Oleh: Suriati Ali
“Saya menganggap bonus raya pertama yang bakal diterima nanti adalah hadiah paling mengembirakan sejak bertugas di jabatan kerajaan pada Februari lalu dan akan menggunakannya sebaik mungkin dengan membeli pakaian raya dan barangan kelengkapan Aidilfitri.
“Pemberian bonus ini juga membuatkan diri saya lebih bersemangat menjalankan tugas yang diarahkan ketua jabatan,” kata Pembantu Kamera/ Pemandu jabatan Radio Televisyen Malaysia (RTM) cawangan Terengganu Norazryq Pauzee, 25.
Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Puan Ramlah Idris berkata, terima kasih di atas pemberian bonus setengah bulan gaji atau dengan minima RM500 yang sememangnya mampu mengembirakan semua kakitangan kerajaan.
“Kepada mereka yang menerima pula, sewajarnya menggandakan usaha untuk meningkatkan kualiti dan mutu perkhimatan di setiap jabatan kerajaan sebagai balasan di atas pemberian bermakna itu,” katanya yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan selama 24 tahun.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said mengumumkan pemberian bonus kepada kira-kira 20,000 kakitangannya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM10 juta.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (10 Ogos).
Katanya,pemberian bonus setengah bulan gaji atau minima RM500 itu diberikan kepada semua kakitangan awam termasuk mereka yang bertugas di badan berkanun negeri dan pesara.
Katanya, langkah itu diambil selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, yang memberikan bonus sama kepada kakitangan kerajaan Persekutuan.
“Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negeri.
“Pemberian bonus itu juga diharapkan dapat meringankan beban semua kakitangan dalam membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya.