Halaman

15 October 2013

Idris berjanji akan terus bantu UMNO Besut


YB Dato'Seri Idris Jussoh bersama pemimpin Wanita UMNO Besut

Oleh: Mohammad Ishak

Ketua Umno Bahagian Besut, Dato' Seri Idris Jusoh berjanji akan terus membantu kepemimpinan baru parti di bahagian itu walaupun tidak lagi menjadi ketua selepas pemilihan parti peringkat bahagian itu pada 19 Oktober ini.

Katanya, soal diri beliau akan berada dalam jawatan nombor tiga sebagai naib ketua bahagian, tidak menjadi masalah untuk beliau bekerjasama dengan pimpinan baru bahagian berkenaan.

Menurutnya, walaupun tidak memegang ketua bahagian beliau masih lagi menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan insyaalah mengekalkan jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Idris yang juga Menteri Pendidikan II berkata, keputusan tidak mengekalkan jawatan ketua bahagian kerana ingin memberi peluang kepada pelapis muda menerajui Umno Besut selaras dengan hasrat pemimpin parti untuk meremajakan Umno.

“Saya sedar ramai ahli parti di bahagian itu kecewa dengan keputusan dibuat tetapi, perlu diingat pemimpin tidak seharusnya mengekalkan jawatan untuk tempoh terlalu lama dan ada masa patut berundur,” katanya

Berikutan keputusan beliau tidak mengekalkan jawatan itu,Ahli Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, menang tanpa bertanding selepas Idris tidak bertanding.

Idris berkata, Umno Besut ingin membuktikan kepada bahagian lain sejarah tidak pernah berlaku pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian berkenaan dan beliau juga berbuat demikian sama seperti pemimpin lain sebelum ini.

“Peralihan pimpinan Umno Besut secara terssusun sejak zaman Allahyarham Datuk Zakaria Abdul Rahman, Tan Sri Dr Yusof Noor, Datuk Wan Zakaria Abd Rahman dan sekarang giliran saya berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, tugas sekarang sebagai Menteri Pendidikan II memerlukan perhatian serius terhadap tugas yang diamanahkan untuk pembangunan pendidikan negara yang semakin mencabar.

“Oleh kerana saya tidak lagi memegang jawatan ketua bahagian dan peluang itu akan digunakan sepenuhnya untuk memikul tanggungjawab sebagai menteri,” katanya.