Halaman

26 June 2013

Adun Kuala Besut meninggal dunia

Jenazah Allahyarham Dr A Rahman dibawa keluar dari unit ICU.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, YB Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kira-kira jam 10.18 pagi ini.

Orang ramai menunggu di Bilik Forensik untuk memberi penghormatan terakhir.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri sedang menerima rawatan rapi di HSNZ sejak Khamis lalu, selepas mengalami masalah penafasan.

Jenazah akan disembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Teluk Bayu, Kuala Besut petang ini.

 Al-fatihah. Semoga Allahyarham Dr A Rahman ditempatkan di kalangan para syuhada dan hambaNYa yang salihin. Amin.


25 June 2013

Program yasin perdana eratkan perpaduan

Oleh; Esah Abdullah 

Wanita main peranan penting mengeratkan hubungan silatulrahim antara satu sama lain dalam masyarakat dan juga pemimpin kawasan, daerah dan negeri melalui pelbagai program dan aktiviti yang diatur setiap bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Batu Rakit, Haji Bazlan Abdul Rahman berkata, setiap aktiviti yang diadakan sentiasa mendapat sambutan daripada golongan ibu-ibu di luar bandar.

“Saya yakin wanita mampu mewujudkan suasana harmoni dan ceria kalangan masyarakat melalui program yang diatur dari semasa kesemasa,” katanya di Majis Penutup Yasin Perdana Wanita Batu Rakit di Masjid As -Salam Batu Rakit baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Agama kepada Menteri Besar, Ustaz Kamalruddin Omar selaku penceramah jemputan dan Ketua Wanita Umno Bahagian Setiu, Hajah Wan Maznah Nong sebagai penganjur program serta 400 peserta mewakili 30 buah kampung dalam kawasan Batu Rakit.

Beliau juga gembira kerana wanita banyak mengatur program santai termasuk salam sayang dan ziarah sayang mengunjungi rumah warga emas yang uzur serta santai sayang yang lebih kepada perjumpaan mengeratkan perpaduan kalangan wanita di kampung-kampung.

“Dengan adanya program sebegini golongan warga emas dan orang kurang upaya sentiasa rasa dihargai oleh pemimpin setempat dan mereka boleh menyuarakan apa sahaja masalah yang ada,” katanya.

MoU UiTM-Aman Palestin rintis usaha hantar pelajar ke Gaza

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu melakar sejarah sebagai universiti pertama di negara ini mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Aman Palestin Bhd dalam usaha melahirkan mahasiswa yang peka dengan isu antarabangsa, terutama isu Palestin.

Rektor UiTM Terengganu, Profesor Madya Dr Abdol Samad Nawi berkata pihaknya menyasarkan untuk menghantar 100 pelajar dan pensyarah universiti itu ke Gaza pada Disember tahun ini bagi menyalurkan khidmat mereka kepada rakyat di wilayah bergolak itu.

"Ketika ini, kami giat menjalankan pelbagai aktiviti untuk mengumpul dana bagi misi penghantaran pelajar dan pensyarah ke Gaza...kami berharap kerjasama dengan Aman Palestin akan melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan menjadi aset negara," katanya selepas majlis pemeteraian MoU itu di Hotel UiTM.

Dr Abdol Samad mewakili UiTM Terengganu manakala Aman Palestin diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya Hasimah Salleh.

Hasimah berkata penyertaan mahasiswa dalam menyalurkan khidmat mengikut kepakaran mereka di Gaza sangat dialu-alukan kerana Aman Palestin adalah satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hanya fokus dalam misi kemanusiaan di Palestin.

"Terlalu banyak yang perlu dibantu di sana dan Aman Palestin hanya membuka jalan untuk rakyat Malaysia bersama-sama membantu mereka di sana melalui jihad ekonomi dan ilmu," katanya.

Pada majlis itu, UiTM Terengganu turut menandatangani dua lagi MoU iaitu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka yang diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Dr Awang Sariyan dan Noor Arfa Holdings Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Kewangannya, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin.

Melalui MoU itu, UiTM Terengganu akan menerbitkan 30 manuskrip bersama DBP yang menyentuh aspek teknikal kejuruteraan hasil karya pensyarah dan tenaga akademiknya.

