Halaman

04 October 2012

Pas gagal, tutup peluang kekal di DUN Bukit Payong

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegagalan Pas melaksanakan sebarang pembangunan dan kebajikan kepada rakyat sudah cukup untuk menutup peluang pembangkang mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Pas yang hanya menang dengan majoriti 313 undi gagal memikul mandat penduduk yang sudah tersilap percaturan memilih mereka pada PRU12 lalu.

 Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata pemimpin Pas hanya sekadar ada pada nama selaku Ahli Dewan Undangan Negeri, hakikatnya Kerajaan BN juga yang melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin bagi memastikan tiada rakyat di DUN berkenaan terpinggir.

“Sebuta sahaja Adun Pas, bagaimanapun kerajaan BN yang memikul tanggungjawab tanpa henti, terus komited dan bekerja keras bagi memastikan nasib rakyat di sini tetap terbela dan mendapat bantuan sewajarnya,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Encik Zaidi berkata, Pas bukan sahaja gagal menjadi pemimpin yang baik dan bertanggungjawab, malah prinsip perjuangan mereka kian jauh tersasar apabila sanggup bersekongkol dengan parti lain seperti PKR dan DAP, di mana Pakatan Rakyat itu jelas tidak sefahaman dalam memperjuangkan kesucian agama Islam.

Sehubungan itu, Encik Zaidi berkata, jentera parti di DUN berkenaan sudah bersiap-sedia `bertempur’ bagi mengembalikan semula kawasan itu kepada BN pada PRU nanti.

 Katanya, jentera parti sudah memperkemaskan gerak kerja di setiap peti undi DUN melibatkan persiapan dari segi daftar pemilih, gerak saraf, sistem maklumat, bacaan sikap serta kepimpinan bagi memastikan persiapan berdepan PRU berjalan lancar dan mantap.

Dalam pada itu, beliau berkata, golongan muda dan pengundi atas pagar juga sudah ramai menyokong BN kerana melihat dasar kerajaan negeri mahu pun Pusat yang sentiasa memberi tumpuan kepada semua golongan termasuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia, Dana Bakti Remaja dan juga Dana Hari Raya.

Sebagai contoh, katanya seramai 4,694 penduduk di DUN itu menerima Dana Hari Raya berjumlah RM1.4 juta pada tahun ini, meningkat kira-kira RM100,000 berbanding tahun lalu.

 “Kebanyakan rakyat amat berpuas hati dengan prestasi semasa Kerajaan BN dan Umno yang jelas meringankan bebanan rakyat serta menepati janji yang dibuat, malah mereka juga tidak bercakap kosong seperti pembangkang yang hanya tahu menabur janji dan mengadu-domba bagi memecah-belahkan kepimpinan hari ini,” tambahnya.

 

Beri peluang kepada ketua bahagian

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketua-ketua Umno Bahagian di Terengganu harus diberi peluang menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) memandangkan khidmat dan pengalaman mereka dalam pucuk pimpinan parti.

Pengarah Strategik Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata lapan ketua Umno Bahagian Terengganu menjadi `komander’ di setiap kawasan meliputi empat Dewan Undangan Negeri masing-masing sejak PRU11 dan PRU12 lalu.

“Pandangan saya, kita berharap ketua Umno lapan bahagian ini wajar mendapat ruang dan diberi peluang dicalonkan semula pada PRU13 nanti. Kita tahu dari awal lagi PRU 2004, PRU 2008 mereka yang sama sebenarnya menjadi komander di kawasan (masing-masing).

 “Masing-masing memiliki pengalaman dan mereka pun bukan tua sangat yang mengetuai setiap bahagian dalam Terengganu ini. Jadi, mereka wajar mendapat tempat dicalonkan semula,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Malah, Dato’ Rosli yang juga Ketua Umno Bahagian Dungun juga bersedia menjadi calon jika beliau tersenarai menjadi pilihan pucuk pimpinan bagi mempertahankan mana-mana kerusi Barisan Nasional (BN) pada PRU nanti.

 “Saya memang bersedia dari dulu untuk menjadi calon dan memimpin parti. Saya tiada apa-apa masalah kerana dari dulu lagi saya memang berkhidmat dan taat setia kepada kepimpinan BN serta Umno.

“Maknanya, dalam bahasa kampung, `nak kata nak sangat ( jadi calon) tidak jugak, nak kata tidak mahu, tidak jugak,” jelas beliau lagi.

 Selain itu, beliau juga sedia maklum senario serta pencapaian pemimpin politik di Terengganu berikutan itu sudah menjadi satu daripada peranannya mengetuai kerja-kerja memantapkan parti peringkat negeri.

