Halaman

27 January 2014

Saran wujud kursus elak pelajar tercicir

Oleh: Suriati Ali 

Anak syarikat kerajaan negeri dan agensi swasta berkaitan di Terengganu disaran mewujudkan kursus tertentu kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal menempatkan diri di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

 Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib, berkata usaha itu cukup penting bagi memastikan tiada pelajar kurang cemerlang dalam akademik tercicir selepas tamat persekolahan.

 Katanya, pihak kami mengenal pasti kira-kira 5,000 pelajar di Terengganu tidak berapa cemerlang, bagaimanapun peratusan itu tidak besar berbanding kira-kira 21,000 calon SPM setiap tahun.

Katanya, bagi membantu golongan itu, pihak kami mewujudkan Akademi Kulinari di Pulau Kerengga Marang yang dikelola Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

 “Usaha lain mewujudkan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti dan beberapa pusat kemahiran lain di seluruh Terengganu.

 “Melalui apa yang dilaksanakan itu nyata menampakkan hasil, terutama kepada pelajar yang serius ingin mendalami apa yang diajar.

 “Apa yang membanggakan, mereka mampu berdikari dengan membuka perniagaan sendiri dan memperoleh pendapatan bulanan RM7,000 hinggan RM9,000,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Titian Bestari (PTB) 2014 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih 2,000 pelajar yang hadir didedahkan dengan pelbagai program dan taklimat pembelajaraan dan penajaan. YB Ghazali turut memberitahu, PTB yang dilaksanakan kali ke lima itu, sebagai titik semangat untuk pelajar menghadapi SPM.

“Kita mengambil langkah awal bagi memberi amanah dan mendedahkan strategi belajar yang betul supaya keputusan SPM terus melonjak nama negeri,” katanya. .

 

KES RASUAH DI TERENGGANU HANYALAH 21, KATA PENGARAH SPRM TERENGGANU.

Teks oleh Ruslan Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra
Video oleh Mohd Yahya Muda

Tahniah kepada kepemimpinan Terengganu kerana dilaporkan kedudukan indek kesalahan rasuah di negeri ini tidak bertambah.

Pengarah SPRM Terengganu, Tuan Zainal Adam ketika mengadakan sidang akhbar kepada wartawan.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Terengganu (SPRM), Tuan Zainal Adam berkata, pada tahun 2013 hanya 21 kes yang dibuka kertas siasatan, manakala dari jumlah tersebut hanya 11 tangkapan sahaja dibuat. Dari jumlah itu membabitkan lima penjawat awam, tiga orang awam dan tiga warga asing.


Beliau berkata, SPRM amat memerlukan sokongan semua pihak bagi memberi kesedaran atau mendidik masyarakat tentang perlunya menjauhi perbuatan tersebut.


Sehubungan itu, di samping peranan media pihaknya juga telah membuka kaunter informasi di Pejabat Derah Besut dan Hulu Terengganu setiap hari Isnin dan Selasa, secara selang seli.

Untuk berhubung dengan pegawai di pusat Informasi SPRM Besut disediakan talian 013 3837100 manakala Hulu Terengganu (019 3137400).


Tuan Zainal dengan wujudnya kaunter informasi itu semua bahagian di negeri ini mempunyai kemudahan tersebut, di Selatan SPRM mempunyai cawangan di Kemaman, di Kuala Terengganu boleh terus ke ibu pejabat, manakala kini pula di buka kaunter di utara dan tengah (Hulu Terengganu).
Seramai kira-kira 30 wartawan dan pengamal media massa dan media baru hadir sama dalam perjumpaan mesra media dengan SPRM di Hotel Permai Inn hari ini (27 Januari).



Syarikat swasta digalak bantu pelajar

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

“Usaha memartabatkan bidang pendidikan di negara ini harus dipikul bersama termasuk oleh pihak swasta,” kata Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Terengganu, YB A.Latiff Awang.

Katanya, sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat mereka, penglibatan lebih banyak syarikat swasta dalam bidang itu mampu membantu meringankan beban dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Selain kerajaan yang sentiasa mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak peranan pihak swasta juga penting dalam memartabatkan bidang pendidikan di Malaysia.

