Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia akan menganjurkan Kejohanan Memanah Sirkit Kebangsaan Pertama selama lima hari bermula 23 Okt ini.
Selain itu turut diselitkan Kejohanan Terbuka Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) UniSZA 2013 bagi mencungkil dan mengetengah bakat baharu.
Naib Canselornya Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata kejohanan bertempat di kampus induk UniSZA di Gong Badak itu dijangka melibatkan sekitar 300 peserta tempatan dan dari Indonesia serta Thailand.
"Kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM6,000," katanya dalam sidang media sempena Majlis Anugerah Sukan UniSZA 2012 dan Penyampaian Insentif Sukan, di sini Jumaat.
Menurutnya, UniSZA diberi keutamaan menganjurkan acara itu oleh Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia kerana UniSZA merupakan pusat kecemerlangan sukan bagi acara memanah untuk institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Sementara itu, Yahaya berkata UniSZA akan membina sebuah stadium mini serta membaik pulih fasiliti sukan sedia ada di universiti itu bermula Januari depan, dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berkualiti.
"Kita akan tambahkan peralatan dan fasiliti sedia ada kerana sekarang hanya peralatan asas sahaja. Mini stadium pula akan dibangunkan di sebuah tanah milik UniSZA.
"Kita juga meletakkan sasaran 30 peratus atlet UniSZA dapat mewakili negara dalam apa-apa kejohanan sukan sama ada di Sukan SEA mahupun Olimpik," katanya.
Menurut Yahaya, keseluruhan projek akan membabitkan perbelanjaan berjumlah RM15 juta.
Dalam majlis itu, atlet karate-do, Noor Azizan Nor Azli, 21, dianugerahi Olahragawan Terbaik manakala gelaran Olahragawati Terbaik milik atlet memanah, Fatin Nadira Hassin, 21.
Masing-masing yang pernah mewakili Terenggahu dalam Sukan Malaysia 2012 membawa pulang wang tunai RM1,000, piala pusingan, piala iringan serta sijil penghargaan dan wang insentif sebanyak RM1,700.