Katanya, pucuk pimpinan negara serta negeri sememangnya memberi perhatian utama dan cukup serius kepada Bahagian Kuala Terengganu dan Marang berikutan kawasan itu menjadi kubu kuat pembangkang.

“Dua kawasan Marang dan Kuala Terengganu kawasan kritikal dari segi Parlimen dan beberapa DUNnya..Pun begitu, kalau kena cara, dua-dua (Parlimen) ini kita mampu menang. Dua kawasan ini bukan `hitam’, bagi saya ini kawasan `kelabu’ sahaja bagi kita,” katanya.

 Katanya, pihaknya sudah mengetahui aliran pengundi di kawasan berkenaan dan pelbagai langkah sudah diambil pucuk pimpinan parti sehingga ke akar umbi bagi menggempur dua kawasan yang dikatakan kelabu ini supaya boleh berubah menjadi `putih’.

 Selain mengutamakan calon pilihan rakyat, calon yang mempunyai kredibiliti dan hebat harus diketengahkan seperti ulama dn juga pegawai pentadbir.

 Beliau juga membayangkan akan berlaku kejutan di Marang dan Kuala Terengganu berkenaan calon dan juga keputusan PRU13 nanti berdasarkan kemantapan jentera parti bekerja dan saling komited mencapai sasaran mereka.

 

03 October 2012

Sultan Mizan berkenan merasmikan IKBN Kemasik esok

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan untuk merasmikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kemasik, pagi esok, sempena sambutan Hari Keputeraan ke-50 baginda.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berkenan berangkat mengiringi baginda. Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato Haji Mazlan Ngah dan isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah, dijangka turut hadir pada majlis berkenaan.

Pelbagai acara, termasuk persembahan nasyid oleh pelajar IKBN Kemasik, turut diatur bagi menjayakan majlis berkenaan.

Sultan Mizan turut berkenan berangkat ke majlis Forum Perdana sempena sambutan Hari Keputeraan ke-50 baginda yang dijadualkan diadakan di Padang Astaka, Kemaman, pada sebelah malamnya.


Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke STB

Oleh: Suriati Ali

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Sekolah Tunas Bakti (STB) (Perempuan), Marang, hari ini.

Keberangkatan baginda disambut Isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan dan isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad bersama isteri To’ Puan Hajah Rosnani Ngah; Pegawai Daerah Marang, Haji A Rahman Che Ali dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Encik Zuhami Omar.

Hadir sama, para pembesar negeri dan ketua-ketua jabatan turut hadir bagi menjayakan majlis berkenaan.

Sebaik tiba, Sultanah Nur Zahirah mendengar taklimat yang disampaikan Encik Zuhaimi berkaitan latarbelakang dan profil organisasi STB.


Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 102 pelajar STB sebagai tanda prihatin kepada golongan itu.

 

Generasi muda tolak pembangkang


Golongan belia kini mula sedar mereka tidak lagi berpeluang untuk menikmati pelbagai kemudahan seperti yang disediakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) jika pembangkang memerintah negara ini.

Ini kerana sejarah telah membuktikan janji oleh pembangkang tidak dikotakan. Sekarang generasi muda mula melihat BN sebagai kerajaan yang prihatin dan berbuat kebajikan.

Faktor penolakan belia terhadap BN pada 2008 adalah kerana mereka disogok dengan pelbagai persepsi salah tentang BN, selain faktor calon tidak menepati kriteria mereka dan juga program BN yang dilihat tidak mesra belia.

Bagaimanapun kerajaan BN hari ini telah berubah dan menunjukkan kesungguhan mendekati golongan belia dengan pelbagai cara termasuk laman sosial facebook dan twitter selain kekerapan turun padang oleh pemimpin BN.

Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang dekat di hati golongan belia kerana telah banyak bantuan diberikan kepada golongan ini.

Justeru itu tidak hairanlah jika kajian Majlis Belia FELDA mendapati lebih 60 peratus belia di seluruh negara kini menyokong BN.

Persepsi buruk yang dilempar pembangkang kononnya kerajaan BN zalim, menindas rakyat dan mengabaikan rakyat termasuk belia ternyata tidak dapat mempengaruhi mereka kerana golongan belia sudah merasai satu demi satu hasil usaha kerajaan BN, baik ke atas diri mereka mahupun keluarga mereka.

Contohnya dalam isu perumahan, kerajaan BN telah mengotakan janjinya dengan melaksanakan PR1MA dan kalau kata kos kehidupan meningkat, kerajaan beri BR1M dan KR1M untuk meringankan beban rakyat.

Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang dekat di hati golongan belia kerana telah banyak bantuan diberikan kepada golongan ini.

Perdana Menteri sendiri ‘turun padang’ dan sering dilihat mendekati generasi belia, termasuk beberapa kali menonton siaran langsung pertandingan bola sepak menerusi skrin besar bersama-sama golongan belia.

Pengundi muda yang merupakan lebih 40 peratus pengundi baru cenderung menyokong BN untuk kesinambungan pembangunan, perpaduan, kesejahteraan dan pertumbuhan ekonomi yang mewujudkan pelbagai peluang mereka membina kehidupan lebih baik dan masa depan yang meyakinkan.

Golongan muda perlu menolak pemimpin-pemimpin yang suka mencetuskan huru-hara, menimbulkan propaganda dan persepsi tanpa disokong bukti serta fakta kukuh hingga menyebabkan fitnah terhadap pihak lain.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya, sikap ahli politik yang suka menimbulkan persepsi salah terhadap pihak lain diibaratkan seperti politik ‘ala syaitan’ yang hanya akan memburukkan pihak lain.

Beliau berkata, banyak kategori pemimpin yang perlu ditolak orang muda antara yang lain ialah mereka yang tidak memiliki kepakaran dalam bidang yang dipimpin.

“Mana mungkin seseorang yang tidak memiliki kepakaran akan berjaya dalam bidang yang dipimpinnya, justeru, orang muda perlu bijak menilai siapa pemimpin yang akan mereka pilih pada PRU13 nanti,” katanya.

Generasi muda bertanggungjawab mengubah struktur politik negara masa kini, jadi mereka perlu bijak menganalisis maklumat yang diperolehi dari pelbagai sumber, bukan percaya bulat-bulat maklumat tersebut yang belum pasti sama ada dari fakta betul atau salah.

Jika mereka tidak menganalisis maklumat yang diperolehi itu, ia akan mencetus fitnah terhadap pihak lain dan budaya fitnah dilarang dalam Islam.

 

BN mampu tawan 26 kerusi

Oleh: Aida Abd Rahman

Barisan Nasional (BN) dijangka mampu memenangi sekurang-kurangnya 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini berdasarkan iklim politik yang kian stabil di peringkat negeri mahu pun nasional.

 Pengarah Strategik Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada kajian secara menyeluruh yang dilakukan pihaknya serta suasana politik negeri serta negara yang bertambah baik.

 “Saya menjangkakan kita boleh menang paling minima 26 kerusi DUN. Kita boleh menang antara 25 dan 26 kerusi. Malah tidak mustahil kita boleh tambah dua lagi kerusi. Ini bermakna, enam daripada 32 kerusi (DUN) itu masih ada potensi untuk kita tawan semula.

 “Kita buat kajian saintifik dan sekiranya iklim politik stabil di peringkat nasional dan jentera kita meningkat dari masa ke semasa, tidak mustahil kita boleh memberi kemenangan yang lebih besar daripada yang saya jangka. Itu yang saya jangka. Bukan Umno (Perhubungan) negeri,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Rosli berkata, selain faktor iklim politik yang kian stabil, jentera pilihan raya di peringkat akar umbi juga semakin bersedia untuk menghadapi PRU 13.

Menurut beliau, kemenangan BN nanti harus didokong oleh status calon PRU13 nanti sama ada individu yang diketengahkan sebagai calon itu diterima rakyat atau sebaliknya.

 “Cuma sekarang, tinggalnya orang hanya membicarakan tentang calon saja. Jadi, saya rasa kebijaksanaan Menteri Besar dan pucuk pimpinan negara (Perdana Menteri) yang akan membuat keputusan muktamad bagi menamakan calon pilihan rakyat.

“Calon berkenaan pastinya akan memberi impak kepada rakyat di mana mereka akan mengundi bukan saja parti yang baik juga kepada calon yang baik dan perkara itu membantu menambahkan lagi kerusi untuk memberi kemenangan besar kepada BN,” katanya.

Menurutnya, pemimpin tertinggi hingga ke akar umbi juga harus menasihat kepada rakyat supaya mereka mengutamakan parti berbanding calon.

 Katanya, semua pemimpin dan rakyat negeri dan negara ini harus melihat PRU13 sebuah pilihan raya yang luar biasa dan turut memerlukan perubahan dari aspek mengetengahkan calon juga dalam keadaan luar biasa.

 Beliau berpandangan pada PRU13 ini akan melibatkan 30 peratus muka baru yang akan bergandingan dengan pemimpin berpengalaman dan juga generasi muda.

