Halaman

25 February 2014

Zoo Bukit Takal miliki 402 pelbagai spesies haiwan

Oleh: Suriati Ali

Taman Rekreasi dan Mini Zoo (TRMZ) Bukit Takal, Kemaman kini  memiliki 402 haiwan pelbagai spesies sebagai tarikan kepada orang ramai untuk berkunjung ke zoo terbesar di Pantai Timur itu.

 Pengarah Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman Abdul Halim Mamat berkata, awal tahun ini, pihak pengurusan mini zoo ada menerima dua ekor burung Cenderawasih jantan yang dipinjam dari Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar, Sungkai, Perak; dua ekor kuda padi, buaya tembaga dan buaya jejulong.

 “Kehadiran spesies haiwan ini dijangka dapat menarik minat orang ramai untuk mengunjungi zoo ini bersama-sama keluarga mereka,” katanya dalam ucapan pada Majlis Lawatan Bersama Media ke TRMZ, semalam.

Lawatan anjuran Unit Komunikasi (UKOM) Terengganu tersebut disertai kira-kira 50 pengamal media seluruh Terengganu antaranya Radio Televisyen Malaysia (RTM).

 Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Utusan Malaysia, Sin Chew Jit Poh dan Sinar Harian. Sebelum ini, zoo berkenaan yang turut menempatkan Taman Tema Air, turut memiliki dua ekor Harimau Malaya yang disumbangkan Zoo Melaka dan seekor tapir.

 Zoo berkenaan yang menampilkan konsep unik dengan memulihara alam sekitar dan pelbagai jenis tanaman asal kawasan itu semaki ramai dikunjungi pelawat, khususnya pada setiap hujung minggu.

 Selain itu katanya, haiwan lain yang terdapat di zoo berkenaan termasuk pelbagai spesies burung, kura-kura, beruang matahari, landak dan musang.

 “Kita sentiasa membuat penyesuaian dan penambahbaikan serta cuba melengkapkan Taman Rekreasi secara berperingkat dan kalau tidak ada aral, bulan depan zoo berkenaan akan menerima beberapa ekor gajah,” katanya.

 

Sambutan baik mesyuarat PIBG Panchor Merah.

Mohd Jidin menyampaikan hadiah kepada murid cemerlang.
Oleh: Aminudin Ismail.

KIRA-kira 150 ibubapa hadir menjayakan Mesyuarat Agung PIBG Kali ke 17 Sekolah Kebangsaan Panchor Merah, Setiu yang diadakan di dewan sekolah itu semalam.

Guru Besarnya, Mohd Suhaimi Endut berkata, kedatangan ahli PIBG tahun ini amat mengalakan dan mesyuarat ini juga akan membuat pemilihan bagi perlantikan AJK baru.

"Saya juga berterima kasih kepada guru-guru dan AJK pelaksana mesyuarat kerana menjayakan mesyuarat kali ini dan juga kepada Dato' Mohd Jidin yang sudi hadir merasmikan mesyuarat," katanya.

Sebahagian guru dan ibubapa yang hadir.
Mohd Suhaimi berkata, kehadiran ramai ibubapa ini membuktikan mereka begitu mengambil berat tentang sekolah ini terutamanya pencapaian dalam pelajaran.

"Pendidikan adalah satu pelaburan yang menjadi penanda aras kepada cemerlangan sesebuah sekolah dan sokongan serta komitmen ibubapa hadir pada mesyuarat ini menunjukan mereka juga bersama-sama mahu menjadikan sekolah cemerlang dalam bidang pendidikan," katanya.

Sementara itu, Mohd Jidin berkata, ibubpa perlu mengambil berat tentang perkembangan pelajaran anak-anak mereka dan beliau berterima kasih kepada ibubapa yang hadir kerana memberi sokongan bagi menjayakan meyuarat itu demi kepentingan pendidikan anak-anak.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Kipayatuallah Dato' Mohd Said dan Pengerusi PIBG sekolah itu, Ismail Othman.

 

Sertai Dailog Perpaduan 1 Mac ini.

Oleh: Aminudin Ismail. 

ORANG ramai dijemput hadir ke majlis Dailog Perpaduan yang akan berlangsung di Dewan Teater Perbadanan Perpustakaan Awan Negeri Terengganu pada 1 Mac ini.

Program anjuran Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) itu bertujuan untuk berkongsi pendapat, pandangan dan cadangan orang ramai mengenai usaha-usaha untuk memelihara, mengekal dan mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Kuala Terengganu, Ahmad Rizal Abd Razak, berkata orang ramai yang hadir boleh memberi pandangan, pendapat dan cadangan bagaimana untuk menjayakan tujuan itu.

