Halaman

14 October 2013

YB Iskandar bawa suara Pemuda ke peringkat Pusat

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Setiu, YB Mohd Iskandar Jaafar akan membawa ‘suara’ Pemuda Umno Terengganu ke peringkat Pusat, sesuai dengan kedudukan beliau sebagai ahli exco Pemuda Umno Malaysia.

Beliau yakin pemilihannya bagi menduduki jawatan tersebut akan memberi manfaat yang besar kepada pergerakan itu di negeri ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan dan mengundi saya sebagai ahli exco Pergerakan pemuda Umno Malaysia,” ujarnya yang telah mendapat 87 undi dan dilantik sebagai exco pergerakan itu.

Sebelum ini, YB Mohd Iskandar menang jawatan Ketua Pemuda Umno Setiu tanpa bertanding selepas beliau menjadi calon tunggal menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan tersebut.

Beliau akan membalas kepercayaan golongan muda dengan membela nasib mereka dan berusaha menyelesaikan segala masalah yang dihadapi Pemuda.

“Kita juga akan memantapkan jentera parti dan membuat persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang bukan saja dengan mengekalkan semua kerusi DUN dan Parlimen di Setiu, tetapi mengembalikan kerusi lain yang dirampas pembangkang, kepada Barisan Nasional,” katanya.