"Walaupun kini tidak lagi aktif, kami sentiasa mengunjunginya untuk bertanya pendapat dan berkongsi mengenai perkembangan semasa persatuan dan golongan belia di kawasan ini agar Aidie sentiasa mendapat maklumat terkini,” katanya ketika melawat pemuda berjiwa kental itu di rumahnya di Gong Nangka, baru-baru ini.

Shah Juhan berkata, timbalannya itu meluahkan keinginan untuk terus memberikan khidmat kerana merasakan masih banyak tanggungjawab belum dilunaskan walaupun kini terpaksa berehat di rumah.

"Antaranya menarik anak muda untuk menjadi pelapis pemimpin pada masa akan datang. Kami bukan sekadar menarik golongan ini untuk berjuang bersama, tetapi berkongsi maklumat tentang isu yang perlu diperjuangkan.

“Kami tidak mahu fikiran belia dikelirukan oleh pihak tertentu yang sentiasa cuba mempengaruhi mereka bagi memenuhi kepentingan peribadi,” katanya.

 

DUN Batu Rakit perkemas jentera SRS

Oleh: Suriati Ali

Jentera Skim Rondaan Sukarela (SRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit diperkemas bagi mengekang jenayah sekali gus mampu membentuk penyatuan lebih kukuh antara penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman, berkata dia berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan ahli SRS bagi memastikan kampung masing-masing berada dalam keadaan selamat biarpun kerja yang dilakukan itu tidak bergaji..

“Usaha itu secara tidak langsung membentuk hubungan yang lebih kukuh antara masyarakat setempat, “ katanya.

Katanya, buat permulaan, hanya sepuluh kampung atau sepuluh penubuhan SRS diwujudkan di DUN Batu Rakit.

“Melihat komitmen daripada ahli yang ada itu, saya percaya pada masa akan datang dapat diwujudkan jentera SRS di semua kampung secara berperingkat-peringkat bagi mengekang kadar jenayah secara serius,” katanya..

Sementara itu Pengerusi KRT Darat Batu Rakit, Zainal Awang Ngah, pihaknya membahagikan unit SRS kepada tiga kumpulan bagi memudahkan kerja-kerja rondaan dilakukan.

“Alhamdulillah, setakat ini, kerjasama yang ditunjukkan ahli sangat memberangsangkan dan kita tiada masalah untuk buat rondaan, ditambah dengan kelengkapan yang mencukupi untuk kerja-kerja meronda.

“Sekatan jalan turut dilakukan di semua pintu masuk dan keluar kampung yang utama bagi memastikan penjenayah tidak terlepas dan dalam masa sama memberi peringatan bahawa setiap tindakan mereka telah diperhatikan,” katanya.

 Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Rizal Abd Razak berkata, kesemua SRS di Dun berkenaan telah dibekalkan dengan peralatan untuk keselamatan petugas yang meronda.

“Sehingga kini, kesemua SRS telah mendapatkan peralatan masing-masing antaranya vest, cota, lampu suluh, walkie talkie.

“Malah, kita juga dalam proses untuk melakukan pembaikan berkenaan teknik penggunaan walkie talkie kepada semua ahli SRS,” katanya.

 

PEMIMPIN UMNO DI TENGAH-TENGAH KELOMPOK PAS: UKHWAH ISLAMIAH TANPA BATAS KEPARTIAN, KATA SPEAKER DUN


Teganukita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato’ Haji Harun Taib seorang dari kalangan pemimpin utama Pas yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir, Terengganu.

Ucapan takziah ini khusus kepada balu Allahyarham, To’ Hajah Puan Fatimah Ibrahim dan anakanda Allahyarham iaitu Adun Manir sekarang, YB Haji Hilmi Harun.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan keampunan dari Allah.

Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong hadir sama di majlis pengkebumian Allahyarham semalam, 25 Januari.

Turut sama hadir bersama ribuan penyokong Pas ialah Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, YB Dato’ Jailani Johari yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Haji Mohd Zubir berkata, ukhwah Islamiah perlu diteruskan tanpa mengenal batas sempadan perjuangan kepartian.


"SELAKU AHLI EXCO KERAJAAN SAYA BANGGA MENTERI BESAR TERENGGANU KETUAI EKPLORASI SAINTIS KE ANTARTIKA" YB ROZI


Pemergian Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama saintis ke Antartika adalah langkah wajar dan merupakan bukti kepekaan bagi mendorong penyelidikan bertaraf dunia dilakukan oleh saintis Malaysia, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, YB Haji Rozi Haji Mamat.

Katanya, sokongan dan penglibatan kerajaan negeri Terengganu bersama-sama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam usaha penyelidikan di Antartika itu amatlah dialu-alukan.

