Halaman

18 May 2013

YIT laksana projek perumahan

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Islam Terengganu (YIT) merancangkan melaksanakan projek perumahan dan perkedaian secara lebih agresif tahun ini.

Pengarahnya, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, ia akan dilaksanakan di beberapa daerah di atas tanah milik YIT yang membabitkan daerah Kemaman, Setiu dan Kuala Terengganu.

“Ini termasuklaj sebuah kompleks bersepadu setinggi 20 tingkat bakal dibina di tapak bersebelahan Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam Kuala Terengganu tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya, kompleks berkenaan yang dianggarkan menelan kos RM100 juta akan menempatkan 20 unit premis perkedaian disamping ruang pejabat dan sebagainya.

 “Projek ini akan dilaksanakan oleh Syarikat ND Properties milik Bumiputra dan statusnya mungkin dijadikan hotel, rumah kediaman dan pelbagai kemudahan lain,” katanya.

Selain itu, YIT juga merancang membangunkan projek perumahan dan premis perkedaian di kawasan seluas enam hektar di hadapan Awana Kijal, Kemaman.

Katanya, semua persiapan sudah diatur untuk mengadakan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama dua buah syarikat yang bakal mengendalikan projek itu.

Menurutnya, projek yang sama turut dibangunkan di hadapan Hospital Setiu seluas dua hektar untuk rumah kediaman dan rumah kedai.

 “Mulai tahun ini kita mula memajukan tanah-tanah aset YIT secara lebih agresif dan melalui projek di Kemaman kita jangka mampu memperolehi keuntungan RM15 juta,” katanya.

 

Pusat Komunikasi Strategik dan Jaringan Antarabangsa Putrajaya bakal dilancarkan

Oleh: Noraini Jusoh

Dalam usaha menjadi sebuah universiti unggul, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal melancarkan Pusat Komunikasi Strategik dan Jaringan Antarabangsa Putrajaya dalam masa terdekat.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, ia sebagai lanjutan daripada Pusat Komunikasi Korporat dan Pembangunan Citra yang terletak di kampus utama di negeri ini.

"Pusat yang beroperasi di Putrajaya ini akan berfungsi sebagai wakil UMT dalam menjalankan urusan komunikasi strategik contohnya dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan ketua-ketua industri yang berpusat di Kuala Lumpur.

"Sebelum ini, banyak program dan aktiviti yang dijalankan di Kuala Lumpur kita tertinggal dan dengan adanya pusat ini saya yakin masalah ini dapat diatasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Anugerah Tahunan UMT 2013 di Pusat Kovensyen, Taman Tamadun Islam, baru-baru ini.

Katanya, pihak universiti perlu mempunyai hubungan yang rapat dengan KPT dan agensi Kerajaan Pusat yang lain jika mahu terus maju ke hadapan.

Pada masa yang sama katanya, inisiatif boleh diambil untuk memperkukuhkan jaringan antarabangsa melalui pelbagai peluang dan aktiviti globalisasi yang berlaku di Putrajaya (pusat pentadbiran) dan Kuala Lumpur (pusat perniagaan).

Jelas beliau, secara tidak langsung kewujudan pusat ini akan memudahkan sebahagian daripada tugas ahli akademik dan kakitangan UMT yang perlu berurusan di Kuala Lumpur kerana tugas mereka akan diambil alih oleh kakitangan pusat ini.

Tambah beliau, pusat ini juga akan berfungsi untuk menyelaras penerbitan korporat dalam bentuk majalah, buku dan laporan strategik untuk meningkatkan citra UMT.

 

17 May 2013

Konsep pembelajaran “Ulul Albab” ke peringkat nasional


Orang ramai menyambut Idris sejuruh tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud,Kuala Terengganu.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kejayaan konsep pebelajaran “Ulul Albab” yang mula diperkenalkan di Terengganu, akan dilaksanakan diperingkat kebangsaan apabila ia dipersetujui kerajaan.

Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata,perkara itu perlu dibincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran supaya pelaksanaan konsep itu nanti memberi kesan kepada sistem pendidikan negara.

Bagaimanpun, katanya, beliau perlu mengambil sedikit masa dan berbincang dengan pegawai tinggi kementerian sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh.

“Pengabungan Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dan kini dipendekkan kepada Kementerian Pelajaran memudah usaha untuk melaksanakan sistem pendidikan nasional," kataya pada sidang media setibanya dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, petang semalam.

Konsep 'Ulul Albab' adalah pembelajaran yang berlandaskan al-Quran dengan menggabungkan sains, teknologi serta moral dan berupaya melahirkan generasi yang sesuai untuk Malaysia sebagai negara Islam. 

Selain itu,katanya,penekanan kepada kemajuan akademik, kemajuan akhlak juga perlu diberi perhatian untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab kepada negara.

Sebelum itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Besut disambut meriah oleh rakyat Terengganu yang turut bergembira dengan perlantikan anak Terengganu pertama sebagai Menteri Pelajaran.

Pinjaman buku melalui talian

Oleh; Esah Abdullah

Orang ramai di negeri ini akan mendapat kemudahan pinjaman buku dalam talian melalui program e-book yang diperkenalkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mulai Jun depan.

Pengarah PPAT, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah berkata, pada masa ini program tersebut sedang dalam proses penyediaan dan peminjam dapat menggunakan kemudahan itu tanpa perlu lagi ke perpustakaan.

``Dengan adanya kemudahan itu ahli PPAT tidak perlu lagi ke perpustakaan untuk meminjam buku, secara online,’’ ``Kaedah itu diperkenalkan sejajar dengan perkembangan semasa untuk kemudahan ahli di samping meningkatkan minat membaca di kalangan masyarakat.’’ katanya.

Menurutnya, pada masa ini 87 judul buku pelbagai jurnal termasuk buku untuk kanak-kanak telah diprogramkan dalam e-book dan akan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Sejajar dengan perkembangan itu katanya, mereka yang belum menjadi ahli boleh juga mendaftar ahli dalam talian tanpa perlu hadir ke perpustakaan.

Sehubungan itu, pendaftaran ahli secara manual masih boleh dilakukan dan ahli yang mendaftar di perpustakaan akan diberikan `Kad Ilmu’ yang layak untuk meminjamkan sehingga empat buah buku setiap kali meminjam.

 “Selain kemudahan tersebut, PPAT turut memperkenalkan pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai mendaftar sebagai ahli di samping berkunjung ke perpustakaan.

“Pada masa ini PPAT mempunyai kira-kira 400 ribu ahli di seluruh negeri yang melibatkan di perpustakaan negeri, daerah dan 90 perpustakaan desa.

``Kita sedar pada masa ini orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui hujung jari, dan PPAT sentiasa berusaha meningkatkan kemudahan kepada pengunjung,’’ tambahnya.

Beliau berkata, pada tahun ini PPAT mendapat peruntukan kira-kira RM2 juta bagi menyediakan bahan bacaan dan meningkatkan kemudahan di perpustakaan.

 

Kepulangan Menteri Pelajaran dan Penganjian Tinggi.Dato’Seri Idris Jusoh akan disambut meriah rakyat Terengganu



Oleh: Mohammad Ishak 

Kepulangan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh akan dsambut meriah oleh rakyat negeri ini sebagai tanda sokongan dan terima kasih terhadap perlantikan beliau dalam kabinet Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut dijangka tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Mahmood,Kuala Terengganu, kira-kita jam 4 petang ini dan akan disambut oleh orang ramai.

Sejurus tiba beliau dijangka membuat sidang akhbar sebelum berlepas pulang secara konvoi ke rumah beliau di Kampung Tok Has, dekat Jertih.

Idris akan diraikan secara besar-besaran dalam satu majlis perjumpaan dengan penduduk Besut di Bangunan UMNO Bahagian Besut kira-kira jam 5.30 petang.

Setiausaha UMNO Bahagian itu, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri berkata, pada perjumpaan itu Idris akan menyampaikan ucapan kepada 1,000 penyokong Barisan Nasional (BN) di bahagian itu.

Katanya, pada sebelah malam satu majlis solat hajat akan diadakan di Masjid Kayu, Ulul Albab, Seberang Jertih, dan akan meraikan jemaah masjid.

