Halaman

13 October 2013

Terengganu terima kunjungan hormat rombongan Huaxicun, China

Oleh: Noraini Jusoh

Rombongan Huaxicun, China melakukan kunjungan hormat ke negeri ini selama empat hari bermula 9 hingga 12 Oktober 2013.



Ahli rombongan berkenaan yang terdiri daripada lima orang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kira-kira jam 8.40 malam, Rabu lalu. Ketibaan mereka disambut dengan persembahan kebudayaan oleh artis kebudayaan negeri Terengganu, SUKTRA.

Kakitangan Unit perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) serta pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu turut menyambut kedatangan rombongan berkenaan sebelum dibawa ke hotel penginapan di Resort World Kijal, Kemaman.


 Pada hari kedua, selepas menikmati sarapan di kediaman YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Kijal, rombongan Huaxicun bertolak ke Syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC).

Mereka meluangkan masa lebih kurang tiga jam untuk lawatan di EPIC dan Pelabuhan Kemaman. Pada sebelah petang, rombongan Huaxicun bertolak ke Pulau Perhentian dengan menaiki helikopter untuk meninjau kawasan sekeliling di pulau itu.



Selepas selesai urusan pendaftaran masuk di Hotel Shari-La Pulau Perhentian, rombongan Huaxicun sempat meluangkan masa melawat kawasan sekitar pulau berkenaan sebelum menikmati sajian BBQ untuk makan malam.

Pada keesokan harinya, rombongan Huaxicun bertolak ke Pengkalan Gawi, Kenyir dengan menaiki helikopter untuk lawatan sekitar tasik itu.

Destinasi pertama yang mereka kunjungi ialah Santuari Gajah kemudian ke Air Terjun Lasir, Sungai Como dan Pulau Bayas.

Ahli rombongan sebelum itu telah mendaftar masuk di Kenyir Lake Resort. Rombongan Huaxicun turut menikmati makan malam bersama YAB Menteri Besar Terengganu di Kenyir Lake Resort.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee bersama isteri masing-masing turut hadir di majlis makan malam tersebut.

Pada hari terakhir berada di Terengganu, rombongan Huaxicun sempat meluangkan masa sekali lagi meninjau keindahan Tasik Kenyir.



Ahli rombongan berkenaan dibawa melawat Santuari Kelah dan Pulau Petang sebelum bertolak balik ke China lebih kurang jam 4 petang semalam.

Rombongan kali ini berminat mengunjungi destinasi percutian menarik di negeri ini bagi menikmati keindahan semulajadi Terengganu seperti di Pulau Perhentian dan Tasik Kenyir sekali gus mencari peluang menjalin kerjasama yang akan menguntungkan kedua-dua negara.