"Semua yang tinggal di sekitar Kuala Terengganu dijemput hadir bagi menjayakan majlis itu. Orang ramai boleh melontarkan apa jua pandangan ataupun cadangan yang boleh membantu kearah penyatuan Nasional. 

"Mereka yang berminat bolehlah menghubungi Jabatan Perpaduan Negara Negeri Terengganu, nombor telefon: 09-6203105/07," katanya.

 

24 February 2014

3 hari 2 malam di Pulau Redang bersama Bazlan.

AKRAB…Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Negeri (UKOM) negeri, Roslan Abdul Rahman (kanan) sedang berbincang sesuatu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman ketika dalam perjalanan menaiki bot ke Pulau Redang, Jumaat lalu.

Seramai kira-kira 80 ahli rombongan menyertai lawatan Bazlan ke Pulau Peranginan antara tersohor di dunia itu, termasuklah JKKK Dun Batu Rakit, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Batu Rakit, beberapa kakitangan Pejabat Daerah Setiu, pegawai BTN dan wartawan media massa.

Pelbagai acara diadakan sempena lawatan selama tiga hari dua malam adun itu antaranya ialah pembahagian dana remaja, bantuan pakaian sekolah, seminar BTN untuk Pemuda dan Puteri UMNO Batu Rakit dan lawatan ke beberapa rumah penduduk.

Sekumpulan wartawan bersiap untuk bertolak.
Walaupun terpaksa meredah lautan agak bergelora akibat angin Tenggara namun kesemua ahli rombongan tiba dengan selamatnya kira-kira jam 11 pagi selepas lebih sejam berada di lautan.

Dalam lawatan itu juga Bazlan sempat menyelesaikan beberapa masalah penduduk antaranya masalah koperasi dan bantuan untuk pesakit kronik serta melawat tapak projek rumah mampu milik yang sedang dalam pembinaan.

“Lawatan ini amat bermakna kepada penduduk Pulau Redang kerana beberapa masalah penduduk dapat diselesaikan serta boleh mengeratkan hubungan antara penduduk di daratan dan Pulau Redang ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dengan lawatan ini termasuklah Pejabat Daerah Setiu, BTN dan sekumpulan wartawan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya,” katanya

Sesungguh lawatan YB Bazlan dan rombongan ke Pulau Redang memberi seribu makna kepada penduduk setempat semoga kehadiran semula nanti sekurang-kurangnya dalam menyelesaikan sebahagian daripada permasalah penduduk.

Rombongan selamat tiba di jeti Merang pada kira-kira jam lima petang semalam dan keadaan ombak yang semakin baik berbanding hari sebelumnya seolah-olah merestui pemergian rombongan itu ke Pulau ketiga paling popular di dunia itu .- Oleh: Aminudin Ismail.


Chalet malam pertama penginapan.

Bazlan bersama beberapa wartawan di atas bot.

Pemandu bot yang sentiasa tenang.

Lautan 'berkucoh' sedikit membimbangkan.

Pemandangan indah Redang.
Pertandingan bola tampar turut diadakan.

Anak muda Redang bermain bola pantai.


Perjumpaan tertutup Rela dengan YB.

Isteri YB turut hadir di setiap majlis.
Pemuda dan Puteri beraktiviti.
Bazlan menyelesaikan masalah penduduk.

Pemandangan pintu masuk Redang.

Penginapan malam kedua.
Pekan Redang yang mendamaikan.

Pendidik yang 'melupakan' kenikmati daratan demi untuk anak bangsa.

Wajah-wajah kanak-kanak pulau.
Bazlan sedang ditanya wartawan tentang rumah mampu milik.

Selamat tinggal Redang yang semangnya indah dan mempesonakan.

 

Panggil dan pulih akhlak pemilik `Murtad Pantai Timur'

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemilik akaun Facebook (FB)  dikenali `Murtad Pantai Timur’ perlu dipanggil segera bagi memulihkan akidahnya yang sudah jauh terpesong, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib.

“Sepatutnya perkara sebegitu (mencabar kuasa Allah swt), tidak berlaku di kalangan orang Islam, apabila orang Islam tidak percaya kebesaran Allah, mukjizat Allah, tidak percaya ayat Allah, mendustai Rasul, dia dianggap sudah keluar Islam dan sudah syirik.

"Kalau mengikut zaman Rasulullah s.a w.. ketika sahabat baginda Saidina Abu Bakar memerangi golongan murtad , individu terbabit perlu diberi kata dua, pertama menyeru kembali kepada jalan yang benar atau kedua, memerangi golongan itu.