“Malah, melalui keuntungan pihak swasta yang dikongsi bersama mereka yang memerlukan ternyata mewujudkan hubungan yang erat antara pihak swasta dan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Beg Sekolah dan Alat Tulis Peringkat Parlimen Marang di Dewan IKBN, Wakaf Tapai, baru-baru ini.

YB A.Latiff yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan berkata, pelbagai nikmat dan rahmat diperoleh rakyat di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya berkaitan bidang pendidikan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad, Dato’ Dr. Nasaruddin Othman berkata, seramai 800 pelajar dalam Parlimen Marang dikenal pasti sebagai penerima bantuan berupa beg sekolah dan alat tulis pada majlis berkenaan.

“Sumbangan ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad kepada masyarakat.

“Melalui sedikit keuntungan yang kita perolehi, kita berikan sumbangan kepada rakyat agar nikmat yang Allah s.w.t kurniakan dapat dikongsi bersama," ujarnya.

 

26 January 2014

UCB tubuh Relasis Mac ini.

Bertenaga..anggota Rela UCB mengadakan kawad.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI 33 anggota Skuad Muda Rela Kolej Universiti Bestari (UCB) mengadakan kawad dengan penuh bertenaga sempena lawatan Pengarah Rela Terengganu, di Kolej Universiti itu, di Putera Jaya, Bandar Permaisuri, hari ini.

Lawatan yang bertujuan untuk menubuhkan Relasis (Rela Siswa Siswi) di UCB itu turut dihadiri Pengerusi Exekutif UCB, Dato’ Tengku Mahmud Mansor dan Ketua Rela Daerah Setiu, Razak Ishak.

Pegawai Eksekutif KTB (Kolej Teknologi Bestari), Hairi Mahmud berkata antara tujuan lawatan Pengarah Rela itu ialah untuk meninjau padang kawad, kawasan perkhemahan dan mengadakan perbincangan mengenai penubuhan Relasis dengan pihak pentadbiran UCB.

Hairi (dua dari kiri) bersama tetamu jemputan.
“Sebelum ini, Skuad Muda Rela KTB sudah hampir lima tahun diwujudkan dan selepas ini mereka semua akan diserapkan kepada Relasis dan pengambilan baru akan dibuat tidak lama bagi mencukupi tiga platun iaitu seramai kira-kira 90 anggota.

“Jika tiada aral, Insya Allah, pada bulan Mac ini Relasis akan ditubuhkan di UCB ini dan sambutan daripada pelajar untuk menyertai pasukan ini amat mengalakan,” katanya yang juga Ketua Skuad Muda Rela KTB (Kolej Teknologi Bestari) itu.

Sementara itu, Tengku Mahmud berharap supaya perhimpunan Rela peringkat kebangsaan dapat diadakan di UCB suatu hari nanti dan beliau juga mahu supaya bilangan anggota Rela di daerah Setiu diperbanyakan bagi memantapkan pasukan itu.
Segak...perbarisan masuk padang kawad.

Periksa..Ahmad sedang memeriksa perbarisan.

Terima..cenderhati dari UCB untuk Ahmad.


Tengku Mahmud..Pengerusi Eksekutif UCB.

Ahmad Abdul Wahab, Pengarah Rela Terengganu.

 

Wanita tunjang penting dalam parti- YB Ghazali

Oleh: Mastura Jamaldin

Program Rimbunan Budi Jasamu Dikenang ajuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, merupakan program pertama yang di buat secara besar-besaran telah meraikan seramai 48 mantan ketua wanita .

Program itu disempurnakan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas Tugas Khas, YB Ghazali Taib.


Katanya,, peranan wanita dalam parti dan organisasi memang tidak dapat dinafikan kerana betapa hebatnya seseorang pemimpin atau organisasi itu namun tanpa wanita ianya akan lemah.

 “Ini menunjukkkan betapa kuatnya pengaruh wanita dalam setiap hala tuju dalam kehidupan .

“Program tersebut merupakan satu langkah yang baik supaya Wanita UMNO Hulu Terengganu terus bersemangat dan maju ke depan dengan tip-tip yang cukup hebat daripada pimpinan UMNO Terengganu.

“Saya sangat teruja dengan kehadiran yang begitu ramai di mana ia menggambarkan kekuatan wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang merupakan peraih undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke -13 baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Hulu Terengganu yang juga Ketua Pergerakan Wanita Negeri Terengganu, Hajah Fatimah Hamat berkata, program Itu diadakan bagi merapatkan hubungan silaturahim antara yang lama dan baru.

“Pendekatan yang dilaksanakan itu bukan saja mampu memperkukuhkan parti malah boleh mendengar amanat pemimpin dan seterusnya membaiki segala kelemahan yang ada sebelum menghadapi PRU ke 14 nanti,” katanya.

 

Orang ramai perlu bijak guna internet

Oleh: Mastura Jamaldin

Generasi baru pada hari ini harus menjadi pengguna internet yang bijak dan dapat membezakan perkara baik dan buruk untuk sebaran umum.


Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Jailani Johari, berkata pihaknya tidak mahu pengguna internet menyebarkan perkara tidak berfaedah kerana sedar teknologi itu memberi maklumat dan pengetahuan berguna kepada orang ramai.

“Pada masa sama, pengguna juga harus berhemah dalam menjadikan internet sebagai platform untuk berhubung,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

Dato’ Jailani sempat meluangkan kira-kira dua jam meninjau harga barang yang ditawarkan 50 peniaga di pasar itu. Menurutnya, tiada isu harga barang mahal di pasar itu, walaupun pasar lain ada beberapa keluhan dan runggutan.

“Malah ada peniaga menawarkan harga yang lebih rendah bersesuaian dengan barang jualan.

“Saya memuji usaha peniaga-peniaga di sini yang tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang jualan sewenang-wenangnya dan ini membantu kerajaan dalam meringankan beban pengguna," katanya.

 Sementara itu, peniaga yang lebih di kenali sebagai Mok Jarah,berkata beliau tidak pandai untuk menaikkan harga sayura-sayuran sesuka hati kerana tidak mahu kehilangan pelanggan dan orang akan melabelkan gerainya sebagai gerai sayur yang paling mahal.

 "MokJarah sudah lama berniaga dan penduduk setempat sudah menjadi pelanggan tetap. .Biarpun untung sedikit, tapi sekurang-kurangnya saya puas hati bila jualan habis," katanya
 

Jambatan Bukit Kuang Siap Sepenuhnya Ogos

Projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang, Kemaman dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos ini.
Oleh FAUZI MOHD

Projek pembinaan bagi menggantikan Jambatan Bukit Kuang sejauh 3.07 kilometer di Bukit Kuang, Kemaman dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos depan.

 Menteri Kerja Raya, Dato' Fadillah Yusoff berkata, ketika ini satu skop tambahan projek sedang dilaksanakan pihak kontraktor Cergas Murni Sdn. Bhd. yang melibatkan laluan susur dari bandar Chukai ke Jalan Teluk Kalong sejauh kira-kira 1 kilometer.

"Laporan perkembangan menunjukkan projek ini sudah dilaksanakan sebanyak 81.8 peratus, dan kita jangka ia dapat disiapkan 32 hari lebih awal daripada jadual asal.


"Dengan pembukaan Jambatan Bukit Kuang ini, tempoh masa perjalanan asal selama 45 minit boleh dikurangkan kepada 5 minit sahaja sekali gus mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan industri Teluk Kalong," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembinaan jambatan bernilai RM225.7 juta hari ini.




RM10.3 juta baiki kerosakan akibat banjir di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak RM56.9 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih jalan, cerun dan jambatan yang terjejas teruk akibat banjir di tiga buah negeri baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Fadillah Yusoff berkata, jumlah itu termasuk RM10.3 juta (Terengganu), RM41.5 juta untuk Pahang dan RM5.1 juta (Johor).

"Berdasarkan laporan awal, sebanyak RM56.9 juta peruntukan diperlukan untuk proses baik pulih kerosakan itu walau bagaimanapun kita masih lagi memperincikan aspek teknikal bagi menentukan jumlah kos sebenar.

"Kita menjangkakan kerja-kerja itu akan dijalankan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang, Kemaman hari ini.



Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Himmat Singh; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Noor Yaacob dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim. 

Fadillah yang dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke negeri ini bermula semalam kemudian meluangkan masa menyertai gotong-royong bersama sukarelawan di Kampung Pasir Gajah, Kemaman yang terjejas akibat banjir.