Noor Arfa pula akan menyediakan sebuah bengkel di Chendering untuk pelajar UiTM Terengganu menjalani latihan industri seterusnya berkongsi ilmu dan kemahiran dalam industri tekstil berkaitan sutera dan batik.


Sukma jadi medan uji kemampuan kekal juara

Kontinjen Terengganu menyifatkan sukan Malaysia (Sukma) 2013 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari Jumaat ini hingga 7 Julai sebagai medan yang bakal mencabar kemampuan mereka sebagai juara empat kali berturut-turut.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat berkata ini berdasarkan hakikat beberapa acara yang menjadi tunggak kekuatan kontinjen negeri sebelum ini seperti sukan basikal, kenu dan sukan berkuda tidak dipertandingkan pada temasya kali ini.

"Kontinjen Terengganu kini mengejar kejuaraan kelima berturut-turut demi maruah negeri yang pernah dianggap lemah dalam bidang sukan suatu ketika dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama atlet Sukma Terengganu di kediamannya di sini.

Bagaimanapun, beliau yakin kontinjen negeri mampu mengekalkan kejuaraan dengan semua atlet telah membuat persediaan secukupnya untuk memberikan cabaran pada kejohanan itu.

"Atlet Terengganu sekarang ini bukan seperti atlet 10, 15 tahun dulu dan atlet kita kini sudah bersedia untuk berjuang dan memastikan akan dapat menguasai sukan yang dipertandingkan," katanya.

 Pada Sukma kali ini Terengganu yang menyasarkan 30 pingat emas menghantar seramai 330 atlet membabitkan 16 acara sukan.

 

ANALISA ISU: PRESIDEN PAS SOKONG DEMONSTRASI ATAS NAMA DEMOKRASI DAN CARA MENEGUR KERAJAAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Kenyataan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong demonstasi sebagai cara rakyat menegur kerajaan amatlah dangkal dan tidak menepati ajaran Islam sama sekali, lebih-lebih lagi blia beliau merujuk kepada amalan di England dan Amerika.

Apakah demonstrasi yang diadakan ke tahap melanggar undang-undang, membuat halangan dan sekatan di jalan raya serta ke peringkat keganasan mencederakan anggota polis yang mengawal keselamatan boleh dianggap satu cara yang betul?

Adakah perbuatan perbuatan para pendemo merempuh kawalan polis untuk memasuki bangunan parlimen ketika majlis angkat sumpah ahli parlimen diadakan itu suatu perbuatan yang wajar dan baik?

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini berkata demontrasi aman merupakan salah satu dari cara rakyat menegur dan mengkritik kerajaan dan menjadi amalan di negara barat seperti England dan Amerika yang membenarkannya, dengan syarat tidak melakukan huru-hara serta keganasan.

Namun, kata Ustaz Abdul Hadi, demontrasi aman yang dianjurkan di negara ini sering kali dicemari dengan provokasi serta ‘ketakutan’ di pihak kerajaan. “Apa kita (kerajaan) takut dengan demontrasi ini aman.

Sepatutnya, kerajaan yang ‘sihat’ dia terbuka untuk orang tegur dia, orang kritik dia, kata Abddul Hadi mengulas tindakan penganjuran Blackout 505. Kata Haji Hadi yang dilaporkan Harakahdaily bahawa:

“Rakyat yang tidak puas hati, dia (kerajaan) tahu apa yang rakyat tidak puas hati itu dan dia buat perubahan.

Dia (kerajaan) bukan Tuhan tahu segala-galanya dan jika dia (kerajaan) bukan Tuhan, melalui demontrasi apa yang dia tidak tahu akan jadi tahu dan boleh buat perubahan.

 “PAS menghormati demokrasi. Di England umpamanya, di Amerika dan di negara barat ada tempat (perkara) yang kita (Islam) boleh ikut dan ada tempat yang kita tidak boleh ikut dia (barat)., katanya Abdul Hadi lagi.

Oleh itu, rata-rata ingin bertanya kepada Presiden Pas adakah perbuatan seumpama itu menurut ajaran Islam yang boleh kita contohi dan ikuti?

Dalam beberapa kejadian yang lalu petugas Dewan Bandaraya dipukul oleh peserta Blackout 505 dan terbaru anggota polis Inspektor Mohd Aswad Mad Saad cedera di mata kanan dan hidung kerana tugasnya menghalang peserta dari merempuh halangan polis di jalan menuju ke bangunan Parlimen.

Demokrasi apakah yang di England dan Amerika yang Haji Hadi mahu contohi atas nama Islam?

Beliau tentu ingat, semasa menjadi Menteri Besar Terengganu suatu ketika dulu amalan demokrasi tidak pernah diamalkan pun termasuk dalam bidang pendidikan dan pentadbiran.

Kerajaan Pas Terengganu mengarahkan premis dan balai raya milik kerajaan negeri dikosongkan oleh Kemas dari meneruskan operasi Tabika kepada kanak-kanak negeri Terengganu yang mahu mendapatkan pendidikan.

Peristiwa kanak-kanak tadika dihalau dari premis dan balairaya yang menjadi milik kerajaan negeri tidak pernah dilupakan, jadi usahlah Presiden Pas hendak bercakap soal demokrasi!

Kakitangan kerajaan negeri tidak dibenarkan hadir ke majlis-majlis yang melibatkan Menteri Kerajaan Pusat, surat pekeliling dikeluarkan member amaran supaya tidak hadir majlis berkenaan oleh pentadbiran negeri, apakah itu demokrasi namanya?

Begitu juga kakitangan kerajaan negeri tidak dibenarkan sama sekali terlibat dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Imam dan Bilal yang tidak sehaluan dengan parti Pas digantung, malah ada yang dipecat. Apakah layak orang seperti Haji Hadi bercakap mengenai demokrasi?

 

24 June 2013

PEMBANGKANG ANGKAT SUMPAH TANDA IKTIRAF KEPUTUSAN PRU13

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Kehadiran anggota pembangkang ke majlis angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen hari ini membuktikan bahawa mereka sebenarnya mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif menyifatkan bahawa dengan itu tidak timbul soal dakwaan bahawa berlaku penyelewengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan pilihan raya di negara ini.

Naib Ketua Umno Bahagian Besut, Haji Mohd Pahemi Yusof juga bersyukur kerana majlis angkat sumpah itu berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah walaupun ada usaha untuk menimbulkan ketegangan oleh pihak tertentu yang membuat demonstrasi jalanan berhampiran bangunan parlimen dan juga kekecohan di permulaan majlis.

Perdana Menteri, Dato'  Seri Najib Tun Razak (Pekan) hari ini mendahului upacara angkat sumpah jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat pada majlis yang turut menyaksikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dipilih semula sebagai Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat.

(Usaha pembangkang untuk menukar YDP Dewan Rakyat gagal setelah undi memihak kepada cadangan BN).

Manakala Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh) mengangkat sumpah pada jam 11.50 pagi. Antara lafaz sumpah berbunyi: “Setelah dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat, dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan, dengan jujur, menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang sedemikian dengan segala upaya saya dan saya akan menumpahkan segala taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan”.

Sementera itu, kesemua Ahli Parlimen dari Terengganu hadir ke majlis angkat sumpah hari ini iaitu empat dari BN dan empat dari Pas.

Ahli Parlimen BN Terengganu terdiri dari Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek (Kemaman), Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, kesemuanya Menteri Kabinet.

Manakala Ahli Parlimen Hulu Terengganu Dato’ Jailani Johari, Timbalan Menteri, diikuti Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifli Jusoh,  juga mengangkat sumpah. Ahli Parlimen Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus Terengganu diwakili oleh Pas.

Mereka adalah sebahagian dari 222 Ahli Parlimen BN (133 BN ), manakala pembangkang seramai 89 orang kesemuanya hadir mengangkat sumpah.

Seorang pegawai kerajaan, Ramli Hamzah, 53, menyatakan rakyat mahu melihat keamanan dan keselamatan terjamin di negara ini dan menolak sebarang percubaan untuk menimbulkan huru-hara.

Beliau berharap semua Ahli Parlimen sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang dapat sama-sama memainkan peranan berkesan di parlimen sebagai mewakili rakyat di kawasan masing-masing sesuai dengan kata-kata sumpah mereka " akan menumpahkan segala taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan”.

