Halaman

29 February 2012

Sultan Mizan berangkat ke majlis Santapan Diraja

Oleh Kamaruddin Mat Akib dan Fauzi Mohd
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat ke Majlis Santapan Diraja Bersama Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, malam ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan, Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan kenamaan negeri.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah serta ketua-ketua jabatan turut hadir pada majlis berkenaan.







Pelaburan RM1 bilion bangunkan industri akuakultur di Marang

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra.



Terengganu berupaya menarik pelaburan asing dari China berjumlah RM1 bilion dalam industri akuakultur bagi ternakan udang putih yang bakal dibangunkan di Marang dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya menjelang pertengahan tahun ini.

Pelaburan terbesar yang dilaksanakan secara bersepadu dengan syarikat akuakultur dari Malaysia itu akan dilaksanakan di kawasan berkeluasan 1,000 hektar, selain membuka peluang pekerjaan kepada 1,000 penduduk tempatan apabila mula beroperasi kelak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata projek industri akuakultur ternakan udang berkenaan adalah yang kedua selepas Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSHARP) Setiu yang dijalankan oleh syarikat milik Khazanah Nasional, Blue Archipelago menerusi anak syarikatnya Arca Biru di Setiu melibatkan peruntukan kira-kira RM200 juta.

“Hasil lawatan saya ke China pada Oktober lalu telah berhasil menarik pelaburan dan sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang disaksikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Pelaburan asing dalam bidang akuakultur bakal dilaksanakan secara bersepadu oleh Syarikat Gaulin Akuatik, antara syarikat penternakan udang terbesar di China yang membabitkan nilai pelaburan sehingga RM1 bilion,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, syarikat ini juga mempunyai sijil kelayakan yang membenarkan hasil ternakan mereka memasuki pasaran luar negara khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) selain untuk pasaran di dalam negara sendiri.

Projek akuatik terbesar di Terengganu itu nanti bakal dilengkapkan pusat pembenihan, penetasan dan makanan udang serta makmal penyelidikan ternakan.

"Kerajaan negeri juga mahu menarik lebih ramai lagi pelabur asing menjalankan projek dalam bidang ternakan akuakultur seperti ternakan udang.

“Selain Marang dan Setiu, kita juga sedia membuka beberapa lagi kawasan yang sesuai termasuk di Rantau Abang untuk membangunkan projek akukultur seperti ternakan udang, ikan kerapu dalam sangkar kerana persekitaran yang berhampiran dengan pantai dan memudahkan pengairan,” katanya.

Sehingga kini, projek iSHARP Setiu milik syarikat Blue Archipelago mula mengeluarkan hasil ternakan udang sejak awal bulan ini, dan dijangka dieksport ke EU dalam masa terdekat






Dana RM50j untuk pinjaman perumahan

Oleh: Aida Abd Rahman dan Che Mohd Hisham Che Jamaluddin
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Berita gembira buat rakyat Terengganu yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan masih tidak memiliki rumah sendiri apabila kerajaan negeri bersetuju mewujudkan dana pinjaman perumahan berjumlah RM50 juta bagi memberi peluang golongan terbabit menikmati kemudahan itu tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keputusan menyediakan kemudahan pinjaman yang boleh mencecah sehingga RM50,000 bagi setiap permohonan itu adalah sebagaimana diluluskan dalam ucapan Bajet 2012 pada Disember lalu.

“Hari ini kita sudah mengemukakan kertas cadangan itu kepada mesyuarat exco untuk mendapatkan kelulusan bagi menubuhkan satu Kumpulan Wang Amanah bagi menyediakan pinjaman kepada rakyat Terengganu.

“Kertas cadangan ini akan dibawa kepada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan April nanti yang dibuat mengikut Seksyen 10, Akta Acara Kewangan Negeri bagi membolehkan kita mewujudkan tabung amanah ini,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (29 Februari).

Beliau berkata, selain kemudahan pinjaman yang mengenakan syarat utama hanya kepada pemohon yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, pemohon juga perlu membina sendiri rumah berkenaan di atas tanah milik pemohon berdasarkan geran hak milik.

Katanya, pemohon perlu mencagarkan geran itu kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (SEDC) bagi memastikan pemohon tidak mengingkari syarat tempoh bayaran balik pinjaman itu.

