Halaman

14 October 2013

Wan Nasiah mahu berbakti kepada wanita Setiu.

Oleh Aminudin Ismail. 

SETIU: Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiu yang baru, Wan Nasiah Wan Majid mahu semua ahli pergerakan itu bersatu padu samada yang kalah atau menang dalam pemilihan kelmarin untuk mempastikan UMNO akan terus mendapat tempat di hati rakyat.

Wan Nasiah, 53, seorang kaunselor di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Daerah Setiu itu, akan memulakan tugas barunya itu dengan menyatukan semua ahli-ahli Wanita UMNO dengan turun kesetiap cawangan untuk mengenal pasti apa-apa masalah sekiranya ada.

“Yang penting dalam perjuangan ini adalah penyatuan semua ahli. Saya nak menyatukan semua ahli dalam pergerakan ini. Jika ahli bersatu akan menguatkan lagi wanita UMNO di Setiu ini. Saya harapkan semua ahli UMNO perlu bekerja kuat supaya Barisan Nasional akan terus mentadbir Setiu ini,” katanya yang mula aktif dalam UMNO sejak lebih 20 tahun lalu itu.

Wan Nasiah, pemegang Ijazah Bimbingan Kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, berkata sebagai Ketua Wanita UMNO yang baru, beliau mahu memajukan wanita di daerah Setiu dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti pada masa depan.

“Saya ada misi dan visi tersendiri dalam mengendali pergerakan wanita, sebagai pemimpin baru tentunya saya ada pembaharuan yang perlu dilakukan disamping menguna pakai perancangan pemimpin yang lepas sekiranya ia memberi manfaat kepada wanita,” katanya ibu kepada dua cahayamata itu.

Sehubungan itu, beliau mahu semua yang bertanding dalam pemilihan kelmarin, supaya melupakan soal kalah menang dan yang paling penting, katanya, dia mahu semua ahli bersatu dan bersama-samanya bekerja untuk mempastikan UMNO dan rakyat akan terus maju.