Halaman

18 October 2013

146,500 perwakilan UMNO pilih pemimpin esok



Oleh: Mohammad Ishak 

Debaran pemimpin sayap UMNO, Wanita,Pemuda dan Puteri sudah berakhir dan terjawab apabila kelompok berkenaan sudah menentukan siapa pemimpin mereka untuk menerajui parti selepas perwakilan membuat keputusan menerusi undian pada minggu lalu.

Perhatian kini terarah pula kepada siapa yang akan menduduki barisan kepemimpinan di peringkat Ahli Majlis tertinggi (AMT) dan Jawatankuasa Peringkat Bahagian, bagi melengkapkan saf kepemimpinan parti terbesar bangsa Melayu dan Umat Islam negara ini.

Keputusannya akan ditentukan oleh 146,500 perwakilan dari seluruh negara yang akan mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Umno  Bahagian esok Sabtu 19 Oktober 2013, apabila ahli akar umbi terbabit akan membuat pilihan sendiri siapa pemimpin yang mereka suka.

Pemilihan tahun ini yang dilaksanakan menerusi kaedah baru apabila pemimpin peringkat cawangan turut diberi hak memilih pemimpin sudah tentu ia akan memberi kesan besar kepada corak pemilihan pemimpin dalam UMNO.

Perwakilan sudah tentu mempunyai bayangan tersendiri untuk memilih bakal pemimpin yang menjadi pilihan mereka sama ada berasaskan kepada ketokohan, professional, personaliti dan keupayaan pemimpin terbabit memikul tugas dan tanggungjawab besar dalam membina parti.

Kini ramai yang bercakap menggunakan slogan “Meremajakan Umno” dalam usaha membina dan memantapkan parti yang disesuaikan dengan keadaan semasa dan peluang ini digunakan oleh calon yang bertanding untuk memikat penyokong atau lebih tepat perwakilan.

Bagaimanapun, dalam usaha meremajakan parti adalah tidak adil jika pemimpin yang terlalu lama berada dalam saf kepemimpinan masih degil untuk melepaskan jawatan yang disandang kerana terlalu syok dengan jawatan.

Bukan tidak penting kepada pemimpin lama tetapi berilah peluang kepada bakat baru yang berpotensi untuk menyambung perjuangan dalam mana-mana organisasi termasuk UMNO.

Di Terengganu sendiri seluruh ketua bahagian kecuali Besut akan berhadapan dengan pertandingan apabila ada ramai calon menawarkan diri untuk merebut jawatan nombor satu peringkat bahagian.

Sebenarnya, pertandingan merebut jawatan tahun ini dianggap meriah dan menarik apabila calon yang bertanding kelihatan dalam satu keluarga apabila mereka datang secara berkumpulan ketika sesi pengenalan calon dianjurkan pihak tertentu.

Semoga semangat setia kawan dan dan sifat kekeluargaan ini akan terus kekal biarpun selepas pengumum calon yang menang dan kalah dalam pertandingan diketahui selewat-lewatnya jam 8 malam esok.