“Terpulang kepada pemohon berapa jumlah yang mereka mahu pohon, bagaimanapun kita akan beri sehingga tahap maksimum RM50,000 bagi setiap pinjaman, selain tanah perlu dicagar kepada kita melalui SEDC.

"Kalau tidak beri cagaran, jika kita luluskan pinjaman RM50,000, mereka tidak bayar, habislah kita..sebagai perlindungan kepada kerajaan,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan syarat bagi memohon pinjaman itu secara terperinci sebaik sahaja Mesyuarat DUN meluluskan perkara itu nanti.




PPAT perkenal ‘bookdrop’ di setiap daerah

Oleh; Esah Abdullah

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan memperkenalkan kemudahan kaunter `bookdrop’ di setiap perpustakaan negeri dan daerah mulai tahun ini.

Pengarahnya, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah berkata, kaunter bookdrop yang akan dilaksanakan akan memudahkan peminjam buku memulangkan semula pada bila-bila masa sebelum tarikh tutup.

Katanya, pada masa ini peminjam perlu memulangkan buku yang dipinjam daripada perpustakaan pada waktu pejabat sahaja.

Menurutnya, masalah tersebut kadang kala menyulitkan peminjam yang kadang kala terpaksa memulangkannya selepas tamat tempoh yang ditetapkan.

``Dengan adanya kaunter bookdrop yang akan diletakkan di pondok pengawal itu, peminjam hanya memasukkan buku berkenaan di dalam kaunter yang disediakan pada bila-bila masa,’’ katanya.

Tambahnya, sebagai permulaan kaunter kemudahan itu akan diperkenalkan di perpustakaan negeri di sini dalam waktu terdekat dan lain-lain daerah akan dilaksanakan secara berperingkat.

Sehubungan itu terdapat kira-kira 400 ribu orang menjali ahli perpustakaan di seluruh negeri termasuk di enam cawangan di daerah.

``Namun begitu 10 peratus dikenal pasti tidak aktif kerana tidak mengunakan kemudahan yang disediakan , selain tidak memperbaharui keahlian.’’ ujarnya.

Dalam perkembangan lain PPAT yang beroperasi enam hari seminggu termasuk hari Sabtu menerima pengunjung mencecah 3,000 orang dan kini dalam perbincangan untuk membuka waktu operasi pada hari Jumaat.

Katanya, PPAT juga akan mengadakan sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 20 April depan dan bersempena dengan sambutan itu, satu karnival jualan pelbagai bahan bacaan dan pameran akan diadakan.




Makep hargai pelajar

Oleh; Esah Abdullah

Sekretariat Permuafakatan Siswa-Siswi Felda (Persada) memenagi Anugerah Kelab Terbaik Keseluruhan di majlis Anugerah Kepimpinan Pelajar (Makep) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man Kuala Terengganu semalam.

Tokoh Kepimpinan Pelajar pula dimenangi oleh Farmie Haripapbiah, manakala bagi Anugerah Khas Makep dimenangi Fauzi Adam Sungip.

Program yang telah diadakan sejak tiga tahun lalu itu menyediakan sembilan kategori anugerah bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar dalam menjayakan pelbagai program sepanjang tahun lalu.

Anugerah lain termasuklah kelab dan akademik terbaik; cover catalia creative; publisiti dan multimedia; jasa bakti penasihat kelab ( Mohd Ismadi Izhan Ismail); pengarah program (Mohd Syukur Abdul Jalil).

Turut menerima pengiktirafan Himpunan Mahasiswa Metametik (Himmat), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (sosial), Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (sukan), Kelab Kebudayaan Bratham (kebudayaan) dan Sekretariat Pemuafakatan Siswa Siswi Felda (eksekutif).

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Ab. Rahim Md. Nor telah merasmikan majlis dan menyampaikan hadiah kepada pemenang. Hadir sama Naib Canselor UMT, Dato’ Prof Dr Aziz Deraman.




Ketengah terima peruntukkan pembangunan RM21.5 juta

Oleh FAUZI MOHD

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM21.5 juta kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi projek pembangunan di wilayah kemajuan itu pada tahun ini.

Menterinya, Dato’ Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan itu bagi penyediaan prasarana dan kemudahan asas yang diperlukan serta kediaman untuk penduduk setempat.

Menurutnya, salah satu komponen pembangunan Ketengah iaitu Bandar Ketengah Jaya bakal berubah wajah apabila projek pembesaran kawasan itu dilaksanakan tidak lama lagi membabitkan peruntukan permulaan kira-kira RM9 juta.

