Halaman

15 October 2013

To' Puan Zaitun dilantik exco Wanita Umno

Buat pertama kalinya Terengganu mempunyai wakil dalam exco Wanita Umno pusat apabila calon tunggal dari negeri itu To' Puan Zaitun Mat Amin terpilih dalam senarai 20 barisan kepimpinan yang baru bagi penggal 2013-2016.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Marang itu memperoleh 95 undi dari seluruh negara pada pemilihan Umno Sabtu lepas.

"Alhamdulillah kerana kemenangan saya sebagai seorang daripada exco Wanita Malaysia ini membuktikan penghargaan dan kepercayaan yang diberi oleh perwakilan wanita di seluruh negara.

"Sebagai Pengerusi Gerak Prihatin dan Penyayang Pergerakan Wanita Umno Malaysia, ternyata gerak kerja kami melalui aktiviti kebajikan yang dijalankan diiktiraf mereka," kata Zaiton yang juga Bendahari Pergerakan Wanita Umno Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Setiu, Mohd Iskandar Jaafar merupakan wakil tunggal Terengganu yang dipilih dalam barisan 20 exco Pemuda di peringkat pusat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi memperoleh sokongan daripada 87 bahagian dari seluruh negara.

Mohd Iskandar yang menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda Setiu turut mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang memilihnya untuk jawatan exco Pemuda pusat bagi penggal 2013-2016.

 "Oleh kerana saya adalah antara calon exco Pemuda yang berasal dari luar bandar, maka saya menganggap pemilihan saya kali ini adalah sebagai membawa suara pemuda akar umbi ke tahap yang lebih tinggi dan saya akan menjadi penghubung untuk pemuda akar umbi dengan kepimpinan pusat," katanya.

 Iskandar yang baharu sahaja dilantik Pengerusi Belia 4B Terengganu baru-baru ini, berkata suara pemuda mesti di dengar dan di fahami pemimpin tertinggi kerana golongan itu adalah penentu masa hadapan negara.