“Saya sebagai salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu amat berasa bangga dengan penglibatan itu, lebih-lebih lagi Menteri Besar Terengganu diberi kepercayaan mengetuainya.

Kita perlu melihat jauh ke hadapan, terutama bagi generasi belia tentang masa depan dunia, dari segi iklim dan cuacanya, kehidupannya dan pasti akan berkait dengan segala perkara perhubungan antarabangsa, keamanan, dasar antarabangsa dan sebagainya, kerana golongan muda akan berpeluang untuk meneruskan penghidupan di masa akan datang, ujar beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri menegaskan bahawa terlalu banyak kemungkinan ruang dan peluang untuk sama-sama kita perolehi jika kerajaan benar-benar serius dalam penyelidikan itu, sebagaimana yang telah lama dijalankan oleh negara-negara maju di Antartika.

Sekarang ini berbagai isu antarabangsa wujud seperti pemanasan global, pengerakan paksi bumi sedikit demi sedikit yang pasti akan melibatkan negara kita dari segi perubahan iklim dan cuaca, dan apakah persiapan kita kalau tanpa kajian dan penyelidikan rapi dibuat, kata Haji Rozi.

“Saya berharap golongan berfikiran jauh ke hadapan dan jangan terikut-ikut dengan cara rentak pembangkang yang cuba membawa masyarakat berfikiran jumud dengan menentang usaha-usaha baik itu,” katanya.


800 hadiri malam cinta rasul

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

Seramai 800 orang menghadiri program Malam Cinta Rasul peringkat Parlimen Marang di Masjid Kampung Beladau Selat, semalam.
Program yang dianjurkan Majlis Belia Daerah Marang itu bertujuan memberi kesedaran kepada umat Islam khususnya golongan muda supaya mencontohi kepimpinan Nabi Muhammmad s.a.w.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Tuan Haji Saiful Bahri Baharuddin berkata, sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, Malam Cinta Rasul diadakan bagi mendekatkan lagi para belia dengan program berbentuk keagamaan.

“Ia juga bertujuan untuk menyemarakkan aktiviti sambutan Maulidur Rasul terutama di kalangan generasi muda.

“Kita bukan sekadar mahu meraikan hari kelahiran Rasulullah s.a.w semata-mata, tetapi sambutan ini juga diharapkan dapat menghimpunkan golongan muda terutamanya supaya dapat diperdengarkan kepada mereka kisah-kisah Rasulullah s.a.w sebagai teladan,” ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan.

Katanya, program itu bermula kira-kira jam 7.30 malam dengan solat maghrib secara berjemaah yang diimamkan Ustaz Hafaz Ali yang merupakan Qari Terengganu.

Kemudian, diikuti dengan majlis berselawat ke atas junjungan Rasulullah s.a.w yang diketuai oleh Ustaz Hafaz Ali.

Selepas itu, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Terengganu, Ustaz Kamaruddin Omar menyampaikan tazkirah yang bertajuk Rasulullah ikutan sepanjang zaman.

Majlis diakhiri dengan para tetamu yang hadir mengerjakan solat isyak secara berjemaah sebelum menikmati jamuan ringan yang disediakan.

 

LEBUH RAYA PANTAI TIMUR GUMURUH DAH SAMPAI KE PAKA..PANTAS SEJAM BOLEH SAMPAI KUT...

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof turun padang meninjau sendiri jajaran lebuh raya dari Bukit Besi ke persimpangan Paka yang kini dibuka kepada pengguna jalan raya.

SEMAKIN MENJADI REALITI..... Sebahagian daripada Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang melibatkan jajaran sejauh 34 kilometer dari persimpangan Bukit Besi ke persimpangan Paka bernilai RM514 juta mula dibuka 25 Januari (semalam).

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, dengan siapnya jajaran baharu pakej 10 hingga ke sebahagian pakej 7 (7C) itu menandakan kira-kira 100 daripada keseluruhan 184 kilometer projek pembangunan mega di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 tersebut telah dibuka kepada orang ramai.

"Kerajaan berharap pembukaan lebuh raya ini memberi kemudahan penjimatan tenaga, kos dan masa perjalanan kepada pengguna lebuh raya lebih-lebih lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

"Pada masa sama, kerajaan komited untuk mempercepatkan pembukaan beberapa lagi jajaran LPT2 yang masih dalam proses pembinaan dan dijangka dapat disiapkan secara berperingkat sebelum September depan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan jajaran itu di Plaza Tol Bukit Besi.

Projek LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion.

Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Pada 22 Ogos 2011, kerajaan membuka sebahagian jajaran LPT2 kepada laluan awam sepanjang 70 kilometer dari pakej 12 di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu hingga pakej 10 di persimpangan Bukit Besi.