Manakala pada keesokkan hari (Sabtu) satu majlis sarapan pagi kepada orang ramai akan diadakan di kediaman beliau di Kampung Tok Has, bermula jam 8 pagi.

Perlantikan Idris di kementerian yang dianggap penting itu mengembirakan rakyat Terengganu kerana beliau adalah seorang tokoh berpengetahuan luas dalam bidang pendidikan dan agama Islam.

PPAT anjur Program Hadiah Pinjaman Buku Terbanyak

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mengadakan Program Hadiah Pinjaman Bulanan Buku Terbanyak bagi kategori dewasa dan kanak-kanak bermula pada bulan Mac hingga Disember nanti.

Pengarahnya, Puan Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pendekatan itu mampu memupuk semangat meneroka ilmu dan mencintai perpustakaan di kalangan peserta.

“Apa yang menariknya, agihan hadiah kepada pemenang diadakan pada setiap bulan bagi membuktikan kesungguhan pengunjur melaksanakan program itu,” katanya.

Katanya, pihaknya turut mengadakan Kempen Pengecualian Denda bagi buku-buku yang dipinjam melebihi tempoh pinjaman bermula 16 April dan berakhir 15 Mei lalu di semua perpustakaan bawah seliaan perbadanannya.

 “Tempoh pengecualian denda selama sebulan ini adalah sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 23 April yang disambut setiap tahun di seluruh dunia.

 "Pengecualian denda ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada peminjam buku supaya menghantar kembali buku-buku yang dipinjam tanpa dikenakan sebarang denda walaupun tarikh pemulangannya telah lama habis tempoh.

 "Secara kumulatifnya, di semua perpustakaan bawah seliaan kami, terdapat 7,000 naskah buku belum dipulangkan oleh peminjam," katanya.

 
 

UMT tuan rumah kejohanan sirkit skuasy KPT@IPT 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Kejohanan Sirkit Skuasy Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) @ Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2013 yang berlangsung selama empat hari di gelanggang skuasy UMT bermula semalam (16 Mei).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Anuar Hassan berkata, sebagai Pusat Sukan Tumpuan Skuasy, UMT dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan yang mendapat kerjasama daripada KPT Malaysia.

"Selaku mewakili tuan rumah saya mengalu-alukan kedatangan 45 mahasiswa dan mahasiswi dari sepuluh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mengambil bahagian pada kejohanan skuasy kali ini.

"Antara IPTA dan IPTS yang menyertai kejohanan ini termasuk Universti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta Taylor’s College,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Kejohanan Sirkit Skuasy KPT@IPT 2013, di Dewan Senat UMT, semalam.

Katanya, pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan bakal membawa pulang hadiah lumayan di mana johan akan menerima wang tunai RM500 beserta medal dan piala pusingan.

"Manakala, naib johan pula bakal membawa pulang wang tunai RM350 dan medal sementara tempat ketiga menerima wang tunai RM200 dan medal,” ujarnya.

 

Rakyat gembira, teruja tiga wakil Terengganu barisi Kabinet

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelantikan tiga ahli parlimen dari Terengganu menjadi orang penting yang dilantik menerajui kabinet yang baru dibentuk semalam, menimbulkan reaksi gembira dan terharu rakyat negeri ini.

Pemimpin berkenaan, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia serta timbalannya Dato’ Jailani Johari dijangka mampu memantapkan lagi barisan Kabinet diketuai Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Rata-rata meluahkan rasa kagum dan bersyukur, tidak kurang berkongsi  berita gembira itu menerusi media sosial terutama facebook dan blog masing-masing.

Bagi pembantu Agensi Pembangunan Masyarakat Kuala Terengganu, Puan Norizah Mohd Nor, pemilihan tiga ahli parlimen itu amat tepat dan membangkitkan semangat serta membanggakan seluruh rakyat dan kepimpinan negeri Terengganu.

“Ia satu pengiktirafan cukup besar dan sebagai ahli politik, saya melihat ketiga-tiga pemimpin berkenaan mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan itu berdasarkan keupayaan dan latar belakang pengalaman di bidang masing-masing selama ini.

