Halaman

31 January 2014

Sekitar Maulidurasul Padang Kemunting- Berarak tiga kilometer.

Bazlan (dua dari kanan) bersama Zakaria semasa perarakan.
Oleh: Aminudin Ismail. 

DEMI cintakan Rasulullah, kira-kira 200 penduduk sekitar Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit memerah keringat selama hampir satu jam berselawat memuji nabi Muhammad s.a.w melalui tiga buah kampung sejauh kira-kira tiga kilometer di kampung itu, pagi tadi.

Majlis anjuran JKKK Kampung Padang Kemunting itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, Penghulu Mukim dan Ketua Balai Polis Batu Rakit.

Pengerusi JKKK kampung itu, Zakaria Abdul Rahman berkata, pelbagai acara diadakan sempena sambutan Maulidurasul itu, antaranya ialah perarakan, sarahan sgama, persembahan Marhaban, bacaan rowi dan Bacaan Hafazan Yasin.

Sebahagian menyertai perarakan.
"Sambutan penduduk pada perarakan maulid nabi kali ini begitu mengalakan dan kita mengharapkan sambutannya akan lebih baik lagi pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai penduduk di sekitar Padang Kemunting ini," katanya.

Sementara itu, Bazlan dalam ucapanya mengharapkan penduduk seluruh Batu Rakit mengekalkan keamanan di kawasan itu dan jangan berpecah belah dengan mengeratkan perpaduan antara satu sama lain.

Pada majlis itu juga turut diadakan penyampaian imbuhan sebanyak RM50 kepada mereka yang menghafaz surah yasin di mana seramai sembilan orang menerimanya.
Ketua Balai Batu Rakit mengiringi YB dan penduduk.

Antara surirumah yang turut serta.

Murid sekolah rendah tidak ketinggalan menyertai perarakan.

Persembahan marhaban dari Kampung Bukit Wan.

Antara jemputan yang hadir.

Bacaan Rowi dari seorang jemputan.

Berselawat di atas kenderaan.

Hadirin mendengar ceramah agama.

Isa, sedang membaca Hafazan Yasin.

Anggota polis mengawal lalulintas sempena perarakan.
Sambutan meriah.

Syabas..Bazlan menyampaikan imbuhan kepada seorang penghafaz yasin.
Seorang bapa turut membawa anak kecil berarak.


 

SALAM MB TERENGGANU DARI ANTARTIKA

Eksklusif dari Antartika oleh :  Prof Dato' Dr.Aziz Deraman ditulis semula Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita.

ANTARTIKA- Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dilaporkan amat sihat dan cergas menjalankan tugas lawatan kerja di Antartika dan mengikuti ekloprasi bersama saintis dengan penuh pengamatan dalam menimba ilmu dan pengalaman yang sungguh unik.

 Kadang-kadang terpaksa menempoh laut di kutub yang bergelora di samping kesejukan yang melampau pengalaman sebelum ini, tetapi itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan eksplorasi (penjelajahan dan pencarian) di Antartika yang sungguh mencabar itu.
 Dato’ Seri Haji Ahmad pada 22 Januari memberanikan diri menaiki kapal tentera laut Chile iaitu “Aqulies” untuk menjayakan ekspedisi saintifik di Antartika itu.

  Dato' Seri  Ahmad dan para saintis ditemani oleh kapten kapal CMDR Oxley yang sungguh mesra sekali. Pada 23 Januari mereka tiba di Stesen Penyelidikan Machiu Picchu yang dimiliki oleh kerajaan Peru dan diberi penerangan oleh ketua stesen penyelidikan itu.
   24 Januari- peserta/delegasi berada di sekitar Pulau Deception yang terletak kira-kira-kira 200 kilometer pelayaran ke selatan. Pulau ini adalah kawasan letupan gunung berapi hampir setengah abad yang lalu.
 25 Januari- laut di Antartika agak bergelora dan segala aktiviti penyelidikan hanya berlangsung di atas kapal. Terdapat juga pelajar sekolah yang hanya dalam lingkungan belasan tahun membuat projek sekolah berkaitan kehidupan haiwan ‘ peguin’ di Antartika, sesuatu yang sungguh hebat diterapkan di peringkat awal lagi tentang penyelidikan di kutub ini.
 26 Januari- Peserta/deligasi mendarat di suatu tempat yang dikenali Hannah Point bagi kajian flora dan fauna Antartika.
 27 Januari- Laut di Antartika kembali bergelora dan Dato’ Seri Ahmad berpuasa di hari ini.
 28 Januari- Dato’ Seri Ahmad bersama para saintis tiba di sebuah stesen penyelidikan yang lama kepunyaan Chile iaitu Copper-mine di kepulauan Roberts.
 Ini bermakna negara lain sudah lama membuat penyelidikan sehingga mempunyai beberapa stesen penyelidikan lama dan baru, sedangkan kita masih lagi menumpang penyelidikan di stesen milik orang lain.
 Oleh itu, amatlah berharga sekali saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin supaya ada usaha negara kita Malaysia ke arah memiliki stesen penyelidikan sendiri di Antarika.   Menteri Besar Terengganu dijangka mengakhiri lawatan kerja di kutub selatan itu pada 2 Februari ini dijangka berlepas pulang ke tanah air selepas itu.

