Halaman

19 October 2013

MOHD JIDIN KEKAL KETUA BAHAGIAN..Bazlan menang Naib.

Oleh Aminudin Ismail.

SETIU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Setiu apabila menang dalam pemilihan Ketua UMNO bahagian itu yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Saujana, di sini, hari ini. (19 Oktober 2013)

Mohd Jidin menang mengatasi seorang lagi calon, Datuk Mamat Ghazali dalam pemilihan dua penjuru di mana kira-kira 1140 perwakilan mengambil bahagian memilih calon untuk memegang jawatan tertinggi dalam UMNO Setiu itu.

Dalam ucapan ringkasnya, Mohd Jidin (dapat 314 majoriti)  mengucapkan setinggi-tingi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dengan gerak kerja pemilihan hari ini terutamanya kepada semua ahli dan perwakilan UMNO cawangan kerana masih memberi kepercayaan kepadanya untuk terus menerajui UMNO Setiu.

Mohd Jidin berkata, agenda pertamanya selepas menang jawatan itu ialah menyusun semula ahli dalam UMNO dengan menghidupkan beberapa cawangan yang kurang aktif dan mengajak lebih ramai penduduk di daerah Setiu menyertai UMNO dan Barisan Nasional.

“Selepas ini , yang pertamanya kita akan membaikpulih soal-soal pemilihan ini supaya ia kembali seperti biasa, yang kedua kita akan menyusun balik sebarang kelemahan dalam keahlian (Umno) dan yang ketiga kita akan menambah bilangan keahlian.

“Sebab ada kita kesan ada cawangan kurang ahli, ada setengah tu tidak cukup wanita, ada setengah tu tidak cukup puteri. Dengan sistem yang UMNO buat sekarang ini kita boleh baca balik, apabila senarai dihantar balik kepada kita.

“Jadi senarai ini kita dapat mengesan beberapa kelemahan yang kita tidak sedar, umpama dulu pemuda cukup tiba-tiba pemuda lebih umur naik kepada cawangan sehingga bilangan pemuda tidak cukup,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya sistem ini, UMNO Setiu sudah beri arahan kepada semua sayap dan petugas supaya masuk ke setiap cawangan untuk mendaftar semua ahli yang layak dan yang bersetuju untuk menyertai UMNO.

Dalam keputusan pemilihan, hari ini, jawatan Timbalan Ketua disandang Dato’ Sabri Mohd Nor (menang tanpa pemilihan) manakala Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman (majoriti 326) menang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Setiu.

Beberapa AJK Bahagian yang lama berjaya mengekalkan jawatan masing-masing disamping beberapa calon baru berjaya menduduki kerusi AJK itu.