“Pemilihan mereka pastinya menjadi platform untuk membawa suara rakyat Terengganu di parlimen nanti di mana Dato’ Idris akan membawa isu pelajaran, manakala isu komunikasi serta multimedia pula pastinya lebih efisien gandingan Dato’ Ahmad Shabery dan Dato’ Jailani,” katanya.

Sementara Nik Mohd Faridzal Nik Jaafar dari Jabatan Penerangan Negeri Terengganu pula menyifatkan pelantikan tiga ahli politik itu membuktikan Terengganu tidak tandus melahirkan pemimpin yang berwibawa.

“Pelantikan mereka bertepatan dengan kehendak dan keperluan rakyat di zaman teknologi yang memerlukan pemimpin yang mempunyai jiwa serta pengalaman dan pastinya akan membawa kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam membangunkan modal insan uyang mantap di dalam dunia tanpa sempadan ini.

 “Sebagai kakitangan di jabatan penerangan umpamanya, saya amat berbangga dan tempias itu pastinya memberi kesan untuk sama-sama mendukung aspirasi kerajaan bagi memantapkan lagi sektor komunikasi dan multimedia di negeri dan negara, khasnya,” katanya.

 

16 May 2013

YAB Menteri Besar Terengganu dan YABhg. To' Puan Seri ke Majlis Perasmian Festival Kenyir 2013 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian Karnival Kenyir 2013 sambil disaksikan Dato' Mohd Jidin Shafee. - Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Dato' Seri Haji Ahmad Said disambut orang ramai sebaik tiba di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu.


 Ucapan perasmian oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad said.


Isteri Menteri Besar, To'Puan Seri Hajah Norliza Mahmud turut hadir pada majlis itu.










Gandingan mantap anak Terengganu perkasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelantikan dua anak Terengganu menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi mesej jelas mengenai kepercayaan pucuk pimpinan Pusat terhadap kemampuan pemimpin negeri ini bagi memperkasakan lagi bidang berkenaan pada masa kini dan masa depan.

Dua wakil rakyat berkenaan, Ahli Parlimen Kemaman, Dato’Seri Ahmad Shabery Cheek, dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, manakala timbalannya, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Jailani Johari.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), Haji Shamsuddin Sulong, berkata seluruh rakyat ternanti-nantikan barisan Ahli Parlimen dari Terengganu untuk disenaraikan dalam kabinet transformasi yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, semalam.

“Alhamdulillah, dua Ahli Parlimen Terengganu mendapat kepercayaan dan pengiktirafan cukup tinggi oleh  pucuk pimpinan untuk menerajui bidang komunikasi dan multimedia negara kita di mana ia merupakan sektor yang terpenting dalam dunia yang semakin mencabar serta tanpa sempadan kini.

 “Kita yang berada di peringkat negeri pastinya gembira dan teruja malah akan sentiasa menyokong usaha kementerian itu dalam memantapkan industri komunikasi dan multimedia tempatan setanding dengan perkembangan antarabangsa," katanya kepada Teganukita, hari ini.

Sementara itu, Presiden Kelab wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat turut gembira dengn pelantikan itu, bukan sahaja dalam konteks politik negeri, malah dalam konteks kepentingan media di Terengganu.

Katanya, Kawat bersedia untuk memberi komitmen tidak berbelah-bahagi dalam setiap perancangan dan pelaksanaan gerak-kerja bagi memperkukuhkan bidang itu di negeri dan negara ini, amnya.

“Industri komunikasi dan multimedia mempunyai skop yang cukup luas dan mencabar yang pastinya harus diterajui oleh pakar dan individu yang berpengalaman dan teknorat di lapangan itu.

 “Pelantikan dua pemimpin dari Terengganu ini membuktikan satu pilihan yang tepat oleh Perdana Menteri dalam hasrat kita menjana kemajuan dan pembangunan sistem komunikasi dan juga multimedia termasuk skop-skop yang berkaitannya, tidak terkecuali bidang kewartawanan tu sendiri,” katanya.

Beliau menyifatkan Dato’ Ahmad Shabery seorang menteri yang pernah menerajui Kementerian Penerangan pada 2008, mudah didekati dan sudah biasa dengan pengamal media di Terengganu khususnya Kawat, malah hubungan baik yang sedia terjalin itu pasti mampu menyuntik dimensi baru yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak.