Halaman

17 October 2013

TATiUC jelajah sekolah menengah.

Bazlan (kanan) bersama Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

BATU RAKIT: Beberapa pegawai dan kakitangan TATiUC (Kolej Universiti TATI) akan berkunjung ke semua sekolah menengah di Terengganu untuk mempromosikan pusat pengajian tinggi itu kepada pelajar di negeri ini supaya mereka menyambung pelajaran ke kolej universiti itu apabila menamatkan pelajaran tingkatan lima kelak.

Pengerusinya, Bazlan Abdul Rahman, berkata program yang diberi nama "Jelajah Bermula Di Sini" itu akan mengunjungi 128 buah sekolah menengah di Terengganu yang bermula di Kemaman dan akan berakhir di Besut.

"Program ini bertujuan untuk memperkenal kursus-kursus yang ada di TATiUC kepada pelajar seluruh sekolah menengah di Terengganu khususnya tingkatan lima. Pelancaran jelajah ini sudahpun bermula ketika konvokesyen yang lalu.

"Masih ada pelajar di negeri ini belum mengetahui TATiUC ini. Seramai lima pegawai promosi akan memberi penerangan dan maklumat terperinchi mengenai kursus yang ditawarkan di TATiuC serta kelayakannya," katanya kepada Teganukita, ketika Program Korban Perdana Dun Batu Rakit, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau mengharapkan pelajar di negeri Terengganu akan memilih TATiUC sebagai tempat mereka menyambung pelajaran kerana terdapat beberapa kursus yang memberi jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian.

"Beberapa kursus jangka pendek kita wujudkan di TATiUC yang ada hubungan dengan beberapa syarikat industri di Kemaman. Penuntut yang mengambil kursus ini akan menjalani latihan praktikal di syarikat terbabit dan akan terus mendapat pekerjaan sekiranya mereka lulus," katanya.

Bazlan berkata, masa depan TATiUC cerah dan mampu pergi lebih jauh setanding dengan kolej universti lain di negara ini manakala yuranya  lebih rendah berbanding IPT lain.