“Bagaimanapun, oleh kerana individu berkenaan masih muda lagi, jabatan agama Islam negeri dia berada perlu panggil, memberi penjelasan dan juga pendidikan (pemulihan akhlak),” katanya di Majlis Penyerahan Kontrak Perkhidmatan EIO dan TSO Tahun 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Husin dan Pengarah Eksekutif Tesdec Sdn Bhd, Haji Rozali Salleh.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyebaran FB `Murtad Pantai Timur’ yang menimbulkan kecaman pelbagai pihak, berikutan pos yang melampaui batas agama, termasuk mengatakan Allah s.w.t tidak wujud dan menghina Rasulullah s.a.w.

FB yang dikatakan milik seorang wanita yang pernah menjadi pelajar cemerlang di sebuah sekolah di Terengganu, memaparkan pos berunsur provakasi kepada umat Islam dengan menggunakan loghat Pantai Timur pada tulisannya.

Ghazali berkata, sekiranya tindakan segelintir individu boleh menjejaskan keharmonian, menimbulkan huru-hara dan juga perlanggaran hak agama, satu undang-undang baru yang lebih komprehensif sebagaimana Akta Keselamatan Dalam Negeri perlu dilaksanakan semula.

“Jika gubal dan laksana undang-undang banyak kali pun tidak akan memberi kesan sekiranya tiada penguatkuasaan yang tegas terhadap mereka yang bersalah. Oleh itu, undang-undang serta penguatkuasaan perlu seiring dan hukuman itu perlu diuar-uarkan supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain,” katanya.


Klinik kesihatan baru akan dibina di Pulau Redang

Oleh: Noraini Jusoh

Sebuah klinik kesihatan baru bakal dibina di Pulau Redang April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, pembinaan klinik kesihatan yang akan dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan lebih canggih merupakan keperluan untuk penduduk di pulau itu sekaligus bertujuan meningkatkan taraf kesihatan mereka.

“Dalam mesyuarat tindakan daerah baru-baru ini, saya telah dimaklumkan oleh jurutera JKR Daerah Kuala Terengganu bahawa pembinaan klinik baru akan dilaksanakan di Pulau Redang pada April ini.

“Klinik tersebut akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan menggantikan klinik kesihatan sedia ada yang ditubuhkan sejak tahun 1977 dan beberapa kali diubah suai bagi menjaga kebajikan orang Pulau Redang supaya mendapat kemudahan kesihatan yang lebih terjamin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pemberian dana pakaian sekolah di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, baru-baru ini.

Katanya, beliau akui memang menjadi satu masalah kepada penduduk kerana kekurangan kemudahan di klinik Pulau Redang sekarang ini.

 “Dengan adanya klinik kesihatan baru itu nanti, penduduk boleh mendapatkan rawatan dengan lebih selesa berbanding dengan klinik kesihatan sedia ada yang masih belum mempunyai peralatan mencukupi untuk merawat pesakit di pulau ini,” ujarnya.

Katanya, sudah tiba masanya penduduk Pulau Redang yang berjumlah kira-kira 2000 orang menikmati kemudahan klinik kesihatan yang dilengkapi peralatan yang lebih canggih dan serba lengkap.

 

Kontrak perkhidmatan 255 orang EIO, TSO disambung

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri meneruskan penyambungan kontrak perkhidmatan kepada 255 Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komputer (TSO) bagi mengurus dan mengawal penggunaan e-book di sekolah seluruh Terengganu.

YB Ghazali Taib menyampaikan borang penyambungan kontrak perkhidmatan kepada EIO dan TSO dari seluruh Terengganu.
 Seramai 211 orang EIO berkenaan adalah dari Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu, turut ditempatkan di pejabat pendidikan daerah dan jabatan kerajaan, sementara 44 orang TSO pula ditugaskan di pusat bestari daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata kerajaan bersetuju menyambung kontrak sebahagian besar EIO dan TSO itu selepas mereka menunjukkan prestasi dan komitmen yang baik terhadap tugas sepanjang 2013.



“Ada segelintir di kalangan mereka bermasalah dan tidak berdisiplin.Bagaimanapun dari semasa ke semasa kita akan terus memberikan peringatan supaya mereka memberi tumpuan dan komitmen pada tugas berkenaan.

“Dalam pada itu, sejak diperkenalkan pada 2009, hanya empat orang sahaja tidak disambung kontrak berikutan berdepan masalah disiplin,” katanya di Majlis Penyerahan Kontrak Perkhidmatan EIO dan TSO Tahun 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Husin dan Pengarah Eksekutif Tesdec Sdn Bhd, Haji Rozali Salleh.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Tesdec melantik 561 orang EIO dan TSO di tempatkan di seluruh Terengganu sejak enam tahun lalu.

Katanya, pembayaran gaji EIO dan TSO tertakluk kepada skim perkhidmatan secara kontrak oleh kerajaan negeri, iaitu EIO memperolehi gaji pokok berjumlah RM1,700 sebulan, manakala TSO RM1,200 sebulan.

“Jumlah ini bergantung kepada kelulusan, memandangkan EIO ditawarkan kepada pemegang iazah, manakala TSO kepada mereka yang memiliki diploma atau sijil yang berkaitan dengan komputer.

“Sehingga kini, kita melihat pencapaian mereka di sekolah-sekolah mencapai tahap yang dikehendaki, ada sangat bagus dan sederhana,” katanya.

Tambah beliau, sejak 2009, kerajaan negeri sudah membelanjakan RM117 juta bagi menyediakan 129, 889 unit e-Book bagi memastikan anak Terengganu menguasai penggunaan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) sejak di bangku sekolah rendah lagi.


Projek perumahan Pulau Redang siap sepenuhnya Jun

Oleh: Noraini Jusoh

Pembinaan 160 unit rumah mampu milik di Pulau Redang oleh kerajaan negeri dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun depan.

YB Bazlan (kanan) meninjau projek perumahan mampu milik di Pulau Redang.
 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, ketika ini kerja-kerja pembinaan projek perumahan itu berjalan lancar meskipun terdapat sedikit kesulitan berkaitan proses pembinaannya disebabkan kesukaran penghantaran barang binaan ketika musim tengkujuh lalu.


“Walau bagaimanapun, laporan perkembangan menunjukkan projek perumahan ini sudah dilaksanakan sebanyak 45 peratus dan Mac ini akan mencapai 68 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembinaan rumah mampu milik tersebut, kelmarin.

Menurut beliau, apabila siap projek pembinaan rumah mampu milik berkenaan ia dapat mengatasi masalah perumahan yang dihadapi oleh penduduk yang mendiami 232 buah rumah di Pulau Redang sekarang ini.

“Dengan pembinaan rumah mampu milik tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan kepadatan kerana masih terdapat lebih dari satu keluarga yang tinggal bersama dalam sebuah rumah di sini.

"Selepas ini, saya akan cuba lagi usahakan lebih banyak pembinaan projek perumahan seperti ini supaya lebih ramai penduduk yang kurang berkemampuan di Pulau Redang memiliki rumah sendiri,” ujarnya.

Katanya, rumah mampu milik itu akan diberi keutamaan kepada penduduk yang tinggal lebih dari satu keluarga dalam sebuah rumah dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Tambah beliau, projek perumahan mampu milik itu turut dilengkapi taman permainan, gelanggang futsal dan surau.

 

Persatuan Kereta Sewa Besut tubuh unit RELA sendiri.


YB Muhamad Pehimi memeriksa perbarisan anggota RELA Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Persatuan Kebajikan, Sukan Pemandu dan Tuan Punya Kereta Sewa Besut , mencatat sejarah apabila berusaha menggalakkan ahlinya menyertai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Penubuhan unit RELA berkenaan sebahagian persatuan menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat menyertai agensi keselamatan berkenaan.

Selain pemandu, isteri dan anak-anak mereka turut menganggotai pasukan itu sebagai menyahut seruan kerajaan untuk sama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan rakyat boleh hidup dalam keadaan aman dan selesa.

Perasmian pejabat Rela Platun itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof di kawasan stesen kereta Jertih, dekat semalam.

Muhammad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih memuji inisiatif persatuan itu yang peka dan mahu menyumbangkan tenaga sebagai sokongan kepada usaha kerajaan membendung jenayah dalam masyarakat.

Katanya, pada masa ini kes kecurian motosikal dan pecah rumah mencatatkan bilangan yang tinggi dan penyertaan pemandu serta ahli keluarga mereka bertepatan untuk sama-sama melibatkan diri sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.

Menurutnya, dengan penyertaan daripada ahli dan keluarga pemandu teksi itu telah menambahkan lagi kekuatan keanggotaan Rela di daerah Besut yang kini mencecah lebih 26,000 orang.

"Menjadi anggota Rela dengan bidang kuasa tertentu akan membolehkan kita merasai dan melihat sendiri suasana yang berlaku dalam masyarakat dan melaporkan sebarang gelagat yang menyalahi undang-undang dan peraturan kepada pihak kuasa," katanya.

UMNO Terengganu Siap Sedia Bantu Calon BN Di Kajang


UMNO Terengganu sudah bersiap sedia untuk membantu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menjelang penamaan calon pada 11 Mac ini. 

Ketua Penerangan UMNO Negeri, YB. Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar berkata, kira-kira 500 pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said akan ke Kajang bagi memastikan calon BN memenangi kerusi tersebut.