“Projek tersebut melibatkan tiga fasa pembangunan termasuk penyediaan infrastruktur, rumah kediaman dan premis kedai.

“Bagi fasa pertama, projek itu melibatkan kawasan seluas kira-kira lapan hektar untuk projek prasarana serta pembinaan 224 lot kediaman,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembesaran Bandar Ketengah Jaya, Dungun semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan; Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Datuk Din Adam; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad dan Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud

Di samping itu jelas Dato’ Seri Mohd. Shafie, kawasan itu juga akan dimajukan dengan premis kedai selain memajukan sektor perladangan di kawasan itu.

"Untuk fasa pertama tahun ini, sebanyak RM9 juta diperuntukkan dan jika ada keperluan untuk tahun depan, peruntukan tambahan lebih RM12 juta lagi akan disediakan bagi membangunkan kawasan ini," ujarnya.


ATV Motor jadi pilihan pengunjung


Oleh: Suriati Ali

Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu yang sememangnya terkenal sebagai pantai peranginan tersohor di negeri ini, bukan saja menjadi pilihan pengunjung untuk beriadah malah menjadi lokasi beberapa pengusaha kereta kuda dan `ATV Motor’ memperkenalkan produk masing-masing.


Hampir setiap petang terutama hujung minggu dan cuti sekolah, mereka setia menunggu pelanggan yang ingin mendapat perkhidmatan yang disediakan.

Pengerusi Kelab ATV Motor Kuala Terengganu (KMKT), Encik Tarmizi Shafie,38, berkata KMKT mula memperkenalkan aktiviti ATV Motor kepada pengunjung Pantai Batu Burok lima bulan lalu selepas mengetahui orang ramai turut berminat mengenai hobi lasak ahli kelab itu.

Katanya, pada awalnya, dia bersama beberapa hanya sekadar ingin mencuba dengan membeli kenderaan itu sebanyak tiga buah.

“Aktiviti itu semakin mendapat sambutan pengunjung terutama pelancong luar Terengganu selepas beberapa bulan diperkenalkan dan bilangannya terpaksa ditambah secara berperingkat-peringkat.



“Sehingga kini, KMKT mempunyai 15 buah ATV Motor dengan mengenakan kadar bayaran sewa sebanyak RM15 bagi tempoh 15 minit,” katanya ketika ditemui Teganukita di Pantai Batu Burok, baru-baru ini.

Aktiviti KMKT yang diperkenalkan itu secara tidak langsung mampu meningkat jumlah pengunjung ke Pantai Batu Burok yang sememangnya terkenal dengan keindahan dan keunikan pantai dalam bandar.


Sukan pupuk disiplin di setiap jabatan : Pegawai SUK

Oleh: Aida Abd Rahman

Penyertaan dalam sukan di peringkat yang lebih tinggi bukan sahaja dapat memberi pengalaman baru, malah memupuk disiplin diri dalam aspek menepati masa yang mampu diaplikasikan pula dalam tugasan harian bagi memantapkan pengurusan di setiap jabatan.

Pengurus pasukan bola jaring Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Puan Safura Mad Juhari yang juga merangkap Penolong Kanan SUK (Pengurusan Kualiti), berkata pembabitan dalam sukan bukan sahaja membentuk setiap individu lebih menepati waktu, malah mengelakkan setiap individu daripada hanya mementingkan diri sendiri.
“Apa yang lebih utama, apabila menyertai sukan yang melibatkan acara berkumpulan seprti sukan bola jaring, pastinya menuntut kepada kerjasama berpasukan dan strategi bagi menyaingi musuh.

“Sekarang buka soal kalah atau menang, apa yang paling utama memberi persembahan yang terbaik, berjuang habis-habisan dan mengikut peraturan pertandingan selain semangat kerjasama dalam satu `jentera’,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Terengganu sempena Sukan SUK Se-Malaysia Ke-4, 2012 Sarawak, di Wisma Darul Iman.

Hadir sama, Ketua Kontijen, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) dan Urusetia Kontinjen Terengganu (Penolong Setiausaha Kerajaan, Belia dan Sukan), Encik Ahmad Shahrizal Yahaya.

Kontinjen Terengganu menghantar 97 atlit dan pegawai bagi menyertai lima acara iaitu bola sepak, bola jaring, ping pong, badminton dan boling pada edisi sukan yang bermula 28 Februari hingga 4 Mac ini.