Sementara itu, laporan diterima bahawa keadaan di kawasan simpang masuk ke Parlimen menjadi kecoh secara tiba-tiba apabila sekumpulan peserta merempuh penghalang jalan menuju ke Parlimen.

 Semasa berlaku kekecohan seorang anggota polis (Inspektor) pegawai penyiasat IPD Sentol dilaporkan cedera di muka akibat ditumbuk sekumpulan peserta himpunan ‘blackout 505’ yang cuba memasuki kawasan Parlimen.


PPKKT sasar nilai jualan RM3j

Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Terengganu (PPKKT), yang bergiat aktif dalam bidang perniagaan makanan ternakan haiwan, menyasarkan nilai jualan mencecah RM3 juta sepanjang tahun ini berbanding RM2.1 juta tahun lepas.

Pengurus Besarnya, Ku Bakar Ku Omar berkata peningkatan sasaran itu adalah berikutan sambutan yang semakin meningkat ahli PPKKT dan juga individu terhadap barang-barang yang diedarkan oleh pertubuhan itu.

Ku Bakar berkata PPKKT, yang merupakan pengedar ternakan sejak 15 tahun lepas di pantai timur, menyasarkan menjual kira-kira 350 tan metrik makanan haiwan.

"PPKKT mengedar makanan haiwan pelbagai jenama kepada pelanggan tetap, yang terdiri daripada PPK serta petani," katanya sambil menyatakan PPKKT melantik 15 hingga 20 individu dan PPK sebagai pengedar di Terengganu.

Ku Bakar berkata input bekalan ladang seperti baja dan racun merupakan satu lagi cabang perniagaan PPKKT, dengan unjuran kira-kira RM400,000 tahun ini, dengan tumpuan utama peralatan fertigasi di kalangan usahawan berkenaan.

Katanya mereka menghasilkan lebih 30 tan metrik melon sehingga musim menuai berakhir awal bulan ini.


JPNT anjur Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, pada 30 Jun ini.

Pengarah JPBNT, Puan Azizah Awang, berkata program tahunan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM7,800 dengan tempat pertama bakal menerima RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga (RM800), manakala empat hadiah saguhati setiap kumpulan masing-masing menerima RM500.

“Pertandingan ini berkonsepkan penceritaan dan sketsa secara berkumpyulan mengenai kenegaraan seperti sejarah negara, pahlawan yang menentang penjajahan dan perjuangan tokoh negara terdahulu. “Sebanyak tujuh kumpulan yang mewakili setiap daerah di negeri ini akan menyertai pertandingan yang diadakan buat kali kesebelas itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Beliau berkata, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia ini bertujuan menggalakkan masyarakat menyampaikan pandangan serta pendapat mereka mengenai peristiwa bersejarah sebagai usaha pendidikan berterusan yang boleh dimanfaatkan bagi proses pembinaan negara dan jati diri bangsa.

Selain itu juga, JPNT berharap program ini mampu memupuk serta menyuburkab semangat integrasi nasional antara kaum, budaya, agama dan kepercayaan menerusi renteran sejarah serta perjuangan tokoh negara semasa berjuang memerdekakan negara bagi membina negara serta bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Katanya, majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari.

Sehubungan itu, orang ramai terutama mereka yang tinggal di daerah Hulu Terengganu dan kawasan sekitar dijemput memeriahkan program itu.


Pencetus ilmu sejarah harus dinamik, jalankan penyelidikan semula : SUK

Oleh: Aida Abd Rahman

Bukan mahu mengajar itik berenang, tetapi pencetus ilmu sejarah harus sentiasa dinamik dalam melaksanakan penyelidikan dan seterusnya menyebarkan penemuan baru yang diperolehi untuk perkongsian sejagat, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi Ke-29 di Dewan Al-Farabi, Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Dato' Razali Ismail, Batu Rakit, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Arkib Negara, Puan Daresah Ismail dan Pengarah IPG kampus berkenaan, Encik Ghulam Sarber Mobarak Ali. Lebih 1,000 peserta dari kalangan sejarahwan, ahli-ahli akademik, guru-guru sejarah serta para pelajar tingkatan enam yang mengambil subjek sejarah menyertai program itu. 