Berjiwa kental walaupun sakit

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

Penderitaan Timbalan Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Cawangan Gong Nangka, Mohd Aidie Ismail, 24, turut dirasai ahli yang lain.
Sebagai persatuan yang mementingkan kebajikan ahlinya, Pengerusi MAYC Cawangan Gong Nangka, Shah Juhan Nura Sultan bersama beberapa ahli yang lain meluangkan masa melawat Mohd Aidie yang hanya mampu terlantar atas kerusi di rumahnya akibat menderita sejenis penyakit berbahaya.

Pengerusi MAYC Marang, Amirullah Othman turut sama dalam kunjungan tersebut bagi bertanya khabar dan menyampaikan sedikit sumbangan berupa barangan dapur.

Menceritakan mengenai penyakit Mohd Aidie, Shah Juhan berkata, rakan baiknya itu tidak menyangka keputusan pemeriksaan kesihatan yang dijalaninya sebelum ini menunjukkan organ dalamannya diserang penyakit.

Tidak mahu mendedahkan jenis penyakit itu, Shah Juhan berkata, walaupun Mohd Aidie sakit, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada persatuan dan berjuang bersama-sama rakan lain.

"Walaupun kini tidak lagi aktif, kami sentiasa mengunjunginya untuk bertanya pendapat dan berkongsi mengenai perkembangan semasa persatuan dan golongan belia di kawasan ini agar Aidie sentiasa mendapat maklumat terkini,” katanya ketika melawat pemuda berjiwa kental itu di rumahnya di Gong Nangka, baru-baru ini.

Shah Juhan berkata, timbalannya itu meluahkan keinginan untuk terus memberikan khidmat kerana merasakan masih banyak tanggungjawab belum dilunaskan walaupun kini terpaksa berehat di rumah.

"Antaranya menarik anak muda untuk menjadi pelapis pemimpin pada masa akan datang. Kami bukan sekadar menarik golongan ini untuk berjuang bersama, tetapi berkongsi maklumat tentang isu yang perlu diperjuangkan.

“Kami tidak mahu fikiran belia dikelirukan oleh pihak tertentu yang sentiasa cuba mempengaruhi mereka bagi memenuhi kepentingan peribadi,” katanya.

 

DUN Batu Rakit perkemas jentera SRS

Oleh: Suriati Ali

Jentera Skim Rondaan Sukarela (SRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit diperkemas bagi mengekang jenayah sekali gus mampu membentuk penyatuan lebih kukuh antara penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman, berkata dia berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan ahli SRS bagi memastikan kampung masing-masing berada dalam keadaan selamat biarpun kerja yang dilakukan itu tidak bergaji..

“Usaha itu secara tidak langsung membentuk hubungan yang lebih kukuh antara masyarakat setempat, “ katanya.

Katanya, buat permulaan, hanya sepuluh kampung atau sepuluh penubuhan SRS diwujudkan di DUN Batu Rakit.

“Melihat komitmen daripada ahli yang ada itu, saya percaya pada masa akan datang dapat diwujudkan jentera SRS di semua kampung secara berperingkat-peringkat bagi mengekang kadar jenayah secara serius,” katanya..

Sementara itu Pengerusi KRT Darat Batu Rakit, Zainal Awang Ngah, pihaknya membahagikan unit SRS kepada tiga kumpulan bagi memudahkan kerja-kerja rondaan dilakukan.

“Alhamdulillah, setakat ini, kerjasama yang ditunjukkan ahli sangat memberangsangkan dan kita tiada masalah untuk buat rondaan, ditambah dengan kelengkapan yang mencukupi untuk kerja-kerja meronda.

“Sekatan jalan turut dilakukan di semua pintu masuk dan keluar kampung yang utama bagi memastikan penjenayah tidak terlepas dan dalam masa sama memberi peringatan bahawa setiap tindakan mereka telah diperhatikan,” katanya.

 Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Rizal Abd Razak berkata, kesemua SRS di Dun berkenaan telah dibekalkan dengan peralatan untuk keselamatan petugas yang meronda.

“Sehingga kini, kesemua SRS telah mendapatkan peralatan masing-masing antaranya vest, cota, lampu suluh, walkie talkie.

“Malah, kita juga dalam proses untuk melakukan pembaikan berkenaan teknik penggunaan walkie talkie kepada semua ahli SRS,” katanya.