Manakala atlit boling SUK, Puan Sulaiha Sulaiman memandangkan sukan yang disertainya bukan sahaja memerlukan dia memberi tumpuan penuh kepada `objek’ utama dalam gelanggang perlawanan, malah menuntut kepada disiplin yang tinggi dalam aspek teknikal balingan.

“Saya percaya komitmen dan disiplin dalam sukan boling umpamanya dapat membentuk petugas awam yang lebih fokus dan bersistem dalam melaksanakan setiap amalan kerja.

“Sukan boling juga melatih kita sentiasa peka dan yakin dengan apa yang kita lakukan selain mampu menyerap tekanan sekeliling untuk menghasilkan persembahan yang berkualiti,” katanya.





Menteri Besar bakar semangat pelumba TSG

Oleh FAUZI MOHD

Barisan pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) mendapat suntikan semangat secara langsung daripada Dato’ Seri Ahmad Said yang berkesempatan menemui mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.

Menteri Besar antara lain menasihati pelumba agar percaya kepada diri sendiri dan mempraktikkan taktik perlumbaan yang ditentukan jurulatih, Sebastian Duclos dalam meneruskan misi memburu kedudukan terbaik dalam kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012.

Sambil melaungkan keyakinan pasukan lumba basikal profesional itu mampu mencipta kejutan dalam edisi ke-17 yang berbaki lima peringkat, Dato’ Seri Ahmad juga berpesan supaya pasukan negara tidak gentar meskipun berhadapan ramai jaguh lumba bertaraf dunia.

”Saya sendiri menyaksikan aksi anda dan pelumba-pelumba lain sebelum ini dan sekiranya anda mempamerkan aksi pada tahap terbaik, pelumba-pelumba ternama lain bukanlah satu ancaman besar,” katanya sebelum berangkat pulang ke Kuala Terengganu.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda dan Pengurus TSG, Mohd. Sophian Abu Bakar.

13 pelumba yang menggalas cabaran edisi LTdL kali ini ialah Mohamed Harrif Salleh, 23, selaku ketua pasukan; abangnya, Mohamed Zamri Salleh, 28; Faiz Syarifuddin Abd Kadir, 22; Muhammad Shobry Abdullah, 21; Anwar Aziz Muhd Shaiful, 25; Mohd Shahrul Mat Amin, 22 dan Mohamad Saufi Mat Senan, 21.

Selain itu, Nur Amirul Fakruddin Marzuki, 20; Mohd Nor Umardi Rosdi, 25; Yusrizal Yusof, 21; Shinichi Fukushima, 40 (Jepun); Jang Chan Jae, 23 (Korea) dan Kim Do Hyeong, 25 (Korea).

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad turut merakamkan ucapan tahniah kepada Harrif yang menunjukkan belang menduduki tempat ketiga pada peringkat keempat dari Batu Pahat ke Muar sejauh 169.4 kilometer, Isnin lalu.

Katanya, harapan rakyat Terengganu cukup tinggi untuk melihat jaguh tempatan mencipta nama pada perlumbaan tumpuan dunia itu khususnya tiga peringkat terakhir di Terengganu.


Pengunjung teruja pilih buku serendah RM1


Oleh: Suriati Ali

Puluhan jenis buku bacaan dan latihan yang ditawarkan semurah RM1 hingga RM50 sempena Pesta Buku Terengganu 2012 membuatkan pengunjung seakan teruja memilih buku kegemaran masing-masing.


Pesta buku yang berlangsung selama tujuh hari dan berakhir hari ini di Pusat Dagangan Terengganu, Jalan Hiliran, Kuala Terengganu mendapat sambutan sangat menbanggakan daripada orang ramai terutama pelajar.

Kira-kira 10,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu hadir di pesta buku anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Lebih 50 pengedar dan pengusaha kedai buku mengambil kesempatan mempromosi produk dan judul buku masing- masing.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan sambutan pengunjung terhadap pesta buku yang dianjurkan pada kali ini berikutan mendapat sambutan diluar jangkaan.




“Orang ramai termasuk pelajar seakan tidak mahu meninggalkan lokasi pesta buku kerana mereka teruja mendapatkan pelbagai jenis buku yang ditawarkan semurah RM1.


“Berdasarkan sambutan menggalakkan, membuktikan masyarakat kini sudah mula sedar terhadap kepentingan membaca dan menuntut ilmu,” katanya.