 “Saya optimis bahawa generasi muda dalam pimpinan parti harus diberi tempat yang sewajarnya tanpa meninggalkan pemimpin-pemimpin yang agak lama yang telah berjasa dan memiliki pengalaman mahu pun kriteria hebat sebagai pemimpin.

 “Generasi muda perlu (calon) memandangkan pengundi muda, `first timer’ pun ramai. Kurang-kurang mereka terasa bahawa ada gabungan di antara muka lama, muka baru, berpadu dalam satu pasukan,” katanya.

 

Program Salam Sayang Wanita UMNO dekati pengundi


Wanita sedang mengikuti ceramah pada majlis Salam Sayang di Rumah Murah Seberang Jertih.

Oleh: Mohammad Ishak 

Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Besut memulakan langkah mendekati ahli terutama pengundi wanita dengan mengadakan program “Salam Sayang” yang bermula semalam.

Ketuanya, Engku Naimah Engku Taib berkata, program yang dirancang peringkat nasional itu disambut baik oleh wanita bahagian dan memilih Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih sebagai lokasi pertama pergerakan itu menemui wanita.

Katanya, menerusi program itu pemimpin wanita setempat dengan dibantu beberapa agensi berkaitan akan mengadakan sesi bual bicara dan majlis penerangan isu semasa berhubung perkembangan politik negara.

Menurutnya, semua jentera wanita bahagian itu juga diminta memberi kerjasama kepada program berkenaan yang akan diadakan di kawasan peti undi masing-masing.

“Kami akan bergerak dalam satu tem dan mengadakan perjumpaan dengan semua ahli parti di semua peringkat sambil beramah mesra dengan mereka,”

katanya. Engku Naimah berkata, jentera wanita terutama skuad Jalinan Rakyat (JR) akan memastikan semua program yang dilaksanakan oleh wanita dapat berjalan dengan baik dan lancar bagi mempastikan mesej yang akan disampaikan diterima ahli akar umbi.

Beliau berkata, walaupun pilihan raya umum (PRU13) tidak mungkin diadakan pada tahun ini berdasarkan beberapa faktor tetapi usaha memberi penerangan dan mendampingi pengundi wanita tetap diteruskan dari masa ke semasa.

Sehingga ini,katanya, beliau berpuas hati dengan peranan dan tanggungjawab yang dilakukan oleh jentera wanita untuk membantu parti menghadapi PRU13 kerana wanita mahu Barisan Nasional (BN) terus kekal mentadbir negeri dan negara.

Dua pelumba ditagih beraksi kejohanan Berbasikal Bukit Antarabangsa Langkawi 2012

Oleh: Aida Abd Rahman

Dua pelumba yang memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 yang lalu menjadi sandaran Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) untuk menggalas cabaran negeri pada Kejohanan Berbasikal Bukit Antarabangsa Langkawi 2012.

Ketua jurulatih, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, pelumba berkenaan Nor Amirul Fakhruddin Marzuki dan Nurul Shuhada Zainal yang merangkul emas dalam acara lebuh raya pada Sukma lalu diharap dapat memberikan saingan kepada pelumba lain dalam kejohanan yang berlangsung pada 15 hingga 20 Oktober ini.

"Penyertaan Terengganu bukanlah mengutamakan kemenangan tetapi bagi menimba pengalaman memandangkan pelumba-pelumba bertaraf dunia bakal menyertai kejohanan itu nanti,” katanya.

Katanya pelumba Terengganu menjalani latihan secara intensif selepas hari raya lalu bagi persiapan menghadapi kejohanan itu.

   

Sultan Mizan berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam

Oleh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam sempena sambutan Hari Keputeraan ke-50 baginda, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Mengiringi baginda, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah; Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Dato’ Haji Embong Awang dan Dato’ Dr Alias Abdullah.

Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato Haji Mazlan Ngah dan isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Ketua-ketua jabatan pelbagai jabatan, penghulu, dan Pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di pelbagai daerah turut hadir bagi memeriahkan majlis.

 

02 October 2012

Sultan Mizan berangkat ke Majlis Jamuan Makan Malam di Kediaman Seri Iman



Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijadualkan berangkat ke Majlis Jamuan Malam sempena sambutan Hari Keputeraan ke-50 baginda, di Kediaman Seri Iman, malam ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; para pembesar negeri dan ketua-ketua jabatan dijangka turut hadir bagi menjayakan majlis berkenaan.

Sementara itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan untuk berangkat ke majlis lawatan Sekolah Tunas Bakti (Perempuan), Marang, pagi esok.

Baginda akan diiring To’ Puan Seri Norliza dan isteri saf kepimpinan negeri serta pemimpin tempatan.