Sekitar sambutan maulid nabi Chalok Barat.

BERGAYA…beberapa murid daripada pasukan rumah kuning Sekolah Kebangsaan Felda Chalok Barat, Setiu Terengganu begitu bersemangat dan bergaya ketika menyertai perarakan Sambutan Maulidurasul, di felda itu, hari ini.

Majlis anjuran sekolah itu dengan kerjasama PIBG sekolah dan Pengurusan Felda itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor.

Menurut Jurucakap penganjur, Ahmad Abdullah, sambutan yang diadakan setiap tahun itu diadakan bagi memperingati kelahiran dan perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan mengeratkan hubungan silaturrahim warga sekolah, peneroka dan kakitangan Felda.

Rumah biru juga bersemangat.
“Selain perarakan dan berselawat, pelbagai acara diadakan sempena sambutan maulid nabi kali ini, antaranya ialah ceramah maulidurasul, ucapan, persembahan Johan Selawat dan penyampaian hadiah.

“Hadiah disampaikan ialah untuk pemenang berselawat, azan, perbarisan, keceraian blok dan kecerian rumah yang disampaikan Dato' Sabri dan Pengurus Felda Chalok Barat,” katanya.-Aminudin.
Dato'Sabri (baju biru, depan) turut sertai perarakan.
Seorang pemenang terima hadiah.

Dato' Sabri bersama pengurus (kiri) dan Ketua Peneroka.

Rumah merah ketika perbarisan.


Murid tadika turut menyertai perarakan.


Pegawai Pejabat Agama memberi syarahan agama.

Pertandingan mewarna turut diadakan.

Sebahagian jemputan yang hadir.
Persembahan murid SKCB.

 

Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu sasar 30 peratus peningkatan jualan 100 usahawan

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 30 peratus di kalangan 100 usahawan berprestasi tinggi yang dikenalpasti di seluruh Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU),Che Razali Adis berkata 100 usahawan dalam pelbagai bidang  terutama industri kecil dan sederhana (IKS) akan sentiasa dipantau oleh 18 agensi yang terlibat bagi meningkatkan kegiatan jualan dan aktiviti keusahawanan di Terengganu.

"Majlis sekretariat yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, YB Roslee Daud itu juga bertujuan menjadikan sekretariat berkenaan sebagai platform perundingan yang lebih efektif dalam menyelaraskan hala tuju usahawan di negeri itu. 

"Antara lain penubuhan sekretariat ini ialah memastikan tiada pertindihan pemberian geran atau pinjaman kepada usahawan agar kemudahan yang disediakan kerajaan dapat dinikmati secara saksama oleh usahawan," katanya kepada pemberita dalam program Jejak Usahawan Terengganu, di kawasan perindustrian Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Antara anggota jawatankuasa sekretariat itu ialah SME Corp, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kraftangan Malaysia serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Che Razali berkata sekretariat juga akan mengadakan mesyuarat empat kali setahun bagi menilai pencapaian program agensi dari semasa ke semasa. 

"Namun, jika ada isu yang timbul, sekretariat akan bersidang serta-merta dan dengan memanfaatkan penglibatan agensi-agensi ini, YPU tidak bersendirian dalam membangunkan usahawan," katanya.

Pemilihan usahawan berprestasi tinggi itu adalah berdasarkan perkembangan syarikat dan pengurusan perniagaan yang efektif kerana mereka adalah antara kumpulan yang diberi tumpuan untuk menembusi pasaran global.


30 January 2014

Lagi guru Amerika mengajar di Terengganu.

KENANGAN..sekumpulan guru Bahasa Inggeris daripada Amerika Syarikat bergambar kenangan dengan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib  (Berdiri tengah) bersama beberapa pengetua dan guru besar serta pegawai di JPNT selepas selesai majlis penyerahan guru itu kepada guru besar dan pengetua sekolah, di sebuah hotel di Kuala Terengganu, hari ini.

Guru-guru Bahasa Inggeris (ETAs) dari Amerika Syarikat itu mula berkhidmat mengajar di beberapa buah sekolah di Terengganu sejak beberapa tahun lalu selama 10 bulan setiap kumpulan untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Penempatan guru Bahasa Inggeris dari negara itu adalah hasil kerjasama antara Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.- Aminudin

 

Sertai persatuan tingkat daya kreativiti - isteri MB

Oleh; Esah Abdullah

 Penjawat awam wanita diminta mengambil peluang dengan menyertai persatuan atau badan-badan amal untuk meningkatkan daya kreativiti dan inovasi di dalam diri masing-masing.


 Isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, melalui persatuan perkongsian idea dan pandangan serta saling bertukar kemahiran dapat diwujudkan antara satu sama lain.

"Kita hendaklah meneroka bakat-bakat dan kualiti yang terpendam melalui aktiviti seperti kelas masakan, jahitan, sulaman dan sebagainya," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Cawangan Terengganu Kali Ke-30, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh isteri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Hajah Ramizah Hashim. Hadir sama Pengerusi Puspanita negeri, To' Puan Hajah Rohani Abdullah.

Katanya, Puspanita telah memain peranan penting dalam usaha meningkatkan kemajuan wanita di negeri ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan sehingga ini keahlian telah mencecah 4,429 orang.

Dalam pada itu Puspanita juga telah memperkenalkan kategori keahlian seumur hidup di samping keahlian biasa yang memberi banyak kelebihan.

"Selaras dengan saranan kerajaan agar mengamalkan langkah penjimatan, wanita merupakan satu kuasa besar yang mampu merealisasikan hasrat itu," katanya yang juga penaung Puspanita negeri.



Beliau yakin suri rumah boleh menilai apa yang patut didahulu dan dikemudiankan serta berperanan mendidik serta memupuk amalan berjimat di kalangan ahli keluarga dan di tempat kerja.

Pada majlis itu Puspanita Terengganu turut menyampaikan insentif kecemerlangan akademik kepada anak-anak ahli yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tahun lalu.

101 mangsa banjir dapat RM500 seorang.

Terima ksaih..seorang mangsa banjir terima RM500 daripada Azmidi.
Oleh: Aminudin Ismail.

KESUSAHAN seramai 101 penduduk dari lapan buah kampung yang berpindah di pusat pemindahan banjir baru-baru ini sedikit terubat apabila mereka menerima wang bantuan mangsa banjir sebanyak RM500 setiap seorang dari kerajaan, di Pejabat Daerah Setiu, Bandar Permaisuri, hari ini.

Mereka yang kebanyakanya dari kawasan Langkap itu berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan itu yang boleh meringankan bebanan mereka membeli beberapa keperluan rumah yang rosak akibat banjir itu.

Nizam..Penolong SU MKNT
Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu, Shaiful Nizam Razali, berkata mereka yang menerima wang bantuan itu adalah daripada mangsa banjir yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Mereka ini terdiri daripada mereka yang yang terbabit dengan perpindahan pada banjir baru-baru ini samada yang berpindah di pusat pemindahan ataupun rumah saudara mara dan mendaftar dengan JKM,” katanya.

Shaiful Nizam berkata, setiu adalah daerah kedua yang diberi bantuan banjir ini selepas daerah Besut dan selepas ini, katanya, bantuan itu akan dihulurkan kepada mangsa banjir di daerah Marang dan Hulu Terengganu.

Sementara itu, Penolong Kanan Pegawai Daerah Setiu, Mohd Azmidi Abdullah berkata, beliau mengharapkan semua penerima bantuan hari ini supaya berjimat cermat dengan wang bantuan yang mereka perolehi.