“Begitu juga mengenai penulisan awal Terengganu, perlu ada penambahbaikan dari semuber sejarah yang abru berasaskan penemuan `Bewah Man’ di samping kajian yang lebih mendalam terhadap maklumat yang terkandung pada Batu Bersurat Piagam Terengganu.

“Pencetus ilmu dalam apa jua jurusan boleh kita anggap tidak berjaya sekiranya ilmu itu tidak berkembang berpaksikan penemuan-penemuan baru yang dihasilkan,” katanya.

 Menurutnya, penemuan demi penemuan baru diperolehi termasuk di Terengganu, terdapat penemuan rangka manusia terawal di Gunung Bewah yang kita sebut sebagai `Bewah Man’, selain dari bukti kedatangan Agama Islam yag dikatakan lebih awal ekoran bukti catatan terdapat di Batu Bersurat Terengganu.

Beliau berkata sejarah merupakan rentetan peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa lampau ang seharusnya menjadi pedoman serta bahan rujukan dalam menghasilkan keputusan untuk membina negara, bangsa yang lebih gemilang pada masa depan.

Katanya, sehingga kini, kita berdepan dengan ratusan artifak malahan ribuan dokumen sejarah peninggalan manusia terdahulu yang memerlukan kajian serta penyelidikan yang lebih mendalam.

“Manusia seluruh dunia sudahpun mengetahui sejarah mereka, budaya mereka menerusi peninggalan manusia terdahulu. Maknanya bahan dan dokumen sejarah ini menjadi penting sebagai penentu kepada tingkatan tamadun dunia manusia.

 “Oleh kerana tuntutan penulisan sejarah sesebuah bangsa itu sangat penting kesahihan faktanya, maka keterbegantungan kita menjadi punca ilmu juga dipelbagaikan,” katanya.

Justeru itu, Dato’ Mazlan berkata pencetus ilmu dan sejarahwan meneroka bidang arkeologi untuk menambah bukti dan keyakinan manusia bahawa sejarah itu adalah benar-benar terjadi, bukan sesuatu yang direka atau ditokok-tambah.


AHMAD SAID CABAR PEMBANGKANG BUKTIKAN DI MANA KERTAS UNDI DIKIRA DALAM GELAP ATAU ‘BLACKOUT’

"Pembangkang tolong buktikan di mana kejadian 'blackout'
terjadi semasa pengiraan undi dijalankan semasa

PRU13." - Dato Seri Haji Ahmad Said.
Oleh: Ruslan Abdul Rahman 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mencabar pihak pembangkang membuktikan di mana kejadian ‘blackout’ semasa pengiraan undi dijalankan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

Dato’ Seri Haji Ahmad menyifatkan pembangkang berbohong untuk menimbulkan keraguan rakyat terhadap sistem pilihan raya di negara ini dan cuba memberi gambaran yang buruk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan PRU.

Katanya, dakwaan pembangkang meleset sama sekali apabila mengatakan ‘blackout’ berlaku di Bentong sewaktu proses pengiraan undi dijalankan, apabila wakil rakyat DAP yang menang di kawasan itu sendiri menafikannya.

Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Ketari, Lee Chin Chen menafikan dakwaan berlaku gangguan elektrik di pusat penjumlahan undi Dewan Sultan Ahmad Shah. Bentong pada malam 5 Mei lalu.

Penafian itu sekaligus membuktikan dakwaan berkenaan yang dilemparkan tidak berasas sama sekali dan dipercayai mahu menghasut rakyat kononnya berlaku penipuan dalam PRU13.

YB DAP itu menang setelah menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wong Choo Yak dengan majoriti 4,243 undi.

Beliau juga melahirkan rasa pelik mengapa dakwaan disebarkan melalui media sosial kononnya berlaku ‘blackout’.

Oleh itu, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta rakyat supaya tidak percaya kepada dakyah dan berita palsu yang dibawa oleh pihak tertentu untuk menimbulkan isu kononnya BN menang kerana ‘blackout’ sedangkan hakikatnya rakyat majoriti di kawasan-kawasan pilihan raya masih yakin kepada BN untuk memerintah.

Beliau berkata tindakan mengadakan perhimpunan Blackout 505 adalah merugikan negara dan mengancam kestabilan negara dan harap rakyat tidak mudah terpedaya dan terikut-ikut dengan perbuatan hendak memusnahkan negara melalui kekacauan.