“Saya harap tuan puan berjimat dengan duit yang kita dapat. Sekarang banyak bantuan yang diberi kerajaan antaranya bantuan banjir ini, bantuan persekolahan anak-anak, bantuan hari raya, BR1M dan lain-lain. Kita kenalah berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.
Antara mangsa banjir yang hadir.

Surirumah juga turt terima bantuan.

Penerima cop jari sebelum terima duit.

Seorang pegawai MKN sedang menyemak nama wakil.

Seorang warga emas menerima bantuan.

Mohd Daud Seman, 62,,terima kasih kerajaan.

Abdullah Taib.70.dua orang berpindah.

Isa Tahir, 74,..beli keperluan rumah.

 

156 pelajar cemerlang DUN Seberang Takir dirai

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 156 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menerima hadiah insentif atas kecemerlangan yang ditunjukkan dalam peperiksaan awam tersebut tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata 109 pelajar cemerlang UPSR serta 47 pelajar cemerlang PMR dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dirai dan diberikan penghargaan.

"Setiap pelajar yang cemerlang dalam UPSR menerima wang tunai RM100 dan sijil penghargaan.

 "Manakala, bagi pelajar cemerlang dalam PMR pula menerima wang tunai RM150 dan juga sijil penghargaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR 2013 di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, hari ini.

Katanya, pemberian wang tunai tersebut adalah sebagai galakan dan sokongan kepada pelajar untuk lebih bersemangat dalam meneruskan pelajaran dan sebagai motivasi untuk terus mengekalkan kecemerlangan.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri turut meminta guru-guru memberikan perhatian sama rata antara semua pelajar.

“Saya menyeru agar guru-guru tidak membezakan layanan terhadap pelajar yang pandai dan kurang pandai kerana setiap pelajar itu sangat bernilai dan mampu menjadi lebih baik sekiranya mendapat perhatian yang sewajarnya,” katanya.

 

Umno Kuala Terengganu perkenal Biro Khas Aduan Awam, kaedah terbaik bantu rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Umno Bahagian Kuala Terengganu memperkenalkan kaedah terbaharu memudahkan bantuan disalurkan kepada rakyat apabila melancarkan Biro Khas Aduan Awam,  di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu, kelmarin.

Ketuanya, Datuk Mohd Sabri Alwi, berkata penubuhan biro itu adalah antara inisiatif bagi memberi perkhidmatan secara lebih berkesan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata, biro yang sudahpun memulakan operasi itu membolehkan rakyat mengemukakan sebarang masalah termasuk isu persekolahan anak-anak, perumahan, perbandaran atau mendapatkan bantuan kebajikan disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Walaupun Parlimen ini dikuasai parti pembangkang, ramai rakyat datang jumpa saya mengadu wakil rakyat mereka gagal melaksanakan tugas menyebabkan kita terpaksa mengambil alih tanggungjawab membela kebajikan rakyat.

"Justeru, kita putuskan untuk tubuhkan biro khas ini bagi memberi tumpuan penuh sekaligus membolehkan aduan atau masalah rakyat diselesaikan dengan cepat tanpa melalui banyak karenah birokrasi.

"Selain itu, rakyat juga boleh membuat aduan terhadap masalah yang melangkaui isu setempat dan jika tidak mampu menanganinya kita akan salurkan masalah itu kepada pimpinan lebih tinggi," katanya selepas pelancaran Biro Khas Aduan Awam, di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu. Kelmarin.

Turut hadir, Ketua Wanita dan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Rozalina Mokhtar dan Dr Najmil Faiz Mohamad Aris.



Mohd Sabri berkata, biro itu akan berperanan sebagai alternatif bagi suara rakyat berikutan kerajaan negeri belum memutuskan untuk meneruskan kewujudan pusat pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Katanya, Umno Kuala Terengganu adalah satu-satunya kepemimpinan peringkat bahagian yang mengambil pendekatan seumpama itu sekaligus membuktikan bahawa UMNO benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua ketua cawangan Umno serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di parlimen ini supaya lebih bertanggungjawab serta mengurarangkan karenah birokrasi ketika berurusan dengan rakyat.

"Jika kita mahu rakyat berubah menyokong Umno, kita perlu berubah terlebih dulu. Berilah perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik," katanya.